SOALAN
Assalammualaikum, Saya daripada pihak Kelab Hamster Malaysia, Hamster Owner Junior ada persoalan mengenai hukum-hakam menjaga haiwan (Hamster iaitu rodensia- kategori tikus jinak yang diambil sebagai haiwan peliharaan dalam rumah). Hamster tidak sama seperti tikus liar yang menyebarkan penyakit. Hamster adalah haiwan bersih dan dalam jagaan tidak memakan sampah atau najis seperti tikus sampah yang merosakkan harta benda rumah. Makanan atau diet hamster terbahagi kepada mix seed, sayuran, buah-buahan dan daging rebus. Kebanyakkan hamster telah menjadi haiwan peliharaan seluruh dunia sejak awal tahun 80 an dan dirawat oleh Veterinar. Persoalan boleh memelihara haiwan hamster kerana kriterianya berbeza dengan tikus? Mohon pencerahan S.S Mufti
RINGKASAN JAWAPAN:
Hamster merupakan spesis yang sama dengan tikus, namun kriteria hamster berbeza dengan tikus dari segi perbezaan ciri fizikal, saiz, warna dan tingkah laku. Terdapat beberapa jenis hamster yang yang sudah dikenali uruf (kebiasaan tempatan) sebagai haiwan perliharaan. Hamster peliharaan adalah haiwan pembersih yang menjaga habitat, bersih dan kemas selain bergantung kepada cara bagaimana pemilik hamster tersebut mengendalikan pengurusan haiwan tersebut. Justeru, itu anjuran bunuh tikus (الْفَأْرُ) dalam hadis kerana “illah” (sebab) sifatnya yang mengganggu (fawāsiq) atau mudarat dan bahaya kepada manusia tidak wujud pada hamster. Hal ini kerana hamster (أقداد) perliharaan dikategorikan sebagai haiwan yang bersih.
Oleh yang demikian, sekiranya ‘illah” (sebab) pengharaman seperti menggangu, berbahaya, menyebarkan penyakit tidak wujud pada hamster tersebut, maka hamster boleh dijadikan sebagai haiwan perliharaan.
Pada sudut jual beli haiwan perlu menepati syarat barang jualan iaitu barang jualan mestilah mempunyai nilai manfaat. Barangan jualan (ma’qud ‘alaih) yang terdapat nilai manfaat adalah sah transaksinya yang merupakan salah satu syarat jual beli.
Huraian Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
PERBEZAAN HAMSTER (أقداد) DAN TIKUS (الْفَأْر)
Tikus dan hamster tergolong dalam klasifikasi yang sama di bawah Order Rodentia, Namun, terdapat perbezaan ketara hamster dan tikus sama ada dari segi perbezaan ciri fizikal, saiz, warna, tingkah laku, perbezaan diet, dan keperluan penjagaan yang berbeza.
Beberapa baka hamster yang berbeza yang sering ditemui di kedai haiwan peliharaan, iaitu Syrian hamster atau Golden hamster dan dwarf hamster.
Tikus liar memang kotor dan boleh membawa penyakit. Hamster (peliharaan) adalah haiwan yang pembersih dengan menjaga habitat, diri mereka yang bersih dan kemas. Walau bagaimanapun, perkara ini juga bergantung kepada cara bagaimana pemilik hamster mengendalikan pengurusan haiwan tersebut. Sangkar perlu sentiasa dicuci dan tempat tidur perlu ditukar secara berkala. Sekiranya perkara-perkara ini tidak diambil peduli oleh pemilik, ianya boleh mengakibatkan hamster terdedah dalam persekitaran sangkar yang kotor dan mungkin mengalami stress. Potty-training dan kelebihan hamster yang terlatih dalam tandas (potty trained) akan membuang air kecil hanya di kawasan tertentu dalam sangkar. Ini penting untuk memastikan sangkar hamster tersebut sentiasa bersih serta mengurangkan jumlah masa yang diperlukan pemilik untuk membersihkan sangkar. [1] Ini bermakna hamster haiwan yang mudah mengalami “stres” sekiranya rumahnya kotor dan kekurangan makan dan minum, maka pemilik hamster perlu memberikan penjagaan yang baik.
Setelah meneliti fakta di atas, ternyata spesis haiwan hamster dan tikus dalam kelompok yang sama dan perbezaan daripada sudut fizikal, saiz, warna, tingkah laku, perbezaan diet, dan keperluan penjagaan yang berbeza selain dikatakan hamster haiwan yang pembersih dan tikus liar memang kotor dan membawa penyakit.
Persoalannya, Adakah hamster boleh dihukumkan sebagai hukum tikus yang tergolong dalam kelompok haiwan “fawasiq” )menimbulkan kerosakan(?
Hal ini kerana tikus yang tergolong dalam kelompok haiwan “fawasiq” yang dianjurkan untuk membunuh kerana sifatnya menganggu, berbahaya menyebarkan penyakit berdasarkan hadis daripada Aisyah R.Anha, Bahawa Nabi SAW bersabda :
خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ : الْحَيَّةُ ، وَالْغُرَابُ الْأَبْقَعُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْحُدَيَّا
Maksudnya : Lima binatang “pengganggu” yang diperbolehkan membunuhnya dalam keadaan tidak berihram atau berihram iaitu ular, burung gagak, tikus, anjing gila, burung helang
Riwayat Muslim 1198, Riwayat Bukhari 3314
Ulama bersepakat harus membunuh lima haiwan yang dinyatakan dalam hadis sama ada dalam ihram atau tidak. Haiwan penganggu tersebut dinamakan fawasiq kerana sifatnya suka menimbulkan kerosakan dan kecederaan kepada makhluk yang lain. [2]
Sementara itu, hamster merupakan haiwan jinak dan masyarakat menjadikan sebagai “pet” haiwan peliharaan. Tambahan pula, “illah”(sebab) pengharaman haiwan fawasiq kerana sifat mengganggu dan berbahaya tidak wujud pada hamster. Oleh itu, ia boleh dijadikan haiwan perliharaan. Hal ini kerana terdapat satu kaedah dalam penentuan hukum berdasarkan “illah” sebabnya, iaitu:
الحكم يدور مع عللها وجودا وعدما[3]
Maksudnya: “Hukum itu beredar bersama dengan illahnya pada kewujudan dan ketiadaan hukum.”
Sekiranya illah itu tiada atau hilang maka hukumnya adalah harus. Bahkan, uruf (kebiasaan) masyarakat seluruh dunia menjadikan beberapa jenis hamster sebagai haiwan perliharaan.
Oleh itu, mereka yang ingin menjadikan hamster haiwan perliharaan perlu berbuat baik dan menjaga kebajikan haiwan tersebut dengan memberi makan, memberikan rawatan, perlindungan tanpa ada penyeksaan berlaku. Abdullah bin Amr meriwayatkan hadis bahawa Rasullullah SAW bersabda
دَخَلَتِ امْرَأَةٌ النَّارَ في هِرَّةٍ رَبَطَتْهَا، فَلَمْ تُطْعِمْهَا، ولَمْ تَدَعْهَا تَأْكُلُ مِن خَشَاشِ الأرْضِ
Maksudnya: Seorang wanita memasuki neraka disebabkan seekor kucing yang diikatnya. Dia tidak memberinya makan mahupun membebaskannya untuk makan serangga di tanah
Riwayat al-Bukhari 3271
Hukum Jual Beli Hamster
Jual beli haiwan yang mendatangkan kerosakan dan bahaya pada manusia adalah dilarang. Imam al-Nawawi menyatakan tidak sah jual beli haiwan yang tidak mendatangkan manfaat seperti kumbang, kala jengking, ular, tikus semut dan sejenisnya [4] Maka kelompok haiwan “fawasiq” juga tidak sah untuk dijual beli
Persoalannya, adakah hamster memberi manfaat kepada manusia?
Berdasarkan fakta, haiwan perliharaan boleh dijadikan terapi kesihatan, terutamanya bagi mereka yang mengalami kemurungan. Haiwan perliharaan dapat mengurangkan risiko tekanan darah, mengurangkan tekanan, meningkatkan aktiviti fizikal dan manfaat emosi. Hasil kajian menunjukkan bahawa orang yang terlibat dalam interaksi positif dengan haiwan mempunyai tahap “merasa baik” yang lebih tinggi daripada bahan kimia dopamin dan serotonin. Bahan-bahan ini membantu mengawal mood, menghalang kemurungan, mengurangkan kebimbangan dan membantu kekal tenang dalam situasi yang tertekan.[5] Mengusap hamster boleh membantu menenangkan fikiran yang bercelaru.[6]
Justeru itu, jual beli haiwan mestilah perlu menepati syarat barang jualan iaitu nilai manfaat.
PENUTUP
Berdasarkan fakta yang dibentangkan, hamster berbeza kriteria dengan tikus walaupun dalam spesis yang sama. Hamster peliharaan adalah haiwan yang pembersih dengan menjaga habitat mereka yang bersih dan kemas selain bergantung kepada cara bagaimana pemilik hamster tersebut mengendalikan pengurusan haiwan tersebut. Justeru, itu anjuran bunuh tikus (الْفَأْرُ) dalam hadis tersebut disebabkan “illah” sifatnya yang mengganggu (fawāsiq) atau mudarat dan bahaya kepada manusia. Hal ini berbeza dengan sifat hamster perliharaan (أقداد) yang dikategorikan haiwan yang bersih. Oleh itu, hamster yang sifatnya jinak dan bersih boleh dijadikan haiwan perliharaan dan juga dijual beli kerana manfaatnya sebagai terapi tekanan emosi.
Wallahu A'lam
Rujukan:
[1] Dr. Nurliyana bt Meor Abdullah, Unit Aneka Haiwan, Seksyen Bukan Ruminan, BPIT, DVS Putrajaya
[2] Al-Nawawī, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf, (1392) Ṣaḥīḥ Muslim bi Sharḥ al-Nawawī, Beirut: Dār Ihya’ -al-Turāth al-‘Arabi : cet 2. 8/ 113-114
وَاتَّفَقَ جَمَاهِيرُ الْعُلَمَاءِ عَلَى جَوَازِ قَتْلِهِنَّ فِي الْحِلِّ وَالْحَرَمِ وَفْقِ اللُّغَةِ وَأَصْلُ الْفِسْقِ فِي كَلَامِ الْعَرَبِ الْخُرُوجُ
فَسُمِّيَتْ هَذِهِ فَوَاسِقُ لِخُرُوجِهَا بِالْإِيذَاءِ وَالْإِفْسَادِ عَنْ طَرِيقِ مُعْظَمِ الدَّوَاب
[3] As-Sa’di, Syarah Manzhumah al-Qawaid al-Fiqhiyah, 4/13.
Al-Nawawi, Muḥyī al-Dīn Yahyā bin Sharf (1991), Raudhah al-Tolibin, Wa Umdatun Muftin, Beirut: Maktabah Islami. Jld :3 p: 35
[4] مَا لَا يُنْتَفَعُ بِهِ، فَلَا يَصِحُّ بَيْعُهُ، كَالْخَنَافِسِ، وَالْعَقَارِبِ، وَالْحَيَّاتِ، وَالْفَأْرِ، وَالنَّمْلِ، وَنَحْوِهَا
[5] https://hellodoktor.com/kesihatan/fakta-menarik/terapi-kesihatan-melalui-haiwan-peliharaan/
[6] https://metro.co.uk/2017/06/19/18-reasons-why-hamsters-make-the-best-pets-6719205/