Soalan
Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu persoalan. Saya baru pertama kali didatangi haid dan darah yang keluar melebihi 15 hari sehingga tempoh sebulan. Namun saya tidak boleh membezakan jenis warna darah. Bolehkah SS Datuk Mufti memberikan pencerahan berkenaan hukum darah tersebut?
Ringkasan Jawapan
Mubtadaah ghairu mumayyizah adalah wanita yang keluar darah buat pertama kali tetapi ia melebihi 15 hari. Mereka tidak dapat membezakan sifat darah kuat dan lemah atau melihat keseluruhan darahnya dengan satu sifat sahaja. Wanita yang dikategorikan dalam golongan ini hendaklah mengguna pakai kaedah hukum sedemikian, iaitu darah yang keluar sehari semalam bermula dari waktu keluarnya adalah haid dan baki 29 harinya adalah suci(istihadah).
Huraian Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Artikel pada kali ini akan menjelaskan berkaitan golongan kedua daripada tujuh golongan wanita mustahadah yang dikategorikan dalam mazhab al-Syafi’i. Golongan kedua mustahadah disebut sebagai mubtadaah ghairu mumayyizah iaitu wanita yang keluar darah buat pertama kali melebihi 15 hari, tidak pernah didatangi darah sebelum itu serta dia tidak dapat membezakan antara sifat darah kuat atau lemah. Mereka yang tergolong dalam kumpulan kedua ini mesti mengetahui waktu bermula darah keluar supaya ia tidak termasuk dalam kategori mutahayyirah (wanita dalam kebingungan)[1]. Dalam kitab al-Ibanah wa al-Ifadhah dinyatakan bahawa terdapat dua gambaran permasalahan, iaitu:
- Wanita melihat darah yang keluar dengan satu sifat sahaja seperti ia melihat keseluruhan darahnya dalam bulan tersebut dengan warnah hitam sahaja atau warna merah sahaja.
- Wanita melihat darah yang keluar dengan pelbagai sifat akan tetapi ia tidak memenuhi syarat-syarat tamyiz[2].
Imam al-Nawawi menyatakan hukum darah golongan ini adalah dikira haidnya selama tempoh sehari semalam (24 jam) bermula dari waktu keluarnya darah dan tempoh sucinya (istihadhah) adalah selama 29 hari[3]:
فالأظهر أن حيضها يوم وليلة وطهرها تسع وعشرون
Maksudnya: “Maka menurut pandangan yang muktamad bahawa haidnya adalah sehari semalam dan sucinya dua puluh sembilan hari.”
Pandangan ini diambil kerana kebiasaannya tempoh kitaran menstruasi wanita dalam sebulan adalah sebanyak 30 hari (maksimum haid 15 hari + minimum suci 15 hari). Justeru, tempoh sehari semalam dikira sebagai haid adalah sebagai langkah berhati-hati dan begitu juga tempoh sucinya[4]. Dalil bagi hukum tersebut adalah kerana sehari semalam merupakan tempoh haid yang diyakini manakala tempoh yang selebihnya adalah syak semata-mata. Justeru, ia tidak dihukumkan sebagai haid melainkan dengan sesuatu yang diyakini sahaja[5].
Imam al-Nawawi juga menyatakan ulama-ulama mazhab al-Syafi’i berpandangan bahawa ketika darah keluar buat kali pertama, wanita perlu menahan dirinya daripada melakukan ibadah-ibadah seperti solat dan puasa kerana terdapat kebarangkalian darah akan berhenti pada hari ke-15 atau sebelumnya. Jika darah melepasi hari ke-15 barulah wanita itu dihukumkan sebagai wanita istihadah. Sekiranya darah masih berterusan pada bulan kedua, mereka wajib mandi junub selepas melepasi tempoh sehari semalam dan dia tidak perlu menunggu sehingga hari ke-15. Hal ini kerana diyakini keadaannya sama seperti bulan pertama. Begitu juga hukumnya pada bulan ketiga dan seterusnya, namun jika darah terhenti sebelum melepasi hari ke-15 maka diketahuilah bahawa pada bulan berkenaan dirinya tidak mengalami istihadah dan keseluruhan darah bulan tersebut adalah haid[6].
Contoh-contoh bagi permasalahan golongan mubtadaah ghairu mumayyizah:
- Wanita keluar darah sebanyak 16 hari secara berturut-turut dan sifat darah yang dilihat adalah sama iaitu berwarna merah. Selepas melepasi hari ke-15 dia perlu mandi wajib dan dihukumkan haidnya selama 24 jam sahaja. Manakala baki 15 hari berikutnya adalah istihadah[7].
- Wanita melihat darah keluar buat pertama kali iaitu hari pertama adalah darah hitam, diikuti darah merah selama 14 hari dan kemudiannya berakhir dengan darah hitam secara berterusan melebihi 15 hari. Ibnu Hajar al-Haitami menyatakan haidnya pada bulan itu adalah sehari semalam kerana wanita tersebut telah menyalahi syarat tamyiz iaitu darah lemah kurang daripada 15 hari dan berada di tengah-tengah antara dua darah kuat serta darah kuat kedua berterusan melebihi 15 hari[8].
- Wanita keluar darah selama 31 hari iaitu 15 hari darah merah dan diikuti 16 hari darah hitam. Imam al-Ramli menjelaskan bahawa ketika darah merah keluar, wanita perlu menahan diri daripada solat dan berpuasa kerana sangkaannya darah akan berhenti sebelum 15 hari. Namun, pada hari ke-16 darah bertukar kepada warna hitam dan wanita tersebut juga perlu menahan dirinya daripada solat dan puasa kerana berkemungkinan darah hitam akan terputus sebelum melebihi sebanyak-banyak haid (15 hari). Jika darah hitam berhenti, maka haidnya adalah darah hitam dan istihadah adalah darah merah sebelumnya. Namun sangkaannya meleset apabila darah hitam melebihi 15 hari, jadilah haidnya dirujuk kembali pada hari pertama sahaja (darah merah)[9].
Berbeza pula hukumnya dalam situasi seorang wanita keluar darah merah selama 15 hari diikuti darah hitam 3 hari. Justeru, dalam keadaan ini haid wanita adalah pada hari ke-16 sehingga 18 sahaja kerana mereka tidak lagi termasuk dalam golongan mustahadah ghairu mumayyizah bahkan merupakan permasalahan mustahadah mumayyizah. Hal ini kerana syarat tamyiz telah dipenuhi iaitu darah lemah keluar secara berturutan selama 15 hari, dan darah kuat tidak melebihi tempoh 15 hari serta mencapai had minimum haid. Sila rujuk pautan ini : https://www.muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/5643-irsyad-al-fatwa-siri-ke-770-mustahadah-golongan-pertama-mubtadaah-mumayyizah
Namun, mereka juga perlu menahan diri daripada solat dan puasa kerana menurut sangkaan awal bahawa darah merah akan berhenti pada hari ke-15.
Kesimpulan
Gambaran kedua dalam permasalahan wanita istihadah adalah golongan mubtadaah ghairu mumayyizah. Mereka merupakan wanita yang baru pertama kali didatangi darah dalam keadaan darahnya melepasi had maksimum haid (15 hari) serta ia tidak mampu membezakan sifat darah mengikut syarat-syarat tamyiz. Hukum darahnya adalah mengambil kira tempoh sehari semalam (24 jam) adalah waktu haid dan baki harinya (29 hari) adalah waktu istihadah.
Wallahu A'lam.
Rujukan:
[1] Al-Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1. Hlm 286.
ثم شرع في المستحاضة الثانية وهي والمبتدأة غير المميزة، فقال )أو( كانت من جاوز دمها أكثر الحيض )مبتدأة لا مميزة بأن رأته بصفة( واحدة ) أو) رأته بصفات مختلفة، لكن(فقدت شرط تمييز) من شروطه السابقة، فإن لم تعرف وقت ابتداء دمها فكمتحيرة
[2] Abd Rahman al-Saqqaf. Al-Ibanah wa al-Ifadhah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadah. Hlm 72.
ولها صورتان :
الأولى : بأن ترى الدم بصفة واحدة : كأن تراه أسود فقط أو أحمر فقط.
الثانية: بأن تراه بأكثر من صفة ولكنها فقدت شرطا من شروط التمييز
[3] Al-Nawawi, Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf. Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. Ed: Iwadh Qasim Ahmad Iwadh. (t.tt: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 20.
[4] Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tabaah al-Munirah, 1344H). Jld 2. Hlm 398.
لأن الغالب أن الدور ثلاثون فإذا ثبت للحيض يوم وليلة تعين الباقي للطهر ولأن الرد إلى يوم وليلة في الحيض إنما كان للاحتياط فالاحتياط في الطهر أن يكون باقي الشهر.
[5] Abd Rahman al-Saqqaf. Al-Ibanah wa al-Ifadhah fi Ahkam al-Haid wa al-Nifas wa al-Istihadah. Hlm 72.
والدليل على ذلك : أن اليوم والليلة هو الحيض المتيقن, وما زاد مشكوك فيف, فلا يحكم بأنه حيض غلا بيقين مثله.
[6] Abu Zakaria Muhyiddin bin Syaraf al-Nawawi. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tabaah al-Munirah, 1344H). Jld 2. Hlm 401.
قال أصحابنا رحمهم الله إذا رأت المبتدأة الدم في أول أمرها أمسكت عن الصوم والصلاة وغيرهما مما تمسك عنه الحائض رجاء أن ينقطع على خمسة عشر يوما فما دونها فيكون كله حيضا فإذا استمر وجاوز الخمسة عشر علمنا أنها مستحاضة وفي مردها القولان فإذا استمر بها الدم في الشهر الثاني وجب عليها الغسل عند انقضاء المرد وهو يوم وليلة أو ست أو سبع ولا تمسك إلى آخر الخمسة عشر لأنا علمنا بالشهر الأول أنها مستحاضة فالظاهر أن حالها في هذا الشهر كحالها في الأول وهكذا حكم الشهر الثالث وما بعده ومتى انقطع الدم في بعض الشهور لخمسة عشر فما دونها تبينا أن جميع الدم في ذلك الشهر حيض.
[7] Ibnu Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad bin Ali. Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. (t.tp: al-Maktabah al-Islamiyyah, t.tt). Jld 1. Hlm 89.
من رأت خمسة عشر ونصف يوم دما أحمر، فتكون غير مميزة كالأولى فتحيض يوما وليلة من أوله فعدم الخلاف فيها
[8] Ibnu Hajar al-Haitami, Ahmad bin Muhammad bin Ali. Al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra. (t.tp: al-Maktabah al-Islamiyyah, t.tt). Jld 1. Hlm 105.
من رأت يوما وليلة أسود، ثم أربعة عشر أحمر ثم أسود بأنها غير مميزة فتحيض يوما وليلة وتطهر بقية الشهر فتحيض يوما وليلة وتطهر بقية الشهر
من اشتراط أن لا ينقص الضعيف عن أقل الطهر أنها غير مميزة
[9] Syamsuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-Abbas Ahmad bin Hamzah Syihabuddin. Nihayah al- Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984). Jld 1. Hlm 344.
ولو رأت المبتدأة خمسة عشر حمرة ثم خمسة عشر سوادا تركت الصوم والصلاة في جميع المدة المذكورة. أما في الخمسة عشر الأولى فلأنها كانت ترجو الانقطاع. وأما الثانية فلأن السواد تبين أن ما قبله استحاضة، فلو زاد السواد على خمسة عشر فلا تمييز فترد من أول الحمرة إلى يوم وليلة ويكون ابتداء دورها الحادي والثلاثين