Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanya, apakah hukum kita memberi infak barangan yang tidak elok seperti makanan yang hampir basi atau pakaian yang koyak rabak? Mohon pandangan Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Hukum memberi infak barangan yang tidak elok adalah makruh. Sekiranya barangan yang ingin diinfakkan itu tidak elok malah sudah basi, tidak boleh dimanfaatkan lagi atau sebagainya, maka haram hukumnya kerana ia merupakan suatu bentuk kezaliman dan penganiayaan ke atas orang lain. Sebaliknya, Allah SWT menyuruh umat-Nya agar berinfaq dengan sesuatu yang baik lagi elok.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Akhirat.
Pada dasarnya, memberikan infak atau sumbangan kepada orang lain merupakan suatu perbuatan sunnah yang amat dituntut dan dianjurkan dalam Islam[1]. Betapa banyak dalil daripada nas al-Quran dan juga hadis nabi yang menyatakan anjuran dan kelebihan berinfaq pada jalan Allah. Sebagaimana yang dinyatakan melalui salah satu ayat al-Quran, Allah SWT berfirman:
وَمَثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ وَتَثْبِيتًا مِّنْ أَنفُسِهِمْ كَمَثَلِ جَنَّةٍ بِرَبْوَةٍ أَصَابَهَا وَابِلٌ فَآتَتْ أُكُلَهَا ضِعْفَيْنِ فَإِن لَّمْ يُصِبْهَا وَابِلٌ فَطَلٌّ ۗ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ ﴿٢٦٥﴾
Maksudnya: “Dan bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan kerana meneguhkan (iman dan perasaan ikhlas) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.”
Surah al-Baqarah (265)
Al-Syirbini menukilkan bahawa sunat berinfak dengan sesuatu yang baik dan disukai. Hal ini kerana perkara tersebut dapat menambahkan ganjaran pahala dan melembutkan hati[2]. Firman Allah SWT:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّهَ بِهِ عَلِيمٌ ﴿٩٢﴾
Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
Surah Ali ‘Imran (92)
Seterusnya, beliau turut mengulas bahawa hukum menginfakkan barangan yang tidak elok adalah makruh yakni amalan tersebut tidak diganjari dengan sebarang pahala[3]. Hal ini jelas berdasarkan kepada firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ وَلَا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنفِقُونَ وَلَسْتُم بِآخِذِيهِ إِلَّا أَن تُغْمِضُوا فِيهِ ۚ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ ﴿٢٦٧﴾
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu. Dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya (lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat), padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu (kalau diberikan kepada kamu), kecuali dengan memejamkan mata padanya. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.”
Surah al-Baqarah (267)
Dr Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa ayat ini merupakan suruhan agar berinfak dengan harta atau sesuatu yang baik tidak kira ia berbentuk wang tunai, binatang ternakan, hasil tanaman, barangan perniagaan dan sebagainya. Begitu juga, Allah SWT melarang daripada berinfak dengan sesuatu yang sudah rosak, kotor ataupun keji[4].
Hal ini kerana, sebagaimana sabdaan Nabi SAW:
أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّ اللهَ طَيِّبٌ لَا يَقْبَلُ إِلَّا طَيِّبًا
Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, sesungguhnya Allah itu Maha Baik, Dia tidak akan menerima kecuali yang baik-baik sahaja.”
Riwayat Muslim (1015)
Al-Jurjani menukilkan dalam kitab Nazm al-Quran bahawa sebahagian orang berkata lafaz ‘منه تنفقون’ (daripadanya kamu dermakan) dan pada masa yang sama kamu tidak akan mengambilnya apabila ia disuakan kepada kamu seolah-olah suatu bentuk cemuhan dan juga penghinaan kepada orang ramai[5].
Bukan itu sahaja, sekiranya barangan yang ingin diinfakkan itu tidak elok malah sudah basi, tidak boleh dimanfaatkan lagi atau sebagainya, maka haram hukumnya kerana ia merupakan suatu bentuk kezaliman dan penganiayaan ke atas orang lain, dan perkara ini jelas sebagaimana yang disabdakan Nabi SAW dalam sebuah hadis qudsi, Allah SWT berfirman:
يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي، وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا، فَلَا تَظَالَمُوا...
Maksudnya: “Wahai hamba-hamba-Ku, sesungguhnya Aku haramkan kezaliman ada pada diriku, dan aku jadikan kezaliman itu juga haram bagi kamu semua, maka janganlah kamu semua saling berlaku zalim…”
Riwayat Muslim (2577)
Berwaspadalah dengan doa orang yang dizalimi. Nabi SAW telah bersabda:
اتَّقِ دَعْوَةَ المَظْلُومِ، فَإِنَّهَا لَيْسَ بَيْنَهَا وَبَيْنَ اللَّهِ حِجَابٌ
Maksudnya: “Takutilah doa orang yang dizalimi kerana tidak ada penghalang antara doanya dengan Allah SWT.”
Riwayat al-Tirmizi (2014)
Kesimpulannya, hukum memberi infak barangan yang tidak elok adalah makruh. Sekiranya barangan yang ingin diinfakkan itu tidak elok malah sudah basi, tidak boleh dimanfaatkan lagi atau sebagainya, maka haram hukumnya kerana ia merupakan suatu bentuk kezaliman dan penganiayaan ke atas orang lain. Sebaliknya, Allah SWT menyuruh umat-Nya agar berinfak dengan sesuatu yang baik lagi elok. Wallahu A‘lam.
Rujukan:
[1] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj Ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H/1994M), 4/194.
[فَصْلٌ فِي صَدَقَةِ التَّطَوُّعِ]
وَهِيَ الْمُرَادَةُ عِنْدَ الْإِطْلَاق غَالِبًا (صَدَقَةُ التَّطَوُّعِ سُنَّةٌ) لِلْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ
[2] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 4/196.
وَيُسَنُّ أَنْ تَكُونَ الصَّدَقَةُ مِمَّا يُحِبُّ لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {لَنْ تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ} [آل عمران: 92] وَأَنْ يَدْفَعَهَا بِبَشَاشَةٍ وَطِيبِ نَفْسٍ لِمَا فِيهِ مِنْ تَكْثِيرِ الْأَجْرِ وَجَبْرِ الْقَلْبِ.
[3] Al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, 4/196.
وَتُكْرَهُ الصَّدَقَةُ بِالرَّدِيءِ لِقَوْلِهِ تَعَالَى: {وَلا تَيَمَّمُوا الْخَبِيثَ مِنْهُ تُنْفِقُونَ} [البقرة: 267] فَإِنْ لَمْ يَجِدْ غَيْرَهُ فَلَا كَرَاهَةَ، وَبِمَا فِيهِ شُبْهَةٌ لِخَبَرِ مُسْلِمٍ السَّابِقِ أَوَّلَ الْبَابِ،.
[4] Wahbah bin Mustafa al-Zuhaili, al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari‘ah wa al-Manhaj, (Damsyik: Dar al-Fikr al-Mu‘asir, cetakan ke-2, 1418H), 3/59.
يا من اتصفتم بالإيمان آمركم أن تنفقوا الطيب الجيد من الأموال، سواء أكان نقودا أم ماشية أم حبوبا وزروعا أم سلعا تجارية وغيرها، كالمعادن والكنوز والركاز (دفين الجاهلية) ، كقوله تعالى لَنْ تَنالُوا الْبِرَّ حَتَّى تُنْفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ [آل عمران 3/ 92] وأنهاكم أن تقصدوا إلى الخبيث الرديء من أموالكم، فتنفقونه، فإن الله طيب لا يقبل إلا طيبا، ولا يقبل ما تكرهه نفوسكم.
[5] Syamsuddin al-Qurtubi, al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, Tahkik: Ahmad al-Burduni & Ibrahim Atfisy, (Kaherah: Dar al-Kutub al-Misriyyah, cetakan ke-2, 1384H/1964M), 3/326.
الثَّامِنَةُ- قَوْلُهُ تَعَالَى: (مِنْهُ تُنْفِقُونَ) قَالَ الْجُرْجَانِيُّ فِي كِتَابِ" نَظْمِ الْقُرْآنِ": قَالَ فَرِيقٌ مِنَ النَّاسِ: إِنَّ الْكَلَامَ تَمَّ فِي قَوْلِهِ تَعَالَى" الْخَبِيثَ" ثُمَّ ابْتَدَأَ خَبَرًا آخَرَ فِي وَصْفِ الْخَبِيثِ فَقَالَ:" مِنْهُ تُنْفِقُونَ" وَأَنْتُمْ لَا تَأْخُذُونَهُ إِلَّا إِذَا أَغْمَضْتُمْ أَيْ تَسَاهَلْتُمْ، كَأَنَّ هَذَا الْمَعْنَى عِتَابٌ لِلنَّاسِ وَتَقْرِيعٌ.