Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-808: MANA YANG PERLU DIDAHULUKAN IBU DAN BAPA ATAU SUAMI?

MANAKAH_YANG_PERLU_DIDAHULUKAN_IBU_DAN_BAPA_ATAU_SUAMI.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk mufti. Situasi saya ayah meminta anaknya mendengar arahan beliau, sedangkan anaknya sudah bersuami yang perlu dijaga hati dan meminta izin. Siapa yang perlu saya ikut? Ayah kata biar putus dengan suami jangan dengan mak bapak. Macam mana hukumnya dan mana perlu dipilih?

 

Ringkasan Jawapan:

Seorang wanita yang telah berkahwin wajib mentaati suaminya tanpa membelakangkan ibu dan bapanya. Namun jika dia terpaksa memilih antara ketaatan kepada suami atau ibu dan bapa maka dia wajib mendahulukan suaminya selagi mana arahan suami tidak mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bapa.

Jika arahan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bapa seperti isteri tidak dibenarkan untuk memberi bantuan kewangan kepada ibu dan bapanya yang miskin dalam keadaan dia mampu atau tidak dibenarkan untuk menjaga ibu dan bapa yang sakit kritikal sedangkan tiada orang lain yang boleh menggantikannya maka dalam keadaan ini isteri boleh untuk tidak mentaati suaminya.

Huraian Jawapan:

Seorang anak wajib untuk menghormati kepada ibu dan bapanya. Menyakiti hati ibu dan bapa merupakan salah satu dari bentuk dosa besar yang dilarang dalam agama. Walau bagaimanapun apabila seorang wanita itu telah berkahwin maka dia wajib untuk mentaati suaminya. Sabda Nabi SAW:

إذا صلَّت المرأةُ خمسَها، وصامت شهرها، وحَصَّنت فرجَها، وأطاعت زَوجها، قيل لها: ادخُلي الجنَّة من أيِّ أبواب الجنَّة شئت

Maksudnya: “Apabila seorang wanita itu melakukan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, memelihara kemaluannya (dari melakukan zina atau lainnya), mentaati suaminya maka akan dikatakan padanya (di hari kiamat): Masuklah ke dalam syurga dari mana-mana pintu yang kamu kehendaki.”

Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda:

لو كنت آمرا أحدا أن يسجد لأحد لأمرت المرأة أن تسجد لزوجها.

Maksudnya: “Seandainya aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seseorang yang lain nescaya aku akan menyuruh seorang wanita untuk sujud kepada suaminya.”

(Riwayat Ibn Majah)

Jika seseorang dapat menghimpunkan antara ketaatan suami dan ketaatan kepada ibu bapa maka dia wajib melakukannya. Mentaati suami tidak bermakna membelakangkan ibu dan bapa. Sekalipun seseorang itu telah berkahwin dia masih perlu untuk menghormati dan berbuat baik kepada ibu dan bapanya. Hal ini sesuai dengan firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا

Maksudnya: “Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

Surah al-Isra’ (23)

Namun jika dia perlu mentaati salah seorang dari keduanya maka dia perlu mendahulukan suami berbanding ibu dan bapa kerana hak seorang suami melebihi dari orang lain termasuk ibu dan bapa. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah RA, Nabi SAW bersabda:

سَأَلْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم: أَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الْمَرْأَةِ ؟ قَالَ: ” زَوْجُهَا “، قُلْتُ: فَأَيُّ النَّاسِ أَعْظَمُ حَقًّا عَلَى الرَّجُلِ؟ قَالَ:” أُمُّه

Maksudnya: “Aku bertanya kepada Nabi SAW: “Siapakah orang yang paling berhak atas seorang isteri?” Baginda bersabda, “Suaminya.” Aku bertanya lagi, “Lalu siapakah orang yang paling berhak atas seorang lelaki?” Baginda bersabda, “Ibunya.”

(Riwayat al-Hakim)

Imam Ibn Taimiyyah pula dalam kitab al-Fatawa berkata:

المرأة إذا تزوجت، كان زوجها أملك بها من أبويها

Maksudnya:Seorang wanita jika telah berkahwin maka suaminya lebih berhak ke atasnya berbanding kedua ibu dan bapanya[1].

Seorang wanita yang telah berkahwin wajib mentaati suaminya tanpa membelakangkan ibu dan bapanya. Namun jika dia terpaksa memilih antara ketaatan kepada suami atau ibu dan bapa maka dia wajib mendahulukan suaminya selagi mana arahan suami tidak mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bapa.

Jika arahan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bapa seperti isteri tidak dibenarkan untuk memberi bantuan kewangan kepada ibu dan bapanya yang miskin dalam keadaan si isteri mampu atau tidak dibenarkan untuk menjaga ibu dan bapa yang sakit kritikal sedangkan tiada orang lain yang boleh menggantikannya maka dalam keadaan ini isteri boleh untuk tidak mentaati suaminya. Arahan suami yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bapa menyalahi perintah Allah SWT yang menyuruh seorang anak sama ada lelaki atau perempuan untuk berbuat bakti dan melayani kedua ibu dan bapa dengan baik.

Imam al-Sa’ani ketika menjelaskan berkenaan kewajipan mengutamakan suami berbanding ibu dan bapa beliau berkata:

وَلَعَلَّ مِثْلَ هَذَا مَخْصُوصٌ بِمَا إذَا حَصَلَ التَّضَرُّرُ لِلْوَالِدَيْنِ فَإِنَّهُ يُقَدَّمُ حَقُّهُمَا عَلَى حَقِّ الزَّوْجِ جَمْعًا بَيْنَ الْأَحَادِيثِ.

Maksudnya: “Kemungkinan mengutamakan ketaatan kepada suami berbanding ibu bapa adalah khusus (jika tidak mendatangkan kemudaratan kepada ibu dan bapa.) Namun Jika tidak, maka hak ibu dan bapa hendaklah diutamakan berbanding hak suami bagi mengharmonikan antara hadis-hadis yang saling berkait[2]

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Ibn Taimiyyah, Fatawa al-Kubra, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah (1987), jld. 32, hlm. 261.

[2] al-Sa’ani, Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, Qahirah: Dar al-Hadis (1997), jld. 4, hlm. 633,