Soalan:
Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum menjual beli haiwan yang haram dimakan? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.
Jawapan Ringkas
Hukum jual beli binatang yang haram dimakan adalah sah sekiranya terdapat manfaat lain seperti digunakan untuk tujuan perubatan, berburu, mengawal harta benda, dan dijadikan tunggangan, selama mana ia tidak menyalahi syarat sah jual beli yang lain. Sekiranya binatang itu tidak melepasi syarat sah jual beli iaitu tidak suci seperti babi dan anjing, tidak boleh dimanfaatkan seperti binatang buas dan binatang perosak, tidak dapat diserahkan kepada pembeli seperti burung yang terbang bebas dan tidak diketahui kondisinya, maka jual beli menjadi haram dan tidak sah.
Huraian
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Sebagaimana maklum, perbuatan jual beli pada asalnya adalah harus selagi mana ia tidak mempunyai unsur-unsur yang bertentangan dengan syariat Islam. Dalam melakukan transaksi jual beli, terdapat beberapa rukun tertentu dan setiap rukun mempunyai syarat-syaratnya yang wajib ditepati agar akad yang dilakukan itu sah di sisi syarak. Sekiranya salah satu rukun dan syarat jual beli itu tidak dipenuhi, maka terbatal dan tidak sah akad jual beli.
Antara rukun jual beli ialah al-ma’qud alaih atau barang jualan. Islam mensyaratkan lima perkara bagi barang jualan untuk menjadikan jualan itu sah[1]:
- Hendaklah barang itu suci dan bukan najis.
- Hendaklah barang itu bermanfaat.
- Hendaklah barang itu boleh diserahkan kepada pembeli.
- Hendaklah barang itu dimiliki oleh penjual.
- Hendaklah diketahui jenis, kadar dan sifatnya oleh pembeli dan penjual.
Berdasarkan syarat-syarat ini, telah jelas bahawa barangan yang ingin diperjualbelikan wajib mempunyai manfaat atau boleh dimanfaatkan mengikut syarak. Merujuk kepada persoalan, binatang yang haram dimakan semestinya tidak dapat dimanfaatkan melalui pemakanan. Namun begitu, manfaat tidak terhad kepada pemakanan sahaja, bahkan terdapat binatang yang dimanfaatkan untuk tujuan perubatan, berburu, memetik buah dan sebagainya.
Menurut Imam al-Syafi’i, setiap binatang buas yang tiada manfaat padanya seperti helang, burung hering, gagak putih dan kesemua binatang yang tidak halal dimakan dan tidak boleh digunakan untuk berburu seperti tikus, adalah haram dijual beli sama ada dalam keadaan hidup atau sudah mati dan tidak dikenakan bayaran ganti rugi ke atas orang yang membunuhnya[2].
Imam al-Syirazi berkata:
ما لا منفعة فيه فهو كالحشرات والسباع التي لا تصلح للاصطياد والطيور التي لا تؤكل ولا تصطاد كالرخمة والحدأة وما يؤكل من الغراب فلا يجوز بيعه لأن ما لا منفعة فيه لا قيمة له فأخذ العوض عنه من أكل المال بالباطل
Maksudnya: “Sesuatu yang tiada manfaat padanya seperti serangga, binatang buas yang tidak boleh digunakan untuk berburu, burung yang tidak halal dimakan dan tidak dapat digunakan untuk berburu seperti burung hering Mesir, helang, dan jenis burung gagak yang tidak boleh dimakan, maka haram diperniagakan. Hal ini kerana sesuatu yang tiada manfaat adalah tidak bernilai. Justeru, mengambil hasil jualan daripadanya termasuk dalam memakan harta secara batil.”[3]
Menurut Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir, binatang yang suci terbahagi kepada dua kategori[4]:
- Binatang yang halal dimakan. Jual beli binatang dalam kategori ini adalah dibenarkan sama ada ia hidup ataupun telah disembelih. Namun begitu, sekiranya binatang tersebut menjadi bangkai yang tidak disembelih, maka hukum jual belinya adalah haram kecuali pada hidupan laut dan belalang.
- Binatang yang tidak halal dimakan. Ia terbahagi kepada dua jenis:
- Binatang yang boleh dimanfaatkan seperti baghal, keldai, harimau bintang, harimau yang boleh dilatih berburu dan seumpamanya. Hukum jual beli binatang seperti ini adalah harus dijual beli ketika ia masih hidup namun haram sekiranya sudah mati.
- Binatang yang tiada manfaat seperti ular, kala jengking, serangga perosak, binatang yang melata dan binatang-binatang buas atau liar. Menjual beli binatang jenis ini adalah tidak dibenarkan malah hasil pendapatan juga menjadi tidak sah kerana tiada sebarang manfaat padanya seperti tidak dapat dilatih, diajar membuat sesuatu, tidak dapat dijadikan tunggangan dan sebagainya.
Selain itu, Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa burung yang boleh dimakan dagingnya seperti merpati atau puyuh dan yang dijual beli kerana keistimewaan warna dan bunyinya seperti burung merak dan burung starling, adalah termasuk dalam kategori binatang yang boleh dimanfaatkan dan sah diperniagakan[5]. Begitu juga sah jual beli binatang dengan tujuan memanfaatkan kulitnya namun hanya dibenarkan setelah ia mati dan bukan semasa hidup[6].
Terdapat juga binatang yang memberi manfaat selainnya seperti lebah yang diambil madunya, lintah untuk tujuan perubatan (menghisap darah orang yang sakit) dan juga cengkerik untuk memancing ikan.
Kesimpulannya, hukum jual beli binatang yang haram dimakan adalah sah sekiranya terdapat manfaat lain padanya seperti digunakan untuk tujuan perubatan, berburu, mengawal harta benda, dijadikan tunggangan, membuat sesuatu kerja dan berseronok dengan keindahan warna dan bunyinya selama mana ia tidak menyalahi syarat sah jual beli yang lain. Sekiranya binatang itu tidak melepasi syarat sah jual beli iaitu tidak suci seperti babi dan anjing, tidak boleh dimanfaatkan, tidak dapat diserahkan kepada pembeli seperti burung yang terbang bebas dan tidak diketahui kondisinya, maka jual beli menjadi haram dan tidak sah.
Wallahua’lam
Rujukan:
[1] Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaf, al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Buyu’, (Riyadh: Dar al-Mirath al-Nabawi, 1, 1434H – 2013M), 14
Rujuk: Abdul Aziz bin Juned, Isu-isu Kewangan 2, (Seri Begawan: Brunei Press, 1, 2022M), 4
[2] Muhammad bin Idris al-Syafi’i, al-Umm, (Beirut: Dar al-Fikr, 2, 1403H – 1973M), 3:12
وكل ما لا منفعة فيه من وحش مثل الحدأة والرخمة والبغاثة وما لا يصيد من الطير الذي لا يؤكل لحمه ومثل اللحكة والقطا والخنافس وما أشبه هذا فأرى والله تعالى أعلم أن لا يجوز شراؤه ولا بيعه بدين ولا غيره، ولا يكون على أحد لو حبسه رجل عنده فقتله رجل له قيمة وكذلك الفأر والجرذان والوزغان؛ لأنه لا معنى للمنفعة فيه حيا ولا مذبوحا ولا ميتا فإذا اشترى هذا أشبه أن يكون أكل المال بالباطل
[3] Ibrahim bin Ali bin Yusuf al-Syirazi, al-Muhazzab fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, (Beirut: Dar Kutub al-Ilmiah), 2:11
[4] Ali bin Muhammad al-Mawardi, al-Hawi al-Kabir, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1, 1419H – 1999M), 5: 382
الطاهر فضربان: مأكول وغير مأكول. فأما المأكول فيجوز بيعه حيا ومذبوحا، ولا يجوز بيعه ميتا إلا الحوت والجراد. وأما غير المأكول: فضربان: منتفع به وغير منتفع به. فما كان منتفعا به كالبغل والحمار والفهد والنمر فبيعه حيا جائز، ولا يجوز بيعه غير حي.
وأما غير المنتفع به فضربان: أحدهما: ما لا يرجى نفعه أبدا كالسبع والذئب والحية والعقرب وسائر الهوام والحشرات فبيعه باطل لأن بيعه مع عدم المنفعة فيه من أكل المال بالباطل.
[5] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudah al-Talibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, 3, 1416H – 1991M), 3: 352
والحيوان الطاهر، ضربان: ضرب ينتفع به، فيجوز بيعه، كالنعم، والخيل، والبغال، والحمير، والظباء، والغزلان. ومن الجوارح، كالصقور، والبزاة، والفهد. ومن الطير، كالحمام، والعصفور، والعقاب. وما ينتفع بلونه كالطاووس، أو صوته كالزرزور.
[6] Ibid, 3:353
يجوز لغرض جلده إذا مات