Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-812: PENJELASAN HUKUM CASH-OUT KREDIT eMADANI

PENJELASAN_HUKUM_CASH-OUT_KREDIT_eMADANI.jpg

Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Apakah hukum mengenakan caj untuk servis mengeluarkan e-Madani yang bernilai RM100 ke akaun bank. Selain itu, adakah pengeluaran e-Mdani itu sendiri dibenarkan syarak? Saya beranggapan bahawa kebanyakan belia melakukan sedemikian secara illegal kerana terdapat terma dan syarat yang tidak membenarkan cash-out. Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Mengenakan caj perkhidmatan bagi pertukaran eMADANI kepada bentuk tunai atau pemindahan ke bank simpanan adalah termasuk dalam perbuatan riba yang diharamkan syarak. Hasil caj perkhidmatan yang dikenakan daripada pertukaran ini merupakan wang tidak patuh syariah yang haram digunakan. Oleh itu, nilai tambahan yang diperoleh wajib dikembalikan kepada pemiliknya. Sekiranya harta tersebut tidak dapat dikenalpasti pemiliknya, maka wajib disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal.

Selain itu, perbuatan cash-out ini juga dikira menyalahi terma dan syarat yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Keredaan si pemberi adalah berdasarkan syarat yang ditentukan. Sekiranya syarat tersebut dilanggar, maka hilang reda atas pemberian tersebut dan mengakibatkan pemberian itu tidak sah mahupun terbatal kerana berlaku tanpa keredaan. Perbuatan ini juga dianggap melanggar undang-undang yang mana perkara tersebut ditegah syarak tidak kira transaksi itu melibatkan riba atau tidak.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Program e-Madani merupakan satu inisiatif kerajaan yang telah diumumkan di bawah kerangka ‘Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat’. Program ini adalah kesinambungan kepada kejayaan program e-dompet Kerajaan sebelum ini dan mempunyai objektif tiga serampang untuk memangkin pendapatan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS), menggalakkan pembayaran tanpa tunai (cashless) dan memanfaatkan rakyat.

Program ini dijangka memanfaatkan lebih 10 juta rakyat Malaysia yang berkelayakan melalui tawaran kredit eMADANI bernilai RM100 yang boleh digunakan bagi pembelian secara fizikal melalui penyedia perkhidmatan e-dompet yang terpilih.

Kerajaan telah mengumumkan bahawa tempoh pendaftaran serta tuntutan eMADANI hanya boleh dibuat sekali bagi setiap pemohon yang layak, mulai jam 8.00 pagi, 4 Disember 2023  hingga 11.59 malam, 20 Februari 2024, manakala kredit eMADANI serta manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-dompet terlibat boleh dibelanjakan sehingga 11.59 malam, 29 Februari 2024[1]. Baki wang pemberian yang tidak digunakan akan luput secara automatik daripada e-dompet pemohon selepas tarikh tersebut.

Penerima boleh menggunakan kredit RM100 eMADANI untuk sebarang transaksi secara fizikal di 1.8 juta peruncit/perniagaan melalui e-dompet pilihan mereka namun terdapat beberapa penetapan dan pengecualian padanya antaranya termasuklah pemindahan ‘peer-to-peer’ atau penebusan tunai[2].

Konsep Pemberian yang Terikat dengan Syarat (Taklik al-Hibah bi Syart)

Mengulas sedikit berkenaan perihal meletakkan atau mengikat sesuatu pemberian dengan syarat, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA bahawasanya

Rasulullah SAW bersabda:

لَوْ قَدْ جَاءَ مَالُ الْبَحْرَيْنِ قَدْ أَعْطَيْتُكَ هَكَذَا وَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Jika wang jizyah dari Bahrain telah datang, aku akan memberikan kamu sejumlah wang.”

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW pernah meletakkan syarat dalam pemberian.

Ibn ‘Abidin dalam Hasyiahnya berkata:

امرأة تركت مهرها للزوج على أن يحج بها، فلم يحج بها قال محمد بن مقاتل: إنها تعود بمهرها؛ لأن الرضا بالهبة كان بشرط العوض، فإذا انعدم العوض انعدم الرضا، والهبة لا تصح بدون الرضا

Maksudnya: “Seorang wanita memberi maharnya kepada suaminya dengan syarat dia mengerjakan haji bersamanya, akan tetapi suaminya tidak melakukannya. Muhammad bin Muqatil berkata: Dia harus mengambil kembali maharnya. Hal ini kerana keredaan atau persetujuan untuk memberi hadiah tersebut adalah berdasarkan syarat balasan tertentu. Jika tiada balasan itu, maka tiadalah reda ke atas pemberian itu. Pemberian hadiah adalah tidak sah sekiranya berlaku tanpa keredaan dan persetujuan[3].”

Oleh yang demikian, perbuatan cash-out atau penebusan kredit eMADANI adalah menyalahi terma dan syarat yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan, maka ia mengakibatkan pemberian itu tidak sah mahupun terbatal kerana hilang keredaan si pemberi.

Selain itu, isu penebusan kredit eMADANI ini juga boleh terkait dengan elemen riba yang sudah jelas diharamkan oleh syarak. Terdapat sesetengah pihak yang mencari inisiatif untuk mengeluarkan kredit eMADANI daripada aplikasi e-dompet secara tunai atau memindahkannya ke dalam akaun simpanan bank supaya wang pemberian itu dapat dikendalikan secara bebas tanpa terikat dengan tarikh luput dan perniagaan runcit tertentu.

Antara cara yang dilakukan adalah dengan menggunakan perkhidmatan pertukaran wang eMADANI yang ditawarkan di media sosial dan lain-lain. Penerima bantuan memindahkan wang yang dikreditkan dalam e-dompetnya kepada e-dompet penyedia perkhidmatan, kemudian wang tersebut akan dikreditkan ke akaun simpanan bank si penerima atau diberikan secara tunai. Namun begitu, terdapat caj perkhidmatan yang dikenakan oleh penyedia perkhidmatan yang statusnya diragui masyarakat.

Konsep Riba

Riba terhasil dalam transaksi melibatkan barangan ribawi yang tidak memenuhi syarat pertukaran yang ditetapkan syarak. Menurut mazhab Syafi‘i, barangan ribawi adalah sebarang bentuk nilai mata wang dan makanan[4]. Ia merangkumi mata wang secara tunai mahupun digital selagi mana mempunyai nilai yang diiktiraf masyarakat dan undang-undang.

Barangan ribawi yang sama kategori (mata wang atau makanan) dan sama jenis seperti Ringgit Malaysia dengan Ringgit Malaysia, adalah wajib ditukar dengan kadar yang sama dan wajib dilakukan secara lani (on the spot).

Manakala barangan ribawi yang sama kategori dan tidak sama jenis seperti Ringgit Malaysia dengan Dolar Amerika, dibenarkan berbeza kadar namun wajib dilakukan secara on the spot.

Berikut merupakan penjelasan berkenaan kategori riba yang mungkin berlaku dalam urusan pertukaran atau penebusan kredit eMADANI berserta contoh situasinya:

  1. Riba al-Fadhl: Riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantiti sedangkan kedua-duanya daripada jenis item yang sama[5].

Ali ingin memindahkan RM 100 dalam e-dompetnya ke akaun simpanan bank. Duit tersebut tidak boleh dikreditkan kepada mana-mana pemilik e-dompet yang lain, namun ia boleh dibayar kepada pemilik akaun e-dompet bisnes. Oleh itu, Ali melakukan cash-out dengan bantuan Ahmad yang mempunyai akaun e-dompet bisnes, seolah-olah membeli barang daripada Ahmad tetapi digantikan semula duitnya masuk ke akaun simpanan bank. Ahmad mensyaratkan caj perkhidmatan sebanyak RM 5 bagi transaksi pertukaran tersebut. Ali kemudiannya memindahkan RM 100 ke e-dompet Ahmad dan menerima RM 95 yang ditolak caj perkhidmatan ke akaun banknya.

Transaksi ini termasuk dalam riba al-fadhl kerana nilai yang ditukar adalah berbeza walaupun caj perkhidmatan yang dikenakan itu diredai kedua belah pihak.

  1. Riba al-Nasi’ah: Riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan caj tambahan[6].

Ali memindahkan RM 100 daripada e-dompetnya kepada Ahmad. Pada keesokan harinya, Ahmad menyerahkan tunai sebanyak RM 100 kepada Ali.

Walaupun transaksi ini dilakukan secara sama kadar dan kuantiti, ia termasuk dalam kategori riba al-nasi’ah kerana pertukaran tersebut tidak dilakukan secara on the spot (lani).

Hasil caj perkhidmatan yang dikenakan daripada pertukaran ini merupakan wang tidak patuh syariah yang haram digunakan. Oleh itu, nilai tambahan yang diperoleh wajib dikembalikan kepada pemiliknya. Sekiranya harta tersebut tidak dapat dikenalpasti pemiliknya, maka wajib disalurkan kepada badan kebajikan atau baitulmal.

Walau bagaimanapun, transaksi pertukaran ini tidak dianggap riba sekiranya:

Ali memindahkan RM 100 ke e-dompet Ahmad dan menerima RM 100 di akaun banknya daripada Ahmad. Kemudian Ali memberi saguhati sebanyak RM 5 kepada Ahmad.

Konsep Mentaati Pemerintah

Seterusnya, program eMADANI ini merupakan suatu pemberian daripada kerajaan yang disertai terma dan syarat. Sebagaimana maklum, pihak kerajaan telah pun melarang sebarang kegiatan penebusan duit eMADANI daripada aplikasi e-dompet atas maslahat tertentu seperti mengelakkan penyalahgunaan wang bantuan, membantu perniagaan runcit, mengelakkan daripada berlakunya penipuan dan sebagainya.

Maka kami tegaskan, mentaati pemerintah dan mematuhi undang-undang merupakan salah satu perkara yang dituntut oleh syarak. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُم

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah, taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah kepada) ulil amri (para pemimpin) dari kalangan kamu.”

Surah al-Nisa’ (59)

Selain itu, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ حَقٌّ، مَا لَمْ يُؤْمَرْ بِالْمَعْصِيَةِ، فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

Maksudnya: “Dengar dan taat (kepada pemerintah) itu merupakan suatu perkara yang hak (kemestian), selama mana mereka tidak memerintahkan kepada maksiat. Apabila mereka (pemerintah) mengarahkan kepada maksiat maka tidak wajib dengar dan taat pada arahan tersebut.”

(Riwayat al-Bukhari)

 

Kesimpulan

i.          Oleh yang demikian, sekiranya pemerintah mengeluarkan sebarang arahan atau larangan yang merupakan suatu kebaikan serta mendatangkan maslahat kepada rakyat, sama ada arahan tersebut disukai atau tidak, tambahan ia bukan perkara maksiat maka ia wajib dipatuhi.

ii.         Ini bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyatakan:

تَصَرُّفُ الإمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَة

Maksudnya: “Urus tadbir pemerintah ke atas rakyat hendaklah terikat dengan maslahah.”

iii.        Justeru, mengingkari arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan merupakan satu perbuatan yang bercanggah dengan syarak.

Wallahu A‘lam

 

Rujukan: 

[1] Lihat: https://manfaat.mof.gov.my/individu/emadani, laman web diakses pada 6/12/2023.

[2] Lihat: https://manfaat.mof.gov.my/eMADANI, laman web diakses pada 6/12/2023.

[3] Ibn ‘Abidin, Hasyiah Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, (Beirut: Dar al-Fikr, cetakan 2, 1966M) 5/710

[4] Abu Muhammad al-Husain bin Muhammad bin al-Farra’ al-Baghawi, al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, Tahqiq: ‘Adil Ahmad Abd al-Maujud (Dar al-Kutub al-Ilmiah, cetakan 1, 1418H – 1998M) 3:334-335

فذهب الشافعي - رضي الله عنه -إلى أن العلة في الدراهم والدنانير النقدية العامة، وكونهما ثمنين للأشياء غالبا، ولا يقاس غيرهما عليهما؛ كما اختص بهما تقويم المتلفات. والعلة في الأشياء الأربعة الطعم؛ فأثبت الربا في جميع المطعومات

[5] ربا الفضل: وهو البيع مع زيادة أحد العوضين عن الآخر أي أن الزيادة مجردة عن التأخير. وهو لا يكون إلا في بدلين متحدي الجنس

Lihat: Wahbah bin Mustofa al-Zuhaili, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu (Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ke-4, t.t) 5/703

[6] ربا النسيئة: وهو البيع لأجل أي البيع نسيئة إلى أجل ثم الزيادة عند حلول الأجل، وعدم قضاء الثمن في مقابلة الأجل، أي أن الزيادة في أحد البدلين من غير عوض في مقابلة تأخير الدفع، سواء من جنس واحد أم جنسين مختلفين، وسواء أكانا متساويين أم متفاضلين

Ibid, 5/704