Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-814: HUKUM BERPAKAIAN GANJIL

HUKUM_BERPAKAIAN_GANJIL.jpg

 

SOALAN

Saya melihat trend majlis-majlis berprestij yang dihadiri oleh sebahagian artis dan orang kenamaaan yang mana tetamu akan hadir dan memperagakan pelbagai fesyen terkini. Namun, terdapat pihak yang cuba menampilkan pakaian yang dianggap “pelik” daripada adat kebiasaan (‘urf) setempat dan semasa walaupun kelihatan menutup aurat. Persoalannya, apakah hukum memakai pakaian sedemikian? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan

Berpakaian ganjil dan pelik termasuk dalam larangan pakaian syuhrah (kemasyhuran) kerana menampilkan perbezaan yang begitu ketara dengan pakaian manusia lain. Perbuatan menonjolkan pakaian pelik dari adat kebiasaan setempat dan semasa yang mampu meraih pandangan manusia lain boleh menyebabkan timbul perasaan ujub dan bangga diri dalam diri pemakai.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah SWT, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, kepada ahli keluarga Baginda, para sahabat, serta golongan yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW sehingga hari kiamat.

Salah satu antara rahmat yang Allah SWT kurniakan kepada hamba-hambaNya adalah dengan menjadikan bahan-bahan untuk dibuat pakaian yang menutup aurat agar manusia terlindung daripada teriknya panas, kesejukan mahupun sesuatu yang berbahaya. Hal ini kerana pakaian juga termasuk dalam kategori keperluan asas manusia bagi mengekalkan kelangsungan hidup . [1] Ini berdasarkan dalil al-Quran, Allah SWT berfirman:

يَا بَنِي آدَمَ قَدْ أَنزَلْنَا عَلَيْكُمْ لِبَاسًا يُوَارِي سَوْآتِكُمْ وَرِيشًا ۖ وَلِبَاسُ التَّقْوَىٰ ذَٰلِكَ خَيْرٌ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لَعَلَّهُمْ يَذَّكَّرُونَ ‎﴿٢٦﴾

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya”

Surah Al-A’raf (26)

Berdasarkan ayat di atas, terdapat tiga jenis pakaian yang disebut oleh Allah SWT. Kalimah “اللباس” merujuk pada pakaian asas untuk menutup aurat. Manakala, kalimah “الريش” ialah sesuatu yang dipakai untuk menampakkan kecantikan dari segi luarannya. Sementara, pakaian taqwa yang dimaksudkan secara majazi (kiasan) ialah amal soleh menurut Ibnu Abbas.[2]

Islam tidak menetapkan jenama rasmi bagi pakaian individu muslim. Hal Ini menunjukkan bahawa agama memberi keluasan dan kelonggaran dalam menggayakan pakaian mengikut adat setempat sekalipun untuk tujuan berfesyen. Namun, pakaian masyarakat Melayu seperti baju kurung, baju melayu dan seumpamanya yang menjadi pakaian adat kebiasaan setempat dan semasa mestilah menepati ciri-ciri pakaian yang selari kehendak syarak.

Seseorang yang berpakaian pelik atau berlebih-lebihan dalam berpakaian boleh menimbulkan rasa angkuh dan bangga diri. Rasulullah SAW melarang kita daripada memakai pakaian yang niat semata-mata untuk meraih kemasyhuran. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَن لَبِسَ ثوبَ شُهرةٍ في الدُّنيا، ألْبَسَهُ اللهُ ثوبَ مَذلَّةٍ يومَ القيامةِ

Maksudnya : “Siapa yang memakai pakaian syuhrah di dunia maka Allah SWT akan memakaikan kepadanya pakaian kehinaan pada hari kiamat.”

(Riwayat Ibn Majah dan Abu Daud)

Pakaian syuhrah ialah pakaian kemasyhuran untuk tujuan dikenali dalam kalangan manusia sama ada pakaian tersebut bernilai dan mahal harganya sehingga orang yang memakainya tampak gah dengan dunia dan perhiasannya, lalu menimbulkan rasa keangkuhan dan bermegah-megah terhadap manusia lain. Begitu juga, seseorang yang mengenakan pakaian yang buruk agar dirinya kelihatan kewarakan serta zuhudnya dan boleh menimbulkan sifat riyak[3]. Oleh itu, larangan hadis tersebut terhadap apa- apa pakaian pelik dan ganjil sama ada mahal atau murah, namun ia boleh menarik perhatian manusia hingga timbul   rasa angkuh pada diri pemakai.

Ibn Al-Athir mendefinisikan pakaian syuhrah sebagai sejenis pakaian yang menampilkan perbezaan yang begitu ketara dengan pakaian manusia lain daripada sudut warnanya atau bentuknya. Perbuatan menggayakan pakaian ini juga mampu mengalihkan pandangan manusia lain agar tertumpu kepada dirinya sehingga menimbulkan perasaan ujub dan takbur dalam diri pemakai.  [4] 

Sekalipun memakai pakaian tersebut tidak menimbulkan perasaan riyak pada pemakai, namun perbuatan yang menuju kepada terbitnya perasaan bangga diri adalah ditegah bersesuaian dengan satu kaedah fiqh iaitu:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: “Apa sahaja yang membawa kepada yang haram, maka ia haram.”

Berdasarkan kaedah sadd al-zarai’, perbuatan memakai pakaian syuhrah seperti ini perlu dicegah kerana ia boleh membawa kepada yang haram.

Terdapat ancaman terhadap sesiapa yang bersikap sombong dan takbur walau sebesar zarah berdasarkan riwayat Ibn Mas’ud RA bahawa Baginda SAW bersabda:

‏"‏لاَ يَدْخُلُ الْجَنَّةَ مَنْ كَانَ فِي قَلْبِهِ مِثْقَالُ ذَرَّةٍ مِنْ كِبْرٍ "‏‏.‏ قَالَ رَجُلٌ إِنَّ الرَّجُلَ يُحِبُّ أَنْ يَكُونَ ثَوْبُهُ حَسَنًا وَنَعْلُهُ حَسَنَةً ‏.‏ قَالَ ‏ "إِنَّ اللَّهَ جَمِيلٌ يُحِبُّ الْجَمَالَ الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ‏"‏ ‏.‏

Maksudnya: “Tidak akan masuk syurga bagi seseorang yang ada sifat sombong di dalam hatinya walau sebesar zarah”. Kemudian, seorang lelaki bertanya: “Wahai Rasulullah SAW, ada seorang lelaki yang suka apabila pakaiannya cantik dan sandalnya juga cantik”. Maka Baginda menjawab: “Sesungguhnya Allah SWT maha cantik dan mencintai kecantikan, sesungguhnya kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain”.

(Riwayat Muslim)

Sheikh Musa Syahin menyatakan bahawa kesombongan itu wujud bukanlah disebabkan semata-mata seseorang itu mengenakan pakaian yang cantik atau ketika dia memperindah imej atau penampilannya. Akan tetapi, larangannya timbul ketika mana seseorang menyertakan perasaan ujub dan angkuh apabila dia mengenakan pakaian berkenaan[5].

Kesimpulan

Menonjolkan pakaian yang ganjil dengan niat meraih kemasyhuran adalah dilarang. Pakaian tersebut boleh meraih perhatian bagi setiap mata yang memandang kerana pakaian yang terlalu ketara perbezaannya daripada ‘uruf kebiasaan masyarakat setempat. Walaupun pakaian ganjil itu menutup aurat, ia tetap dilarang tidak kiralah sama ada mahal atau murah.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Zuhaili, Tafsir al-Wasit Li Az-Zuhaili (Damsyik: Dar al-Fikr, 1422 h) 1/645.

اتقاء الحر والبرد من أجلّ النعم على البشرية، وإنزال اللباس: معناه الخلق والإيجاد للخليقة، وهذا من فضل الله على عباده إذ حماهم بإيجاد الألبسة والأمتعة من السوء والتعرض للمتاعب والمخاطر، وهذا من ضرورات المعيشة والرخاء في الدنيا

[2] Ibn Kathir, Tafsir al-Quran al-Azim (Bayrut : Dar al-Kutub Ilmiyah, 1419 h) 3/359.

فاللباس ستر العورات وهي السوآت، والرياش والريش مَا يُتَجَمَّلُ بِهِ ظَاهِرًا، فَالْأَوَّلُ مِنَ الضَّرُورِيَّاتِ والريش من التكملات ابْنِ عَبَّاسٍ [رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: {وَلِبَاسُ التَّقْوَى} ] (1) الْعَمَلُ الصَّالِحُ

[3] Sunan Abu Daud (Beirut: Maktabah al-‘Asriyah)2/ 1192)

(ثوب شهرة) أي ثوب يقصد به الاشتهار بين الناس. سواء كان الثوب نفيسا يلبسه تفاخرا بالدنيا وزينتها أو خسيسا يلبسه إظهارا للزهد والرياء. (ثوب مذلة) من إضافة السبب إلى المسبب. أو بيانية تشبيها للمذلة بالثوب في الاشتمال

[4] 'Aun al-Ma'bud Wa Hasyiah Ibn AL -Qayyim, (Beirut: Dar al-Kutub Ilmiyah, 1415 h) 11/50  

(مَنْ لبس ثوب شهرة) قال بن الْأَثِيرِ الشُّهْرَةُ ظُهُورُ الشَّيْءِ وَالْمُرَادُ أَنَّ ثَوْبَهُ يَشْتَهِرُ بَيْنَ النَّاسِ لِمُخَالَفَةِ لَوْنِهِ لِأَلْوَانِ ثِيَابِهِمْ فَيَرْفَعُ النَّاسُ إِلَيْهِ أَبْصَارَهَمْ وَيَخْتَالُ عَلَيْهِمْ بِالْعُجْبِ وَالتَّكَبُّرِ كَذَا فِي النَّيْلِ (ثَوْبًا مِثْلَهُ) أَيْ في شهرته بين الناس

[5] Musa Syahin Lasyin. Fath al-Mun’im Syarh Sahih Muslim. (t.tp: Dar al-Syuruq, 2002). Jld 1 hlm 303.

وليس من قبيل الكبر لبس الجميل من الثياب، وتحسين الهيئة والصورة، ما لم يصحبه عجب في النفس، وخيلاء في الإحساس والشعور