Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-817: HUKUM MAKAN PERWARNA DARIPADA SERANGGA (COCHINEAL) DALAM PRODUK MAKANAN DAN MINUMAN

HUKUM_MAKAN_PERWARNA_DARIPADA_SERANGGA_COCHINEAL_DALAM_PRODUK_MAKANAN_DAN_MINUMAN.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum. Kumbang halus (cochineal) menjadi penyumbang pewarna merah semulajadi dalam industri pembuatan fabrik, produk makanan dan minuman. Bahan mentah daripada sumber tersebut sekiranya digunakan oleh pihak industri, maka ia perlu diperjelaskan hukum penggunaannya sebagai bahan makanan.  Mohon pencerahan SS Mufti. 

Ringkasan Jawapan:

Penggunaan bahan pewarna yang diperolehi daripada serangga kumbang (cochineal) bagi tujuan makanan mahupun minuman adalah tidak dibenarkan berdasarkan pandangan jumhur fuqaha yang mengharamkan makan serangga disebabkan kategori jijik  (الخبائث) . Hal ini kerana apa-apa yang terhasil daripada serangga adalah haram dimakan kecuali belalang berdasarkan pandangan mazhab syafie, mazhab hanafi dan mazhab hanbali.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Kumbang (Cochineal)

Kumbang cochineal ialah serangga bersisik yang berbadan lembut, rata, berbentuk bujur, tanpa sayap, kira-kira 5 mm (0.20 in) panjang dan berkelompok pada kaktus. Cochineal serangga boleh mengeluarkan pewarna semula jadi (carmine). Asid carminic, biasanya 17–24% daripada berat serangga kering, boleh diekstrak daripada badan dan telur, kemudian dicampur dengan garam aluminium atau kalsium untuk membuat pewarna carmine, yang dikenali sebagai cochineal. Hari ini, carmine digunakan terutamanya sebagai pewarna dalam makanan dan produk gincu.[1]

Cochineal digunakan untuk menghasilkan warna merah, merah, oren, dan warna lain. Cochineal telah digantikan hampir keseluruhannya dengan pewarna sintetik, tetapi ia terus digunakan terutamanya sebagai agen pewarna dalam kosmetik dan minuman.[2] Pewarna ini telah digunakan berabad-abad yang lepas. [3]

Definisi al-Hasyarat menurut Fuqaha

Kamus al-Mujam al-wasith mendefinisikan al-hasyarah seerti dengan hammah iaitu kutu-kutu bumi seperti kumbang. [4]

Al-Syirbini mendefinisikan serangga (al-Hasyarat) ialah haiwan kecil bumi yang melata, kutu kecil dan satunya serangga yang sifatnya mengganggu. [5] Sebahagian berpandangan kutu bumi yang tidak mempunyai racun. [6] Definisi al-Hasyarat menurut ahli bahasa ialah haiwan kecil yang melata di bumi.[7]

Status Hukum Makan Serangga Menurut Mazhab

Jumhur para ulama yang terdiri daripada Syafi‘i[8], Abu Ḥanifah dan Aḥmad Ḥanbal berpendapat bahawa segala haiwan yang tergolong dalam kategori al-Hasyarat haram dimakan. Ia merupakan kategori haiwan yang melata di bumi seperti lalat, nyamuk, tebuan, pacat, kumbang, tikus, ular, kalajengking, penyengat, lipas, lipan dan seumpamanya. Hal ini kerana jumhur sepakat menyatakan al-Hasyarat termasuk perkara yang menjijikkan (al-Khabaith) berdasarkan perbahasan fuqaha mazhab berikut :

  1. Mazhab Syafie :

Imam Syafi‘i   mengharamkan makan serangga berdasarkan hujah dalil tersebut :

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk (jijik)”

Surah al- A’raf (157)

Hujah pengharaman haiwan kecil yang melata (hasyarat) disebabkan cita rasa jijik berdasarkan surah al-A’raf (157). Lafaz (الخبائث) ditentukan oleh citarasa jijik bangsa Arab (istikhbath al-Arab). Imam al-Nawawi menyatakan haram memakan serangga bumi seperti ular, kalajengking, tikus, kumbang,lipas, labah-labah, cicak, kumbang, cacing.[9]Al-hasyarat” (haiwan kecil yang melata) dianggap haiwan yang menjijikkan berdasarkan kenyataan berikut :

وَأَمَّا الْحَشَرَاتُ فَكُلُّهَا مُسْتَخْبَثَةٌ وَكُلُّهَا مُحَرَّمَةٌ

Kelompok haiwan kecil yang melata (al-hasyarat) menjijikkan (buruk) dan haram semuanya.[10]

Fuqaha mazhab Syafi‘i juga turut berhujah mengharamkan makan serangga berdasarkan anjuran membunuh beberapa kelompok al-hasyarat melalui hadis yang daripada Saidina Aisyah RA, Nabi SAW pernah bersabda : [11]

خمسٌ فواسقٌ يُقتلْنَ في الحرمِ : الفارةُ ، والعقربُ ، والغرابُ ، والحُدَيَّا ،والكلبُ العقورُ .

Maksudnya:Lima jenis binatang fasiq yang boleh dibunuh walaupun di tanah haram iaitu tikus, kalajengking burung gagak, burung helang, dan anjing liar

Riwayat Bukhari

Haiwan tersebut yang dianjurkan membunuh menunjukkan hukum haram makan haiwan fawāsiq. [12]

Selain lima haiwan fasiq tersebut, Ummu Syarik juga telah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW   telah memerintahkan untuk membunuh cicak seperti hadis tersebut:

عن عامر بن سعد عن أبيه أنَّ النبيَّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ أمر بقتلِ الوزَغِ . وسمَّاه فُوَيسِقًا

Maksudnya: "Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW mengarahkan membunuh cicak kerana ia dikategori sebagai haiwan perosak”.    

Riwayat Bukhari

Terdapat juga riwayat lain yang menunjukkan larangan membunuh beberapa haiwan serangga. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan dari Ibn Abbas, beliau berkata:

عن قَتلِ أربَعٍ مِنَ الدَّوابِّ : النَّملةِ ، والنَّحلَةِ، والهُدهُدِ ، والصُّرَدِ

Maksudnya : Nabi Muhammad SAW telah melarang daripada membunuh empat jenis haiwan iaitu semut, lebah, burung hud-hud dan burung kelabu gunung.”

Abu Daud

Jumhur ulama berpendapat haram memakan haiwan tersebut. Hal ini disebabkan Nabi SAW melarang membunuh haiwan tersebut menunjukkan hukum haram makan empat jenis haiwan tersebut. Sekiranya haiwan tersebut halal dimakan nescaya tiada larangan membunuh haiwan tersebut. [13]

  1. Mazhab Hanafi:

Menurut Imam al-Kasani daripada Mazhab Hanafi mengharamkan makan serangga:

وَالزُّنْبُورِ وَالذُّبَابِ وَالْعَنْكَبُوتِ وَالْعَضَّابَةِ وَالْخُنْفُسَاءِ وَالْعَقْرَبِ وَنَحْوِهَا لَا يَحِلُّ أَكْلُهُ إلَّا الْجَرَادَ خَاصَّةً؛ لِأَنَّهَا مِنْ الْخَبَائِثِ لِاسْتِبْعَادِ الطِّبَاعِ السَّلِيمَةِ إيَّاهَا

tebuan, lalat, labah-labah, kumbang, kala jengking dan sebagainya tidak halal dimakan kecuali belalang. Hal ini kerana kelompok serangga tersebut termasuk dalam kategori jijik oleh citarasa kebiasaan manusia”.

Pengharaman serangga berdasarkan dalil surah Al-A’raf ayat 157. [14]

  1. Mazhab Hanbali

Menurut Bahauddin al-Muqaddasi mengharamkan serangga dalam bab makanan: [15]

(ويحرم كل ما يستخبث من الحشرات) كالديدان والجعلان وبنات وردان والخنافس والفأر والأوزاغ والحرباء والعظاء والجراذين والعقارب والحيات لقوله{وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ} [الأعراف: 157] وهذه من الخبائث

Maksudnya: “Haram semua yang menjijikan dari kategori haiwan al-hasyarat seperti cacing, kumbang hitam, tikus, cicak, sesumpah, cicak, tikus, kala jengking dan ular

Fuqaha mazhab Hanbali menyatakan   serangga termasuk kategori perkara yang jijik serta pengharamannya berdasarkan dalil surah Al-A’raf ayat 157. [16]

Oleh yang demikian, pendapat jumhur fuqaha Hanafi, Syafi’i, Hanbali mengharamkan makan serangga yang melata dibumi berdasarkan hujah ayat pengharaman citarasa jijik dalam surah Al-‘Araf (157).

Keputusan Fatwa Berkaitan Penggunaan Serangga Dalam Makanan

Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-142 yang bersidang pada 11 – 13 Julai 2023M telah membincangkan perkara berkenaan Cadangan Hukum Penggunaan Serbuk Cengkerik Sebagai Makanan Sumber Protein. Fatwanya adalah seperti yang berikut:

Penggunaan cengkerik sebagai bahan makanan adalah haram berdasarkan pandangan jumhur fuqaha.

Kesimpulan

Berdasarkan hujah yang dibentangkan, jumhur fuqaha Hanafi, Syafi‘i , Hanbali kecuali Maliki mengharamkan makan serangga yang melata di bumi. Oleh yang demikian, penggunaan bahan pewarna merah (carmine) yang diperolehi daripada serangga kumbang (cochineal) bagi tujuan makanan mahupun minuman adalah tidak dibenarkan berdasarkan pandangan jumhur fuqaha yang mengharamkan makan serangga disebabkan kategori jijik ( الخبائث). Sementara, keputusan fatwa berkenaan hukum penggunaan cengkerik sebagai bahan makanan adalah haram.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1] https://en.wikipedia.org/wiki/Cochineal

[2] https://www.britannica.com/technology/cochineal

[3] https://www.smithsonianmag.com/innovation/scientists-are-making-cochineal-a-red-dye-from-bugs-in-the-lab-180979828/

[4]https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/%D8%AD%D8%B4%D8%B1%D8%A7%D8%AA/?c=%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B9%D8%AC%D9%85%20%D8%A7%D9%84%D9%88%D8%B3%D9%8A%D8%B7

الحَشَرة : الهامّة من هوامّ الأرض كالخنافس.
و الحَشَرة (عند علماء الحيوان) : كل كائن من شعبة المَفْصِليّات له ثلاثة أَزواج من الأَرجل، ويقطع في تحوّله ثلاثة أَطوار:(بيضة الحَشَرة حورية الحَشَرة صُرصور) ، أو أربعة أطوار:(بيضة الحَشَرة يَرَقانة الحَشَرة خادرة الحَشَرة فَراشة) . والجمع حشرات 

[5] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 6 p:153

لَا تَحِلُّ (حَشَرَاتٌ) بِفَتْحِ الشِّينِ الْمُعْجَمَةِ صِغَارُ دَوَابِّ الْأَرْضِ، وَصِغَارُ هَوَامِّهَا الْوَاحِدَةُ حَشَرَةٌ بِالتَّحْرِيكِ (كَخُنْفُسَاءَ

[6] Al-Mausu’ah Fiqhiyah Kuwaitiyyah (17/ 278)

وَقِيل الْحَشَرَاتُ: هَوَامُّ الأْرْضِ مِمَّا لاَ سُمَّ لَهُ قَال الأْصْمَعِيُّ: الْحَشَرَاتُ وَالأْحْرَاشُ

[7] Sodiq Yasin, Kamal. 2007. Ahkam Al-Hasharat Fi Fiqh Al-Islami. Riyadh: Maktabah al-Rusd.

تعريف الحشرات عند اللغويين : خلاصة تعريفهم للحشرات هي :صغار دواب الأرض»

[8]

Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, (Kaherah: Idarah al-Tiba‘ah al-Muniriyyah, 1347H), 9:16.

مَذْهَبُنَا أَنَّهَا حَرَامٌ وَبِهِ قَالَ أَبُو حَنِيفَةَ وَأَحْمَدُ وَدَاوُد وَقَالَ مَالِكٌ حَلَالٌ

[9] Ibid

وَاحْتَجَّ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ بقوله تعالى (ويحرم عليهم الخبائث) وَهَذَا مِمَّا يَسْتَخْبِثُهُ الْعَرَبُ

فِي مَذَاهِبِ الْعُلَمَاءِ فِي حَشَرَاتِ الْأَرْضِ كَالْحَيَّاتِ وَالْعَقَارِبِ وَالْجِعْلَانِ وَبَنَاتِ وَرْدَانَ والفار وَنَحْوِهَا

المجموع شرح فِي مَذَاهِبِ الْعُلَمَاءِ فِي حَشَرَاتِ الْأَرْضِ كَالْحَيَّاتِ وَالْعَقَارِبِ وَالْجِعْلَانِ وَبَنَاتِ وَرْدَانَ والفار وَنَحْوِهَا

المجموع شرح المهذب (9/ 13)

ولا يحل أكل حشرات الارض كالحيات والعقارب والفار والخنافس والعظاء والصراصير والعناكب والوزغ وسام أبرص والجعلان والديدان وبنات وردان وحمار قبان لقوله تعالى (يحرم عليهم الخبائث)

فكل هذا حرام ويحرم النمل والذر والفار والذباب والخنفساء والقراد والجعلان وبنات وردان وحمارقان والديدان* *

المجموع شرح المهذب (9/ 19)

حشرات الطير كالنحل والزنبور والذباب لقوله تعالى (ويحرم عليهم الخبائث) وهذه من الخبائث

يَحْرُمُ حَشَرَاتُ الطَّيْرِ كَالنَّحْلِ وَالزَّنَابِيرِ وَالذُّبَابِ وَالْبَعُوضِ وَشَبَهِهَا لِمَا ذَكَرَهُ الْمُصَنِّفُ (الْخَامِسَةُ) يَحِلُّ أَكْلُ الْجَرَادِ بِلَا خِلَافٍ لِلْحَدِيث

[10] Ibid

[11] Ibid

وَاحْتَجَّ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ بقوله تعالى (ويحرم عليهم الخبائث) وَهَذَا مِمَّا يَسْتَخْبِثُهُ الْعَرَبُ وَبِقَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ (خَمْسٌ

مِنْ الدَّوَابِّ كُلُّهُنَّ فَاسِقٌ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْغُرَابُ وَالْحِدَأَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْفَأْرَةُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ) رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ عَنْ أُمِّ شَرِيكٍ (أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَ بِقَتْلِ الْأَوْزَاغِ) رَوَاهُ الْبُخَارِي

[12]Abu Zakaria Muhyiddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, (Beirut: Dar Ihya’ Turat al-Arabi (8/ 114)

مَا يَكُونُ فِي مَعْنَاهُنَّ فَقَالَ الشَّافِعِيُّ الْمَعْنَى فِي جَوَازِ قَتْلِهِنَّ كَوْنُهُنَّ مِمَّا لَا يؤكل

[13] Sa'ani, Muḥammad Ibn Isma'il, Subul al-Salam ( Daral-Hadis. tth) J: 2/ P511

قَالَ الْبَيْهَقِيُّ: هُوَ أَقْوَى مَا وَرَدَ فِي هَذَا الْبَابِ وَفِيهِ دَلِيلٌ عَلَى تَحْرِيمِ قَتْلِ مَا ذُكِرَ وَيُؤْخَذُ مِنْهُ تَحْرِيمُ أَكْلِهَا لِأَنَّهُ لَوْ حَلَّ لَمَا نَهَى عَنْ الْقَتْلِ وَتَقَدَّمَ لَنَا فِي هَذَا الِاسْتِدْلَالِ بَحْثٌ. وَتَحْرِيمُ أَكْلِهَا رَأْيُ الْجَمَاهِيرِ وَفِي كُلِّ وَاحِدَةٍ خِلَافٌ إلَّا النَّمْلَةُ فَالظَّاهِرُ أَنَّ تَحْرِيمَهَا إجْمَاعٌ.

[14] Abu Bakar bin Mas‘ud al-Kasani, Badai’ al-Sanai’ fi Tartib al-Syarai’, (Mesir: Syarikat al-Matbu‘at al-Ilmiyyah, 1327H), 5:36.

وَقَدْ قَالَ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى {وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ} [الأعراف: 157] إلَّا أَنَّ الْجَرَادَ خُصَّ مِنْ هَذِهِ الْجُمْلَةِ بِقَوْلِهِ - عَلَيْهِ الصَّلَاةُ وَالسَّلَامُ - «أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ» فَبَقِيَ عَلَى ظَاهِرِ الْعُمُومِ.

[15] Abdul Rahman bin Ibrahim al-Madisi, Al-‘Uddah Syarh al-‘Umdah, (Kaherah: Dar al-Hadith, 2003M/1424H), 487.

كتاب الأطعمة

وما يستخبث من الحشرات : (ويحرم كل ما يستخبث من الحشرات)

[16]

{وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ} [الأعراف: 157] وهذه من الخبائث، وقال - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: «خمس يقتلن في الحل والحرم: الغراب والفأرة والعقرب والحدأة والكلب العقور»