Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-818: HUKUM ORANG ISLAM MENYERTAI CHRISTMAS CAROLLING

HUKUM_ORANG_ISLAM_MENYERTAI_CHRISTMAS_CAROLLING.jpg

 

Soalan:

Soalan saya, mohon pencerahan, bagi memeriahkan Krismas kepada para pengunjung hospital bolehkah kami menghiburkan penghuni wad dengan persembahan Christmas Carolling sempena sambutan Hari Krismas?

Ringkasan Jawapan:

Pada dasarnya Islam tidak mengharamkan hiburan selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak dan tidak mengandungi unsur keagamaan agama lain. Oleh itu, hukum menyertai Christmas Carolling adalah haram kerana lirik lagu-lagunya yang mengandungi unsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak. Umat Islam hendaklah menjauhi upacara-upacara keagamaan agama lain sama ada dalam bentuk nyanyian atau lainnya.

Huraian Jawapan:

Christmas Carolling bermaksud lagu yang bertemakan Krismas, kebiasaannya ia dinyanyikan pada hari Krismas. Istilah noel kadang kala digunakan terutamanya bagi lagu-lagu karol yang berasal dari Perancis[1]. Lagu-lagu ini mula diketahui pada abad ke-4 namun lagu Krismas dalam bahasa Inggeris muncul pada tahun 1426 dalam penulisan John Awdlay yang telah menulis 25 lagu “caroles of Cristemas”. Hari ini lagu-lagu Christmas Carolling masih lagi mengandungi unsur-unsur keagamaan kristian seperti lagu yang bertajuk A Bone God Wot[2].

Secara asasnya hukum nyanyian adalah diharuskan selagi mana ia tidak berunsur pemujaan dan galakan minum arak, pergaulan bebas tanpa batas, lirik yang menyanggahi syariat dan akidah Islam serta melalaikan pendengar dan pengamal muzik daripada tanggungjawab dan kewajipan agama. Mengenai hukum nyanyian kami telah bincangkan dengan panjang lebar dalam artikel bertajuk: Bayan Linnas Siri Ke-197: Islam Dan Muzik. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah RA, dia berkata:

أَنَّهَا زَفَّتِ امْرَأَةً إِلَى رَجُلٍ مِنَ الأَنْصَارِ فَقَالَ نَبِيُّ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ "‏ يَا عَائِشَةُ مَا كَانَ مَعَكُمْ لَهْوٌ فَإِنَّ الأَنْصَارَ يُعْجِبُهُمُ اللَّهْوُ

Maksudnya‘Aisyah RA mempersiapkan seorang wanita untuk dinikahi seorang lelaki. Rasulullah SAW pun bersabda: “Wahai ‘Aisyah, tidak adakah sebarang hiburan dalam majlis perkahwinan ini? Sesungguhnya kaum Ansar amat menyukai hiburan.

(Riwayat al-Bukhari)

Islam tidak menolak hiburan namun ia hendaklah mengikut kepada garis panduan yang ditetapkan oleh syarak. Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqi fi Dhau’ al-Quran wa al-Sunnah meletakan beberapa etika yang mesti dipatuhi dalam hiburan:

  1. Memastikan lirik lagu tidak bercanggah dengan syarak.
  2. Memastikan persembahan yang dilakukan tidak melampau.
  3. Memastikan nyanyian tersebut tidak disertai dengan perkara yang haram.
  4. Tidak berlebih-lebihan[3].

Selain itu, Imam al-Ghazali menjelaskan beberapa faktor yang boleh menyebabkan hukum nyanyian boleh berubah menjadi haram yang antaranya:

فإن كان فيه شيء من الخنا والفحش والهجو أو ما هو كذب على الله تعالى وعلى رسوله صلى الله عليه وسلم أو على الصحابة رضي الله عنهم كما رتبه الروافض في هجاء الصحابة وغيرهم فسماع ذلك حرام بألحان وغير ألحان، والمستمع شريك للقائل .

Maksudnya:Jika ada di dalamnya perkataan yang kotor, keji, cercaan atau penipuan terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya SAW, atau terhadap para sahabat sebagai mana yang dilakukan oleh golongan Rafidhah dalam celaan mereka kepada para sahabat dan selain daripada mereka, maka diharamkan mendengarnya sama ada ia dimelodikan atau tidak. Manakala orang yang mendengarnya juga dikira bersubahat dengan orang yang melantunkannya.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Rabi’ binti Mu’awwiz bahawa Rasulullah SAW menghadiri hari perkahwinan saya, Baginda duduk di atas katil saya seperti mana anda duduk bersama saya. Lalu kanak-kanak dari kalangan hamba kami mula memukul rebana dan menyebutkan keluargaku yang telah terbunuh pada perang Badar sehingga salah seorang daripada mereka berkata: Di antara kami ada seorang Nabi yang mengetahui apa yang akan berlaku hari esok. Maka Nabi SAW bersabda:

دَعِي هَذَا، وَقُولِي مَا كُنْتِ تَقُولِينَ

Maksudnya: “Tinggalkan perkataan tersebut dan katakan selainnya apa yang anda telah katakan.”

(Riwayat Ibn Hibban)

Disebutkan dalam kitab Syarah Masabih al-Sunnah bahawa Nabi SAW melarang perkataan tersebut kerana baginda tidak suka untuk menisbahkan mengetahui perkara ghaib kepada dirinya. Tidak ada yang mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT dan baginda hanya mengetahuinya dari apa diberitahukan oleh Allah SWT[4].

Oleh yang demikian, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam. Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

  1. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.
  2. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama bukan Islam.
  3. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.
  4. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.
  5. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

Kesimpulan

Pada dasarnya Islam tidak mengharamkan hiburan selagi tidak bertentangan dengan hukum syarak dan tidak mengandungi unsur keagamaan agama lain. Oleh itu, hukum menyertai Christmas Carolling adalah haram kerana lirik lagu-lagunya yang mengandungi unsur agama Kristian dan bercanggah dengan syarak.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Oxford English Dictionary. Dicapai pada 1 Disember 2023 dari https://www.oed.com/dictionary/noel_n

[2] David Hebert, Alexis Anja Kallio & Albi Odendaal (2012): Not So Silent Night:Tradition, Transformation and Cultural Understandings of Christmas Music Events in Helsinki,Finland, Ethnomusicology Forum, 21:3, 402-423

[3] Yusuf al-Qaradawi. (2022). Mausuaah al-A’mal al-Kamilah li Samahah al-Imam Yusuf al-Qaradawi, Istanbul: al-Dar al-Syamiyyah, jld. 17, hlm. 227.

[4] Ibn Malak al-Rumi. (2012). Syarah Masabih al-Sunnah, Kuwait: Idarah al-Thaqafah al-Islamiyyah, jld. 3, hlm. 560.

وهذا لكراهته عليه الصلاة والسلام نسبة علم الغيب إليه مطلقا؛ لأنه لا يعلمه كذلك إلا الله، وإنما يعلم الرسول من الغيب ما أخبره الله به