Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-824: ADAKAH AMALAN WANITA BERWANGI-WANGIAN SELEPAS MANDI JUNUB SEBAHAGIAN DARIPADA SUNNAH?

ADAKAH_AMALAN_WANITA_BERWANGI-WANGIAN_SELEPAS_MANDI_JUNUB_SEBAHAGIAN_DARIPADA_SUNNAH.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya ada satu persoalan. Saya pernah terdengar berkenaan amalan wanita menyapu wangi-wangian di bahagian faraj setelah mereka suci daripada haid. Adakah amalan ini termasuk sebahagian daripada sunnah atau semata-mata amalan yang diperturunkan oleh orang-orang terdahulu? Mohon penjelasan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan

Amalan berwangi-wangian selepas wanita suci daripada haid merupakan sebahagian sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ia dilakukan selepas seseorang selesai melaksanakan mandi junub dengan cara menyapukan wangian kasturi pada bahagian faraj. Jika seseorang tidak mendapati wangian kasturi, maka boleh menggantikannya dengan wangian lain atau apa-apa sahaja yang boleh menghilangkan kesan bau darah berkenaan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda Rasulullah SAW hingga ke hari kiamat.

Salah satu antara perkara-perkara yang mewajibkan mandi junub adalah haid; iaitu darah yang keluar daripada perempuan yang genap umurnya sembilan tahun. Rasulullah SAW telah mengajarkan tatacara mandi junub seperti yang diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah RA bahawa beliau berkata:

كَانَ إِذَا اغْتَسَلَ مِنْ الْجَنَابَةِ بَدَأَ فَغَسَلَ يَدَيْهِ ثُمَّ يَتَوَضَّأُ كَمَا يَتَوَضَّأُ لِلصَّلَاةِ ثُمَّ يُدْخِلُ أَصَابِعَهُ فِي الْمَاءِ فَيُخَلِّلُ بِهَا أُصُولَ شَعَرِهِ ثُمَّ يَصُبُّ عَلَى رَأْسِهِ ثَلَاثَ غُرَفٍ بِيَدَيْهِ ثُمَّ يُفِيضُ الْمَاءَ عَلَى جِلْدِهِ كُلِّهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW apabila mandi junub, maka Baginda akan membasuh kedua tangannya kemudian berwuduk sebagaimana wuduk untuk solat.  Seterusnya, Baginda memasukkan jari-jarinya ke dalam air lalu menyelat kulit kepalanya. Kemudian Baginda menyiramkan air ke atas kepalanya dengan kedua telapak tangannya sebanyak tiga kali lalu meratakan air ke seluruh tubuhnya."

(Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan hadis di atas, fardu bagi mandi junub ada dua; iaitu niat sama ada niat mengangkat janabah atau mengharuskan ibadah yang perlu kepadanya atau niat menunaikan fardu mandi junub. Kedua, menyampaikan air kepada segala bulu-bulan dan kulit badan yang zahir. Basuhan pertama anggota badan dilakukan ketika berniat[1].

Seperti mana baginda SAW ada memperjelaskan mengenai sunat-sunatnya yang boleh dilakukan oleh kaum wanita apabila melaksanakan mandi junub setelah suci daripada haid atau nifas. Hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA ketika mana Asma’ RA bertanya kepada Baginda SAW berkaitan hal mandi junub wanita, Nabi SAW bersabda:

 تَأْخُذُ إِحْدَاكُنَّ مَاءَهَا وَسِدْرَتَهَا فَتَطَهَّرُ فَتُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ تَصُبُّ عَلَى رَأْسِهَا فَتَدْلُكُهُ دَلْكًا شَدِيدًا حَتَّى تَبْلُغَ شُئُونَ رَأْسِهَا ثُمَّ تَصُبُّ عَلَيْهَا الْمَاءَ ‏.‏ثُمَّ تَأْخُذُ فِرْصَةً مُمَسَّكَةً فَتَطَهَّرُ بِهَا‏ ‏.‏فَقَالَتْ أَسْمَاءُ وَكَيْفَ تَطَهَّرُ بِهَا فَقَالَ ‏:سُبْحَانَ اللَّهِ تَطَهَّرِينَ بِهَا ‏ ‏.‏فَقَالَتْ عَائِشَةُ :كَأَنَّهَا تُخْفِي ذَلِكَ تَتَبَّعِينَ أَثَرَ الدَّمِ

Maksudnya: “Hendaklah seseorang di antara kamu menggunakan air (yang bercampur) dengan daun bidara lalu membersihkan diri sebaiknya. Kemudian, alirkan ke atas kepala dan menggosokkannya dengan kuat sehingga sampai ke akar rambut. Selepas itu, dia harus mengalirkan air ke atasnya lalu mengambil sekeping kapas yang bercampur dengan kasturi dan membersihkan dirinya dengannya”. Asma' berkata: Bagaimana dia membersihkan diri dengannya? Nabi SAW bersabda: Maha Suci Allah! Dia harus membersihkan diri dengannya. Kemudian, Aisyah berkata dalam nada suara yang rendah :Engkau sapukan kapas itu pada kesan darah.”

(Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi mensyarahkan hadis di atas bahawa antara sunnah yang diajarkan oleh baginda SAW kepada wanita yang melaksanakan mandi junub selepas suci daripada haid adalah mengambil sedikit wangian kasturi yang diletakkan pada kapas, kain perca atau seumpamanya. Kemudian, ia dimasukkan ke dalam faraj setelah selesai mandi junub. Sunnah ini tidak terbatas kepada wanita haid semata-mata bahkan boleh dilakukan oleh wanita nifas kerana wanita nifas mengambil hukum yang sama dengan wanita haid[2].

Khatib al-Syirbini juga menjelaskan, sunnah ini dikecualikan bagi mereka yang berihram dan sedang berada dalam tempoh iddah. Begitu juga dinyatakan oleh al-Zarkasyi yang mana wanita istihadah tidak disunatkan melakukan amalan ini kerana tiada faedah pada perbuatan tersebut. Hal ini kerana, darah istihadah yang keluar daripada faraj menyebabkan anggota tersebut terkena najis dan perlu dibersihkan, justeru tiada manfaat meletakkan wangian padanya[3].

Para ulama berselisih pandangan dalam menetapkan hikmah di sebalik sunnah penggunaan kasturi. Menurut pandangan yang sahih bahawa tujuan dan hikmah penggunaan kasturi pada bahagian faraj adalah untuk mewangikan anggota berkenaan daripada kesan bauan darah dan untuk menghilangkan bau-bau yang tidak menyenangkan. Ini merupakan salah satu pandangan yang dikeluarkan oleh al-Mawardi dari ulama mazhab al-Syafi’i. Walau bagaimanapun, terdapat satu lagi pandangannya yang menyatakan bahawa hikmah penggunaan kasturi adalah untuk mempercepatkan kehamilan wanita. Namun, pandangan tersebut dianggap sebagai pandangan yang lemah dan batil oleh sebahagian ulama[4].

Seterusnya, seorang wanita yang tidak mendapati sebarang kasturi untuk digunakan, maka ia diharuskan untuk berwangi-wangian dengan apa-apa yang lain. Ini seperti mana dinyatakan oleh al-Nawawi[5]:

وتتبع لحيض أثره مسكا. وإلا, فنحوه

Maksudnya: “Perempuan disunatkan untuk memperikutkan(menyapu) kesan haid dengan kasturi. Sekiranya tidak didapati, maka harus menggunakan selain daripadanya (kasturi)”

Jika seseorang tidak mampu mendapatkan kasturi maka dia boleh menggantikannya dengan wangian lain. Jika dia tidak mampu mendapatkan wangian lain maka diharuskan baginya untuk menggunakan apa-apa sahaja yang boleh menghilangkan bau yang tidak menyenangkan, dan jika dia tidak mampu juga maka memadai untuk menggunakan air. Akan tetapi, makruh hukumnya jika dia sengaja meninggalkan amalan berwangi-wangian dalam keadaan dirinya mampu berbuat demikian dan berbeza pula halnya jika seseorang itu benar-benar tidak mampu melaksanakannya[6].

KESIMPULAN

Amalan berwangi-wangian selepas wanita suci daripada haid merupakan sebahagian sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Ia dilakukan selepas seseorang selesai melaksanakan mandi junub dengan cara menyapukan wangian kasturi pada bahagian faraj. Jika seseorang tidak mendapati wangian kasturi, maka boleh menggantikannya dengan wangian lain atau apa-apa sahaja yang boleh menghilangkan kesan bau darah berkenaan.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin fi al-Fiqh. (t.tp: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 14.

وأقله نية رفع جنابة أو استباحة مفتقر إليه أو أداء فرض الغسل مقرونة بأول فرض وتعميم شعره وبشره

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-‘Arabi, 1392H). Jld 4 hlm 13.

 السنة في حق المغتسلة من الحيض أن تأخذ شيئا من مسك فتجعله في قطنة أو خرقة أو نحوها، وتدخلها في فرجها بعد اغتسالها، ويستحب هذا للنفساء أيضا، لأنها في معنى الحائض

[3] Al-Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (t.p: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 1. Hlm 220.

وَتُتْبِعُ( الْمَرْأَةُ غَيْرُ الْمُحْرِمَةِ وَالْمُحِدَّةِ )لِحَيْضٍ( أَوْ نِفَاسٍ، وَلَوْ كَانَتْ خَلِيَّةً أَوْ بِكْرًا )أَثَرَهُ( أَيْ أَثَرَ الدَّمِ )مِسْكًا( فَتَجْعَلُهُ فِي قُطْنَةٍ وَتُدْخِلُهَا الْفَرْجَ بَعْدَ غَسْلِهَا

قَالَ الزَّرْكَشِيُّ: وَالْمُسْتَحَاضَةُ يَنْبَغِي لَهَا أَنْ لَا تَسْتَعْمِلَهُ؛ لِأَنَّهُ يَتَنَجَّسُ بِخُرُوجِ الدَّمِ، فَيَجِبُ غَسْلُهُ فَلَا تَبْقَى فِيهِ فَائِدَةٌ

[4] Ibid.

وَاخْتَلَفَ الْعُلَمَاءُ فِي الْحِكْمَةِ فِي اسْتِعْمَالِ الْمِسْكِ فَالصَّحِيحُ الْمُخْتَارُ الَّذِي قَالَهُ الْجَمَاهِيرُ مِنْ أَصْحَابِنَا وَغَيْرِهِمْ أَنَّ الْمَقْصُودَ بِاسْتِعْمَالِ الْمِسْكِ تَطْيِيبُ الْمَحَلِّ وَدَفْعُ الرَّائِحَةِ الْكَرِيهَةِ.

وَحَكَى أَقْضَى الْقُضَاةِ الْمَاوَرْدِيُّ مِنْ أَصْحَابِنَا وَجْهَيْنِ لِأَصْحَابِنَا أَحَدُهُمَا هَذَا وَالثَّانِي أَنَّ الْمُرَادَ كَوْنُهُ أَسْرَعَ إِلَى عُلُوقِ الْوَلَدِ.

وَأَمَّا قَوْلُ مَنْ قَالَ ان المراد الاسراع في العلوق فضعيف أو باطل

[5] Al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. Minhaj al-Thalibin wa Umdah al-Muftiin fi al-Fiqh. (t.tp: Dar al-Fikr, 2005). Hlm 15.

[6] Musa Syahin Lasyin. Fath al-Mun’im Syarh Sahih Muslim. (t.tp: Dar al-Syuruq, 2002). Jld 2 hlm 343.

فإن لم تجد مسكا فتستعمل أي طيب وجدت، فإن لم تجد طيبا استحب لها استعمال أي شيء مكانه يزيل الكراهة، فإن لم تجد شيئا من هذا فالماء كاف لها، لكن إن تركت التطيب مع التمكن منه كره لها وإن لم تتمكن فلا كراهة في حقها.