Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-842: HUKUM PENGGUNAAN AIR DARI SISA KUMBAHAN TERAWAT

HUKUM_PENGGUNAAN_AIR_DARI_SISA_KUMBAHAN_TERAWAT.jpg

 

Soalan

Tular di media sosial ada sebahagian pihak yang mendakwa bahawa produk air suling yang telah lama dipasarkan di Malaysia sebagai minuman termasuk hukum air mutanajjis kerana terhasil daripada proses rawatan air sisa kumbahan. Mohon pencerahan, bolehkah meminum dan menggunakan air dari sisa kumbahan ini untuk tujuan bersuci (taharah)?

 

Ringkasan Jawapan

Air kumbahan yang telah dirawat dan disingkirkan daripada elemen-elemen najis serta kotoran berdasarkan cara penyucian air mutanajjis yang melebihi dua kolah adalah air mutlak dan suci. Oleh itu, penggunaan air tersebut boleh digunakan untuk bersuci (taharah) mahupun penggunaan harian.

 

Huraian Jawapan:

Air Elemen Penting Dalam Kehidupan Manusia

Air merupakan elemen penting dalam kehidupan. Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh tentang kepentingan dan peranan air sebagai satu medium yang digunakan untuk menyucikan dan menjadi sumber kelangsungan hidup kepada manusia, haiwan dan binatang. Antaranya berdasarkan firman Allah SWT:

وَيُنَزِّلُ عَلَيْكُم مِّنَ السَّمَاءِ مَاءً لِّيُطَهِّرَكُم بِهِ

Maksudnya: Dan (ingatlah ketika) Ia menurunkan kepada kamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengannya

(Surah al-Anfal 8: 11 )

 

Air Kumbahan Terawat

Air kumbahan atau dipanggil influen merupakan campuran antara air dengan najis termasuk hasil perkumuhan daripada manusia seperti tinja dan air kencing manusia. Air sisa kumbahan terdiri daripada gabungan air hitam (sisa kumbahan) dan air kelabu (dari dapur dan bilik mandi), air sisa dari institusi dan pusat komersial termasuk hospital, buangan industri sama ada bahan terlarut atau terampai.

Di Malaysia, pendekatan yang diambil oleh syarikat pembetungan nasional, Indah Water Konsortium (IWK) bagi mengelakkan pencemaran air hasil daripada sisa air kumbahan yang disalurkan dari paip pembentungan ke Loji Rawatan Kumbahan (LRK) adalah dengan merawat sisa air kumbahan tersebut terlebih dahulu melalui beberapa proses :[1]

  1. Secara ringkasnya, proses rawatan ini bermula dengan pra rawatan iaitu proses penyingkiran sampah sarap dan pepejal besar yang terdapat di dalam air kumbahan seperti pasir dan minyak
  2. Seterusnya, air kumbahan tersebut akan melalui proses rawatan kedua iaitu proses sekunder melalui proses penguraian daripada tindakan biologi, proses pengudaraan dan pemendapan.
  3. Proses terakhir selepas proses rawatan sekunder adalah proses pemendapan di tangki “clarifier”. Pepejal yang tertinggal dibiarkan mendap ke bawah tangki dan akan dibawa ke “sludge dewatering machine”. Enapcemar ringan yang terapung akan dikumpul untuk rawatan semula dan dikeringkan untuk diguna sebagai baja atau perapi tanah.[2]

Air kumbahan yang telah dirawat (efluen) dan dipastikan selamat akan disalurkan ke dalam sistem pengairan seperti sungai, parit atau laut. Hal ini kerana tanpa proses rawatan, air kumbahan yang tidak dirawat akan mencemarkan sumber air dan alam sekitar, seterusnya akan menggugat kesihatan awam dan pertumbuhan ekonomi negara.

 

Pembahagian Air Mutanajjis

Air mutanajjis ialah air yang terdapat padanya najis yang dapat dilihat dengan mata.[3] Air mutanajjis ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu[4]:

Pertama: Air yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah. Air ini menjadi najis kerana terjatuh najis ke dalamnya, sekalipun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

Kedua: Air yang banyak, iaitu yang mencukupi dua qullah (bersamaan 500 kati Baghdad atau hampir 217 Liter) atau lebih. Air ini tidak menjadi najis dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis, tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau.

Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar RA:

إذا كان الماء قُلَّتينِ لم يحمل الخَبَث[5]

Maksudnya: Jika air mencapai dua qullah, maka ia tidak menanggung najis lagi.

(Riwayat Abu Daud)

إِذَا كَانَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ أَوْ ثَلَاثًا فَإِنَّهُ لَا يَنْجُسُ[6]

Maksudnya: Jika air mencapai dua qullah atau tiga qullah, ia tidak dihukum najis lagi.

(Riwayat Ahmad)

Menurut Ibn Munzir, penentuan tentang status air sedikit dan banyak ini berdasarkan Ijmak ulama yang telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila najis jatuh ke dalamnya dan berubah sama ada rasa, warna atau bau, air itu menjadi najis.[7]

Oleh yang demikian, air kumbahan di Loji Rawatan Kumbahan (LRK) merupakan sejumlah isipadu air yang berkuantiti melebihi 2 qullah terdiri daripada air yang bercampur antara najis, tinja dan air kencing manusia dan berlaku perubahan pada sifat-sifatnya, maka dihukumkan sebagai air mutanajjis.

 

Kaedah Penyucian air Mutanajjis Melebihi dua kolah

Dalam menetapkan hukum suatu air, secara asas para ulama mazhab Syafi’i secara khususnya melihat pada kuantiti air sama ada ia sedikit (kurang daripada dua qullah) atau banyak (dua qullah atau lebih). Selain itu, aspek perubahan pada sifat-sifat air sama ada dari segi perubahan warna, bau dan rasa turut diambilkira dan diperhatikan.

Bagi air yang berkuantiti melebihi dua qullah, air dihukumkan najis sekiranya najis tersebut berubah dari salah satu sifat air (warna, bau dan rasa). Namun, air mutanajjis ini menurut perbincangan ulama boleh dibersihkan dengan tiga cara: [8]

1) Dibiarkan berubah (taghyir) secara semulajadi (disebabkan panas matahari, angin atau berlalu tempoh masa yang lama) sehingga hilang sifat - sifat najis;

2) Penambahan air (mukatharah) sama ada menggunakan air mutlaq atau air mutanajjis sehingga hilang sifat kenajisan; dan

3) Disingkirkan najis dan dibuang sebahagian air (nazh) yang meninggalkan baki sekurang-kurangnya dua qullah.

Oleh itu, berdasarkan kepada penjelasan proses rawatan air kumbahan yang dijalankan Loji Rawatan Kumbahan (LRK), air sisa kumbahan yang mutanajjis telah melalui proses pembersihan air, maka illah(sebab) kenajisan pada air telah hilang dan air tersebut dihukumkan sebagai suci.

 

Hal ini bersesuaian dengan satu kaedah dalam penentuan hukum berdasarkan illahnya, iaitu:

الحكم ‌يدور ‌مع ‌علته وسببه وجودًا وعدمًا[9]

Maksudnya: Sesuatu hukum berlegar bersama-sama illahnya ketika ia ada dan tiada.

 

Hukum Minum dan Bersuci Menggunakan Air kumbahan Terawat

Asasnya, hukum menggunakan air mutanajjis sebagai bahan makanan atau minuman sama ada dalam bentuk cecair atau pepejal adalah haram.[10]

Namun, persoalan lain yang timbul daripada penggunaan air kumbahan yang telah dirawat ini ialah sejauh manakah keadaan asal air yang mutanajjis boleh bertukar kepada status air mutlak. Selain itu, adakah air mutanajjis ini boleh digunakan untuk kegunaan harian sebagai minuman terutama perkara yang berkaitan dengan bersuci (taharah).

Bagi air yang berkuantiti melebihi dua qullah dan berubah dari salah satu sifat air (warna, bau dan rasa) air tersebut merupakan air mutanajjis boleh bertukar ke status air mutlak dan boleh digunakan sebagai minuman termasuk digunakan pada perkara yang berkaitan dengan bersuci (taharah). Hal ini dijelaskan Imam al-Nawawi menukilkan pandangan imam al-Syirazi dalam al-Majmu’ [11]:

إذَا أَرَادَ تَطْهِيرَ ‌الْمَاءِ ‌النَّجِسِ نُظِرَ فَإِنْ كَانَتْ نَجَاسَتُهُ بِالتَّغَيُّرِ وَهُوَ أَكْثَرُ مِنْ قُلَّتَيْنِ طَهُرَ: بِأَنْ يَزُولَ التَّغَيُّرُ بِنَفْسِهِ أَوْ بِأَنْ يُضَافَ إلَيْهِ مَاءٌ آخَرُ: أَوْ بِأَنْ يُؤْخَذَ بعضه لان النجاسة بالتغير وقد زال

Maksudnya: Apabila seseorang ingin menyucikan air mutanajjis, hendaklah dilihat keadaannya; jika najis menyebabkan perubahan pada sifat air dan kuantitinya melebihi dua qullah, maka air dikira suci dengan cara iaitu; pertama, berlaku perubahan kesan najis dengan sendirinya, atau dengan ditambah air yang lain kepadanya, atau diambil sebahagian air itu. Ini kerana kenajisan itu disebabkan perubahan sedangkan punca berlakunya perubahan tersebut sudah tiada.

Hal ini juga selari dengan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-100 yang bersidang pada 27 Februari 2017 bersamaan 30 Jamadil Awwal 1438H tentang “Penggunaan Semula Bioefluen Terawat Dan Biopepejal Dari Loji Rawatan Kumbahan (“LRK”) IWK[12]:

Sistem infrastruktur yang mengalirkan kumbahan itu berupaya menjadikan air kumbahan tersebut suci lagi menyucikan (air mutlak) kerana berlakunya proses perubahan untuk menghilangkan najis dan mengekalkan semula sifat asal air yang suci lagi menyucikan. Justeru, air tersebut boleh digunakan untuk siraman bahkan ia boleh digunakan untuk minuman kerana air tersebut telah kembali kepada sifat air yang asal.

 

Kesimpulan

Air kumbahan yang telah dirawat dan disingkirkan daripada elemen-elemen najis serta kotoran berdasarkan cara penyucian air mutanajjis yang melebihi dua kolah adalah air mutlak dan suci. Oleh itu, penggunaan air tersebut boleh digunakan untuk bersuci (taharah) mahupun penggunaan harian.

Wallahu a'lam

 

Rujukan:

[1]“Air kumbahan”, diakses pada 11 Mac 2023, https://www.sinarharian.com.my/article/257564/berita/nasional/rawatan-kumbahan-yang-cekap

[2]“Air kumbahan”, diakses pada 11 Mac 2023, https://www.mkn.gov.my/web/ms/2022/05/25/proses-rawatan-air-kumbahan/

[3] Muhammad bin Umar Nawawi al-Jawi al-Tannari al-Bantani, Nihayah al-Zain (Beirut : Dar al-Fikr,t.th), 15

مَاء مُتَنَجّس وَهُوَ المَاء الَّذِي لاقته نَجَاسَة تدْرك الْبَصَر

[4] Hassan Bin Ahmad al-Kaf, Al-Taqrirat al-Sadidah fi Masa’il al-Mufidah(Jazirah: Dar al-Mirāth al-Nabawiyyah, 2022), 62.

١ - إذا كان الماء قليلاً دونَ القُلَّتَيْنِ : يَتنجس مطلقاً بمجرد وقوع النجاسة فيه وإن لم يتغيَّرُ .

٢ ـ إذا كان الماء كثيراً قلتين فأكثر فلا يتنجس إلا إذا تغيَّر لونه أو طَعْمُهُ أو ريحُهُ ولو تغيراً يَسير

   والقُلَّتانِ لغةٌ : الجَرَّتَانِ العظيمتان   وشرعاً ما وزنه (٥٠٠) رطل بغدادي أو (٥٦٥) رطلاً تريمياً، وبالمقاييس الحديثة (۲۱۷) لتراً تقريباً،

[5] Abu Dawud Sulayman Bin al-Al-Asya’th al-Azdi, Sunan Abu Dawud, (Kaherah: Dar al-Risalah, 2009), 1/46.

[6] Ahmad bin Hanbal, Musnad Ahmad Bin Hanbal (Beirut: Muassasah al-Risālah, 2001), 10/100

[7] Mohammad Bin Ibrahim Bin al-Munzir al-Nisaburi, Al-Ijmak, (Riyad: Dar al-Muslim, 2004), 35.

وأجمعوا على أن ‌الماء القليل، والكثير إذا وقعت فيه نجاسة، فغيرت للماء طعما، أو لونا، أو ريحًا: أنه نجس ما دام كذلك

[8] Abu Zakariya Muhyiddin Bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmuk Sharh al-Muhadzab, (Kaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Munirah), 1/132.

اذا زَالَ تَغَيُّرُ ‌الْمَاءِ ‌النَّجِسِ وَهُوَ أَكْثَرُ مِنْ قُلَّتَيْنِ نُظِرَ إنْ زَالَ بِإِضَافَةِ مَاءٍ آخَرَ إلَيْهِ طَهُرَ بِلَا خِلَافٍ سَوَاءٌ كَانَ الْمَاءُ الْمُضَافُ طَاهِرًا أَوْ نَجِسًا قَلِيلًا أَوْ كَثِيرًا وَسَوَاءٌ صُبَّ الْمَاءُ عَلَيْهِ أَوْ نَبَعَ عَلَيْهِ وَإِنْ زَالَ بِنَفْسِهِ أَيْ بِأَنْ لَمْ يَحْدُثْ فيه شيئا بَلْ زَالَ تَغَيُّرُهُ بِطُلُوعِ الشَّمْسِ أَوْ الرِّيحِ أَوْ مُرُورِ الزَّمَانِ طَهُرَ أَيْضًا عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ: وَحَكَى الْمُتَوَلِّي عَنْ أَبِي سعيد الاصطخرى أنه لا يطهر لانه شئ نجس فلا يطهر بنفسه: وهذا ليس بشئ لِأَنَّ سَبَبَ النَّجَاسَةِ التَّغَيُّرُ: فَإِذَا زَالَ طَهُرَ لِقَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يَنْجَسْ وَإِنْ زَالَ بِأَخْذِ بَعْضِهِ طَهُرَ بِلَا خِلَافٍ بِشَرْطٍ أَنْ يَكُونَ الْبَاقِي بَعْدَ الْأَخْذِ قُلَّتَيْنِ: فَإِنْ بَقِيَ دُونَهُمَا لم يطهر بلا خلاف

[9]Abū Abdullah Bin Muhammad Bin Abi Bakr Bin Ayyub Bin Qayyim al-Jawziyyah. A’lam al-Wuwaqi’in ‘an Rab al-‘Ālamin. (Riyadh: Dār ‘Aṭā’āt al-‘Ilm, 2019), 4/558.

[10] Al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad Hasyiah Al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj = al-Tajrid Li Naf' (Matba;ah al-Halabi , 1950 ) al-'Abid 4/306

(وَحَرُمَ مُتَنَجِّسٌ) أَيْ تَنَاوُلُهُ مَائِعًا كَانَ أَوْ جَامِدًا لِخَبَرِ الْفَأْرَةِ السَّابِقِ فِي بَابِ النَّجَاسَةِ

[11] Abu Zakariya Muhyiddin Bin Syaraf al-Nawawi, Al-Majmuk Sharh al-Muhadzab, (Kaherah: Idārah al-Tiba’ah al-Munirah), 1/132.

[12] “Fatwa Air Kumbahan ” diakses pada 7 Mac 2024 pada http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/15524