Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-843: HUKUM MENGGUNAKAN AYAT AL-QURAN DAN BERAMAL DENGAN AYAT KE-9 SURAH YASIN SEBAGAI PENDINDING SERTA KAITANNYA DENGAN HIJRAH NABI SAW

HUKUM_MENGGUNAKAN_AYAT_AL-QURAN_DAN_BERAMAL_DENGAN_AYAT_KE-9_SURAH_YASIN_SEBAGAI_PENDINDING_SERTA_KAITANNYA_DENGAN_HIJRAH_NABI_SAW.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum, benarkan kisah Nabi Muhammad SAW ketika Baginda dikepung, lalu Baginda SAW membaca ayat 9 surah Yasin untuk mengkaburi mata pihak musuh. Adakah dibenarkan untuk beramal dengannya untuk tujuan pendinding atau mengkaburi mata pencuri. Harap dapat pencerahan terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Hukum beramal dengan surah Yasin ayat 9 sebagai pendinding adalah diharuskan, malah ia juga berlandaskan pedoman daripada kisah Baginda Nabi SAW ketika awal perjalanan keluar berhijrah. Begitu juga, amalan membaca ayat al-Quran sebagai pelindung juga pernah diamalkan oleh para ulama seperti yang diamalkan oleh Imam al-Qurtubi ketika berperang.

Disamping itu, menggunakan ayat al-Quran dalam perubatan dan sebagai pelindung serta menggunakan sebagai perantaraan ketika berdoa atau memohon sesuatu hajat agar dipermudahkan oleh Allah SWT secara umumnya merupakan perkara yang dibenarkan syarak.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Al-Quran merupakan mukjizat yang terkandung dalamnya 114 surah dan bagi setiap surah tersebut mempunyai kelebihannya yang tersendiri. Surah Yasin disebut sebagai hati al-Quran dan antara kelebihan surah ini adalah dengan membacanya walaupun sekali ganjaran yang diberi seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali. Hal ini sepertimana yang disebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Anas RA, sabda Nabi SAW:

إِنَّ لِكُلِّ شَيْءٍ قَلْبًا وَقَلْبُ الْقُرْآنِ يس وَمَنْ قَرَأَ يس كَتَبَ اللَّهُ لَهُ بِقِرَاءَتِهَا قِرَاءَةَ الْقُرْآنِ عَشْرَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: Sesungguhnya bagi setiap sesuatu itu mempunyai hati, dan hati bagi al-Quran adalah surah Yasin. Sesiapa yang membaca surah Yasin, Allah SWT akan menulis pahala baginya seumpama membaca al-Quran sebanyak sepuluh kali.

Riwayat al-Tirmizi (2887)

Kisah Baginda Nabi SAW ketika ingin keluar berhijrah ke kota Madinah dan pada waktu itu rumah Baginda SAW dikepung oleh golongan musyrikin Mekah. Bagi meneruskan perjalan, Baginda SAW keluar daripada rumahnya dengan membaca surah Yasin dari permulaan surah sehingga ayat ke 9 surah iaitu. Dalam masa yang sama, Baginda SAW mengambil segenggam tanah kemudian ditaburkan ke atas kepala golongan musyrikin Mekah yang ketika itu pandangan mereka telah terhijab oleh Allah SWT. Lalu Baginda SAW keluar meninggalkan rumahnya menuju ke destinasi yang dituju.[1]

Imam Qurtubi juga pernah beramal dengan membaca awal surah Yasin ketika menghadapi perang di negaranya. Pada waktu itu, beliau bertembung dengan tentera musuh lalu membacanya dan diberi perlindungan oleh Allah SWT. Kisah ini seperti yang diceritakan dalam kitabnya, ketika negaranya Andalus sedang diasak tentera musuh, beliau dalam keadaan berundur dan bertahan di dalam kubu. Selang beberapa waktu, dua orang tentera musuh melihat beliau lalu mengejarnya sehingga ke kawasan lapang yang tiada tempat untuk berlindung. Lalu Imam al-Qurtubi membaca awal surah Yasin dan juga ayat-ayat al-Quran yang lain. Kemudian tentera tersebut hanya melaluinya tanpa menoleh dan memandangnya, akhirnya mereka berpatah balik sambil salah seorang daripada mereka berkata:

هذا ديبلة; يعنون شيطانا

Maksudnya: Itulah Daibalah (bahasa Perancis bermaksud jin): maksud dia adalah Syaitan.[2]

Hukum Menggunakan Ayat Al-Quran Sebagai Pelindung Atau Jampi

Dari sudut hukum, para ulama mengharuskan penggunaan ayat al-Quran sebagai jampi (ruqyah) atau doa meminta pertolongan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya: Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Ayat-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya;

(Surah al-Isra, 82)

Menjadikan ayat al-Quran sebagai perantaraan ketika berdoa atau memohon sesuatu hajat agar Allah SWT menunaikan doanya bertepatan dengan saranan saranan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imran bin Hussain RA, katanya aku mendengar Nabi SAW bersabda:

مَنْ قَرَأَ الْقُرْآنَ فَلْيَسْأَلِ اللَّهَ بِهِ فَإِنَّهُ سَيَجِيءُ أَقْوَامٌ يَقْرَءُونَ الْقُرْآنَ يَسْأَلُونَ بِهِ النَّاسَ

Maksudnya: Sesiapa yang membaca al-Quran, maka hendaklah ia meminta kepada Allah dengannya. Sesungguhnya sesuatu kaum akan datang, apabila mereka membaca al-Quran kemudian mereka akan meminta-minta kepada manusia

Riwayat al-Tirmizi (2917)

Di samping itu, Baginda Nabi SAW mengajar umatnya agar beramal dengan membaca ayat al-Quran sebelum tidur kemudian ditiup pada tapak tangan dan disapu ke seluruh badan sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aishah R.Anha:

كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا ‏:‏ ‏(‏ قلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ ‏)‏ وَ ‏:‏ ‏(‏ قلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ ‏)‏ وَ ‏:‏ ‏(‏ قلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ ‏)‏ ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ

Maksudnya: SesungguhnyaSesungguhnya ketika Baginda berbaring ke tempat tidurnya pada setiap malam, Baginda akan menadah tangan kemudian menghembus ke kedua tapak tangannya. Lalu Baginda membaca : Qul Huwallahu Ahad, Qul ‘Auzu bi Rabbil Falaq dan Qul A’uzu bi Rabbinnas. Kemudian Baginda akan menyapu dengan kedua tapak tangannya ke tubuhnya bermula dari kepalanya dan wajahnya kemudian bahagian tubuhnya. Baginda melakukannya sebanyak tiga kali

Riwayat al-Tirmizi (3402)

Imam Badruddinn al-Aini (855H) menyebut bahawa perbuatan meniup tapak tangan kemudian dibaca surah lalu disapu kepada badan bertujuan mengambil keberkatan daripada al-Quran.[3] Menurut Ibn Battal (499H) perbuatan Baginda Nabi SAW menjampi dirinya sendiri sebagai pelindung ketika tidur.[4]

Berkaitan hal ini, Imam al-Suyuti (911H) menukilkan pandangan imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa diharuskan menulis ayat al-Quran di dalam bekas kemudian diisikan air lalu dimandi atau disapu kepada pesakit untuk tujuan perubatan dan ini merupakan pandangan muktamad dalam mazhab al-Syafi’i. [5]

Imam al-Suyuti menukilkan persoalan daripada Imam al-Rabi’ ketika bertanya kepada Imam al-Syafi’e dalam masalah ini, katanya:

وَقَالَ الرَّبِيعُ: سَأَلْتُ الشَّافِعِيَّ عَنِ الرُّقْيَةِ فَقَالَ: لَا بأس أَنْ يُرْقَى بِكِتَابِ اللَّهِ وَمَا يُعْرَفُ مِنْ ذِكْرِ اللَّهِ

Maksudnya: Imam al-Rabi’ berkata: Aku bertanya kepada al-Syafi’e tentang Ruqyah, lalu beliau menjawab: Tidak mengapa sekiranya ruqyah dengan menggunakan kitab Allah dan setiap apa yang diketahui berkenaan zikir kepada Allah SWT.[6]

Kesimpulan

Hukum beramal dengan surah Yasin ayat 9 sebagai pendinding adalah diharuskan, malah ia juga berlandaskan pedoman daripada kisah Baginda Nabi SAW ketika awal perjalanan keluar berhijrah. Begitu juga, amalan membaca ayat al-Quran sebagai pelindung juga pernah diamalkan oleh para ulama seperti yang diamalkan oleh Imam al-Qurtubi ketika berperang.

Disamping itu, menggunakan ayat al-Quran dalam perubatan dan sebagai pelindung serta menggunakan sebagai perantaraan ketika berdoa atau memohon sesuatu hajat agar dipermudahkan oleh Allah SWT secara umumnya merupakan perkara yang dibenarkan syarak.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] Abu Abdullah Muhammad bin Ahmad bin Abi Bakr Farh al-Ansari al-Qurtubi ed. Ahmad Barduni, Ibarahim Athfaish. Al-Jami’ li Ahkam al-Quran, Tafsir al-Qurtubi (Cairo, Dar al-Kutb al-Misriyyah, 1384H) 10:270

فإن في السيرة في هجرة النبي صلى الله عليه وسلم ومقام علي رضي الله عنه في فراشه قال: وخرج رسول الله صلى الله عليه وسلم فأخذ حفنة من تراب في يده، وأخذ الله عز وجل على أبصارهم عنه فلا يرونه، فجعل ينثر ذلك التراب على رؤوسهم وهو يتلو هذه الآيات من يس:" يس. والقرآن الحكيم. إنك لمن المرسلين. على صراط مستقيم. تنزيل العزيز الرحيم."- إلى قوله-" وجعلنا من بين أيديهم سدا ومن خلفهم سدا فأغشيناهم فهم لا يبصرون". حتى فرغ رسول الله صلى الله عليه وسلم من هذه الآيات، ولم يبق منهم رجل إلا وقد وضع على رأسه ترابا، ثم انصرف إلى حيث أراد أن يذهب

[2] Ibid

قلت: ولقد اتفق لي ببلادنا الأندلس بحصن منثور من أعمال قرطبة مثل هذا . وذلك أني هربت أمام العدو وانحزت إلى ناحية عنه ، فلم ألبث أن خرج في طلبي فارسان وأنا في فضاء من الأرض قاعد ليس يسترني عنهما شيء ، وأنا أقرأ أول سورة يس وغير ذلك من القرآن ; فعبرا علي ثم رجعا من حيث جاءا وأحدهما يقول للآخر: هذا ديبلة; يعنون شيطانا وَأَعْمَى اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَبْصَارَهُمْ فَلَمْ يَرَوْنِي، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ حَمْدًا كَثِيرًا عَلَى ذلك

[3] Badruddin al-Aini, Umdah al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari. (Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi,t.t) Jd. 20 Hlm. 35

أَن يكون بعد التِّلَاوَة ليوصل بركَة الْقُرْآن إِلَى بشرة القارىء أَو المقروء لَهُ،

[4] Ibn Battal, Syarh Sahih al-Bukhari li Ibn Battal. (Riyad: Maktabah al-Rusyd, 1423) Jld. 10 Hlm. 253

ودل فعل النبى (صلى الله عليه وسلم) فى رقية نفسه عند شكواه وعند نومه متعوذًا بهما على عظيم البركة فى الرقى بهما، والتعوذ بالله من كل ما يخشى فى النوم،

[5] Jalaluddin al-Suyuti, al-Syifa fi Ulum al-Quran. (Misr: al-Haiah al-Misriyyah al-Ammah li al-Kitab. Jld. 4 hlm. 172

قَالَ النَّوَوِيُّ فِي شَرْحِ الْمُهَذَّبِ لَوْ كَتَبَ الْقُرْآنَ فِي إِنَاءٍ ثُمَّ غسله وَسَقَاهُ الْمَرِيضَ فَقَالَ الْحَسَنُ الْبَصْرِيُّ وَمُجَاهِدٌ وَأَبُو قِلَابَةَ وَالْأَوْزَاعِيُّ: لَا بَأْسَ بِهِ وَكَرِهَهُ النَّخَعِيُّ قَالَ وَمُقْتَضَى مَذْهَبِنَا أَنَّهُ لَا بَأْسَ بِهِ فَقَدْ قَالَ الْقَاضِي حُسَيْنٌ وَالْبَغَوِيُّ وَغَيْرُهُمَا: لَوْ كتب عَلَى حَلْوَى وَطَعَامٍ فَلَا بَأْسَ بِأَكْلِهِ انْتَهَى

[6] Jalaluddin al-Suyuti, ed. Muhammad Abu al-Fadl Ibrahim. Al-Itqan fi ‘Ulum al-Quran (al-Hai’ah al-Misriyyah al-‘Ammah li Kitab, 1294H) 4:165