Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-845: HUKUM SAMBUTAN HARI IBU

HUKUM_SAMBUTAN_HARI_IBU.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, Apakah hukum seorang muslim menyambut perayaan hari ibu ? Adakah sambutan ini dianggap menyerupai golongan kafir? Mohon pencerahan SS Datuk Mufti

Ringkasan Jawapan

Hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan. Sambutan ini dilaksanakan bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak. Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

 

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

 

SEJARAH SAMBUTAN HARI IBU

Menurut sejarah moden, sambutan Hari Ibu dimulakan di Amerika Syarikat oleh Anna Jarvis dari Philadelphia bagi memperingati ibunya yang telah menganjurkan sekumpulan gerakan wanita untuk mempromosikan persahabatan dan kesihatan. Pada 12 Mei 1907, beliau mengadakan upacara peringatan Hari Ibu di gereja mendiang ibunya di Grafton, Virginia Barat. Dalam tempoh lima tahun, hampir setiap negeri di Amerika Syarikat menyaksikan sambutan itu. Oleh yang demikian, pada tahun 1914, Woodrow Wilson selaku Presiden Amerika Syarikat menjadikan setiap hari Ahad minggu kedua bulan Mei sebagai cuti kebangsaan. Lama kelamaan sambutan Hari Ibu tidak terhad kepada sosok ibu sahaja malah ia juga meraikan setiap golongan yang memainkan peranan sebagai ibu seperti nenek dan ibu saudara. Banyak negara lain turut merayakan Hari Ibu pada tarikh ini, manakala sesetengah negara memperuntukkan perayaan itu pada hari lain dalam setahun.

Namun begitu, tidak dinafikan perayaan Hari Ibu ini telah bermula pada zaman tamadun purba lagi bagi memperingati para dewi kepercayaan masing-masing. Masyarakat Frigia menyambut Hari Ibu bagi memperingati dewi Cybele, “Great Mother of the Gods”, manakala mengikut kepercayaan Yunani, perayaan itu disambut bagi memperingati dewi Rhea. Perayaan ini juga diadaptasi oleh agama-agama lain yang menyambutnya bersesuaian dengan kepercayaan dan cara masing-masing seperti masyarakat di India yang menyambut Durga-puja.[1]

 

GALAKAN BERBUAT BAIK KEPADA IBU

Islam memandang tinggi akan darjat dan kemuliaan kedua ibu bapa. Terdapat banyak ayat al-Quran dan hadis yang menegaskan tentang kewajipan memuliakan ibu bapa dan kewajiban berbakti terhadap keduanya. Firman Allah SWT:

وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا ۖ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا ۖ وَحَمْلُهُ وَفِصَالُهُ ثَلَاثُونَ شَهْرًا ۚ حَتَّىٰ إِذَا بَلَغَ أَشُدَّهُ وَبَلَغَ أَرْبَعِينَ سَنَةً قَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَصْلِحْ لِي فِي ذُرِّيَّتِي ۖ إِنِّي تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنِّي مِنَ الْمُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah. Sedang tempoh mengandungnya beserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah ia besar sampai ke peringkat dewasa yang sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah ia dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatmu yang engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)".

(Surah al-Ahqaf :15)

 

Imam al-Maraghi menafsirkan ayat di atas bahawa Allah SWT memerintahkan serta mewajibkan sekalian manusia untuk berbuat baik dan berbelas kasihan kepada kedua ibu bapanya dan berbakti kepada mereka semasa hayat dan juga selepas kematiannya. Allah SWT menjanjikan ganjaran pahala yang besar kepada orang yang berbakti kepada ibu bapanya kerana ia merupakan ibadah yang paling utama untuk dilakukan, bahkan mereka yang menderhakai keduanya maka perbuatan itu termasuk dalam dosa-dosa besar.

Allah SWT mengkhususkan perbuatan berbuat baik kepada ibu kerana mereka merupakan golongan banyak melakukan kebajikan, golongan yang lemah dan lebih memerlukan penjagaan dan perhatian. Ini sepertimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadis di mana Nabi SAW bersabda bahawa seorang ibu berhak mendapat layanan kebaikan tiga kali ganda lebih daripada seorang bapa[2].

 

SAMBUTAN HARI IBU MENURUT ISLAM

Menurut ulama kontemporari, terdapat dua pandangan menyambut hari ibu:

  1. Haram

Penglibatan umat Islam dalam apa-apa perayaan yang menyerupai agama lain adalah dilarang menurut syarak. Hal ini berpandukan kepada hadis daripada Ibn Umar RA bahawa Baginda Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ ‏

Maksudnya:Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum dia adalah dalam kalangan mereka.”

(Riwayat Abu Daud)

Menurut Imam al-San’ani, hadis ini menunjukkan ke atas mereka yang menyerupai golongan fasiq, kafir atau pembuat bida‘ah pada setiap sesuatu yang dikhususkan dengan mereka seperti pakaian (syiar agama mereka), tunggangan atau perilaku mereka, maka dia termasuk dalam kalangan mereka.[3]

Tambahan pula, Imam al-Damiri menjelaskan:

يعزر من وافق الكفار في أعيادهم

Maksudnya: “Sesiapa yang mengikuti orang-orang kafir dalam perayaan-perayaan mereka perlu dijatuhkan hukuman takzir (oleh pemerintah).” [4]

Sheikh al-Bujairimi menyatakan bahawa yang dimaksudkan dengan mengikuti orang-orang kafir adalah melakukan apa yang dilakukan oleh orang bukan Islam pada hari perayaan mereka, dan hukum perbuatan ini adalah haram.[5]

  1. Harus

Menurut Jabatan Fatwa Jordan, sekiranya yang dimaksudkan oleh ‘Hari Ibu’ apabila mereka menghargai ibu masing-masing dan menghadiahkan ibu dengan hadiah, maka ia bukanlah termasuk dalam istilah perayaan. Bahkan ia adalah hari menghargai dan menzahirkan kasih sayang untuk ibu. Memuliakan ibu pada hari tersebut dalam pengertian ini adalah suatu adat kebiasaan yang tidak bercanggah dengan syarak yang menekankan kepentingan mensyukuri dan menghargai ibu bapa tanpa mengira masa dan tempat.

Memuliakan ibu pada Hari Ibu bukanlah dianggap satu tasyabbuh yang dilarang kerana sambutan ini tidak melibatkan upacara-upacara khusus dalam agama lain yang bertentangan dengan akidah Islam.[6] Syeikh al-Tibiy menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan tasyabbuh yang haram adalah meniru syiar agama orang kafir.[7]

Pandangan ini tidak bertentangan dengan fatwa-fatwa ulama mazhab Syafi’i di atas kerana maksud haram adalah jika peniruan itu berunsurkan upacara agama. Manakala, sambutan hari ibu pada zaman kini tiada kaitan dengan agama bahkan ia sekadar adat.

 

Kesimpulan

Hukum sambutan Hari Ibu adalah dibenarkan dan tidak bercanggah dengan syarak kerana ia bukan termasuk dalam perayaan keagamaan. Seiring dengan perubahan masa, sambutan ini tidak lagi dilaksanakan untuk memperingati para dewi, bahkan semata-mata disambut bagi memuliakan seorang insan yang bergelar ibu serta menzahirkan penghargaan kepadanya atas segala jasa dan pengorbanan yang dilakukan dalam mendidik dan membesarkan anak-anak.

Namun begitu, amalan menghargai jasa dan pengorbanan ibu ini tidak terhad pada masa atau tarikh tertentu, malah kewajipannya berpanjangan dan berkekalan sebagaimana yang telah dititikberatkan dalam al-Quran dan Sunnah Nabi SAW.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Britannica, T. Editors of Encyclopaedia (2024, May 5). Mother’s Day. Encyclopedia Britannica. https://www.britannica.com/topic/Mothers-Day

[2] al-Maraghi, Ahmad bin Mustafa. Tafsir al-Maraghi. (Mesir: Syarikah Maktabah wa Matba’ah al-Babi al-Halabi wa Auladih). Jld 26. Hlm 17.

(وَوَصَّيْنَا الْإِنْسانَ بِوالِدَيْهِ إِحْساناً) أي أمرناه بالإحسان إليهما والحنوّ عليهما، والبر بهما فى حياتهما وبعد مماتهما، وجعلنا البر بهما من أفضل الأعمال، وعقوقهما من الكبائر، والآيات والأحاديث فى هذا الباب كثيرة. ثم ذكر سبب التوصية وخص الكلام بالأم لأنها أضعف وأولى بالرعاية، وفضلها أعظم كما ورد فى صحيح الأحاديث ومن ثم كان لها ثلثا البر فقال

[3] Al-San‘ani, Muhammad bin Ismail. Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram. (ِArab Saudi, Dar Ibn al-Jauzi li Tawzi‘ wa al-Nasyr, 1433H) 8/192-193.

والحديثُ دالٌّ على أن منْ تشبَّه بالفسَّاقِ كانَ منْهم، أو بالكفارِ أو بالمبتدِعَةِ في أيِّ شيءٍ [كان] ممَّا يختصون بهِ منْ ملبوسٍ أو مركوبٍ أو هيئةٍ، قالُوا: فإذا تشبَّه بالكافرِ في زيٍّ، واعتقدَ أنْ يكونَ بذلكَ مثلَه كفرَ، فإنْ لم يعتقدْ ففيهِ خلافٌ بينَ [الفقهاءِ] منْهم مَنْ قالَ: يكفرُ وهوَ ظاهرُ الحديثِ، ومنْهم منْ قالَ: لا يكفرُ ولكنْ يؤدَّبُ.

[4] Al-Damiri, Muhammad bin Musa. Al-Najm al-Wahhaj fi Syarh al-Minhaj. (Jeddah: Dar al-Minhaj, 2004) 9/244.

يعزر من وافق الكفار في أعيادهم، ومن يمسك الحية، ويدخل النار ومن قال لذمي: يا حاج، ومن هنأه بعيد

[5] al-Bujairimi, Sulaiman bin Muhammad. Hasyiah al-Bujairimi ala al-Khatib. (t.p: Dar al-Fikr, 1995). Jld 4. Hlm 179.

قَوْلُهُ: (مَنْ وَافَقَ الْكُفَّارَ فِي أَعْيَادِهِمْ) بِأَنْ يَفْعَلَ مَا يَفْعَلُونَهُ فِي يَوْمِ عِيدِهِمْ وَهَذَا حَرَامٌ.

[6] Jabatan Fatwa Jordan, https://www.aliftaa.jo/Question.aspx?QuestionId=3184

ما تصالح الناس على تسميته بـ (عيد الأم) يقومون بالتواصل مع أمهاتهم وتقديم الهدايا لهن فيه، ليس عيداً بالمفهوم الشرعي للعيد، ولكنه يوم وفاء وتقدير للأمهات، حيث تعارف الناس في العالم كله على الاعتراف بجميل الأمهات، والتعبير عن مزيد المحبة والامتنان لهن في يوم واحد يجمعهم. وتكريم الأم بهذا اليوم بالمعنى السابق أمر تنظيمي عادي لا يتعارض مع أحكام الشريعة الإسلامية التي تؤكد على معاني الوفاء والامتنان والشكر للوالدين في كل وقت وزمان،

إن تكريم الأمهات في يوم الأم ليس من باب التشبه المحظور بل هو من الحكمة العامة و"الحكمة ضالة المؤمن أنى وجدها فهو أحق بها"، وخاصة في موضوع تحث الشريعة الإسلامية عليه ولا يتعارض معها، ولقد صام المسلمون (يوم عاشوراء) مع علمهم بصيام اليهود له، وقال النبي صلى الله عليه وسلم: (نَحْنُ أَحَقُّ بِمُوسَى مِنْكُمْ) متفق عليه، فنحن أحق بتكريم الأم من غيرنا. أما قول رسول الله صلى الله عليه وسلم: (لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ) متفق عليه. فالمقصود به النهي عن اتباع غيرنا من الأمم في المحرمات، وخصوصياتهم الدينية التي تتعارض مع شريعتنا، أما الأمور المباحة والنافعة الموافقة لشريعتنا فلا مانع منها. قال القاضي عياض رحمه الله تعالى: "هذا فيما نهى الشرع عنه وذمه من أمرهم وحالهم".

[7] al-Qari, ‘Ali bin Muhammad. Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih. (Beirut: Dar al-Fikr, 2002). Jld. 7 Hlm. 2782.

قَالَ الطِّيبِيُّ: ‌هَذَا ‌عَامٌّ ‌فِي ‌الْخَلْقِ ‌وَالْخُلُقِ ‌وَالشِّعَارِ، وَلِمَا كَانَ الشِّعَارُ أَظْهَرُ فِي التَّشَبُّهِ ذُكِرَ فِي هَذَا الْبَابِ. قُلْتُ: بَلِ الشِّعَارُ هُوَ الْمُرَادُ بِالتَّشَبُّهِ لَا غَيْرُ