Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-847: HUKUM MELAKUKAN AKIKAH MENGGUNAKAN WANG KEPUNYAAN BAYI

HUKUM_MELAKUKAN_AKIKAH_MENGGUNAKAN_WANG_KEPUNYAAN_BAYI.jpg

 

SOALAN

Assalamualaikum Dato’ Mufti , saya ada persoalan yang ingin diajukan berkenaan Akikah. Apakah boleh seorang bapa melaksanakan akikah dengan menggunakan wang kepunyaan bayinya itu?

Sekian, terima kasih Dato’.

RINGKASAN JAWAPAN

Pihak yang dituntut untuk melaksanakan akikah adalah ayah ataupun orang yang bertanggungjawab terhadap nafkah anak (bayi) yang dilahirkan. Oleh itu, akikah tidak boleh dilaksanakan dengan menggunakan harta anak tersebut. Malah ia perlu dilaksanakan dengan menggunakan harta penjaganya. Bahkan, sekiranya anak itu dalam kalangan kaya dengan mewarisi harta yang banyak, akikah tetap tidak boleh dilaksanakan daripada hartanya.

 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Akikah sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut di samping memberikan nama yang baik dan mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Binatang akikah disembelih pada hari ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.

Riwayat al-Tarmizi (1522)

Hukum akikah adalah sunat muakkad (dituntut)[1]. Dalil pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَةٌ، فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا، وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Akikah itu bersama-sama dengan bayi yang dilahirkan. Oleh itu, tumpahkanlah darah(sembelih binatang) bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.

Riwayat al-Bukhari (5471)

Akikah dituntut ke atas penjaga bayi kerana dia bertanggungjawab terhadap nafkah bayi itu. Menurut Imam Ibnu Hajar al-Haitami berkata:


والمخاطب بها: مَن عليه نفقة الولد، فليس للولي فعلها من مال ولده؛ لأنها تبرع

 

Maksudnya: “Perintah tuntutan akikah ditujukan kepada orang yang bertanggungjawab dengan nafkah anak. Maka penjaganya tidak berhak melaksanakan akikah tersebut menggunakan harta anaknya kerana akikah merupakan sedekah”.

(Rujuk: Al-Minhaj al-Qowim, 310)

Oleh itu, Akikah hendaklah dilaksanakan dengan tidak menggunakan harta anaknya bahkan menggunakan hartanya sendiri. Imam Khatib al-Syarbini menyatakan:

 

أما من مال المولود فلا يجوز للولي أن يعق عنه من ذلك؛ لأن العقيقة تبرع وهو ممنوع منه من مال المولود، فإن فعل ضمن

 

Bermaksud: “(Manakala) daripada harta anak maka penjaga tidak boleh melakukan akikah menggunakan hartanya kerana akikah adalah tabarru’ dan ia ditegah dilaksanakan daripada harta anak. Sekiranya dia menggunakannya maka dia perlu membayar ganti rugi”.

(Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 6/139)


Penjaga kepada anak yang diharuskan untuk melaksanakan akikah adalah ayah, datuk, ibu dan nenek kepada bayi tersebut. Menurut Imam al-Mawardi:

 

وَالَّذِي يَتَحَمَّلُهَا وَيَخْتَصُّ بِذَبْحِهَا هُوَ الْمُلْتَزِمُ لِنَفَقَةِ الْمَوْلُودِ مِنْ أَبٍ أَوْ جَدٍّ أَوْ أُمٍّ أَوْ جَدَّةٍ؛ لِأَنَّهَا مِنْ جُمْلَةِ مَؤُونَة

 

Bermaksud: Pihak yang menanggungnya dan dikhaskan untuk menyembelihnya (haiwan untuk akikah) adalah orang yang bertanggung jawab untuk memberi nafkah kepada anak itu yang terdiri daripada bapa atau atuk atau ibu atau nenek kerana akikah merupakan salah satu kos tanggungan (bekalan makanan).

(Rujuk: Al-Hawi al-Kabir, 15/296)

Meskipun begitu, sekiranya anak (bayi) itu dalam kalangan orang yang kaya dan berkemampuan, akikah tetap tidak boleh dilaksanakan daripada hartanya. Hal ini dinyatakan oleh Imam al-Mawardi:


وإن كانت نفقته من ماله كأن يكون غنيًّا بميراثٍ وعطيةٍ، لم يجز أن يخرج من مالهِ؛ لأنَّها ليست بواجبة، كما لا يخرج منه الأضحية

 

Bermaksud: Meskipun nafkah (bayi itu) bersumberkan dari hartanya seperti dia seorang yang kaya disebabkan harta pusaka dan pemberian, maka hartanya tidak boleh(haram) dikeluarkan (untuk perlaksanaan akikah) kerana ia tidak wajib (dilaksanakan) seperti mana tidak boleh(haram) menggunakan hartanya untuk dilaksanakan korban.

(Rujuk: Al-Hawi al-Kabir, 15/296)

 

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa pihak yang dituntut untuk melaksanakan akikah adalah ayah ataupun orang yang bertanggungjawab terhadap nafkah anak (bayi) yang dilahirkan. Oleh itu, akikah tidak boleh dilaksanakan dengan menggunakan harta anak tersebut. Malah ia perlu dilaksanakan dengan menggunakan harta penjaganya. Bahkan, sekiranya anak itu dalam kalangan kaya dengan mewarisi harta yang banyak, akikah tetap tidak boleh dilaksanakan daripada hartanya.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] (العقيقة: سنة) مؤكدة