Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-848: HUKUM TROLL MENGGUNAKAN AYAT AL-QURAN

HUKUM_TROLL_MENGGUNAKAN_AYAT_AL-QURAN.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, apakah hukum seseorang melakukan troll di media sosial menggunakan ayat al-Quran seperti menulis ayat al-Quran menggunakan bahasa rumi atau inggeris dengan tujuan meraih perhatian awam? Mohon pandangan SS Datuk Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Hukum menggunakan ayat al-Quran sebagai suatu bentuk troll adalah berdosa kerana ia merupakan satu bentuk penghinaan terhadap al-Quran walaupun dilakukan atas tujuan hiburan dan boleh jatuh hukum kufur jika jelas dengan tujuan menghina al-Quran. Mempamerkan adab dan akhlak yang baik tidak hanya terbatas di alam nyata bahkan aplikasinya perlu pada alam maya lantaran media sosial sudah menjadi platform terbesar dalam kehidupan manusia.

 troll_quran.png

 

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Definisi troll menurut Cambridge Dictionary merujuk kepada tindakan seseorang yang sengaja meninggalkan mesej yang menjengkelkan atau menyinggung perasaan di ruangan internet. Ia bertujuan sama ada untuk mengganggu individu tertentu, meraih perhatian awam atau menimbulkan masalah.[1]

Perlakuan seperti ini bukanlah perkara baharu dalam dunia media massa bahkan ia telah menular dalam kalangan masyarakat. Menjadi satu kebimbangan apabila tabiat buruk ini dikaitkan dengan perkara-perkara agama sehingga sampai kepada tahap mempersendakan agama.

 

LARANGAN MEMPERSENDAKAN AL-QURAN

Perbuatan ini mengingatkan kita kepada firman Allah SWT berkenaan golongan yang mengejek-ejek agama:

وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِٱللَّهِ وَءَايَٰتِهِۦ وَرَسُولِهِۦ كُنتُمْ تَسْتَهْزِءُونَ

Maksudnya:Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main". Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"

Surah al-Taubah (65)

Para ulama telah bersepakat mengkafirkan golongan yang memperlekeh, meremeh dan menghina al-Quran dengan apa jua cara sekalipun dalam keadaan mereka mengetahui tentang pengharaman tersebut. Antara jenis penghinaan terhadap al-Quran adalah meremehkan kandungan al-Quran atau mana-mana bahagian daripadanya, meremehkan mushaf dengan meletakkan ia pada tempat yang kotor, mendustakan hukum-hakan dan perkhabaran, menafikan perkara yang disabitkan, mensabitkan perkara yang ternafi atau meragui mana-mana daripada al-Quran[2].

Selain itu, Ibn al-Arabi memperjelaskan lagi bahawa setiap perkataan yang mempersendakan al-Quran, sama ada dilakukan dengan tujuan bermain-main atau dalam keadaan bersungguh-sungguh maka hukumnya seseorang itu tetap menjadi kufur. Apatah lagi, bila mana gurauan itu berkait hal- hal kekufuran, maka ia tetap menjadi kafir tanpa perselisihan ulama[3].

Menurut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, apa-apa perkataan dan perbuatan yang mempersenda, menghina, mencemuh atau menyebabkan dipandang hina ayat-ayat al-Quran atau hadis boleh disabitkan sebagai suatu kesalahan. Hal ini tertakluk di bawah Seksyen 8. Mempersendakan, dll. ayat Al-Quran atau Hadith.

 

ADAB SEBAGAI PENGGUNA MEDIA SOSIAL

  1. Mengeluarkan kenyataan dan kata-kata yang baik

Pada masa kini, tidak dinafikan bahawa penggunaan media sosial sebagai medium komunikasi adalah lebih banyak berbanding komunikasi secara lisan. Justeru, sabda Rasulullah SAW yang memerintahkan agar kita berkata dengan ucapan yang baik amat bertepatan dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَاليَوْمِ الآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

(Riwayat Muslim)

Ibn Rajab menyatakan ciri-ciri yang disebutkan dalam hadis di atas adalah ciri-ciri bagi orang yang beriman[4]. Begitu juga dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa setiap muslim sewajarnya memikir dan membuat pertimbangan awal akan setiap kata-kata atau kenyataan yang dikeluarkan, supaya ketika mana ia jelas tidak membawa kebaikan maka sebaiknya ditinggalkan[5].

  1. Tidak melakukan perkara sia-sia

Media sosial telah menjadi satu medan berinteraksi dan menyampaikan pelbagai informasi, justeru sebagai seorang muslim menjadi satu tanggungjawab untuk menggunakan media ini sebagai medium memberi manfaat kepada diri dan orang lain serta menghindari daripada perkara yang sia-sia selari dengan sebuah hadis Rasulullah SAW agar meninggalkan perkara yang tiada faedah dan sia-sia:

مِنْ حُسْنِ إِسْلاَمِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لاَ يَعْنِيهِ

Maksudnya: “Antara kebagusan keislaman seseorang ialah dia meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat baginya.

(Riwayat al-Tirmidzi)

Imam al-Ghazali mengatakan bahawa antara perkataan yang tidak bermanfaat adalah apa-apa perkara jika ia didiamkan atau tak dicakap tidak akan mendatangkan dosa atau tidak mendatangkan mudarat.[6]

  1. Menjaga percakapan dan perbuatan daripada perkara yang boleh menyakiti dan menjatuhkan maruah umat Islam

Setiap perbuatan dan percakapan manusia akan dicatat dan dipertanggungjawabkan sebagaimana jelas disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ ‎

Maksudnya:Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).

Surah Qaf (18)

Media sosial merupakan salah satu medium yang banyak mencetuskan perselisihan dan perbuatan kurang berakhlak yang berpunca daripada lidah. Banyak dalil syarak telah menjelaskan kepentingan menjaga lidah daripada melakukan kejahatan, antaranya hadis yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْمُسْلِمُ ‌مَنْ ‌سَلِمَ ‌الْمُسْلِمُونَ ‌مِنْ ‌لِسَانِهِ ‌وَيَدِهِ

Maksudnya:Seorang muslim itu adalah mereka yang membuatkan muslim yang lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan juga tangannya.

(Riwayat al-Bukhari)

Ibn Hajar al-‘Asqalani menjelaskan bahawa hadis ini memfokuskan dua anggota badan manusia terutamanya lidah kerana lidah menzahirkan apa yang ada dalam hati. Perbuatan yang dilakukan oleh kedua-dua anggota ini boleh memberi kesan yang besar[7] sama ada kesan yang baik mahupun buruk seperti penulisan di media sosial. Sekiranya perbuatan lidah dan jari-jari ini tidak dikawal dengan adab dan akhlak, akan wujudlah golongan yang tidak menjaga maruah dan sensitiviti agama khususnya agama Islam sehingga melakukan perkara yang melanggar syarak.

  1. Tidak menyokong dan mengikuti trend yang tidak baik

Penularan trend seperti ini sepatutnya tidak berlaku sejak daripada awal lagi. Apatah lagi apabila ia melibatkan perkara yang bercanggah dengan ketetapan hukum syarak sehingga menjejaskan keimanan dan akidah seorang muslim. Tindakan menyokong dan menyahut trend yang tidak baik sehingga ia menjadi ikutan dan dorongan bagi orang lain untuk melakukan hal yang sama adalah perbuatan yang dilarang. Hal ini boleh menyebabkan tersebarnya perbuatan dosa kendatipun larangan ini telah ditegaskan melalui firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ ‎

Maksudnya: “Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya).”

Surah al-Ma’idah (2)

Kesimpulan

  • Perbuatan troll menggunakan ayat al-Quran merupakan satu perbuatan berdosa kerana dianggap sebagai menghina dan merendah-rendahkan al-Quran.
  • Perbuatan seperti ini tidak boleh dipandang enteng kerana berkemungkinan pelakunya boleh jatuh ke lembah kekufuran.
  • Selaku pengguna media sosial, kita seharusnya menjaga batas-batas yang telah ditetapkan oleh syarak serta mempamerkan adab dan akhlak seorang muslim lantaran penggunaannya kini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.
  • Justeru, trend-trend yang “tidak sihat” seperti ini sewajarnya tidak diikuti kerana implikasinya pada agama.

 

Wallahu alam

 

Rujukan:

[1] https://dictionary.cambridge.org/dictionary/english/troll

[2] al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Qaherah: Idarah al-Tiba’ah al-Muniriyyah). Jld 2. Hlm 170.

وَأَجْمَعُوا على ان من استخف بالقرآن أو بشئ مِنْهُ أَوْ بِالْمُصْحَفِ أَوْ أَلْقَاهُ فِي قَاذُورَةٍ أو كذب بشئ مِمَّا جَاءَ بِهِ مِنْ حُكْمٍ أَوْ خَبَرٍ أَوْ نَفَى مَا أَثْبَتَهُ أَوْ أَثْبَتَ مَا نفاه أو شك في شئ مِنْ ذَلِكَ وَهُوَ عَالِمٌ بِهِ كَفَرَ

[3] Abu Bakar Ibn al- ‘Arabi, Muhammad bin Abdullah. Ahkam al-Quran. (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2003). Jld 2. Hlm 543.

لَا يَخْلُو أَنْ يَكُونَ مَا قَالُوهُ مِنْ ذَلِكَ جِدًّا أَوْ هَزْلًا، وَهُوَ كَيْفَمَا كَانَ كُفْرٌ؛ فَإِنَّ الْهَزْلَ بِالْكُفْرِ كُفْرٌ، لَا خُلْفَ فِيهِ بَيْنَ الْأُمَّةِ،

[4] Ibn Rajab al-Hanbali, Abd al-Rahman bin Syihabuddin. Jami’ al-Ulum wa al-Hukmi. (Qaherah: Dar al-Salam, 2004). Jld 1. Hlm 363.

فقوله صلى الله عليه وسلم : " من كان يؤمن بالله واليوم الآخر " فليفعل كذا وكذا ، يدل على أن هذه الخصال من خصال الإيمان

[5] al-Nawawi, Yahya bin Syaraf. al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ Turath al-’Arabi, 1392H). Jld 18. Hlm 117.

وَيَنْبَغِي لِمَنْ أَرَادَ النُّطْقَ بكلمة أو كلام أَنْ يَتَدَبَّرَهُ فِي نَفْسِهِ قَبْلَ نُطْقِهِ فَإِنْ ظهرت مصلحته تكلم وإلا أمسك

[6] al-Dihlawi, Abd al-Haq bin Saif al-Din. Lama‘at al-Tanqih fi Syarh Misykah al-Masabih. (Damsyik: Dar al-Nawadir, 2014). Jld 8. Hlm 159.

«قال الغزالي: وما لا يعنيك من الكلام أن تتكلم بكل ما لو سكت عنه لم تأثم ولم تتضرر في حال ولا مآل»

[7] Ibn Hajar al-‘Asqalani, Ahmad bin ‘Ali . Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari. (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390H). Jld 1. Hlm 54.

«وَخَصَّ اللِّسَانَ بِالذِّكْرِ لِأَنَّهُ الْمُعَبِّرُ عَمَّا فِي النَّفْسِ، وَهَكَذَا الْيَدُ لِأَنَّ أَكْثَرَ الْأَفْعَالِ بِهَا، وَالْحَدِيثُ عَامٌّ بِالنِّسْبَةِ إِلَى اللِّسَانِ دُونَ الْيَدِ ; لِأَنَّ اللِّسَانَ يُمْكِنُهُ الْقَوْلُ فِي الْمَاضِينَ وَالْمَوْجُودِينَ وَالْحَادِثِينَ بَعْدُ، بِخِلَافِ الْيَدِ، نَعَمْ يُمْكِنُ أَنْ تُشَارِكَ اللِّسَانَ فِي ذَلِكَ بِالْكِتَابَةِ، وَإِنَّ أَثَرَهَا فِي ذَلِكَ لَعَظِيمٌ»