Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-851: LARANGAN MELANGKAH KUBUR PALSU DI TANAH KUBUR SEBAGAI KANDUNGAN MEMPROMOSI MEDIA

LARANGAN_MELANGKAH_KUBUR_PALSU_DI_TANAH_KUBUR_SEBAGAI_KANDUNGAN_MEMPROMOSI_MEDIA.jpg

 

SOALAN

Seorang pempengaruh TikTok dikecam hebat apabila tular video dia dan rakannya melangkah kubur di sebuah tanah perkuburan Islam. Video berdurasi 38 saat itu memaparkan dua gadis sedang berjalan-jalan di kawasan perkuburan dan mendakwa di dalamnya tak ada orang serta ia hanya tanah lapang. Bagaimanapun, pemilik akaun Tiktok dikenali Keknan berkata, kubur yang dipaparkan dalam video tersebut adalah palsu dan rekaan semata-mata bagi tujuan pemasaran.

Menurut SS Datuk, bolehkah seseorang itu melangkah kubur palsu semata-mata bagi tujuan pemasaran?

RINGKASAN JAWAPAN

Tanah perkuburan menjadi salah satu kawasan yang perlu dihormati. Hal ini kerana menziarahi tanah kubur dengan tujuan untuk mengingati kematian dan mengambil pelajaran merupakan amalan sunat yang dituntut. Hendaklah perilaku seseorang yang berada di kubur bersesuaian dengan adab-adab ketika menziarahi di tanah kubur. Melangkah kubur palsu di tanah kubur sebagai kandungan mempromosi media adalah jelas termasuk dalam larangan Islam bagi mempromosikan perkara-perkara yang buruk. Sesiapa yang mempromosikan ke arah keburukan akan memperoleh dosa. Disarankan kepada pempengaruh TikTok yang berkenaan untuk bertaubat kepada Allah SWT.

HURAIAN JAWAPAN

LARANGAN MELANGGAR ADAB DI TANAH KUBUR:

Kubur adalah tempat menanam mayat atau orang-orang yang sudah meninggal dunia.[1] Kuburan tanah pula adalah tempat menguburkan mayat iaitu perkuburan tanah lapang atau kawasan tempat menguburkan orang-orang yang telah mati.[2] Tanah perkuburan menjadi salah satu kawasan yang perlu dihormati. Hal ini kerana menziarahi tanah kubur dengan tujuan untuk mengingati kematian dan mengambil pelajaran merupakan amalan sunat yang dituntut.[3] Sebaiknya ketika menziarahi tanah kubur, seseorang hendaklah senantiasa menjaga adab agar ziarah kubur yang dilakukannya mendapat pahala dan memberi manfaat. Firman Allah SWT:

أَلۡهَىٰكُمُ ٱلتَّكَاثُرُ حَتَّىٰ زُرۡتُمُ ٱلۡمَقَابِرَ كَلَّا سَوۡفَ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), Sehingga kamu masuk kubur Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!”.

Surah al-Takathur (1-3)

Terdapat dalam perbahasan ayat ini menunjukkan bahawa apabila sesorang disibukkan dengan kemanisan hidup di dunia untuk mendapat sebanyak-banyaknya harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh, lalu seseorang itu menziarahi tanah kubur, maka seseorang itu akan menyedari sebahagian daripada azab Allah SWT.[4] Hal ini kerana menziarahi tanah kubur adalah salah satu ubat paling efektif bagi merawat hati yang keras melalui ingatan terhadap kematian dan hari akhirat. Perkara seperti ini menghapuskan sikap angan-angan kosong, zuhud terhadap dunia dan menipiskan kecenderungan kepada dunia.[5]

Selain itu, ayat ini menjelaskan beberapa adab dalam menziarahi tanah kubur. Hendaklah perilaku seseorang yang berada di kubur bersesuaian dengan adab-adab ketika menziarahi di tanah kubur. Begitu juga hendaklah seseorang itu menyediakan hatinya ketika menziarah tanah kubur. Bukanlah menjadi tujuan seseorang itu menziarahi tanah kubur hanya sekadar merayau-rayau di sekitar kubur, hal ini kerana perilaku berkeliling seperti ini juga adalah perilaku yang dibuat oleh haiwan di dalam hutan. Sebaliknya, tujuan menziarahi tanah kubur hendaklah menggapai reda Allah SWT, memperbaiki kerosakan hati atau melakukan amalan yang bermanfaat kepada roh penghuni kubur menerusi bacaan al-Quran dan berdoa di sisi kuburnya.[6]

Oleh itu, video melangkah kubur palsu di tanah perkuburan merupakan perilaku yang tidak menghormati tanah kubur sebagai kawasan mengingati kematian dan mengambil pelajaran. Perilaku tersebut juga bertentangan dengan adab-adab ketika menziarahi di tanah kubur. Video yang viral itu turut memperlihatkan perilaku dua gadis tidak bertujuan baik kerana mengambil kesempatan untuk merayau-rayau sekitar kubur di tanah lapang. Hal ini didapati apabila dua gadis tidak memperbaiki kerosakan hati melalui percakapan mereka di tanah kubur dan tidak melakukan amalan yang bermanfaat kepada roh penghuni kubur menerusi bacaan al-Quran dan berdoa di sisi kuburnya.

LARANGAN MEMPERSENDAKAN AGAMA DEMI KANDUNGAN MEMPROMOSI MEDIA

Di samping itu, Allah SWT mengarahkan untuk menjauhi diri daripada golongan yang mempersendakan agama. Firman Allah SWT:

وَذَرِ الَّذِينَ اتَّخَذُوا دِينَهُمْ لَعِبًا وَلَهْوًا وَغَرَّتْهُمُ الْحَيَاةُ الدُّنْيَا

Maksudnya: “Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia”.

(Surah al-An’am; 70)

Ayat ini menerangkan bahawa golongan mempersendakan agama ini telah menggunakan agama untuk mendapatkan sokongan, pangkat, kedudukan, bertujuan menjatuhkan musuh dan mengumpulkan harta. Mereka adalah golongan yang menggunakan agama untuk mendapatkan dunia. Sedangkan, Allah SWT telah menyebutkan di dalam banyak ayat al-Quran bahawa dunia ini hanyalah permainan dan hiburan.[7]

 

Lebih-lebih lagi, Nabi SAW memberi amaran bagi sesiapa yang mempromosikan kandungan yang buruk. Sabda baginda SAW:

ومَن دَعا إلى ضَلالَةٍ، كانَ عليه مِنَ الإثْمِ مِثْلُ آثامِ مَن تَبِعَهُ، لا يَنْقُصُ ذلكَ مِن آثامِهِمْ شيئًا.

Maksudnya: Sesiapa yang mengajak ke arah keburukan, maka ia memperoleh dosa sebagaimana dosa-dosa orang-orang yang mengikutinya tanpa mengurangkan dosa-dosa mereka yang mencontohinya itu sedikit pun.

(Riwayat Muslim)

Hadis ini jelas menunjukkan larangan mempromosikan perkara-perkara yang buruk.[8] Larangan ini meliputi keburukan bagi orang memulakan atau mendahului melakukan perkara tersebut. Begitu juga merangkumi sama ada dalam perkara mengajar ilmu, ibadah, adab, menjauhi perkara yang dilarang atau tercela.[9] Hadis ini menyatakan bahawa sesiapa yang mempromosikan ke arah keburukan akan memperoleh dosa kerana disebabkan perbuatannya merupakan ciri-ciri syaitan. Tambahan pula, seorang hamba sememangnya berhak mendapat balasan disebabkan perbuatan dan juga konsekuensinya.[10]

KESIMPULAN

Oleh hal yang demikian:

  • Melangkah kubur palsu di tanah perkuburan merupakan perilaku yang tidak menghormati tanah kubur sebagai kawasan mengingati kematian dan mengambil pelajaran. Perilaku tersebut juga bertentangan dengan adab-adab ketika menziarahi di tanah kubur.
  • Menggunakan kandungan video melangkah kubur palsu semata-mata bagi tujuan pemasaran dan mempromosi media adalah termasuk dalam mempersendakan agama yang menggunakan agama sebagai kandungan untuk mendapatkan habuan dunia.
  • Melangkah kubur palsu di tanah kubur sebagai kandungan mempromosi media adalah jelas termasuk dalam larangan Islam bagi mempromosikan perkara-perkara yang buruk. Sesiapa yang mempromosikan ke arah keburukan akan memperoleh dosa. Disarankan kepada pempengaruh TikTok yang berkenaan untuk bertaubat kepada Allah SWT.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Al-Asfahani, al-Raghib, Mufradat Alfaz al-Quran (Damsyiq: Dar al-Qalam, 1312 H), 651. Teks asal:

القَبْرُ: مقرّ الميّت، ومصدر قَبَرْتُهُ: جعلته في القَبْرِ، وأَقْبَرْتُهُ: جعلت له مكانا يُقْبَرُ فيه.

[2] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=kubur&d=175768&

[3] Abu Hamid al-Ghazali, Ihya’ Ulum ad-Din, (Beirut: Dar Ma’rifah, t.t.), 4: 490. Teks asal:

زيارة القبور مستحبة على الجملة للتذكر والاعتبار

[4] Abu Abdullah Muhammad Ibn Ahmad al-Ansariy al-Qurtubi, al-Jami' li Ahkam al-Qur'an, (Kaherah: Dar Kutub al-Masriyyah, 1964), 20: 169. Teks asal:

وَقِيلَ: هَذَا وَعِيدٌ. أَيِ اشْتَغَلْتُمْ بِمُفَاخَرَةِ الدُّنْيَا، حَتَّى تَزُورُوا الْقُبُورَ، فَتَرَوْا مَا يَنْزِلُ بِكُمْ مِنْ عَذَابِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

[5] Ibid, 20: 170. Teks asal:

وَزِيَارَتُهَا مِنْ أَعْظَمِ الدَّوَاءِ لِلْقَلْبِ الْقَاسِي، لِأَنَّهَا تُذَكِّرُ الْمَوْتَ وَالْآخِرَةَ. وَذَلِكَ يَحْمِلُ عَلَى قِصَرِ الْأَمَلِ، وَالزُّهْدِ فِي الدُّنْيَا، وَتَرْكِ الرَّغْبَةِ فِيهَا

[6]   Ibid, 20: 171. Teks asal:

فَيَنْبَغِي لِمَنْ عَزَمَ عَلَى الزِّيَارَةِ، أَنْ يَتَأَدَّبَ بِآدَابِهَا، وَيُحْضِرَ قَلْبَهُ فِي إِتْيَانِهَا، وَلَا يَكُونَ حَظُّهُ مِنْهَا التَّطْوَافُ عَلَى الْأَجْدَاثِ فَقَطْ، فَإِنَّ هَذِهِ حَالَةٌ تُشَارِكُهُ فِيهَا بَهِيمَةٌ. وَنَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ ذَلِكَ. بَلْ يَقْصِدُ بِزِيَارَتِهِ وَجْهَ اللَّهِ تَعَالَى، وَإِصْلَاحِ فَسَادِ قَلْبِهِ، أَوْ نَفْعِ الْمَيِّتِ بِمَا يَتْلُو عِنْدَهُ مِنَ الْقُرْآنِ وَالدُّعَاءِ،

[7] Mafatih al-Ghaib, Fakhruddin al-Razi. Teks asal:

والخامس: وهو الأقرب، أن المحقق في الدين هو الذي ينصر الدين لأجل أنه قام الدليل على أنه حق وصدق وصواب. فأما الذين ينصرونه ليتوسلوا به إلى أخذ المناصب والرياسة وغلبة الخصم وجمع الأموال فهم نصروا الدين للدنيا، وقد حكم الله على الدنيا في سائر الآيات بأنها لعب ولهو. فالمراد من قوله: وذر الذين اتخذوا دينهم لعبا ولهوا هو الإشارة إلى من يتوسل بدينه إلى دنياه. وإذا تأملت في حال أكثر الخلق وجدتهم موصوفين بهذه الصفة وداخلين تحت هذه الحالة. والله أعلم

[8] Ibn Ruslan, Syarah Sunan Abi Daud (Mesir: Dar al-Falah li al-Bahs al-Ilmi, 2016), 18: 123. Teks asal:

وهذا صريح في استحباب سن الأمور الحسنة وتحريم سن الأمور السيئة،

[9] Ibn Ruslan, Syarah Sunan Abi Daud (Mesir: Dar al-Falah li al-Bahs al-Ilmi, 2016), 18: 123. Teks asal:

سواء كان ذلك الهدى والضلالة هو الذي ابتدأه، أو كان مسبوقًا إليه، وسواء كان ذلك تعليم علم أو عبادة أو أدب أو تجنب محرم أو مكروه،

[10] Faidhul Qadir. Teks asal:

(‌ومن ‌دعا ‌إلى ‌ضلالة) ابتدعها أو سبق بها (فإن عليه من الإثم مثل آثام من تبعه) لتولده عن فعله الذي هو من خصال الشيطان والعبد يستحق العقوبة على السبب وما تولد منه