
Soalan
Assalamualaikum tuan mufti, di kawasan-kawasan bandar macam Kuala Lumpur dan Selangor, saya lihat banyak kenderaan-kenderaan dibiarkan sehingga rosak bahkan mengganggu lalu lintas dan memburukkan pemandangan. Bolehkah tuan mufti keluarkan sedikit nasihat kepada pemilik-pemilik kereta yang tidak bertanggungjawab seperti mereka ini? Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Kenderaan rosak yang ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga terbiar usang sering kali dilihat berlaku di kawasan perumahan penduduk sama ada rumah teres mahupun pangsapuri, bahkan terkadang di taman permainan serta tempat letak kereta awam. Oleh itu, jika kenderaan terbiar atau tukun jalan ini dapat dihapuskan maka ia akan memberikan kesejahteraan kepada setiap lapisan masyarakat bahkan dapat memulihkan keindahan pemandangan kawasan bandar, laluan awam mahupun perumahan tempatan. Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga kelestarian alam sekitar. Bagi memenuhi hasrat negara untuk terus memacu ke arah negara maju maka setiap individu tidak kira kaum dan agama harus prihatin dan cakna terhadap isu tukun jalan ini, agar negara Malaysia dapat menjadi negara yang bersih, makmur dan sejahtera.
Huraian Jawapan
Kenderaan rosak yang ditinggalkan oleh individu tidak bertanggungjawab sehingga terbiar usang sering kali dilihat berlaku di kawasan perumahan penduduk sama ada rumah teres mahupun pangsapuri, bahkan terkadang di taman permainan serta tempat letak kereta awam.
Pada November tahun 2022, akhbar Wilayah Ku juga pernah mengeluarkan satu artikel berkenaan isu ini dalam segmen Cerita Kedai Kopi bertajuk “Lupuskan ‘tukun’ di taman”. Menurut akhbar Wilayah Ku, kenderaan-kenderaan rosak yang ditinggalkan sehingga terbiar usang ini disebut sebagai tukun tetapi ia berbeza dengan tukun tiruan yang berada di lautan.[1] Hal ini kerana, kewujudan tukun tiruan berfungsi sebagai perangkap ikan dan perkara tersebut merupakan sesuatu yang bermanfaat kepada manusia.[2]
Tetapi berbeza dengan ‘tukun jalan’, jika sesiapa yang pernah melihat jenis tukun jalan ini pasti mengetahui tukun ini mempunyai beberapa bentuk seperti van, kereta sedan dan motosikal. Keadaannya yang usang, buruk, berkarat jelas menunjukkan ia ditinggalkan oleh pemilik asal. Tukun jalan yang berada di jalan-jalan atau kawasan-kawasan perumahan sekitar ibu kota ini merupakan tukun yang mencemarkan pemandangan sekitar ibu kota. Lebih parah kewujudannya boleh menyebabkan kemalangan serta kecederaan kepada orang ramai.[3]
Berdasarkan kepada penelitian yang telah dilakukan, isu tukun jalan ini perlu dilihat daripada beberapa aspek seperti aspek perundangan, adab sebagai pengguna sama ada pengguna kenderaan atau kemudahan awam dan hak mengambil harta orang lain.
Umumnya dalam aspek perundangan, sekiranya sesuatu kenderaan diletakkan di sesuatu tempat sehingga menghalang laluan jalan raya maka ia merupakan satu kesalahan sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987. Bahkan jika perbuatan tersebut boleh mendatangkan kemudaratan serta bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain pemilik kenderaan tersebut boleh dikenakan tindakan undang-undang.[4]
Di samping itu, terdapat kaedah fiqh yang menyebut:
لا ضرر ولا ضرار
Maksudnya: Tidak boleh mudarat dan tidak boleh memudaratkan.
Justeru, hukum menghalang lalu lintas sehingga boleh membawa kemudaratan adalah dilarang dan diharamkan syarak. Terdapat satu hadis yang boleh digunakan sebagai panduan, Nabi SAW bersabda:
لَقَدْ رَأَيْتُ رَجُلًا يَتَقَلَّبُ فِي الْجَنَّةِ، فِي شَجَرَةٍ قَطَعَهَا مِنْ ظَهْرِ الطَّرِيقِ، كَانَتْ تُؤْذِي النَّاسَ
Maksudnya: Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki bermundar-mandir di dalam Syurga, (dia masuk ke dalam Syurga) atas perbuatan baiknya iaitu memotong sepohon pokok yang berada di tengah-tengah jalan, yang sejak lama menganggu orang ramai yang lalu-lalang di situ.[5]
(Riwayat Muslim)
Dalam aspek adab dan etika pula, pengguna kenderaan atau pengguna kemudahan awam perlu menjaga adab dan etika mereka sebagai seorang pengguna. Perkara ini penting bagi memastikan kesejahteraan dan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat. Sebagai pengguna yang berhemah perlu peka terhadap keadaan sekeliling, jangan melakukan sesuatu perkara yang boleh menyebabkan kesusahan kepada orang lain. Sebagai contoh, jika seseorang individu tersebut mempunyai kenderaan yang tidak lagi digunakannya dan telah usang, maka antara tindakan terbaik yang boleh dilakukan ialah dengan melupuskannya pada tempat yang sepatutnya seperti menjualnya pada kedai besi buruk atau scrap kereta. Jika tidak kenderaan usang tersebut akan menjadi tukun jalan yang merosakkan pemandangan kawasan sekitar, menjadi tempat pembuangan sampah haram dan juga akan menjadi sarang binatang berbisa jika ia terus dibiarkan. Bertepatan dengan satu hadis bahawa Nabi SAW bersabda:
الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ - أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ - شُعْبَةً، فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ، وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنِ الطَّرِيقِ، وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنَ الْإِيمَانِ
Maksudnya: Iman itu mempunyai lebih 70 atau 60 cabang dan yang paling utama serta tertinggi adalah mengucapkan ‘tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah’, manakala paling rendah adalah membuang benda-benda menyakitkan di laluan perjalanan. Sifat malu juga adalah sebahagian daripada iman.[6]
(Riwayat Muslim)
Kewujudan tukun jalan ini bukan sahaja menyebabkan pemandangan alam tercemar tetapi juga boleh menyebabkan kecederaan kepada masyarakat sekitar apabila berlaku kemalangan. Hadis di atas menjelaskan tentang kaedah melestarikan alam sekitar, iaitu dengan membuang perkara-perkara yang boleh menyakit atau memudaratkan di sepanjang laluan perjalanan.[7] Hal seperti ini tidak boleh dipandang remeh oleh seluruh masyarakat kerana dalam kehidupan bermasyarakat, setiap individu perlu ada rasa tanggungjawab untuk menjaga keharmonian antara satu sama lain.
Dari sudut perundangan pula, masyarakat boleh mengadukan kenderaan terbiar atau tukun jalan ini kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Menurut Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akat 133), menyebutkan bahawa mereka yang didapati bersalah boleh didenda maksimum RM500 atas kesalahan meletakkan kenderaan terbiar di tempat awam.[8] Selain itu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga boleh memindahkan dan melupuskan kenderaan terbiar tersebut setelah notis yang dikeluarkan dalam tempoh yang ditetapkan.[9] Dalam melaksanakan perkara ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar di Kawasan Operasi Pihak Berkuasa Tempatan.[10]
Kesimpulan
i. Kenderaan terbiar atau tukun jalan ini mestilah dikendalikan dengan baik oleh pihak berkuasa seperti kitar semula, guna semula dan sebagainya supaya ia dapat memberikan kesejahteraan kepada setiap lapisan masyarakat bahkan dapat memulihkan keindahan pemandangan kawasan bandar, laluan awam mahupun perumahan tempatan. Islam menganjurkan umatnya untuk sentiasa menjaga kelestarian alam sekitar.
ii. Bagi memenuhi hasrat negara untuk terus memacu ke arah negara maju maka setiap individu tidak kira kaum dan agama harus prihatin dan cakna terhadap isu tukun jalan ini, agar negara Malaysia dapat menjadi negara yang bersih, makmur dan sejahtera.
Wallahuaʻlam.
Rujukan:
[1] Rujuk Akhbar Wilayah Ku. Lupuskan ‘tukun’ di taman. (4 – 10 November 2022). 4.
[2] Rujuk Utusan Borneo Online. Pelihara hidupan marin, 1100 tukun tiruan ditanam di perairan Sampadi-Tanjung Datu. (26 Oktober 2020). https://www.utusanborneo.com.my/2020/10/26/pelihara-hidupan-marin-1100-tukun-tiruan-ditanam-di-perairan-sampadi-tanjung-datu.
[3] Rujuk Akhbar Wilayah Ku. Lupuskan ‘tukun’ di taman. (4 – 10 November 2022). 4.
[4] Rujuk SEKSYEN 48(1) AKTA 333 AKTA PENGANGKUTAN JALAN 1987:
Jika mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor menyebabkan atau membenarkan kenderaan motor itu dihentikan di mana-mana jalan dalam apa-apa kedudukan atau apa-apa keadaan atau apa-apa hal keadaan yang mungkin menyebabkan bahaya, galangan atau kesusahan tidak berpatutan kepada pengguna jalan yang lain atau kepada lalu lintas, dia melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak kurang daripada satu ribu ringgit dan tidak lebih daripada lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau kedua-duanya
[5] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim. ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t.), hadis no. 1914, jld. 4: hlm. 2021.
[6] Muslim bin al-Hajjaj, Sahih Muslim. ed. Muhammad Fu’ad ‘Abd al-Baqi, hadis no. 35, 1: 63.
[7] Zaini Ujang dan Zulkifli Mohd Yusoff, 40 Hadis Pelestarian Alam Sekitar (Kuala Lumpur: Institut Terjemahan dan Buku Malaysia, 2020), 12.
[8] Rujuk Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Seksyen 46(1)(e) dan Seksyen 46(3)(a).
[9] Rujuk Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), Seksyen 116.
[10] Rujuk Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Terbiar di Kawasan Operasi Pihak Berkuasa Tempatan di pautan: https://jkt.kpkt.gov.my/sites/default/files/2020-02/4.%20GP%20Pengurusan%20Kenderaan%20Terbiar.pdf.