
Soalan
Perkhidmatan tukar duit raya kini semakin mendapat sambutan, khususnya dalam kalangan individu yang bekerja dan kekurangan masa untuk mendapatkan wang pecahan di bank. Oleh itu, sebahagian pihak menawarkan perkhidmatan tersebut dengan mengenakan upah sebagai bayaran atas kemudahan yang disediakan. Persoalannya, adakah upah itu riba?
Ringkasan Jawapan
Hukum mengenakan caj bagi pertukaran duit raya adalah haram kerana ia termasuk dalam riba, iaitu apabila berlaku pertukaran wang dengan tambahan yang tidak dibenarkan oleh syarak. Namun, jika seseorang itu hanya bertindak sebagai wakil untuk menukar duit dengan pihak ketiga, maka dia dibolehkan mengenakan caj perkhidmatan sebagai wakil dengan kadar caj yang jelas nilainya dan dipersetujui bersama. Sebaliknya, jika seseorang menukar duit terlebih dahulu dalam jumlah yang banyak dan kemudian menawarkan perkhidmatan menukar duit dengan mengenakan caj, maka hukum perbuatan tersebut ialah haram, kerana ia termasuk di dalam kategori riba.
Huraian Jawapan
Dari sudut fiqah, pertukaran wang dengan wang disebut sebagai kontrak jual beli sarf. Hukum-hukum berkaitan kontrak sarf adalah terpakai dalam konteks pertukaran duit raya, kerana ia melibatkan pertukaran sejumlah wang dalam pecahan tertentu dengan wang yang lain dalam pecahan tertentu yang disepakati bersama. Justeru itu, pertukaran wang dengan wang seperti yang dilakukan dalam penukaran duit raya perlu menepati ketetapan syarak dalam hukum jual beli sarf bagi mengelakkan berlakunya unsur riba.
Riba secara ringkasnya merujuk kepada pertukaran antara item-item ribawi dengan nilai antara item-item tersebut tidak seimbang, atau pertukaran tersebut tidak berlaku pada waktu akad yang sama.[1] Item-item yang dianggap ribawi (terpakai hukum-hukum berkaitan riba) ini adalah seperti yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:
الذَّهبُ بالذَّهبِ والفضَّةُ بالفِضَّةِ والبُرُّ بالبُرِّ والشعِيرُ بالشعِيرِ والتمْرُ بالتمْرِ والمِلحُ بالمِلحِ مِثْلًا بِمِثْلٍ سوَاءً بِسَواءٍ يدًا بِيَدٍ، فإذَا اخْتَلَفَت هذهِ الأصْنَافُ، فبيعوا كيفَ شئْتُمْ، إذَا كانَ يدًا بِيَد
Maksudnya : “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (dalam satu majlis). Namun, jika kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah sebagaimana yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta.”
Riwayat Muslim
Wang ringgit yang digunakan pada hari ini sebagai mata wang adalah termasuk daripada item ribawi, dengan mengambil kira hukum emas dan perak, seperti yang diputuskan oleh majoriti majlis fatwa antarabangsa, seperti Lembaga Ulama Besar Arab Saudi, Akademi Fiqh Islami di bawah Liga Dunia Islam, Akademi Fiqh Islam bawah Organisation for Islamic Cooperation (OIC) dan Akademi Fiqh India, yang bersepakat bahawa pertukaran wang fiat adalah tertakluk kepada hukum riba seperti emas dan perak.
Fatwa-fatwa ini menyatakan bahawa wang kertas yang digunakan pada masa kini sama hukumnya seperti emas dan perak, kerana meskipun wang fiat tidak mempunyai nilai intrinsik seperti emas dan perak, namun ia diqiyaskan kepada emas dan perak secara qiyas shabah kerana wang fiat menyerupai emas dan perak dari segi penggunaannya sebagai medium pertukaran dan pengukur nilai.
Justeru dalam konteks menukar wang ringgit antara pecahan tertentu dengan pecahan tertentu, kedua-dua pertukaran tersebut dianggap sebagai pertukaran item ribawi daripada jenis yang sama, maka transaksi pertukaran tersebut wajib mematuhi dua syarat utama berikut, iaitu; (1) sama pada nilai kedua-dua item pertukaran, dan (2) pertukaran hendaklah berlaku dalam satu majlis tanpa bertangguh.
- Pertukaran Antara Dua Item Yang Sama Nilainya
Syarat pertama yang wajib diikuti apabila melakukan pertukaran duit ialah amaun yang ditukar mestilah sama. Sebagai contoh, sekeping RM100 ditukar menjadi 10 keping RM10 atau 100 keping RM1. Sebarang perbezaan dalam amaun yang ditukar adalah dikira sebagai riba al-fadl yang diharamkan walaupun ia disebut sebagai caj perkhidmatan atau apa-apa nama yang lain dan walaupun terdapat perbezaan kualiti duit kertas tersebut. Syeikh Khatib al-Syirbini menyebut ketika menjelaskan jenis-jenis riba:[2]
رِبَا الْفَضْلِ وَهُوَ الْبَيْعُ مَعَ زِيَادَةِ أَحَدِ الْعِوَضَيْنِ عَنْ الْآخَرِ
Maksudnya: “(Salah satu jenis riba ialah) riba al-fadl iaitu jual beli dengan tambahan pada salah satu barang jualan.”
Syeikh Taqiyyuddin al-Subki juga turut menjelaskan lebih lanjut mengenai pengharaman jual beli atau pertukaran mata wang dengan nilai pertukaran yang tidak sama, dengan penjelasan beliau seperti berikut:
قال أصحابنا لا يجوز بيع الذهب بالذهب متفاضلا ولا الفضة بالفضة كذلك سواء كانا مصوغين أو تبرين أو عينين أو أحدهما مصوغا والآخر تبرا أو عينا أو جيدين أو رديئين أو أحدهما جيدا والآخر رديئا أو كيف كان
Maksudnya: “Ashab kami (ulama mazhab Syafi’i) berkata: Tidak diharuskan menjual emas dengan emas secara berat yang tidak sama, begitu juga perak dengan perak. Sama ada kedua-duanya telah ditempa (menjadi perhiasan), dalam bentuk jongkong/serbuk atau dalam bentuk mata wang. Begitu juga sama ada salah satunya telah ditempa manakala yang satu lagi dalam bentuk jongkong atau mata wang dan sama ada kedua-duanya berkualiti baik, atau kedua-duanya berkualiti rendah, atau salah satunya berkualiti baik manakala yang satu lagi berkualiti rendah, atau dalam apa jua keadaan sekalipun."[3]
Hal yang sama turut ditegaskan oleh Imam al-Nawawi, yang menyatakan bahawa pertukaran yang melibatkan jenis yang sama seperti pertukaran emas dengan emas, maka tidak boleh berlaku tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga (tafadhul).[4] Justeru, pertukaran wang ringgit dengan wang ringgit dalam pecahan yang berbeza juga perlu dipastikan dalam jumlah amaun yang sama, kerana ia tertakluk kepada hukum riba yang diqiyaskan kepada emas dan perak.
- Pertukaran mesti berlaku dalam satu majlis tanpa bertangguh
Syarat kedua yang wajib dipenuhi ialah serahan wang oleh kedua-dua pihak tersebut mestilah berlaku dalam satu majlis tanpa bertangguh. Sebagai contoh, jika A memberi sekeping wang kertas RM100 kepada B untuk ditukar kepada 10 keping wang kertas RM10 yang akan diserahkan pada esok hari, maka transaksi ini adalah haram dan tidak sah kerana berlakunya riba al-nasi’ah iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan cas tambahan.[5]
Namun, jika A menyerahkan duit kepada B untuk ditukar dengan C, kemudian B menyerahkan semula duit yang telah ditukar kepada A pada esok hari, maka hukumnya adalah harus dengan syarat pertukaran antara B dan C berlaku secara serta-merta. Tempoh kelewatan B dalam menyerahkan semula wang tersebut kepada A bukanlah dianggap sebagai riba al-nasi’ah dalam keadaan ini.
Justeru, transaksi yang melibatkan pertukaran item ribawi hendaklah mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak, bagi memastikan transaksi tersebut tidak bercanggahan dengan hukum syarak. Jika tidak, kedua-dua pihak yang menjalankan transaksi tersebut dianggap melakukan riba yang diharamkan, seperti sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id al-Khudri R.A:
فَمَنْ زَادَ، أَوِ اسْتَزَادَ، فَقَدْ أَرْبَى، الْآخِذُ وَالْمُعْطِي فِيهِ سَوَاءٌ.
Maksudnya: “Sesiapa menambah atau meminta tambahan, maka dia terjebak dengan riba. Orang yang mengambil tambahan tersebut dan orang yang memberinya sama-sama berada dalam dosa riba”
Riwayat Muslim
Hukum Upah Wakil Menukar Duit
Selain daripada perbincangan hukum pertukaran duit tadi, terdapat keadaan tertentu yang mengharuskan pengenaan caj upah kepada wakil untuk menukar duit. Sebagai contoh, A ingin menukar RM100 di bank tetapi tidak mempunyai masa untuk pergi ke bank. Oleh itu, A melantik B untuk pergi menukar duit di bank. B pula mengenakan upah sebanyak RM15 atas perkhidmatan tersebut.
Dalam hal ini, hukum caj atau upah tersebut adalah diharuskan kerana ia merupakan upah kepada wakil untuk pergi menukar duit dengan pihak lain, bukan upah atas perkhidmatan menukar duit itu sendiri. Namun, keharusan ini dengan syarat wakil tersebut mesti dilantik oleh pewakil yang ingin menukar duit dan caj yang dikenakan itu mesti diketahui dengan jelas dan dipersetujui sebelum transaksi dibuat. Steikh Khatib Syarbini dalam al-Mughni al-Muhtaj menyatakan:
وَيُشْتَرَطُ كَوْنُ الْأُجْرَةِ الَّتِي فِي الذِّمَّةِ (مَعْلُومَةً) جِنْسًا وَقَدْرًا وَصِفَةً كَالثَّمَنِ فِي الْبَيْعِ
Maksudnya: Disyaratkan bagi keadaan upah itu yang dinyatakan dalam perjanjian itu (diketahui) jenisnya dan kadarnya dan sifatnya seperti (mengetahui) harga dalam jual beli.[6]
Walau bagaimanapun, satu perkara yang sering dilakukan oleh sebahagian orang ialah menukar duit dengan banyak di bank, kemudian menjualnya kepada orang lain dan mengenakan caj atas alasan telah penat lelah pergi dan beratur di bank. Hukum bagi transaksi seperti ini adalah haram kerana individu tersebut bukan wakil yang dilantik yang berhak menerima upah, maka sebarang caj yang dikenakan adalah dihukumkan sebagai riba, seperti yang telah dijelaskan di awal penulisan ini.
Kesimpulan
Hukum mengenakan caj bagi menukar duit raya adalah haram kerana ia terkategori sebagai riba yang diharamkan. Namun terdapat pengecualian dalam situasi seseorang yang dilantik sebagai wakil untuk menukar duit dengan pihak ketiga, maka wakil tersebut boleh mengenakan caj sebagai wakil yang telah disepakati caj perkhidmatannya. Manakala jika seseorang itu terlebih dahulu menukar duit, kemudian menawarkan perkhidmatan menukar duit dengan caj, maka hukumnya adalah haram.
Wallahu a'lam
Rujukan:
[1] Shams al-Dīn Muḥammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Maʻrifah Maʻānī al-Minhāj, Beirut: Dār al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2:363.
وَشَرْعًا: عَقْدٌ عَلَى عِوَضٍ مَخْصُوصٍ غَيْرِ مَعْلُومِ التَّمَاثُلِ فِي مِعْيَارِ الشَّرْعِ حَالَةَ الْعَقْدِ أَوْ مَعَ تَأْخِيرٍ فِي الْبَدَلَيْنِ أَوْ أَحَدِهِمَا
[2] Shams al-Dīn Muḥammad al-Khaṭīb al-Shirbīniy (1994), Mughnī al-Muḥtāj ilā Maʻrifah Maʻānī al-Minhāj, Beirut: Dār al-Kutub al-'Ilmiyyah, 2:363.
[3] Taqiyyuddin Ali bin Abdul Kafi al-Subki, Takmilat al-Subki ‘ala al-Majmu’ Sharh al-Muhazzab, (Kaherah: Matba’ah al-Tadhamun, 1352H), 10:83.
[4] Abu Zakaria mahyuddin bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Sharh al-Muhadzzab (Dar al-fikr) Jld. 10 Hlm. 83
[5] Wahbah bin Mustofa al-Zuhaili, Fiqh al-Islamiy wa Adillatuhu (Damsyik: Dar al-Fikr, cetakan ke-4, t.t) 5/704
ربا النسيئة: وهو البيع لأجل أي البيع نسيئة إلى أجل ثم الزيادة عند حلول الأجل، وعدم قضاء الثمن في مقابلة الأجل، أي أن الزيادة في أحد البدلين من غير عوض في مقابلة تأخير الدفع، سواء من جنس واحد أم جنسين مختلفين، وسواء أكانا متساويين أم متفاضلين
[6] Shams al-Din Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Shirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Ma’ani Alfazi al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994), 3:444.