Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-951: MUSTAHADAH GOLONGAN KEENAM 

MUSTAHADAH_GOLONGAN_KEENAM .jpg

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t, saya persoalan berhubung satu situasi. Isteri saya keluar haid pada bulan ini melebihi tempoh maksimum haid. Dia tidak boleh membezakan warna darah bahkan lupa kiraan haidnya pada bulan lepas. Dia hanya ingat bilangan harinya sahaja. Bagaimanakah kiraan haid isteri saya pada bulan ini ? Adakah sama dengan bulan lepas ? Mohon penjelasan

Ringkasan jawapan:

Golongan mustahadah yang keenam adalah wanita yang pernah keluar haid dan suci sebelum ini, tidak mampu membuat perbezaan pada sifat-sifat darah, mengingati bilangan hari haid bulan sebelumnya serta lupa permulaan tarikh keluar darah. Hukum baginya adalah seperti berikut:

  1. Hari-hari yang diyakini haid disabitkan sebagaimana hukum wanita haid, manakala hari-hari yang diyakini suci disabitkan sebagaimana hukum wanita istihadah.
  2. Hari-hari yang berkemungkinan haid dan suci, maka perlu mengambil langkah berhati-hati ketika beribadat. Namun, memadai dengan berwuduk ketika hendak solat fardu.
  3. Hari-hari yang berkemungkinan haid, suci dan berhenti darah, maka perlu juga mengambil langkah berhati-hati ketika ibadat. Tidak memadai dengan wuduk sahaja bahkan perlu mandi wajib setiap kali hendak solat fardu.

Huraian jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Dalam mazhab al-Syafi’i, golongan keenam mustahadah disebut sebagai mutahayyirah ghair mumayyizah zakiratun li ‘adatiha qadran la waqtan. Mereka adalah wanita yang pernah didatangi haid dan suci pada bulan sebelumnya serta tidak mampu membezakan sifat-sifat darah (warna, kepekatan, bau). Mereka ingat akan bilangan hari haid bulan sebelumnya namun lupa waktu permulaan keluarnya.[1]

Hukum bagi golongan ini adalah seperti mana berikut[2]:

  1. Setiap hari yang diyakini haid maka disabitkan sebagaimana hukum wanita haid. Manakala, setiap hari yang diyakini suci maka disabitkan sebagaimana hukum wanita istihadah.
  2. Setiap hari yang berkemungkinan haid dan suci, maka diwajibkan berhati-hati (ihtiyat) dalam melakukan ibadat pada waktu tersebut. Mereka mengambil hukum wanita haid pada sebahagian ibadat dan juga mengambil hukum wanita suci pada sebahagian ibadat lain. Perbincangan tentang ibadat ketika tempoh ihtiyat telah dijelaskan dalam artikel sebelum ini berkaitan Mutahayyirah Mutlaqah. Namun, memadai dengan mengambil wuduk sahaja ketika hendak menunaikan solat fardu kerana tempoh ini disebut sebagai tempoh haid yang meragukan.
  3. Setiap hari yang berkemungkinan haid, suci dan terputus darah, maka mereka juga berihtiyat ketika melakukan ibadat. Selain itu, wajib mandi junub untuk setiap kali solat fardu kerana tempoh ini disebut sebagai tempoh suci yang meragukan.

Berikut merupakan contoh-contoh permasalahan:

1. Wanita keluar darah pada bulan terkini selama 30 hari berterusan. Dia mengingati bilangan hari haid bulan sebelumnya iaitu sebanyak 5 hari dalam 10 hari yang pertama namun lupa tarikh permulaan keluar darah. Walau bagaimanapun, hari pertama bulan tersebut diyakini suci.[3]

MUSTAHADAH_GOLONGAN_KEENAM_1.docx.jpg

2. Wanita keluar darah pada bulan terkini 30 hari berterusan dan warna darah yang dilihat adalah sama. Dia mengingati bilangan hari haid bulan sebelumnya iaitu sebanyak 7 hari dalam 10 hari yang pertama. Namun, dia tidak mengingati tarikh permulaan keluar darah.

MUSTAHADAH_GOLONGAN_KEENAM_2.docx.jpg

3. Wanita keluar darah pada bulan terkini selama 16 hari berterusan. Dia mengingati bilangan haid bulan sebelumnya iaitu 5 hari dalam separuh bulan yang pertama. Akan tetapi, dia lupa permulaan tarikh keluar darah dan hanya mengingati bahawa pada hari ke-10 hingga ke akhir bulan adalah suci.

 MUSTAHADAH_GOLONGAN_KEENAM_3.docx.jpg

Kesimpulan

Golongan mustahadah yang keenam adalah wanita yang pernah keluar haid dan suci sebelum ini, tidak mampu membuat perbezaan pada sifat-sifat darah, mengingati bilangan hari haid bulan sebelumnya serta lupa permulaan tarikh keluar darah. Hukum baginya adalah seperti berikut:

1. Hari-hari yang diyakini haid disabitkan sebagaimana hukum wanita haid, manakala hari-hari yang diyakini suci disabitkan sebagaimana hukum wanita suci.

2. Hari-hari yang berkemungkinan haid dan suci, maka perlu mengambil langkah berhati-hati ketika beribadat. Namun, memadai dengan berwuduk ketika hendak solat fardu.

3. Hari-hari yang berkemungkinan haid, suci dan berhenti darah, maka perlu juga mengambil langkah berhati-hati ketika ibadat. Tidak memadai dengan wuduk sahaja bahkan perlu mandi wajib setiap kali hendak solat fardu.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Hassan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff. Al-Taqrirat al-Sadidah fi Masail al-Mufidah. (Hadramaut: Dar al-Mirath al-Nabawi, 2003). Hlmn 169.

الصورة السادسة : معتادة غير مميزة ذاكرة لعادتها قدرا لا وقتا.

[2] Khatib al-Syirbini, Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (t.p: Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah, 1994). Jld 1. Hlm 292.

(فِي) الزَّمَنِ (الْمُحْتَمَلِ) لِلطُّهْرِ وَالْحَيْضِ (كَحَائِضٍ فِي الْوَطْءِ) وَنَحْوِهِ مِمَّا مَرَّ (وَطَاهِرٍ فِي الْعِبَادَاتِ) لِمَا سَبَقَ فِي الْمُتَحَيِّرَةِ الْمُطْلَقَةِ مِنْ وُجُوبِ الِاحْتِيَاطِ (وَإِنْ احْتَمَلَ انْقِطَاعًا وَجَبَ الْغُسْلُ لِكُلِّ فَرْضٍ) لِلِاحْتِيَاطِ أَيْضًا وَإِنْ لَمْ يَحْتَمِلْهُ وَجَبَ الْوُضُوءُ فَقَطْ، وَيُسَمَّى مُحْتَمَلُ الِانْقِطَاعِ طُهْرًا مَشْكُوكًا فِيهِ وَاَلَّذِي لَا يَحْتَمِلُهُ حَيْضًا مَشْكُوكًا فِيهِ،

[3] Syihabuddin al-Ramli, Muhammad bin Abi al-’Abbas. Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj. (Beirut: Dar al-Fikr, 1984.) Jld 1. Hlm 354.

وَالذَّاكِرَةُ لِلْقَدْرِ كَأَنْ تَقُولَ: كَانَ حَيْضِي خَمْسَةً فِي الْعَشْرِ الْأُوَلِ مِنْ الشَّهْرِ لَا أَعْلَمُ ابْتِدَاءَهَا وَأَعْلَمُ أَنِّي فِي الْيَوْمِ الْأَوَّلِ طَاهِرَةٌ، فَالسَّادِسُ حَيْضٌ بِيَقِينٍ وَالْأَوَّلُ طُهْرٌ بِيَقِينٍ كَالْعِشْرِينِ الْأَخِيرِينَ. وَالثَّانِي إلَى آخِرِ الْخَامِسِ مُحْتَمِلٌ لِلْحَيْضِ وَالطُّهْرِ. وَالسَّابِعُ إلَى آخِرِ الْعَاشِرِ مُحْتَمِلٌ لَهُمَا وَلِلِانْقِطَاعِ