Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HUKUM SIRI KE-958: BENARKAH KITA PERLU MENTAATI IBU BAPA DALAM SEMUA KEADAAN?

BENARKAH_KITA_PERLU_MENTAATI_IBU_BAPA_DALAM_SEMUA_KEADAAN.jpg

Soalan

Assalamualaikum, saya nak tanya kalau ibu bapa suruh kita buat sesuatu yang memberatkan sampai kita terpaksa tinggalkan kerja atau pengajian, adakah kita tetap wajib ikut walaupun ia menyusahkan hidup kita?

Ringkasan Jawapan

Sekiranya ketaatan kepada ibu bapa membawa kepada kesusahan yang berat bagi seorang anak seperti terpaksa meninggalkan pekerjaan yang menjadi sumber rezeki atau menghentikan pengajian yang sedang diusahakan maka dalam keadaan ini tidaklah wajib untuk mentaati mereka. Namun demikian, seorang anak hendaklah berusaha sedaya upaya untuk berbincang dengan penuh hikmah dan adab bersama ibu bapanya dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syariat. Hal ini kerana menjaga hati kedua ibu bapa merupakan salah satu jalan utama untuk meraih keberkatan hidup di dunia serta memperoleh keredaan Allah di akhirat.

Huraian Jawapan

Mentaati ibu dan bapa adalah kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT. Kewajipan ini datang bersama dengan perintah mentauhidkan Allah SWT, Firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوٓا۟ إِلَّآ إِيَّاهُ وَبِٱلْوَٰلِدَيْنِ إِحْسَٰنًا ۚ

Maksudnya: “Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

Surah al-Isra’ (23)

Mengingkari ibu bapa bermaksud tidak mematuhi arahan mereka tanpa alasan yang dibenarkan syarak atau bersikap kasar, meninggikan suara serta menyakiti hati mereka melalui perkataan atau perbuatan[1]. Perbuatan menderhakai (العقوق) adalah antara dosa besar. Rasulullah SAW bersabda:

ثلاثةٌ لا ينظرُ اللهُ عزَّ وجلَّ إليهم يومَ القيامةِ: العاقُّ لوالِدَيهِ، والمرأةُ المترجِّلةُ، والدَّيُّوثُ، وَثَلَاثَةٌ لَا يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ: الْعَاقُّ لِوَالِدَيْهِ، وَالْمُدْمِنُ عَلَى الْخَمْرِ، وَالْمَنَّانُ بِمَا أَعْطَى

Maksudnya: “Tiga golongan yang Allah ‘Azza wa Jalla tidak akan memandang mereka pada hari kiamat: anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, wanita yang menyerupai lelaki, dan lelaki dayus. Tiga golongan juga yang tidak akan masuk syurga: anak yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, peminum arak yang ketagih, dan orang yang suka mengungkit pemberian.”

(Riwayat al-Bukhari)

Walaupun mentaati ibu bapa itu hukumnya adalah wajib namun ia bukanlah bersifat mutlak. Jika arahan mereka bertentangan dengan perintah Allah atau melibatkan maksiat, maka ketaatan dalam konteks ini tidak dibenarkan. Dalam sebuah hadis diriwayatkan Nabi SAW menghantar sekumpulan tentera dengan melantik seorang ketua. Dalam misi itu, ketua tersebut mengarahkan mereka masuk ke dalam api yang telah dinyalakan. Sebahagian anggota tentera berpegang kepada prinsip ketaatan penuh kepada ketua, sementara sebahagian lagi menolak arahan tersebut kerana menyedari ia bertentangan dengan tujuan mereka menjadi Muslim iaitu menyelamatkan diri dari api neraka. Apabila hal ini dirujuk kepada Nabi SAW, Baginda SAW bersabda:

لَا طَاعَةَ فِي مَعْصِيَةٍ، إِنَّمَا الطَّاعَةُ فِي الْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Tidak ada ketaatan kepada pemimpin dalam perkara maksiat dan ketaatan hanya berlaku dalam perkara yang ma’ruf (selaras dengan syariat).”

(Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, Imam al-Bulqini turut menetapkan had dan batasan dalam soal ketaatan kepada ibu bapa sebagai panduan penting bagi seorang anak dalam mengenal pasti perbuatan yang dikira sebagai penderhakaan terhadap kedua ibu bapanya. Batasan-batasan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Segala perkara yang dianggap sebagai perbuatan derhaka kepada ibu bapa menurut kebiasaan masyarakat, maka ia adalah derhaka.

Kedua: Segala perbuatan yang menyakiti hati kedua ibu bapa dalam perkara yang lazimnya manusia akan terasa hati dengannya dan dilakukan oleh anak secara melampaui batas, maka ia termasuk derhaka.

Ketiga: Segala perbuatan yang menyebabkan kedua ibu bapa menanggung kesusahan yang jelas, dilakukan oleh anak dengan pilihan sendiri yang mana kesusahan itu tidak sepatutnya ditanggung oleh mereka dan bukan pula hak anak untuk menuntutnya maka ia juga dianggap derhaka[2].

Oleh itu, sekiranya ketaatan kepada ibu bapa membawa kepada kesusahan yang berat bagi seorang anak seperti terpaksa meninggalkan pekerjaan yang menjadi sumber rezeki atau menghentikan pengajian yang sedang diusahakan maka dalam keadaan ini tidaklah wajib untuk mentaati mereka. Berhubung isu ini, Imam Ibn Taimiyyah memberikan penjelasan berikut:

 فَأَمَّا مَا كَانَ يَضُرُّهُ طَاعَتُهُمَا فِيهِ لَمْ تَجِبْ طَاعَتُهُمَا فِيهِ لَكِنْ إنْ شَقَّ عَلَيْهِ وَلَمْ يَضُرَّهُ وَجَبَ،

Maksudnya: “Sekiranya ketaatan kepada kedua ibu bapa membawa kemudaratan kepada anak, maka ketaatan dalam perkara tersebut tidak diwajibkan. Namun, sekiranya ia hanya menimbulkan kesulitan tanpa memudaratkan, maka kewajipan untuk mentaati mereka tetap terpakai[3].”

Namun demikian, seorang anak hendaklah berusaha sedaya upaya untuk berbincang dengan penuh hikmah dan adab bersama ibu bapanya dalam perkara yang tidak bercanggah dengan syariat. Hal ini kerana menjaga hati kedua ibu bapa merupakan salah satu jalan utama untuk meraih keberkatan hidup di dunia serta memperoleh keredaan Allah di akhirat. Dalam sebuah hadis, Nabi SAW bersabda:

رضا الله في رضا الوالدين، وسخط الله في سخط الوالدين

Maksudnya: “Keredaan Allah terletak pada keredaan kedua ibu bapa, dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan kedua ibu bapa.”

(Riwayat al-Tirmizi)

 

Rujukan: 

[1] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh al-Bukhari, (Mesir: al-Maktabah al-Salafiyyah, 1390H), 10:406.

[2] Umar bin Ruslan al-Bulqini, al-Fawaid al-Jisam ala Qawa’id Ibn Abd al-Salam, (Qatar: Wizarah al-Auqaf wa al-Syu’un al-Islamiyyah, 2013), 147.

أحدها: أن يقال: ما عُدّ في العرف عقوقًا لهما، فهو عقوق.

الثاني: أن يقال: كل ما يؤذيهما مما يُتأذّى به عادةً وتعدَّى به الولد، فهو عقوق.

لثالث: أن يقال: كل ما تلحقهما به مشقة ظاهرة مما يصدر من الولد باختياره لا يَحتمل مثلَهما الوالدان مما ليس حقًّا له، فإنه يكون عقوقًا.

[3] Ibn Muflih, al-Adab al-Syar’iyyah wa al-Minah al-Mar’iyyah, (Alam al-Kutub, t.t), 1:436.