Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-198 : HUKUM SUAMI MENGGUNAKAN MAHAR YANG TELAH DIBERIKAN KEPADA ISTERI

 

 

 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, apakah hukumnya jika suami menggunakan, atau memakan hasil daripada mahar yang telah diberikan kepada isterinya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam Warahmatullah Wabarakatuh.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat dan seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Islam merupakan satu agama yang memandang tinggi kemuliaan institusi perkahwinan, dan mengangkat darjat wanita ke tahap yang mulia. Salah satu bukti akan kenyataan ini dalam syari’at Islam dan hukum-hakam fiqh ialah pensyari’atan mahar dalam perkahwinan.

 

Konsep Mahar dalam Islam

Dari sudut bahasa, mahar bermaksud:

 ما يَدْفَعُهُ الزَّوْجُ إِلَى زَوْجَتِهِ بِعَقْدِ الزَّوَاجِ[1]

Maksudnya: Apa yang dibayar oleh suami kepada isteri sebagai hadiah kepadanya dengan sebab ‘aqad nikah.

Menurut istilah syara’ pula mazhab Syafi’e telah mendefinisikan mahar dengan maksud:

هُوَ مَا وَجَبَ بِنِكَاحٍ أَوْ وَطْءٍ أَوْ تَفْوِيتِ بُضْعٍ قَهْرًا [2]

Maksudnya: Mahar adalah suatu yang diwajibkan dengan sebab pernikahan, atau persetubuhan, atau pemerkosaan.

Dalil pensyari’atan mahar dapat dilihat melalui ayat al-Qur’an:

وَآتُوا النِّسَاءَ صَدُقَاتِهِنَّ نِحْلَةً فَإِنْ طِبْنَ لَكُمْ عَنْ شَيْءٍ مِنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَرِيئًا

Maksudnya: Dan berikanlah maskawin (mahar) kepada wanita (yang kamu nikahi) sebagai pemberian dengan penuh kerelaan. Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebagian dari mas kahwin itu dengan senang hati, maka makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.

                                                                                                                                       (Surah al-Nisa': 4)

Maka membayar mahar merupakan kewajipan yang harus ditunaikan oleh suami kepada isterinya. Selain itu, Allah SWT juga mencela para suami yang menarik kembali mahar yang telah dia berikan kepada istreinya. Allah SWT berfirman,

وَإِنْ أَرَدْتُمُ اسْتِبْدَالَ زَوْجٍ مَكَانَ زَوْجٍ وَآتَيْتُمْ إِحْدَاهُنَّ قِنْطَارًا فَلَا تَأْخُذُوا مِنْهُ شَيْئًا أَتَأْخُذُونَهُ بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُبِينًا (20) وَكَيْفَ تَأْخُذُونَهُ وَقَدْ أَفْضَى بَعْضُكُمْ إِلَى بَعْضٍ وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا (21)

Maksudnya: Jika kamu ingin menggantikan isteri kamu dengan isteri yang lain (menceraikan isteri pertama dan bernikah lagi), sedang kamu telah memberikan kepada seorang di antara mereka harta yang banyak (mahar), maka janganlah kamu mengambil kembali daripadanya walau sedikitpun. Apakah kamu akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan (menanggung) dosa yang nyata? Bagaimana mungkin kamu akan mengambilnya kembali, padahal sebagian kamu telah bergaul (bercampur) dengan yang lain sebagai suami-isteri? Dan mereka (isteri-isterimu) telah mengambil dari kamu perjanjian yang kuat.      

(Surah al-Nisa: 20 – 21)

Mahar pernikahan adalah hak mutlak isteri, bukannya hak walinya atau ahli keluarga dan kaum kerabatnya.

 

Hukum Suami Menggunakan Mahar

Timbul satu persoalan; apakah suami dibenarkan untuk menggunakan mahar yang telah diberikan kepada isterinya?

Al-Imam Ibnu Kathir ketika mentafsirkan ayat 4 Surah an-Nisa’ di atas mengatakan: "Seorang suami wajib memberikan mahar untuk isterinya dengan penuh kerelaan; dan jika wanita tersebut merelakan seluruh atau sebagian maharnya untuk suaminya setelah disebutkan maka suaminya berhak memakannya (mengambilnya) sebagai sesuatu yang halal dan baik."[3]

Almarhum Dr. Wahbah Zuhaily pula dalam karya beliau Tafsir al-Munir telah menulis bahawa:

Adalah harus bagi isteri untuk memberikan mahar yang diperolehinya melalui perkahwinan kepada suami, atau sebahagian daripadanya.”[4]

Kemudian beliau menambah lagi:

Maka keumuman ayat Qur’an menunjukkan bahawa adalah harus hukumnya, samada isteri itu anak dara atau janda ketika ia dikahwini; dan ini adalah pandangan jumhur ulama’.”[5]

Dalam kitab al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah pula dinyatakan:

Majoriti fuqaha’ menyatakan bahwa suami tidak boleh mengambil manfaat (menggunakan) apapun yang dimiliki isteri seperti katil, wadah, dan lain-lain tanpa persetujuan isteri, samada harta itu hasil pemberian suami atau pemberian daripada orang lain, samada isteri menerima mahar atau tidak. Isteri berhak menggunakan harta yang dimilikinya sesuka hatinya samada untuk bersedeqah, memberi hadiah atau tukar-menukar, selagi ia tidak membawa kepada kemudaratan.”[6]

 

Kesimpulannya:

  1. Haram hukumnya bagi suami memakan/menggunakan/mengambil manfaat daripada mahar isteri jika tanpa kerelaan dan kebenaran isteri, kerana mahar merupakan hak milik isteri yang telah diisytiharkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an.
  2. Harus hukumnya bagi suami memakan/menggunakan/mengambil manfaat daripada mahar isteri jika dengan kerelaan dan kebenaran isteri.

 

 

[1] Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 39/151

[2] Mughni al-Muhtaj 3/220

[3] Ibn Kathir. Tafsir al-Qur’an al-‘Azim, 2/213

[4] Tafsir al-Muneer, 4/241

[5] ibid.

[6] Al-Mausu'ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyyah, 26/286