Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-191 : HUKUM MENGGUNAKAN BEKAS MAKANAN YANG PERNAH DILETAKKAN DAGING KHINZIR

Soalan: Apakah hukum menggunakan bekas makanan yang disangka pernah digunakan untuk memakan makanan seperti khinzir?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda SAW, para sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pada awalannya kami bawakan di sini dalil serta pandangan ulama berkenaan kenajisan khinzir.

Ulama telah berijma’ bahawa khinzir adalah najis secara zatnya. Ini berdasarkan nas al-Quran. Kesemua bahagian khinzir sama ada rambut, dagingnya, tulang, kulitnya adalah najis walaupun disembelih. Lihat: Wahbah al-Zuhaili. Al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu. jil. 1. hlm. 302.

 

Dalil Kenajisan Khinzir

Firman Allah SWT:

قل لا أَجِدُ فِيمَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-An’am: 145)

Rasulullah SAW bersabda:

طُهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولاَهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: Untuk membersihkan bejana kamu apabila dijilat anjing hendaklah kamu membasuhnya sebanyak tujuh kali. Basuhan pertama hendaklah dengan air bercampur tanah.

Riwayat Muslim (279)

Hadis ini dinaskan kepada anjing dan yang semisal denganya juga ialah khinzir bahkan khinzir adalah lebih kuat kenajisannya. Lihat: Muhamamd al-Zuhaili. Al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie. jil. 1. hlm. 46.

 

Pembahagian Najis: Najis ‘Aini dan Najis Hukmi

Najis Aini ialah semua najis yang berjirim yang dapat dilihat atau mempunyai sifat zahir iaitu warna atau bau seperti tahi, kencing dan darah.

Najis Hukmi ialah semua najis yang telah kering dan kesannya telah hilang. Dengan kata lain, kesan warna atau bau najis tersebut tidak ada lagi. Contohnya baju yang terkena kencing kemudian ia kering dan kesannya tidak zahir lagi. Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 40.

 

Kategori Kenajisan Khinzir

Khinzir dikategorikan sebagai najis mughallazah (مُغَلَّظَةٌ) ialah najis jenis yang berat, iaitu anjing dan babi. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Satu daripadanya dengan air tanah.

Diqiaskan hukum babi kepada hukum anjing sebagai najis mughallazah kerana babi lebih buruk keadaannya daripada anjing. Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 40.

 

Cara Bersuci daripada Najis

Cara-cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan babi dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya adalah dengan air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat. Lihat: Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 42.

Berdasarkan naqalan daripada kitab-kitab di atas. Maka menurut muktamad dalam mazhab Syafie bahawa khinzir terdiri daripada najis ‘ain dan perlu disamak sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya ialah dengan air tanah apabila terkena najisnya.

Adapun berkenaan penggunaan bekas yang disangka pernah digunakan oleh orang bukan Islam untuk memakan makanan yang haram seperti khinzir. Maka di dalam al-Fiqh al-Manhaji ada menyebut hukum seperti soalan di atas:

“Adalah harus menggunakan bekas orang kafir ini berdasarkan hadis daripada Abu Tha’labah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَاغْسِلُوهَا وَكُلُوا فِيهَا

Maksudnya: “Basuhlah bekas tersebut dan makanlah dengannya.”

Riwayat al-Bukhari (5161)

Perintah membasuh bekas adalah sunat kerana ia mungkin telah tercemar disebabkan orang kafir menggunakannya untuk minum arak, makan babi dan sebagainya. Demikian juga hukum menggunakan pakaian mereka dan seumpamanya sama dengan hukum menggunakan bekas mereka. Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali Syarbaji. Al-Fiqh al-Manhaji. jil. 1. hlm. 37.

Semoga dengan pencerahan ini dapatlah kita melaksanakan tuntutan agama dengan lebih sempurna dan jauh daripada syubhat dalam kehidupan. Amiin.