Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-184: HUKUM MENGGANTIKAN KAMBING DENGAN LEMBU ATAU UNTA BAGI TUJUAN AQIQAH

 

Soalan:

Saya ingin melakukan ibadah aqiqah. Sekiranya saya tidak mahu menyembelih kambing, lalu digantikan dengan bahagian lembu atau unta, adakah dibolehkan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Hukum aqiqah adalah sunat bagi yang berkemampuan. Asal pensyariatannya adalah berdasarkan sebuah hadith daripada Salman bin Amir al-Dhabbi RA katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَعَ الْغُلاَمِ عَقِيقَتُهُ فَأَهْرِيقُوا عَنْهُ دَمًا وَأَمِيطُوا عَنْهُ الأَذَى

Maksudnya: “Bersama-sama kelahiran bayi ada akikahnya. Oleh itu, tumpahkanlah darah akikah bagi pihaknya dan buangkanlah kekotoran dan najis daripadanya”.

Riwayat al-Bukhari (2839)

 

Aqiqah juga sunat dilakukan pada hari ketujuh kelahiran bayi tersebut disamping memberikan nama yang baik dan juga mencukur rambut bayi tersebut. Ini berdasarkan sabda Baginda SAW daripada Samurah RA:

الْغُلاَمُ مُرْتَهَنٌ بِعَقِيقَتِهِ يُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ السَّابِعِ وَيُسَمَّى وَيُحْلَقُ رَأْسُهُ

Maksudnya: “Bayi itu tertebus dengan akikahnya. Disembelih akikah pada hari yang ketujuh kelahirannya, diberikan nama dan dicukur rambutnya”.

Riwayat Abu Daud (1522)

 

Mengenai bilangan kambing yang perlu diaqiqahkan, bagi bayi lelaki, maka disunatkan dengan menyembelih 2 ekor kambing manakala bagi bayi perempuan pula adalah dengan menyembelih 1 ekor kambing. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang menyebutkan:

مَنْ وُلِدَ لَهُ وَلَدٌ فَأَحَبَّ أَنْ يَنْسُكَ عَنْهُ فَلْيَنْسُكْ عَنِ الْغُلاَمِ شَاتَانِ مُكَافِئَتَانِ وَعَنِ الْجَارِيَةِ شَاةٌ

Maksudnya: Sesiapa yang dikurniakan anak dan ingin melakukan ibadat untuknya, maka lakukanlah ibadah aqiqah bagi anak lelaki dua ekor kambing dan bagi anak perempuan pula seekor kambing”.

Riwayat Abu Daud (2842)

 

Berdasarkan hadith di atas, asal bagi aqiqah untuk anak lelaki adalah dua ekor kambing manakala bagi anak perempuan pula adalah seekor kambing. Ini adalah tertib yang terbaik bagi seseorang jika ingin melakukan ibadah aqiqah.

 

Adakah Dibolehkan Menggantikan Kambing Dengan Bahagian Lembu Atau Unta?

Di dalam mazhab al-Syafi`e, dibolehkan untuk menggantikan kambing dengan lembu ataupun unta. Ini seperti mana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`:

مَذْهَبُنَا جَوَازُ الْعَقِيقَةِ بِمَا تَجُوزُ بِهِ الْأُضْحِيَّةُ مِنْ الابل والبقر والغنم وبه قال أنس ابن مَالِكٍ وَمَالِكُ بْنُ أَنَسٍ وَحَكَى ابْنُ الْمُنْذِرِ عَنْ حَفْصَةَ بِنْتِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ بْنِ أَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ لَا يُجْزِئُ إلَّا الْغَنَمُ

Maksudnya: Mazhab kami (iaitu al-Syafi`e), dibolehkan aqiqah apa yang dibolehkan dengannya sembelihan dari jenis unta, lembu dan kambing dan ini adalah pendapat Anas bin Malik dan Malik bin Anas. Dihikayatkan daripada Ibn al-Munzir daripada Hafsah binti Abd al-Rahman bin Abi Bakr al-Siddiq RA, tidak dikira aqiqah itu kecuali kambing.[1]

 

Bahagian Seekor Kambing Dibandingkan Dengan Unta Dan Lembu

Seekor kambing itu bersamaan dengan 1 bahagian bagi lembu dan juga unta. Disebutkan oleh al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah di dalam kitabnya Mughni al-Muhtaj:

وَكَالشَّاةِ سُبْعُ بَدَنَةٍ أَوْ بَقَرَةٍ، فَلَوْ ذَبَحَ بَدَنَةً أَوْ بَقَرَةً عَنْ سَبْعَةِ أَوْلَادٍ، أَوْ اشْتَرَكَ جَمَاعَةٌ فِيهَا جَازَ، سَوَاءٌ أَرَادُوا كُلُّهُمْ الْعَقِيقَةَ أَوْ بَعْضُهُمْ الْعَقِيقَةَ وَبَعْضُهُمْ اللَّحْمَ

Maksudnya: dan bagi seekor kambing itu 1/7 (satu bahagian) dari unta dan lembu. Sekiranya disembelih unta atau lembu itu dari 7 orang anak atau dikongsi secara beramai-ramai, ia juga dibolehkan sama ada dengan sembelihan itu kesemua (bahagian) diniatkan untuk aqiqah atau sebahagian untuk aqiqah dan sebahagian lagi hanya untuk mendapatkan daging sahaja.[2]

 

Kesimpulan

Dibolehkan untuk menggantikan kambing dengan unta dan lembu bagi aqiqah namun perlulah mengikut syarat yang telah ditetapkan bagi sembelihan kerana  segala syarat sembelihan terpakai juga untuk aqiqah. Kadar bagi seekor kambing adalah bersamaan dengan 1/7 daripada unta dan lembu dan boleh dikongsi bahagian tersebut secara berjemaah. Wallahu a`lam.

 

Akhukum fillah,

S.S Datuk Dr. Zulkifli Bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

 

9 Mac 2017 bersamaan 10 Jamadil Akhir 1438 H.

 

[1] Lihat Al-Majmu` Syarh al-Muhazzab. Dar al-Fikr, (8/448)

[2] Lihat Mughni al-Muhtaj. Dar al-Kutub al-`Ilmiyyah, (6/139)