Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-9: NASIKH DAN MANSUKH: PENJELASAN DAN FUNGSINYA

Mukadimah

Di dalam perbahasan ilmu usul fiqh, di sana terdapat suatu bab yang disebut sebagai al-Nasikh dan al-Mansukh. Ia pada hakikatnya merupakan suatu cara untuk menyelesaikan percanggahan di antara dalil-dalil. Ini kerana, sekalipun mustahil untuk dalil-dalil bercanggah di antara satu sama lain dari sudut realitinya, akan tetapi ia tidak mustahil berlaku pada sudut pandangan para mujtahid. Definisi al-Nasakh

Nasakh dari sudut bahasa: Digunakan kepada: Mengangkat dan juga menghilangkan. Dikatakan: Matahari menasakhkan bayangan iaitu mengangkatnya. Angin menasakhkan kesan-kesan iaitu menghilangkannya. Nasakh juga membawa maksud: Menukilkan (memindahkan). Contohnya: Aku menasakhkan al-Kitab. Iaitu: Aku menukilkan apa yang terdapat di dalamnya sekalipun tidak sedikitpun menghilangkannya daripada tempatnya. Lihat al-Faqih wal-Mutafaqqih, al-Khatib al-Baghdadi (Hlm. 189).

Dari sudut istilah: Mengangkat hukum syarak dengan dalil syarak yang datang terkemudian darinya. Dalil itu dinamakan sebagai al-Naasikh manakala hukum yang terangkat itu disebut sebagai al-Mansukh.

Jenis-jenis Nasakh

Nasakh terbahagi kepada beberapa jenis:

Pertama: Nasakh boleh jadi secara sarih ataupun jelas. Iaitu nas jelas menunjukkan bahawa ayat tersebut telah berlaku nasakh padanya. Sebagai contohnya adalah sabda Nabi S.A.W:

نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ فَزُورُوهَا

Maksudnya: Aku dahulu melarang kalian dari menziarahi kubur maka sekarang ziarahilah kubur.

 Riwayat Muslim (977)

Berdasarkan hadis di atas, nasakh berlaku secara jelas di dalam nas yang sama. Al-Nasikh adalah perintah menziarahi kubur. Manakala al-Mansukh adalah larangan menziarahi kubur.

Kedua: Nasakh dhimni (di sebalik/terkandung).

Yang dimaksudkan dengan nasakh dhimni ini adalah, Allah tidak menyebutkan secara sarih (jelas) akan berlakunya nasakh. Akan tetapi terdapat hukum lain yang disyariatkan yang mana ianya bercanggah dengan hukum sebelumnya tanpa adanya nas yang sarih menunjukkan akan mansukhnya hukum yang pertama dan tidak boleh untuk dihimpunkan di antara keduanya. Maka pensyariatan hukum yang terkemudian itu menjadi nasikh dhimni (terkandung) bagi hukum yang terdahulu. Contoh bagi nasakh dhimni ini adalah firman Allah S.W.T:

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا وَصِيَّةٗ لِّأَزۡوَٰجِهِم مَّتَٰعًا إِلَى ٱلۡحَوۡلِ غَيۡرَ إِخۡرَاجٖ

Maksudnya: Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya.

Surah al-Baqarah (240)

Berdasarkan ayat ini, dapatlah difahami bahawa iddah bagi wanita yang kematian suaminya adalah selama setahun penuh. Inilah hukumnya pada awal-awal islam dahulu. Kemudian turunnya firman Allah S.W.T:

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٰجٗا يَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرٖ وَعَشۡرٗا

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.

Surah al-Baqarah (234)

Manakala ayat ini pula menunjukkan bahawa isteri-isteri yang kematian suami hendaklah mereka itu beriddah selama empat bulan sepuluh hari. Justeru, ayat ini menjadi nasikh dhimni ke atas hukum ayat yang pertama kerana ayat ini turun terkemudian daripada ayat tadi.

Syarat-syarat Nasakh

Berikut merupakan beberapa syarat nasakh yang disepakati oleh para fuqaha:

  • Hendaklah yang dimansukhkan itu merupakan hukum syarak.
  • Nasakh itu hendaklah berlaku dengan khitob (dalil) syarak.·
  • Hendaklah dalil nasikh itu datang terkemudian daripada dalil mansukh.

Apa Yang Boleh Dinasakhkan Atau Menasakhkan ?

Di antara perkara yang perlu dinyatakan, sebahagian dalil boleh menasakhkan di antara satu sama lain. Manakala terdapat juga dalil yang lain akan tetapi ia tidak dapat menasakhkan dalil yang lebih kuat darinya. Pembahagiannya boleh kita fahami seperti berikut:

Pertama: Nas-nas al-Quran boleh untuk menasakhkan di antara satu sama lain. Kerana kesemuanya sama dari sudut kekuatan kedudukan.

Kedua: Al-Quran boleh dinasakhkan oleh Sunnah yang mutawatir dan begitu jugalah sebaliknya. Ini kerana, Sunnah yang mutawatir itu sama seperti al-Quran dari sudut qath’iyyah al-thubut (sabit dengan jalan yang pasti).

Ketiga: Sunnah Ahaad (hadis-hadis Ahaad) boleh menasakhkan antara satu sama lain ataupun ia boleh dinasakhkan dengan nas yang lebih kuat daripadanya.

Keempat: Ijmak tidak boleh menasakhkan nas daripada al-Quran dan juga al-Sunnah. Ini kerana sesuatu nas itu apabila dalalah nya qath’ie maka itu menjadi penghalang untuk berlakunya ijmak atas sesuatu yang menyelisihinya.

Kelima: Nas-nas daripada al-Kitab dan juga al-Sunnah tidak boleh untuk memansukhkan ijmak. Ini kerana, sesuatu yang memansukhkan (al-nasikh) hendaklah datang kemudian daripada sesuatu yang dimansukhkan (al-mansukh). Sedangkan nas-nas al-Quran dan juga al-Sunnah ini telah datang terlebih dahulu daripada ijmak. Bahkan ijmak sebagai dalil syarak tidak dianggap sebagai hujah melainkan setelah wafatnya Nabi S.A.W.

Keenam: Ijmak yang terbina di atas nas al-Kitab dan juga al-Sunnah ataupun Qiyas tidak boleh untuk dinasakhkan dengan ijmak yang lain. Adapun ijmak yang terbina di atas maslahah maka ia boleh untuk dinasakhkan dengan ijmak yang lain.

Ketujuh: Qiyas juga tidak boleh untuk menasakhkan nas al-Kitab dan juga al-Sunnah. Demikian Qiyas tidak boleh menasakhkan Ijmak. Bahkan kesemuanya itu tidak boleh memansukhan qiyas. Ini kerana qiyas tidaklah berlaku melainkan ketika mana ketiadaan hukum di dalam al-Kitab, al-Sunnah, dan juga al-Ijmak.

Kelapan: Qiyas tidak boleh untuk menasakhkan qiyas yang lain. Ini kerana qiyas terbina daripada ra’yu dan juga ijtihad.

Nasakh Di Dalam Al- Quran

Kata al-Imam al-Khatib al-Baghdadi rahimahullah (W. 463 H): Nasakh di dalam al-Quran terbahagi kepada tiga bahagian: Nasakh hukum dengan mengekalkan rasm (ayat al-Quran), Nasakh rasm tanpa menasakhkan hukum, dan nasakh kedua-duanya iaitu hukum dan juga rasm.

Pembahagiannya adalah seperti berikut:

1- Nasakh hukum dengan mengekalkan rasm (ayat al-Quran)

Yang dimaksudkan dengan ini adalah, Allah S.W.T memansukhkan sesuatu hukum yang terdapat di dalam al-Quran. Dalam masa yang sama ayat yang menjelaskan akan hukum tersebut tidak dimansukhkan sekali akan tetapi ia masih kekal di dalam al-Quran. Contohnya adalah seperti berikut. Firman Allah S.W.T: كُتِبَ عَلَيۡكُمۡ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ ٱلۡمَوۡتُ إِن تَرَكَ خَيۡرًا ٱلۡوَصِيَّةُ لِلۡوَٰلِدَيۡنِ وَٱلۡأَقۡرَبِينَ بِٱلۡمَعۡرُوفِۖ

Maksudnya: Diwajibkan ke atas kalian, apabila salah seorang di antara kalian kedatangan (tanda-tanda) maut, jika dia meninggalkan harta yang banyak, berwasiat untuk ibu-bapa dan kaum kerabatnya secara makruf, (ini adalah) kewajipan ke atas orang-orang yang bertakwa.

Surah al-Baqarah (180)

Daripada ayat di atas kita mendapati bahawa ia menunjukkan hukum wajibnya berwasiat kepada ibubapa dan juga kaum kerabat. Akan tetapi, hukum ini telahpun dimansukhkan apabila datangnya pensyariatan mirath.

Kata al-Imam al-Baghawi ketika menafsirkan ayat ini: “Adalah wasiat itu difardhukan kepada kedua ibubapa dan juga kaum kerabat pada awal permulaan Islam ke atas sesiapa yang meninggal dunia serta meninggalkan harta. Kemudian ianya dimansukhkan dengan ayat mirath”. Rujuk Ma’alim al-Tanzil, al-Baghawi (1/193).

Maka walaupun hukumnya telah mansukh, akan tetapi ayat tersebut ataupun rasmnya masih terdapat di dalam al-Quran.

2- Nasakh rasm (ayat) dengan mengekalkan hukum.

Contoh baginya adalah perihal ayat rejam. Pada asalnya, ia terdapat di dalam al-Quran. Akan tetapi ayat tersebut telah dimansukhkan manakala hukumnya tetap kekal. Saidina Ibn Abbas R.anhuma meriwayatkan daripada Umar Ibn al-Khattab R.anhu beliau berkata: “Sesungguhnya Allah S.W.T telah mengutuskan Muhammad S.A.W dan menurunkan ke atasnya al-Kitab. Di antara yang Allah turunkan ke atasnya adalah ayat rejam. Maka kami membacanya, memahaminya, serta menjaganya”. Kata beliau lagi:

أَلاَ وَإِنَّ الرَّجْمَ حَقٌّ عَلَى مَنْ زَنَى وَقَدْ أَحْصَنَ إِذَا قَامَتِ الْبَيِّنَةُ

Maksudnya: “Sesungguhnya rejam itu merupakan hak ke atas penzina muhson (yang sudah berkahwin) apabila telah tertegaknya bukti”.

 Riwayat al-Bukhari (6829)

3- Nasakh rasm (ayat) berserta dengan hukum.

Contoh bagi nasakh kategori ini adalah berkenaan kadar bilangan susuan yang cukup untuk menjadikan seseorang sebagai mahram. Dalam sebuah hadis daripada A’isyah R.anha beliau berkata:

كَانَ فِيمَا أُنْزِلَ مِنَ الْقُرْآنِ عَشْرُ رَضَعَاتٍ مَعْلُومَاتٍ يُحَرِّمْنَ  ثُمَّ نُسِخْنَ بِخَمْسٍ مَعْلُومَاتٍ

Maksudnya: Di antara ayat yang diturunkan daripada al-Quran adalah sepuluh kali susuan yang menjadikan mahram. Kemudian ia dinasakhkan kepada lima kali susuan yang diketahui.

Riwayat Muslim (1452)

Kata Imam al-Khatib al-Baghdadi: Ayat yang 10 kadar ini dimansukhkan tulisan dan hukumnya di dalam al-Quran. Lihat al-Faqih wal-Mutafaqqih, al-Khatib al-Baghdadi (Hlm. 192).

 

Penutup

Akhir kalam, semoga dengan pencerahan ini dapat memberikan kepada kita kefahaman berkaitan isu nasikh dan juga mansukh. Ameen.