Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FEQH SIRI KE- 21 : UNDANG-UNDANG JALAN RAYA DAN KAITAN DENGAN DALIL MASLAHAH MURSALAH

 

Soalan:

Assalamualaikum, bolehkah ustaz jelaskan berkaitan dengan undang-undang jalan raya seperti peraturan lampu isyarat, pemakaian topi keledar, dan seumpamanya dari sudut pandang usul feqh ?

Jawapan:

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T, selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Feqh berkait rapat dengan perbuatan mukallaf, dari sudut ia memberikan penjelasan berkenaan dengan hukum-hakam syarak terhadap sesuatu perbuatan mereka. Dalam mengistinbatkan hukum feqh, ia berhajat kepada ilmu usul feqh. Iaitu ilmu terhadap kaedah-kaedah feqh dan juga dalil-dalil yang bersifat kulliy (menyeluruh) atau ijmali. Kerana itu setiap perbuatan mukallaf pasti mempunyai hukum-hakam tersendiri ke atasnya.

Undang-undang dan peraturan jalanraya yang diimplementasikan oleh pihak berkuasa kepada masyarakat turut melibatkan isu usul feqh ini. Perbahasan berkenaan hal ini akan kami kupas satu demi satu agar dapat difahami dengan jelas dan terperinci.

 

Mukadimah

Usul feqh dalam bahasa mudah membawa maksud kaedah-kaedah dan juga dalil-dalil feqh. Dalam perbahasan dalil, ia terbahagi kepada dua iaitu dalil-dalil yang disepakati dan juga dalil-dalil yang diperselisihkan padanya. Di antara dalil-dalil yang tidak disepakati oleh para ahli usul adalah Al-Maslahah al-Mursalah.

 

Pengertian Maslahah

Definisi maslahah seperti yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali Rahimahullah adalah: ‘’Mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan’’.[1] Justeru, sebarang bentuk perkara yang memberikan kebaikan dan manfaat kepada manusia serta dalam masa yang sama ia menghalang keburukan dan kemudaratan ke atas diri mereka, adalah dianggap sebagai maslahah.

Secara asasnya, tidak terdapat maslahah yang hakiki melainkan ia pasti selari dan bertepatan dengan nas. Jika dilihat dari kenyataan para ulama usul, seperti Imam al-Syathibi, beliau mengatakan: ‘’Syariah itu tidaklah dijadikan melainkan untuk mentahkikkan maslahah-maslahah kepada para hamba masa kini dan akan datang, serta menolak sebarang mafsadah kepada mereka’’.[2]

Sultan al-Ulama’ al-Izz Ibn Abd al-Salam berkata: ‘’Agama keseluruhannya adalah maslahah sama ada menolak mafsadah ataupun mendatangkan maslahah’’.[3]

 

Syeikh Dr. Abd al-Karim Zaidan membahagikan maslahah ini kepada tiga bahagian:

Pertama: Maslahah Mu’tabarah

Di sana terdapat maslahah yang mu’tabarah (diambil kira) oleh syarak. Dari sudut disyariatkan beberapa hukum-hakam yang dapat menyampaikan ke arahnya, seperti: Menjaga agama, jiwa, akal, maruah, serta harta.

Kerana itu syarak mensyariatkan jihad untuk maslahah memelihara agama, disyariatkan qisas untuk menjaga maslahah nyawa, disyariatkan hukum had ke atas peminum arak demi maslahah menjaga akal fikiran, disyariatkan hukum had terhadap penzina dan juga qazaf demi menjaga kemaslahatan maruah diri, serta disyariatkan hukum had ke atas pencuri bagi maslahah menjaga harta.

 

Kedua: Maslahah Mulghaah

Selain dari maslahah yang diambil kira oleh syarak ada juga maslahah yang syarak membatalkannya, dari sudut syarak tidak menganggapnya sebagai maslahah yang diambil kira dan menjadikannya maslahah yang marjuhah. Berikut kami sebutkan beberapa perkara sebagai contoh:

  • Maslahah orang perempuan mendapat kadar samarata dengan saudara lelakinya dalam pembahagian mirath (harta pusaka).

 

  • Maslahah seseorang yang mengamalkan riba dari sudut bertambahnya hartanya hasil pengamalan riba.

 

  • Maslahah peniaga arak dan pengamal judi hasil dari penjualan arak dan juga menang berjudi.

 

Ketiga-tiga maslahah ini, dianggap sebagai maslahah yang dibatalkan oleh syarak dari sudut syarak tidak mensyariatkan akan keharusannya. Bahkan syarak mensyariatkan kepada perkara yang berlawanan dengannya. Ketiga-tiga hal ini berdasarkan firman Allah S.W.T yang berikut:

 لِلذَّكَرِ مِثْلُ حَظِّ الْأُنثَيَيْنِ

Maksudnya: Dan bagi seorang lelaki adalah sama dengan bahagian kepada dua orang perempuan.

Surah al-Nisa’ (11)

 

Menurut ayat ini, bahagian bagi orang lelaki tidak sama dengan bahagian orang perempuan. Sekalipun ada maslahah tertentu kepada diri orang perempuan sekiranya mereka mendapat bahagian yang samarata dengan orang lelaki, namun syara’ al-hakim (yang penuh dengan hikmah) tidak mengambil kira akan maslahah tersebut. Maka inilah yang disebutkan sebagai maslahah al-mulghaah.

 

Begitu juga dengan isu riba. Sekalipun seseorang yang mengamalkan riba itu mendapat maslahah pertambahan hartanya hasil dari riba, akan tetapi maslahah tersebut tidak diambil kira oleh syara’, bahkan syara’ mengharamkannya. Ini berdasarkan firman-Nya:

وَأَحَلَّ اللَّهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Dan Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.

Surah al-Baqarah (275)

 

Demikian juga dengan maslahah yang terhasil dari proses jualan arak dan juga keuntungan dari judi. Walaupun ada maslahah dari keduanya itu, namun syarak tidak mengambil kiranya, bahkan mengharamkannya kerana maslahah yang lebih besar iaitu menghalang kemudaratan yang jauh lebih besar dari maslahah keduanya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

Maksudnya: Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan juga judi. Katakanlah bahawa pada keduanya itu dosa yang besar serta beberapa manfaat buat manusia, dan dosa keduanya itu adalah jauh lebih besar dari manfaat keduanya.

Surah al-Baqarah (219)

 

Ketiga: Maslahah Mursalah

Disamping terdapatnya maslahah yang diambil kira dan maslahah yang tidak diambil kira, ada suatu maslahah yang tidak dinaskan oleh syarak sama ada syarak membatalkannya atau syarak menerimanya. Inilah yang dinamakan sebagai maslahah mursalah di sisi usuliyyun. Ia dianggap sebagai maslahah kerana ia mendatangkan manfaat dan menghalang kemudharatan. Manakala ia dinamakan sebagai mursalah kerana ia tidak disebutkan oleh syarak sama ada ia diambil kira ataupun ia dibatalkan (tidak diambil kira).

Syeikh Abdul Fattah bin Muhammad berkata: Ia dinamakan sebagai al-maslahah al-mursalah kerana ia merupakan manfaat yang tidak terdapat dalil yang menyatakan padanya.[4]

Namun tidak dapat dinafikan bahawa usul-usul agama yang umum menyaksikan dan mengiktirafnya. Sekalipun maslahah mursalah ini bukanlah dalil yang mustaqil (bersendiri), ia adalah hujah dengan beberapa syarat berikut:

  • Ia mestilah berupa suatu permasalahan yang bermanfaat.
  • Permasalahan itu pula hendaklah bersifat umum.
  • Ia hendaklah tidak bercanggah dengan nas.

Manakala Imam al-Syathibi menambah beberapa syarat lain untuk membolehkan beramal dengan al-Maslahah al-Mursalah iaitu:

  • Hendaklah maslahah tersebut selari dengan maqasid syara’.
  • Ia mestilah boleh diterima oleh akal.
  • Hendaklah berpegang dengan maslahah itu demi menjaga perkara dharuri atau untuk mengangkat kesulitan.[5]

 

Undang-Undang Jalan Raya Dan Perkaitannya Dengan Al-Maslahah al-Mursalah

Sepertimana yang kita maklum, peraturan dan penguatkuasaan undang-undang jalanraya ini adalah datang dari pihak berkuasa yang menguruskan sesebuah negara. Terdapat sebuah kaedah feqh yang masyhur dalam menyebutkan tanggungjawab para pemerintah iaitu:

تَصَرُّفُ الإِمَام عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوط بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: Tindakan (perlaksanaan) pemerintah ke atas rakyat adalah mesti berkait (terikat) dengan maslahah.

 

Di Malaysia, pihak berkuasa melalui Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) adalah merupakan badan yang bertanggungjawab menyelia dan menyelenggara segala kemaslahatan manusia yang berada di atas jalan raya. Justeru, MOT dengan usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang bernaung di bawahnya memainkan peranan besar dalam memberikan manfaat kepada pengguna jalan raya dan menolak sebarang kemudaratan kepada mereka.

Antara fungsi JPJ seperti yang disebutkan oleh ensiklopedia bebas, Wikipedia[6]:

  • Mengeluarkan nombor plat kenderaan Malaysia.
  • Mengeluarkan lesen memandu.
  • Menguatkuasa dan mentadbir undang-undang jalan raya.

Justeru, penguatkasaan berkaitan dengan undang-undang jalan raya di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 adalah bertujuan untuk memberikan kemaslahatan kepada seluruh pengguna jalan raya.

 

Kesimpulan

Sebagai penutup ke atas apa yang telah kami kupaskan di atas, kami menyatakan beberapa perkara seperti berikut:

  • Undang-undang jalan raya yang dikuatkuasakan adalah bertunjangkan kepada Al-Maslahah al-Mursalah.

 

  • Ia juga bertepatan dengan konsep Maqasid al-Syari’ah disamping menepati kaedah al-siyasah al-syar’iyyah.

 

 

  • Umat Islam perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa demi kemaslahatan mereka.

 

  • Undang-undang jalan raya tidak boleh diabaikan atau diketepikan dengan alasan bahawa tidak terdapat dalil yang menyebutkan berkenaannya di dalam al-Quran dan al-Sunnah.

 

 

  • Sebenarnya, nas al-Quran yang dalalahnya zhanni seperti larangan menjerumuskan diri ke lembah kebinasaan turut boleh dijadikan hujah mematuhi undang-undang jalan raya. Maslahah mursalah menjadi hujah penguat kepada nas-nas seperti ini.

 

Justeru, kami berpendapat bahawa al-maslahah al-mursalah adalah suatu hujah syar’ie yang diterima pakai apabila menepati syarat-syaratnya dan terbina hukum-hakam ke atasnya. Begitu juga peraturan serta undang-undang jalan raya tidak bercanggah dengan konsep ini sebaliknya adalah suatu aplikasi yang bertunjang kepadanya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefaham yang benar kepada kita dalam beragama. Ameen.

 

 

 

 

[1] Lihat Al-Mustashfa, Al-Ghazali (Jil. 2 Hlm. 139)

[2] Lihat al-Muwafaqat, al-Syathibi (Jil. 2 Hlm. 6)

 

[3] Lihat Qawa’id al-Ahkam, Izz Abd al-Salam (Jil. 1 Hlm. 9)

[4] Lihat al-I’laam Fi Usul al-Ahkam, Abd al-Fattah bin Muhammad (Hlm. 152)

 

[5] Rujuk al-I’tisham, Al-Syathibi (Jil. 2 Hlm. 307-312)

 

[6] https://ms.wikipedia.org/wiki/Jabatan_Pengangkutan_Jalan