Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE-25: APABILA WUJUD DALIL-DALIL YANG BERTENTANGAN

DALIL.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Mufti. Bagaimana kita melihat dalil-dalil yang tidak boleh dihimpunkan apabila terdapat pada kedua-dua pendapat?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Ibn Hamdan Rahimahullah berkata: Sekiranya tidak boleh untuk dihimpunkan di antara kedua-dua pendapat, namun diketahui tarikh keduanya, maka pendapat yang kedua itu adalah merupakan mazhab beliau. Inilah pendapat yang dipilih oleh al-Khallal[1] dan sahabatnya.[2] (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 256)

Dalam perbahasan al-Ta’arudh Bayna al-Adillah (percanggahan di antara dalil-dalil), jumhur para fuqaha menyatakan terdapat tiga jalan yang digunakan bagi mengelak percanggahan ini:

Pertama: Adalah dengan menggunakan cara al-Jam’u wa al-Taufiq (Menghimpun dan mengharmonikan di antara dalil-dalil yang dilihat bercanggah).

Kedua: Sekiranya tidak dapat dihimpunkan maka digunakan proses tarjihan. Iaitu mengatakan salah satunya rajih dan yang lainnya sebagai marjuh.

Ketiga: Adalah dengan melakukan nasakh (memansukhkan). Iaitu dengan mengatakan salah satu sebagai naasikh (pemansukh) dan selainnya sebagai mansukh (telah dimansukhkan). Namun ia perlu melihat yang manakah merupakan yang terdahulu dan yang terkemudian.

Kami berpendapat dengan pendapat pertama dan pendapat yang kedua.

Semoga dengan pencerahan ini kita akan menemukan satu jawapan yang tuntas ketika kita berinteraksi dengan nas dan dalil dalam istinbat dan juga tarjih dalil.

 

Nota hujung:

[1] Abu Bakr Ahmad bin Muhammad bin Harun bin Yazid al-Baghdadi. Beliau digelar sebagai al-Khallal. Lahir pada tahun 235 H dan wafat pada tahun 311 H.

[2] Iaitu Abu Bakar Abd al-Aziz yang dikenali dengan gelaran Ghulam al-Khallal. Meninggal dunia pada tahun 363 Hijrah.