Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 47: HAK-HAK YANG TERKAIT DENGAN SUATU PERINTAH HUKUM SYARAK

irsyadusulfiqh

Ulama usul fiqh ketika membincangkan sesuatu perbuatan yang diperintahkan oleh Allah SWT atau disebut Mahkum Fihi seperti perintah Wajib, Haram, Sah, dan Tidak Sah, mereka memasukkan satu perbahasan berkenaan hak-hak yang terkait dengan sesuatu perintah tersebut. Antara hak-hak yang terkait seperti berikut:

1- Hak Allah
2- Hak Individu
3- Hak yang bercampur di antara hak Allah dan hak individu, cuma hak Allah lebih dominan
4- Hak yang bercampur di antara hak Allah dan hak individu, cuma hak individu lebih dominan

(Lihat: al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, m/s 82)

1) Hak Allah

Hak Allah adalah hak masyarakat sejagat yang tidak dikhususkan kepada mana-mana pihak. Dinamakan sebagai Hak Allah bagi menunjukkan kebesaran dan kesucian hak, serta kesempurnaan manfaatnya untuk semua. Namun, hanya tampak kelihatan jika dijaga dan dipelihara dengan baik.

Oleh itu, hak ini tidak boleh dinafikan dan dibatalkan oleh sesiapun, bahkan ia diibaratkan seperti prinsip asas dan perlembagaan sebuah negara yang tidak boleh diganggu gugat sewenang-wenangnya.

Terdapat beberapa pecahan yang boleh dikategorikan bersama-sama di bawah hak ini, antaranya;

a- Ibadah mutlak semata-mata kerana Allah, tiada sebab lain.

Ibadah seperti Keimanan, Solat, Puasa dan Haji dan lain-lain. Kalau kita ambil satu contoh iaitu keimanan dan perkaitannya dengan hak masyarakat (awam/publik).

Konsep keimanan adalah asas utama bagi individu yang beragama khususnya agama Islam. Agama merupakan elemen asas yang sangat diperlukan dalam membentuk masyarakat yang harmoni dan baik bagi menghasilkan satu sistem kehidupan yang tersusun lagi berkebajikan.

Jadi, apabila menyentuh tentang tatacara membentuk sistem kehidupan yang lebih baik, maka konsep ibadah sebegini tidak boleh diasingkan. Jika diasingkan, akan memberi kerosakan kepada masyarakat dalam skala yang besar. Oleh yang demikian, ia dikategorikan di bawah kategori Hak Allah melihat kepada kritikalnya isu tersebut.

b- Ibadah yang mempunyai makna bantuan kepada orang lain

Kita boleh lihat ciri-ciri ini pada pensyariatan Zakat Fitrah. Dari satu sudut, terzahir makna ibadah apabila seseorang mendekatkan diri kepada Allah melalui pemberian zakat kepada orang fakir miskin.

Daripada sisi pandang yang lain, mempunyai makna bantuan kerana kewajipan ini dituntut disebabkan orang lain (membantu orang miskin dan lain-lain). Ini jelas berbeza dengan ibadah yang hanya dilakukan semata-mata kerana Allah SWT.

c- Hukuman yang tidak memberi maksud lain melainkan hukuman dan pengajaran semata-mata.

Tiada yang lain melainkan Hudud. Antara definisinya yang masyhur, iaitu suatu hukuman yang sudah ditetapkan secara terperinci oleh Syara' bertujuan menjaga kesejahteraan umat manusia. Contohnya, jenayah seperti zina, minum arak, merompak, dan lain-lain.

(Lihat: al-Mausuah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 17/129)

Dalam kes ini, tiada siapa pun mempunyai hak tidak kira dari sudut mangsa mahupun pemerintah untuk membatalkan hukuman terhadap pesalah laku jika sudah disabitkan kesalahan mereka.

Pendirian ini jelas ditunjukkan oleh Nabi apabila beliau menunjukkan kemarahan terhadap sahabat baginda, Usamah Bin Zaid RA yang memohon agar Nabi memaafkan pencuri perempuan daripada kaum Bani Makhzum yang telah disabitkan kesalahan.  

Ini berdasarkan riwayat Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda sebagai respon balas terhadap permintaan Usamah Bin Zaid RA,

فقالَ إنَّما أهْلَكَ الَّذينَ من قبلِكُم أنَّهم كانوا إذا سَرقَ فيهم الشَّريفُ ترَكوهُ وإذا سرقَ فيهم الضَّعيفُ أقاموا عليهِ الحدَّ. وأيمُ اللَّهِ ! لَو أنَّ فاطمةَ بنتَ محمَّدٍ سرَقَت لقطعتُ يدَها.

Maksudnya: Sesungguhnya telah binasa golongan-golongan terdahulu kerana membiarkan golongan mulia (atasan) yang mencuri daripada dihukum, sedangkan jika golongan marhaen (rakyat bawahan) mencuri, mereka dihukum dengan hukuman hudud. Aku bersumpah dengan nama Allah, sekiranya Fatimah Binti Muhammad mencuri nescaya aku sendiri yang akan memotong tangannya.

Riwayat Tirmizi (1430)

2) Hak Individu

Apabila kita memahami hak Allah adalah hak umum, maka hak individu berlawanan dengannya iaitu hak yang khusus diberikan untuk maslahah (kebaikan) diri peribadi.

Hak ini secara umumnya berkait rapat dengan hak-hak yang berkaitan harta seperti hak ganti rugi barang yang dirosakkan orang lain, hak pelunasan hutang, hak Diyah (hutang darah) dan sebagainya.

Keistimewaan hak ini, pemiliknya mempunyai hak untuk memilih sama ada menuntut agar haknya dipenuhi atau menarik balik tuntutan tersebut kerana manifestasi kemuliaan seseorang itu adalah apabila berhak berbuat sewenangnya terhadap hak yang diperuntukkan untuk dirinya.

3) Hak yang bercampur di antara hak Allah dan hak individu, cuma hak Allah lebih dominan

Hak individu dan Hak Allah sudah diterangkan di atas. Terdapat beberapa pensyariatan yang terkandung di dalamnya kedua-dua hak ini. Contohnya isu jenayah Qazaf (menuduh perempuan solehah berzina).

Dalam isu Qazaf, hak masyarakat awam jelas kelihatan apabila jenayah ini menyentuh perihal kemulian dan kehormatan insan. Jika dibiarkan akan merosakkan keharmonian masyarakat kerana berkemungkinan tuduhan tersebut dilakukan secara semberono tanpa bukti yang jelas.

Menyentuh soal hak individu pula kerana si tertuduh berhadapan dengan tohmahan orang lain yang percaya terhadap pertuduhan tidak berasas tersebut menyebabkan maruahnya tercalar dan dimalukan.

Ulama berbeza pandangan dalam soal ini, diantara kedua-dua hak tersebut yang mana lebih dominan. Maka, jika diberatkan kecenderungan ke arah hak Allah, maka hukuman tersebut tidak boleh dibatalkan oleh sesiapun, sebaliknya jika diberatkan ke arah hak individu, si tertuduh berhak untuk memaafkan kesalah si penuduh.

(Lihat: al-Muhalla, 12/255)

4) Hak yang bercampur di antara hak Allah dan hak individu, cuma hak individu lebih dominan

Telah dikemukan contoh pembahagian ini dalam kes Qazaf, bagi pandangan ulama' yang memberatkannya lebih kepada hak individu.

Contoh lain yang biasa dibincangkan ulama' ialah isu Qisas (Hukum Bunuh) bagi penjenayah yang melakukan pembunuhan secara sengaja.

Jika diaplikasikan kedua-dua hak ini, hak Allah berkait rapat kerana melibatkan keamanan dan kemakmuran masyarakat setempat agar tidak merasa bimbang dan terancam dengan jenayah pembunuhan atas apa-apa sebab sekalipun.

Hak Individu pula berkait rapat apabila melalui hukuman ini dapat meredakan kemarahan dan perasaan dendam ahli keluarga yang dibunuh terhadap pembunuh kerana kes bunuh melibatkan ahli keluarganya secara khusus tidak terpalit keluarga orang lain secara langsung.

Dalam kes Qisas ini, ulama' cenderung mengatakan Hak Individu lebih kuat berbanding hak Allah melihat kepada hubungkait jenayah pembunuhan dengan ahli keluarga mangsa lebih dominan berbanding dengan masyarakat umum.

Kesannya, ahli keluarga si mati boleh memaafkan pembunuh tanpa perlu dikenakan hukuman Qisas, cukup sekadar membayar Diyah, bahkan jika pemerintah sudah mensabitkan hukuman untuk menjatuhkan hukuman bunuh, ahli keluarga berhak untuk meminta hakim memberhentikan perlaksanaan tersebut.

Sebagai kesimpulan, seorang mujtahid sewajarnya tidak mengabaikan perbahasan seputar hak-hak ini, kerana penglihatan yang tajam dalam pembahagian hak-hak yang terkait membolehkan seseorang mujtahid untuk melihat kerangka syariah melalui skop yang lebih besar dan luas, lantas membantu mujtahid mendepani seribu satu persoalan-persoalan baru yang bakal timbul pada masa akan datang. Dalam masa yang sama, mengetahui perkara yang boleh untuk bertolak ansur dan perkara yang tidak boleh diganggu gugat khususnya berkaitan prinsip-prinsip dasar agama dan keimanan.

Wallahua’lam