Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-67: TAJAZZU’ AL-IJTIHAD : BOLEHKAH SESEORANG MENJADI MUJTAHID DALAM SESUATU BAB TERTENTU SAHAJA?

 

IUF 67 2

 

SOALAN

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya, bolehkah seseorang itu menjadi mujtahid dalam sesuatu bab tertentu sahaja seperti bab bersuci sahaja dan tidak bagi bab-bab yang lain?

Mohon pencerahan. Terima kasih.

RINGKASAN JAWAPAN

Kebanyakan para ulama berpandangan bahawa seseorang boleh menjadi mujtahid dalam bab tertentu dan tidak pada bab-bab yang lain dengan beberapa syarat. Antaranya ialah mestilah dia memenuhi syarat ijtihad yang umum dan menguasai kesemua perbahasan bab dan dalil-dalilnya secara menyeluruh serta mampu mengistinbatkan hukum daripada dalil-dalil tersebut.

Oleh yang demikian, sesiapa yang tidak mencapai tahap ijtihad dan tidak mencukupi syarat disebutkan itu, maka tidak layak baginya untuk berijtihad dalam apa jua bab.

Selain itu, ditegaskan juga bahawa keharusan ini tidak terpakai kepada mana-mana ulama atau ilmuan sekarang yang tidak memiliki kriteria mujtahid dan masih bertaqlid. Apatah lagi ia sama sekali tidak layak dipraktikkan oleh orang awam.

WaAllahu a’lam. 

HURAIAN JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Pertama,  permasalahan ‘mujtahid dalam sesuatu bab tertentu’ ialah satu perbahasan dalam ilmu Usul al-Fiqh iaitu perbahasan tajzi’at al-Ijtihad (تجزئة الاجتهاد) yang bermaksud:

المقصود بتجزئة الاجتهاد: أنْ يكونَ الفقيهُ مجتهداً في بابٍ من أبواب الفقه دون غيره، أو في مسألةٍ دون مسألةٍ.

Maksudnya: Maksud tajziat al-ijtihad (تجزئة الاجتهاد) ialah seorang faqih itu menjadi mujtahid dalam bab tertentu dalam ilmu fiqh dan tidak bagi bab-bab yang lain, atau dalam satu permasalahan tertentu dan tidak bagi permasalahan yang lain.[1] (Rujuk Usul al-Fiqh al-lazi La Yasa’ al-Faqih Jahlahu, 1:455)

Hal ini juga sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Syaukani dalam kitabnya Irsyad al-Fuhul bahawa:

وَهُوَ أَنْ يَكُونَ الْعَالِمُ قَدْ تَحَصَّلَ لَهُ فِي بَعْضِ الْمَسَائِلِ مَا هُوَ مَنَاطُ الِاجْتِهَادِ مِنَ الْأَدِلَّةِ دُونَ غَيْرِهَا، فَإِذَا حَصَلَ لَهُ ذَلِكَ فَهَلْ له أن يجتهد فيها أو لا، بَلْ لَا بُدَّ أَنْ يَكُونَ مُجْتَهِدًا مُطْلَقًا، عِنْدَهُ مَا يَحْتَاجُ إِلَيْهِ فِي جَمِيعِ الْمَسَائِلِ؟

Maksudnya: Maksud tajazzu’ al-ijtihad ialah seseorang alim mencapai ciri-ciri yang melayakkannya menjadi mujtahid dengan menguasai kesemua dalil-dalinya dalam beberapa perbahasan tertentu dan tidak pada perbahasan yang lain. Oleh yang demikian, jika seseorang mencapai tahap tersebut, adakah dia boleh berijtihad dalam bab tertentu ataupun tidak, iaitu dia wajib menjadi mujtahid mutlaq terlebih dahulu dengan menguasainya pada semua perbahasan ilmu?[2] (Rujuk Irsyad al-Fuhul, 2:216)

Hal ini contohnya seperti seseorang boleh berijtihad dalam bab taharah sahaja dan tidak pada bab-bab yang lain kerana dia menguasai semua dalil dan perbahasan dalam bab tersebut sahaja. Persoalannya, adakah dalam keadaan tersebut dia boleh berijtihad pada bab itu atau dia wajib menjadi mujtahid secara umum dalam semua bab terlebih dahulu?

Walau bagaimanapun, di sini hendaklah ditegaskan bahawa khilaf berkaitan keharusan berijtihad dalam satu-satu bab tertentu ini ialah bagi seorang alim atau faqih yang telah memenuhi syarat ijtihad yang umum seperti mempunyai kepakaran dalam Bahasa Arab, dalalat al-alfaz, berkemampuan untuk melakukan istinbat dan menguasai ilmu Usul Fiqh. Sesiapa yang tidak mencukupi syarat-syarat ijtihad umum yang tersebut maka dia tidak boleh diiktibarkan sebagai mujtahid dalam apa pun perbahasan Fiqh.[3]

Adapun keadaan yang diperselisihkan di sisi para ulama ialah bagi sesiapa yang mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk mengistinbat hukum daripada nas syarak, namun tidak menguasai kesemua dalil-dalil Fiqh, sama ada dia boleh berijtihad dalam sesuatu bab yang tertentu yang dikuasainya ataupun tidak boleh.[4]

Perkara ini menjadi khilaf dalam kalangan ulama Usul Fiqh. Ada segolongan ulama yang mengharuskan untuk menjuzukkan ijtihad kepada bab-bab tertentu sahaja dan ada juga yang tidak mengharuskannya.

Golongan Yang Mengharuskan Untuk Menjuzukkan Ijtihad

Antara golongan yang mengharuskannya sepertimana disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi dalam kitabnya, Bahr al-Muhith bahawa:

مَسْأَلَةٌ الصَّحِيحُ جَوَازُ تَجَزُّؤِ الِاجْتِهَادِ، بِمَعْنَى أَنَّهُ يَكُونُ مُجْتَهِدًا فِي بَابٍ دُونَ غَيْرِهِ

Maksudnya: Perbahasan (khilaf bagi menjuzukkan ijtihad): Pandangan yang sahih berkaitan hal ini, hukumnya adalah harus. Ini bermakna seseorang itu boleh menjadi mujtahid di dalam satu bab tertentu dan tidak pada bab-bab yang lain.[5] (Rujuk Bahr al-Muhith, 8:242)

Begitu juga disebutkan bahawa Safiyuddin al-Hindi mengatakan kebanyakan para ulama berpegang dengan pandangan yang mengharuskannya. Hal ini juga merupakan pandangan yang dipilih oleh Ibn Daqiq al-Eid. Manakala Imam al-Rafi’ie juga bersetuju dengan pandangan Imam al-Ghazali yang mengatakan bahawa seorang alim boleh berijtihad dalam satu bab tertentu sahaja dan bukan pada bab-bab yang lain.[6] Pandangan yang mengharuskan untuk menjuzukkan ijtihad ini juga disebutkan oleh Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitabnya al-Mahsul[7] dan Ibn Qudamah dalam Raudhat al-Nazir[8].

Seterusnya, Ibn Qayyim al-Jawziyyah turut menjelaskan dalam kitabnya I’lam al-Muwaqqi’in bahawa:

الِاجْتِهَادُ حَالَةٌ تَقْبَلُ التَّجَزُّؤَ وَالِانْقِسَامَ، فَيَكُونُ الرَّجُلُ مُجْتَهِدًا فِي نَوْعٍ مِنْ الْعِلْمِ مُقَلِّدًا فِي غَيْرِهِ، أَوْ فِي بَابٍ مِنْ أَبْوَابِهِ، كَمَنْ اسْتَفْرَغَ وُسْعَهُ فِي نَوْعِ الْعِلْمِ بِالْفَرَائِضِ وَأَدِلَّتِهَا وَاسْتِنْبَاطِهَا مِنْ الْكِتَابِ وَالسُّنَّةِ دُونَ غَيْرِهَا مِنْ الْعُلُومِ، أَوْ فِي بَابِ الْجِهَادِ أَوْ الْحَجِّ، أَوْ غَيْرِ ذَلِكَ؛ فَهَذَا لَيْسَ لَهُ الْفَتْوَى فِيمَا لَمْ يَجْتَهِدْ فِيهِ، وَلَا تَكُونُ مَعْرِفَتُهُ بِمَا اجْتَهَدَ فِيهِ مُسَوِّغَةً لَهُ الْإِفْتَاءَ بِمَا لَا يَعْلَمُ فِي غَيْرِهِ، وَهَلْ لَهُ أَنْ يُفْتِيَ فِي النَّوْعِ الَّذِي اجْتَهَدَ فِيهِ؟ فِيهِ ثَلَاثَةُ أَوْجُهٍ: أَصَحُّهَا الْجَوَازُ، بَلْ هُوَ الصَّوَابُ الْمَقْطُوعُ بِهِ. وَالثَّانِي: الْمَنْعُ .وَالثَّالِثُ: الْجَوَازُ فِي الْفَرَائِضِ دُونَ غَيْرِهَا.

Maksudnya: Ijitihad ialah merupakan sesuatu keadaan yang boleh menerima pembahagian. Oleh yang demikian, seseorang boleh menjadi mujtahid dalam sesuatu ilmu atau bab tertentu dan menjadi muqallid dalam ilmu dan bab selainnya. Hal ini seperti seseorang yang menumpukan usahanya dalam ilmu tertentu sahaja seperti Faraid dengan menguasai dalil-dalil daripada al-Quran dan Sunnah serta tidak menguasai bab-bab yang lain sepertinya. Juga contohnya seseorang hanya menguasai bab-bab tertentu seperti bab Jihad, Haji dan lain-lain. Oleh itu, dia tidak boleh untuk berfatwa dalam bidang yang dia tidak mampu berijtihad.

Persoalannya, adakah boleh dia mengeluarkan fatwa pada bab yang dia mampu berijtihad padanya ataupun tidak? Terdapat tiga pandangan. Pandangan pertama dan yang sahih dalam perbahasan ini ialah ia diharuskan, bahkan pandangan ini kebenaran yang diputuskan oleh para ulama. Kedua, tidak diharuskan. Ketiga, diharuskan dalam bab Faraid sahaja dan tidak diharuskan bagi bab-bab yang lain.[9] (Rujuk I’lam al-Muwaqqi’in, 4:166)

Golongan Yang Tidak Mengharuskan Untuk Menjuzukkan Ijtihad

Manakala golongan yang tidak mengharuskan untuk menjuzukkan ijtihad ini, mereka berpandangan bahawa walaupun seseorang sudah menguasai sesuatu bab atau permasalahan dan mengetahui dalil-dalil yang digunakan untuk melakukkan istinbat dalam bab tersebut, tidak diharuskan baginya untuk berijtihad bahkan wajib untuk bertaqlid kepada para imam mujtahid. Hal ini kerana kemahiran ijtihad tersebut tidak terpisah-pisah dan di antara satu bab Fiqh dengan bab-bab yang lain adalah saling berkait antara satu sama lain.

Pandangan ini dipegang oleh sebahagian kecil para ulama antaranya ialah Mulla Husrev dalam kitabnya, Mirqat al-Wusul dan syarahannya, Mir’at al-Usul, yang menyandarkan pandangan itu kepada Imam Abu Hanifah, Muhammad al-Azmiriy dalam kitabnya, Hasyiah ala Mirqat al-Wusul dan Imam al-Syaukani dalam kitabnya Irsyad al-Fuhul[11].[12] (Rujuk Tajazzu’ al-Ijtihad Inda Usuliyyin, 155-156)

Kesimpulan

Kesimpulannya, pandangan yang rajih dalam isu ini ialah pandangan yang mengharuskan untuk menjuzukkan ijitihad.[13] Oleh yang demikian, seseorang itu boleh berijtihad dalam bab  tertentu dan tidak pada bab yang lain dengan beberapa syarat iaitu:

  1. Hendaklah seseorang itu mempunyai keahlian secara umum untuk memahami nas dan melakukan istinbat. Hal ini dengan memenuhi syarat-syarat yang disyaratkan oleh para ulama bagi mujtahid mutlaq.
  2. Hendaklah mempelajari sesuatu perbahasan secara menyeluruh dengan menguasainya segenap sudut yang diperlukan supaya dapat berijtihad dalam bab tersebut.[14] (Rujuk al-Ijtihad, 62)

Di samping itu, hendaklah juga difahami bahawa sesiapa yang tidak mencapai tahap mujtahid seperti yang disebutkan, maka dia tidak diiktibarkan sebagai mujtahid dan pandangannya tidak dinamakan sebagai ‘ijtihad juzi’e’. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan bahawa keharusan menjuzukkan ijtihad ini ialah bagi para mujtahid sahaja dan bukan kepada selain mereka.

WaAllahu a’lam.

 

RUJUKAN

[1] Al-Salami, Ayadh Ibn Nami, 2005, Usul al-Fiqh allazi La Yasa’ al-Faqih Jahlahu, Dar al-Tadmiriyah, Riyadh, jld. 1, hlmn. 455.

[2] Al-Syaukani, Muhammad Ibn Ali, 1999, Irsyad al-Fuhul Ila Tahqiq al-Haq Min Ilm al-Usul, Dar al-Kitab al-Arabi, Damsyiq, jld. 2, hlmn. 216.

[3] ليس من محلّ النزاع أنْ يجتهدَ في مسألةٍ فقهيةٍ مَن لم تتوافرْ فيه شروطُ الاجتهاد العامّة، وهي: معرفةُ العربية، ودلالات الألفاظ، والقدرة على الاستنباط، ومعرفةُ ما يحتاج إليه في المسألة من أصول الفقه. فمن لم يحصل هذه الشروط لا يُمكنُ أنْ يُعدَّ مجتهداً في شيءٍ من مسائل الفقه.  (أصول الفقه الذى لايسع الفقيه جهله، ج 1، ص 455)

[4] وإنما موضعُ النزاع أن مَن له قدرةٌ على النظر في الأدلّة والاستنباط منها، وحصّل الشروطَ العامّةَ للاجتهاد إذا لم يُحطْ بأدلّة الفقه كلِّها، هل له أنْ يجتهدَ في المسائل التي أحاط علماً بأدلّتها؟ (أصول الفقه الذى لايسع الفقيه جهله، ج 1، ص 455)

[5] Al-Zarkasyi, Muhammad Ibn Abdullah, 1994, Bahr al-Muhith fi Usul al-Fiqh, Dar al-Kutubi, Beirut, jld. 8, hlmn. 242.

[6]وَعَزَاهُ الْهِنْدِيُّ لِلْأَكْثَرِينَ، وَحَكَاهُ صَاحِبُ النُّكَتِ " عَنْ أَبِي عَلِيٍّ الْجُبَّائِيُّ وَأَبِي عَبْدِ اللَّهِ الْبَصْرِيِّ. قَالَ ابْنُ دَقِيقِ الْعِيدِ: وَهُوَ الْمُخْتَارُ، لِأَنَّهُ قَدْ يُمْكِنُ الْعِنَايَةُ بِبَابٍ مِنْ الْأَبْوَابِ الْفِقْهِيَّةِ حَتَّى يَحْصُلَ الْمَعْرِفَةُ بِمَأْخَذِ أَحْكَامِهِ وَإِذَا حَصَلَتْ الْمَعْرِفَةُ بِالْمَأْخَذِ أَمْكَنَ الِاجْتِهَادُ وَقَالَ الرَّافِعِيُّ تَبَعًا لِلْغَزَالِيِّ: يَجُوزُ أَنْ يَكُونَ الْعَالِمُ بِمَنْصِبِ الِاجْتِهَادِ فِي بَابٍ دُونَ بَابٍ وَالنَّاظِرُ فِي مَسْأَلَةِ الْمُشَارَكَةِ تَكْفِيهِ مَعْرِفَةُ أُصُولِ الْفَرَائِضِ، وَلَا يَضُرُّهُ أَنْ لَا يَعْرِفَ الْأَخْبَارَ الْوَارِدَةَ فِي تَحْرِيمِ الْمُسْكِرِ مَثَلًا وَذَهَبَ آخَرُونَ إلَى الْمَنْعِ، لِأَنَّ الْمَسْأَلَةَ فِي نَوْعٍ مِنْ الْفِقْهِ رُبَّمَا كَانَ أَصْلُهَا نَوْعًا آخَرَ مِنْهُ، كَتَعْلِيلِ الشَّافِعِيِّ تَحْلِيلَ الْخَمْرِ بِالِاسْتِعْجَالِ، فَلَا تَكْتَمِلُ شَرَائِطُ الِاجْتِهَادِ فِي جُزْءٍ حَتَّى يَسْتَقِلَّ بِالْفُنُونِ كُلِّهَا. (بحر المحيط في أصول الفقه، ج 8، ص 242)

[7] Al-Razi, Fakhruddin, 1997, al-Mahsul Fi Ilm al-Usul, Muassasah Risalah, Beirut, jld. 6, hlmn. 25.

مسألة الحق أنه يجوز أن تحصل صفة الاجتهاد في فن دون فن بل في مسألة دون مسألة خلافا لبعضهم

[8] Al-Maqdisi, Ibn Qudamah, 2002, Raudhat al-Nazir wa Jannat al-Munazir, Muassasah Rayan, jld. 2, hlmn. 337.

(تجزؤ الاجتهاد) فليس من شرط الاجتهاد في مسألة: بلوغ رتبة الاجتهاد في جميع المسائل، بل متى علم أدلة المسألة الواحدة، وطرق النظر فيها: فهو مجتهد فيها، وإن جهل حكم غيرها.

[9] Al-Jawziah, Ibn Qayyim, 1991, I’lam al-Muwaqqi’in ‘an Rabb al-Alamin, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 4, hlmn. 166

[11] وَأَكْثَرُ عُلُومِ الِاجْتِهَادِ يَتَعَلَّقُ بَعْضُهَا بِبَعْضٍ، وَيَأْخُذُ بَعْضُهَا بِحُجْزَةِ بَعْضٍ، وَلَا سِيَّمَا مَا كَانَ مِنْ عُلُومِهِ مَرْجِعُهُ إِلَى ثُبُوتِ الْمَلَكَةِ، فَإِنَّهَا إِذَا تَمَّتْ كَانَ مُقْتَدِرًا عَلَى الِاجْتِهَادِ فِي جَمِيعِ الْمَسَائِلِ، وَإِنِ احْتَاجَ بَعْضُهَا إِلَى "مَزِيدِ"* بِحْثٍ، وَإِنْ نَقَصَتْ لَمْ يَقْتَدِرْ عَلَى شَيْءٍ مِنْ ذَلِكَ، وَلَا يَثِقْ مِنْ نَفْسِهِ لِتَقْصِيرِهِ، وَلَا يَثِقْ بِهِ الْغَيْرُ لِذَلِكَ، فَإِنِ ادَّعَى بَعْضُ الْمُقَصِّرِينَ بِأَنَّهُ قَدِ اجْتَهَدَ فِي مَسْأَلَةٍ "دُونَ مَسْأَلَةٍ"** فَتِلْكَ الدَّعْوَى يَتَبَيَّنُ بُطْلَانُهَا بِأَنْ يَبْحَثَ مَعَهُ مَنْ هُوَ مُجْتَهِدٌ اجْتِهَادًا مُطْلَقًا. (إرشاد الفحول إلي تحقيق الحق من علم الأصول ج 2، ص 216)

[12] Dr. Walid Abdullah & Dr. Musytaq Aliyyullah, 2002, Tajazzu’ al-Ijtihad Inda Usuliyyin, Majallah Jami’ah al-Kirkuk, Iraq, hlmn. 155-156.

وهذا مذهب بعض علماء األصول ، ويبدو أنهم قلة ، ومن هؤالء ملّا خسرو في مرقاة الوصول وشرحها مرآة األصول ، وعزاه أبي حنيفة ، وتبعه على هذا القول محمد الأزميري في حاشيته على المرقاة، وممن ذهب أيضا إلى هذا المذهب محمد بن علي الشوكاني.

[13] Dr. Walid Abdullah & Dr. Musytaq Aliyyullah, 2002, Tajazzu’ al-Ijtihad Inda Usuliyyin, Majallah Jami’ah al-Kirkuk, Iraq, hlmn. 158.

الراجح في مسألة تجزؤ الاجتهاد: القول بجواز تجزئة الاجتهاد وذلك لقوّة أدلتهم التى عرضنا في البحث.

[14] Al-Qardawi, Yusuf, 1996, al-Ijtihad fi al-Syariah al-Islamiah, Dar al-Qalam, Kuwait, hlmn. 62.