Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

TAHQIQ AL-MASAIL SIRI KE-9 : PENJELASAN BERKAITAN HUKUM WUDUK DENGAN MENYAPU DI ATAS STOKING

 

Tahqiq Masail 9

 

 

Ringkasan Jawapan

Sejak kebelakangan ini timbul isu berkaitan hukum berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan basuhan kaki. Kami telah menjelaskan hukum berkaitan isu ini dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-552 : Adakah Stoking Kain Boleh Digunakan Sebagai Khuf?

Kami ingin menegaskan bahawa pandangan yang paling kuat dalam mazhab al-Syafie dan majoriti ulama ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stoking yang nipis, justeru hendaklah menanggalkan stoking dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah serta sentiasa mengambil langkah ihtiyat (berjaga-jaga) bagi memastikan ibadah yang kita lakukan sah dan diterima oleh Allah SWT.

Sebaiknya mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafie dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita tidak terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang paling mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak.

Dalam konteks pengamalan fiqh di Malaysia, kita hendaklah meraikan mazhab al-Syafie yang telah menjadi pegangan dan amalan setempat. Kami menasihatkan kepada orang ramai supaya menghormati mazhab masyarakat setempat dan tidak menyebarkan pandangan-pandangan yang boleh mengelirukan orang ramai.

Huraian Jawapan

Sejak kebelakangan ini timbul isu berkaitan hukum berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan basuhan kaki. Kami telah menjelaskan hukum berkaitan isu ini dalam artikel Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-552 : Adakah Stoking Kain Boleh Digunakan Sebagai Khuf? Kesimpulan daripada artikel tersebut kami menyatakan bahawa pandangan yang paling kuat dalam mazhab al-Syafie dan jumhur ulama adalah tidak boleh dan tidak sah berwuduk dengan menyapu di atas stoking bagi menggantikan khuf.

Oleh yang demikian, dalam artikel kali ini kami ingin menerangkan dengan lebih  jelas dan terperinci dalil-dalil yang kuat berkaitan pandangan yang dipegang ini serta menjelaskan pandangan terpencil yang mengharuskannya yang dibina atas dalil yang lemah.

Berkaitan dalil yang mengatakan perbuatan menyapu di atas stoking adalah tidak dibolehkan dan tidak sah, ini dapat diperhatikan dengan jelas berdasarkan pandangan yang paling sahih mazhab al-Syafie yang disebutkan Imam al-Nawawi dalam kitabnya Minhaj al-Talibin bahawa beliau berkata:

وشرطه أن يلبس بعد كمال طهر ساترا محل فرضه طاهرا يمكن تباع المشي فيه لتردد مسافر لحاجاته قيل: وحلالا ولا يجزىء منسوج لا يمنع ماء في الأصح

Maksudnya: Syaratnya (khuf atau sarung kaki) hendaklah dipakai selepas sempurnanya wuduk, hendaklah ia menutup semua tempat (kaki) yang wajib di basuh, tahan lasak dan boleh digunakan untuk berjalan dengan berulang-alik bagi seorang musafir bagi menunaikan keperluannya. Menurut pendapat yang lemah, hendaklah yang halal (bukan sutera atau dicuri, kerana ini adalah hukum berasaskan rukhsah). Tidak sah jika sekiranya diperbuat daripada bahan yang tidak menghalang air menurut pendapat yang paling sahih.[1] (Rujuk Minhaj al-Tolibin: 14)

Berdasarkan nukilan di atas, dapat difahami bahawa stoking tidak menepati syarat khuf yang ditetapkan oleh para fuqaha Syafi’iyyah kerana ia tidak tahan lasak dan tidak kuat untuk digunakan bagi permusafiran yang jauh serta tidak dapat menghalang daripada ditembusi air. Ini merupakan pandangan yang rajih (kuat) di sisi mazhab al-Syafie. Oleh yang demikian, stoking tidak boleh digunakan sebagai khuf bagi menggantikan basuhan kaki ketika wuduk.

Bahkan ulama mazhab Maliki dan Hanafi serta para ulama mujtahid yang lain seperti Imam al-Awza’ie, Mujahid, ‘Amr Ibn Dinar, al-Hasan Ibn Muslim turut bersepakat bahawa tidak boleh dan tidak sah menyapu di atas stoking yang tidak boleh digunakan untuk sepertimana dijelaskan Ibn Qudamah al-Maqdisi bahawa:

وَقَالَ أَبُو حَنِيفَةَ، وَمَالِكٌ، وَالْأَوْزَاعِيُّ، وَمُجَاهِدٌ، وَعَمْرُو بْنُ دِينَارٍ، وَالْحَسَنُ بْنُ مُسْلِمٍ، وَالشَّافِعِيُّ: لَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا، إلَّا أَنْ يُنْعَلَا؛ لِأَنَّهُمَا لَا يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِمَا، فَلَمْ يَجُزْ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا

Maksudnya: Abu Hanifah, Malik, al-Awza’ie, Mujahid, Amr Ibn Dinar, al-Hasan Ibn Muslim dan al-Syafie berpandangan bahawa, tidak boleh disapu ke atas kedua-duanya (al-jawrab) kecuali jika dipakai selipar kerana kedua-dua tidak boleh digunakan untuk berjalan. Oleh itu, tidak dibolehkan untuk menyapu ke atas kedua-duanya.[2] (Rujuk al-Mughni Li Ibn al-Qudamah, 1:215)

Begitu juga Imam al-Nawawi membawa pandangan ulama mujtahid seperti al-Qadhi Abu Tayyib, al-Qaffal dan sebilangan para muhaqqiqin bahawa stoking yang tidak boleh untuk digunakan bagi permusafiran maka tidak sah untuk disapu di atasnya. Kata beliau:

وَالصَّحِيحُ بَلْ الصَّوَابُ مَا ذَكَرَهُ الْقَاضِي أَبُو الطَّيِّبِ وَالْقَفَّالُ وَجَمَاعَاتٌ مِنْ الْمُحَقِّقِينَ أَنَّهُ إنْ أَمْكَنَ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ عَلَيْهِ جَازَ كَيْفَ كَانَ وَإِلَّا فَلَا

Maksudnya: Pendapat yang sahih bahkan yang benar ialah apa yang disebut oleh al-Qadhi Abu al-Tayyib, al-Qaffal dan beberapa kumpulan daripada muhaqqiqin bahawa jika sekiranya boleh digunakan untuk berjalan, maka ia diharuskan walaupun bagaimana keadaannya, jika tidak boleh digunakan untuk berjalan, maka tidak diharuskan.[3] (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 1:499)

Hal ini menunjukkan bahawa sepakat para ulama mazhab dan para ulama mujtahidin yang lain dengan pandangan bahawa mengambil wuduk dengan menyapu di atas stoking adalah tidak dibolehkan dan tidak sah. Bahkan Imam al-Kasani daripada mazhab Hanafi menukilkan ijmak dalam kalangan ulama berkaitan perkara ini. Kata beliau:

فَإِنْ كَانَا رَقِيقَيْنِ يَشِفَّانِ الْمَاءَ، لَا يَجُوزُ الْمَسْحُ عَلَيْهِمَا بِالْإِجْمَاعِ

Maksudnya: Jika sekiranya kedua-dua al-jaurab (stoking) itu nipis dan ditembusi air, maka ijmak para ulama tidak boleh disapu ke atas kedua-duanya.[4] (Rujuk Bada'ie al-Sana'ie, 1:10)

Selain daripada itu, pandangan yang mengatakan ia dibolehkan dan sah menyapu di atas stoking berdasarkan mazhab Hanbali, mereka bersandarkan kepada hadis yang diriwayatkan daripada al-Mughirah Ibn Syu’bah RA, bahawa beliau berkata:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلى الله عَلَيه وآله وَسَلَّمَ تَوَضَّأَ وَمَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ

Maksudnya: Bahawasanya Rasulullah SAW berwuduk dan menyapu di atas dua al-jaurab (stokin) dan kasut Baginda SAW.

Riwayat al-Tirmidzi (99), Abu Daud (159)

Ulama hadis berbeza pandangan mengenai status hadis yang meriwayatkan berkenaan menyapu di atas al-jaurab (stoking) ini. Imam al-Tirmidzi berpendapat hadis tersebut ialah hadis yang berstatus hasan sahih. Namun penilaian Imam al-Tirmidzi ini dikritik oleh ulama hadis yang lain seperti Imam Abu Daud dan Imam al-Zahabi. Hal ini kerana salah seorang perawinya bernama Abu Qais menyalahi riwayat perawi-perawi thiqah yang lain. Selain itu Abu Qais dan seorang lagi perawi bernama Huzail bin Syarahbil adalah perawi yang lemah.[5] (Rujuk I’lam al-Anam, 1:186)

Imam al-Nawawi dalam al-Majmuk menyebutkan sejumlah yang ramai dari kalangan ulama hadis yang melemahkan hadis di atas seperti Imam al-Baihaqi, Sufyan al-Tauri, Abd al-Rahman Ibn Mahdi, Ahmad Bin Hanbal, Ali Ibn al-Madini, Yahya Ibn Ma’in dan Muslim Ibn Hajjaj. Menurut Imam al-Nawawi lagi pandangan ulama-ulama besar hadis ini sudah tentu lebih didahulukan berbanding pandangan Imam al-Tirmidzi.[6] (Rujuk al-Majmuk: 1:500)

Walau bagaimanapun menurut Imam al-Zaila’i mereka yang mensahihkan hadis ini melihat kepada pandangan ulama yang menilai Abu Qais sebagai perawi yang thiqah di samping perbezaan riwayat Abu Qais dengan perawi yang lain hanyalah penambahan yang boleh untuk dihimpunkan. Kemungkinan Nabi SAW kadang-kadang menyapu di atas khuf dan pada waktu yang lain Nabi SAW menyapu di atas al-jaurab.[7] (Rujuk Nasbu al-Rayah: 1:142)

 Sekalipun jika hadis di atas adalah sahih seperti pandangan sebahagian ulama namun menurut Imam al-Nawawi hadis tersebut perlu ditakwilkan dengan makna stoking yang tebal dan boleh digunakan untuk berjalan bagi mengharmonikan dengan riwayat-riwayat hadis yang ada. Menurut sebahagian ulama yang lain hadis di atas bukan bermaksud menyapu di atas stoking semata-mata namun maksud hadis tersebut ialah menyapu di atas stoking berserta khuf.[8] (Rujuk al-Majmuk: 1:526)

Bahkan ia turut disebut oleh ulama dari mazhab Hanbali sendiri bahawa maksud jaurab di dalam hadis di atas adalah hampir serupa dengan ciri-ciri khuf iaitu boleh digunakan untuk berjalan bagi permusafiran yang jauh.

وَالْجَوَارِبُ فِي مَعْنَى الْخُفِّ؛ لِأَنَّهُ سَاتِرٌ لِمَحَلِّ الْفَرْضِ، يُمْكِنُ مُتَابَعَةُ الْمَشْيِ فِيهِ أَشْبَهَ الْخُفَّ

Maksudnya: Lafaz al-jawarib ialah sama maksudnya dengan makna khuf kerana ia menutup bahagian kaki yang wajib dibasuh dan boleh digunakan untuk berjalan (tidak koyak atau rosak), justeru ia menyerupai khuf.[9]  (Rujuk Kasysyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Iqna’, 1:111)

Ini juga apa yang disebut oleh Ibn Taimiyyah al-Hambali sendiri bahawa beliau menjelaskan:

وإن كان رقيقا يتخرّق في اليومين أو الثلاثة أو لا يثبت بنفسه، لم يمسح عليه، لأنَّ في مثله لا يمشى فيه عادة ولا يحتاج إلى المسح عليه.

Maksudnya: Jika stoking itu tidak kuat yang akan koyak dalam dua atau tiga hari atau tidak tahan lama, maka tidak boleh untuk disapu di atasnya. Ini kerana secara adatnya stoking yang seperti itu tidak boleh digunakan untuk berjalan dan tidak perlu untuk disapu di atasnya.[10] (Rujuk Syarh al-‘Umdah, 251)

Manakala sebahagian ulama seperti Ibn Hazm al-Zahiri, Jamaludin al-Qasimi dan Ahmad Syakir daripada ulama mutaakhirin pula hanya mengambil hadis tersebut secara literal dengan mengharuskan perbuatan menyapu di atas stoking secara mutlak, sama ada ia lembut, nipis, menutupi atau koyak. Hal ini boleh dilihat dari kenyataan Ibn Hazm dalam al-Muhalla:

قد صح عن رسول الله صلى الله عليه وآله وسلم الأمر بالمسح على الخفين، وأنه مسح على الجوربين، ولو كان ههنا حد محدود لما أهمله عليه السلام ولا أغفله، فوجب أن كل ما يقع عليه اسم خُف أو جورب أو لبس على الرجلين فالمسح عليه جائز.

Maksudnya: Perintah Rasulullah SAW agar menyapu dua khuf itu terpakai juga ke atas pemakaian stoking. Hal ini kerana, kalaulah ada spesifikasi tertentu terhadap khuf itu, sudah semestinya Baginda tidak akan menghiraukan atau membiarkannya (tanpa memberitahu). Oleh yang demikian, setiap sesuatu yang terletak padanya nama khuf atau stoking atau pakaian yang menutupi kedua belah kaki, maka hukum menyapu atas keduanya adalah diharuskan.[11] (Rujuk al-Muhalla, 1:336)

Oleh yang demikian, perbuatan membasuh kedua-dua kaki ini hendaklah diberikan perhatian yang serius dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah dalam hal ini. Sebaiknya kita mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafie dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang paling mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak.

Fatwa Daripada Institusi Fatwa Antarabangsa

1. Fatwa Dar al-Ifta’ Jordan

Manakala, Dar al-Ifta’ Jordan mengeluarkan fatwa dalam hal ini dengan memutuskannya seperti berikut:

وعليه؛ فإن كانت الجوارب خفيفة فلا يجزئ المسح عليها؛ لأنها لا تتوافر فيها الشروط المذكورة، بل يجب غسل القدمين عندئذٍ، والأولى في أبواب العبادات الاحتياط ليطمئن القلب ويخرج المسلم عن عهدة التكليف. والله تعالى أعلم.

Maksudnya: “Kesimpulannya bahawa jika stokin tersebut merupakan stokin yang nipis maka tidak sah untuk disapu di atasnya. Hal ini kerana ia tidak menepati syarat-syarat khuf yang telah disebutkan. Bahkan, wajib untuk membasuh kedua-dua kaki kerana perkara yang utama dalam perkara ibadah ialah al-ihtiyat (berjaga-jaga). Waallahu a’lam.”

.[12]

2. Fatwa Dar al-Ifta’ Mesir

Shaykh Ali Jum’ah di dalam fatwanya di web Dar al-Ifta’ Mesir menyatakan pandangan tentang perkara ini dengan berkata:

يجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشراب- إذا كان مجلدًا يمكن تتابع المشي عليه وكان قد لُبِسَ على طهارة، والأصل في جواز المسح حديث الْمُغِيرَةِ بْنِ شُعْبَةَ رضي الله عنه: "أَنَّ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وسلم مَسَحَ عَلَى الْجَوْرَبَيْنِ وَالنَّعْلَيْنِ" رواه أحمد وأبو داود والترمذي وصححه. وقيَّد الجمهورُ الإطلاقَ الوارد في الحديث الشريف في الجورب بأحاديث المسح على الخُفِّ؛ فاشترطوا في الجورب شروط الخُفِّ. ولكن بعض العلماء -كبعض الحنابلة، وكالقاسمي وأحمد شاكر من المتأخرين- أخذوا بظاهر النص وأجازوا المسح على الجورب مطلقًا: رقيقًا وسميكًا، ساترًا ومخرقًا.

وعليه: فالمسح على الجورب الشفاف ممنوعٌ عند الجمهور، جائزٌ عند قليل من العلماء. ومما ذكر يعلم الجواب. والله سبحانه وتعالى أعلم.

Maksudnya: Harus hukumnya di sisi jumhur ulama perbuatan menyapu di atas sarung kaki (stoking) jika sekiranya diperbuat daripada kulit, tahan lasak untuk digunakan untuk berjalan dan dipakai ketika dalam keadaan suci. Dalil keharusan berdasarkan kepada hadith al-Mughirah Ibn Syu’bah yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmidzi, beliau (al-Tirmidzi) mengatakan hadith ini sahih. Jumhur ulama mengikat keumuman hadith itu dengan hadith yang sama diriwayatkan berkenaan khuf, maka mereka mensyaratkan pada stoking dengan syarat yang sama dengan khuf juga. Namun begitu sebahagian ulama seperti sebahagian ulama mazhab Hanbali, dan seperti al-Qasimi dan Ahmad Syakir daripada ulama mutaakhirin mengambil hadith tersebut secara literal dan mengharuskan perbuatan menyapu di atas stoking secara mutlak: sama ada ia lembut, nipis, menutupi atau koyak.

Oleh itu, berdasarkan perbahasan di atas, maka hukum menyapu stoking yang nipis adalah dilarang oleh jumhur ulama dan harus di sisi segelintir ulama. Justeru daripada apa yang telah dibincangkan maka difahami jawapannya. Waallahu a’lam.[14]

Hal ini sama juga sepertimana yang diputuskan oleh Dar al-Ifta’ Mesir dalam fatwa yang lain dengan memberikan kenyataan berikut:

وبناءً على ذلك: فيجوز عند جماهير العلماء المسح على الجورب -الشَّراب- بشرط: أن يكون مجلدًا، يمكن تتابع المشي فيه، وأن يكون ساترًا للقدمين كاملتين؛ أي: يغطي الكعبين، وأن يكون طاهرًا في نفسه، وأن يكون قد لُبِسَ على طهارة.

Maksudnya: Berdasarkan perbincangan di atas, maka harus hukumnya untuk menyapu di atas stoking di sisi jumhur ulama dengan beberapa syarat: iaitu hendaklah diperbuat daripada kulit, boleh digunakan untuk berjalan (tanpa koyak), hendaklah menutup kedua-dua kaki secara sempurna iaitu dengan menutup dua buku lali, hendaklah ia bersih (daripada najis), hendaklah dipakai dalam keadaan sempurna bersuci.[15]

Kesimpulannya, pandangan yang sahih dalam mazhab al-Syafi’i ialah tidak dibolehkan dan tidak sah untuk menyapu di atas stokin yang tidak cukup syarat, justeru hendaklah menanggalkan stokin dan membasuh kaki seperti biasa ketika wuduk dan tidak bermudah-mudah untuk mengambil pandangan yang lemah serta sentiasa mengambil langkah ihtiyat (berjaga-jaga) bagi memastikan ibadah yang kita lakukan sah dan diterima oleh Allah SWT.

Sebaiknya mengambil pandangan yang disepakati oleh para ulama dan pandangan muktamad mazhab al-Syafi’i dalam memastikan kesempurnaan wuduk kita. Ini supaya kita tidak terjerumus kepada perbuatan yang dilarang iaitu bermudah-mudahan dengan mengambil pendapat yang mudah (tatabu’ al-rukhas) tanpa keperluan dan hajat yang dibenarkan oleh syarak.

Dalam konteks pengamalan fiqh di Malaysia, kita hendaklah meraikan mazhab al-Syafi’i yang telah menjadi pegangan dan amalan setempat. Kami menasihatkan kepada orang ramai supaya menghormati mazhab masyarakat setempat dan tidak menyebarkan pandangan-pandangan yang boleh mengelirukan orang ramai.

WaAllahu a’lam.

 RUJUKAN

[1] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf  (2005), Minhaj al-Talibin  wa Umdah al-Muftin, Dar al-Fikr, hlmn. 14.

[2] Ibn al-Qudamah al-Maqdisi, Abdullah (1968). Al-Mughni. Maktabah al-Kaherah, jld. 1 hlmn. 215

[3] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn.  499.

[4] Al-Kasani, ‘Alauddin, 1986, Bada’ie al-Sana’ie fi Tartib al-Syara’ie, Dar al-Kutub al-Ilmiah, Beirut, jld. 1, hlmn. 10.

[5] Al-Itir, Nuruddin, I’lam al-Anam Syarh Bulugh al-Maram, Dar al-Farfur,  jld. 1, hlm. 186.

[6] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn.  500.

[7] Al-Zailaie, Abdullah bin Yusuf, Nasbu al-Rayah li Ahadis al-Hidayah, jld. 1, hlm. 142.

[8] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn.  526.

[9] Al-Bahuti, Mansur Ibn Yunus, Kasysyaf al-Qina’ ‘an Matn al-Iqna’, Dar al-Kutub al-‘Ilmiah, Beirut, jld. 1 hlm. 111

[10] Ibn Taimiyah, Syarah al-‘Umdah, jld. 1, hlmn. 251.

[11] Ibn Hazm, Ali bin Ahmad, Al-Muhalla bi al-Athar, Dar al-Fikr, jld. 1, hlm. 336.

[12] Rujuk: https://www.aliftaa.jo/Question2.aspx?QuestionId=3692

[13] Dr. Amjad Rusydi, 2019, Bughyah al-Arib min Maa’ni Nazam Nihayat al-Tadrib, Dar al-Fath, Jordan, jld. 1

[14] Rujuk: Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11078

[15] Rujuk: Dar al-Ifta’ Mesir : https://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=15037&LangID=1&%D8%AD%D9%83%D9%85_%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AD_%D8%B9%D9%84%D9%89_%D8%A7%D9%84%D8%AC%D9%88%D8%B1%D8%A8

[16] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, jld. 1, hlmn.  476.