Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Deklarasi Keamanan (Anti-Ekstremisme) Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

  1. Malaysia adalah sebuah Negara Islam yang telah lama mengamalkan prinsip-prinsip wasatiyyah. Prinsip-prinsip ini terkandung kukuh dalam dasar-dasar ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang mula-mula sampai dan disebarkan ke negara ini. Lantaran itu, tiada dalam sejarah negara kita, Islam didakwahkan dalam bentuk paksaan, peperangan, pergaduhan dan kaedah rigid yang menyusahkan. Sebaliknya ajaran Islam itu disampaikan dan disebarluaskan oleh para pendakwah terdahulu dengan penuh hikmah wasatiyyah sehingga ia boleh diterima daripada setinggi-tinggi kedudukan seperti raja sehingga kepada rakyat jelata.

 

     2. Sebagai satu-satunya institusi kefatwaan di peringkat Wilayah Persekutuan, kami menggalas tanggungjawab bagi mengangkat                   prinsip-prinsip wasatiyyah dengan membawa mesej keharmonian dan keamanan dalam masyarakat Islam dan bukan Islam di negara         ini. Bahkan sumbangan kami dalam hal ini semakin mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat institusi Islam terkemuka di               peringkat antarabangsa. Antaranya adalah seperti berikut:

 

  • Pada 12 Mac 2017, kami dijemput menghadiri dan membentangkan kertas kerja berjudul, “Peranan Pemimpin dan Tokoh agama dalam menyebarkan Thaqafah Islam” dalam Seminar "Peranan Pemimpin dan Pembuat Keputusan Dalam Menyebarkan Budaya Keamanan Bagi Memerangi Terorisme dan Cabaran-Cabaran Lain", di Kaherah, Mesir anjuran Kementerian Waqf, Mesir.

 

  • Pada 17-19 Oktober 2017 di Kaherah, Mesir, kami dijemput menghadiri dan membentang kertas kerja dalam Muktamar Peranan Fatwa Dalam Keamanan Masyarakat atas jemputan Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (Jabatan Fatwa Negara Mesir). Muktamar yang dihadiri oleh 63 orang perwakilan daripada pelbagai negara Islam tersebut telah menghasilkan 10 resolusi, yang antara lain mengusulkan agar mengkaji dan memantau fatwa-fatwa yang meragukan (syaz) yang dikeluarkan oleh golongan pelampau dan membentangkan jawapan segera bagi menangani fatwa-fatwa meragukan yang tersebar dengan pantas.

 

  • Pada 16 Januari 2018, kami dijemput oleh al-Imam al-Akbar, Syeikh al-Azhar menghadiri persidangan bermatlamat menyatakan solidariti dalam mempertahankan kesucian Baitul Maqdis anjuran Universiti al-Azhar yang dihadiri oleh para ulama’ dari seluruh dunia.

 

  • Pada 12-15 April 2018, kami dijemput menyertai Persidangan Antarabangsa Keempat Pemikiran Sufi Menurut Shaikh Ma’al-‘Aynayn (Multaqa al-Dauli al-Rabi’ li al-Fikr al-Sufi li al-Shaikh Ma’al-‘Aynayn) di Marocco anjuran Mu’assasah al-Shaikh Ma’al-‘Aynayn li al-‘Ulum wa al-Turath. Persidangan ini diadakan bertujuan menghimpunkan semua tarekat sufiyyah tanpa mengira perguruan dan zawiyah. Tema persidangan adalah Tasawuf: Benteng Menentang Kerapuhan Iman: Jaminan kepada Keamanan Rohani (al-Tasawwuf: Tiryaqun Dhidh Hashashat al-Iman; Dhaman li al-Amn al-Ruhi). Ia bertujuan untuk mengembalikan peranan tasawuf sebagai satu-satunya ilmu yang boleh menciptakan keamanan dalam kalangan manusia, bermula dengan keamanan dan ketenangan yang tercapai di dalam jiwa seseorang. Ini sekaligus dapat mengujudkan sebuah dunia yang selamat dan terhindar daripada segala perlakuan ganas dan fahaman golongan pelampau.

 

  • Pada 1-3 Mei 2018, kami dijemput menghadiri dan membentangkan kertas kerja oleh Kerajaan Indonesia dalam persidangan High Level Consultation of Muslim Scholar on Wasatiyyat Islam bertempat di Bogor, Indonesia yang dihadiri oleh ulama dunia termasuk Syeikh al-Azhar, Dr. Ahmad Toyyib. Antara resolusi yang dicapai ialah; Mengakui realiti peradaban moden saat ini yang menunjukkan kekacauan, ketidakpastian dan akumulasi kerosakan global yang diparahkan lagi oleh kemiskinan, buta huruf, ketidakadilan, diskriminasi, dan berbagai bentuk keganasan sama ada di peringkat nasional dan global; Meyakini Islam sebagai agama damai dan rahmat, agama keadilan, dan agama peradaban yang ajaran dan asas dasarnya mengajarkan cinta, belas kasih, harmoni, persatuan, kesetaraan, kedamaian dan kesopanan.

 

  1. Islam merupakan sebuah agama yang sangat mengambil berat terhadap konsep keamanan. Dalam Islam konsep keamanan adalah berdasarkan kepada sistem dan doktrin Islam yang menyeluruh melibatkan alam sejagat, kehidupan dan kemanusiaan. Konsep yang dianjurkan itu melahirkan satu sistem atau organisasi yang sihat yang benar-benar praktikal dan menyelesaikan permasalahan ummah seluruhnya.

 

  1. Pada hakikatnya, ajaran Islam memberi keutamaan terhadap keamanan dalam jiwa individu terlebih dahulu dengan membawa prinsip keEsaan Allah SWT kerana daripada-Nyalah kehidupan ini bermula dan kepada-Nyalah juga manusia kembali. Ini agar keamanan yang ada dalam jiwa individu boleh dibawa ke dalam keluarga dan seterusnya ke dalam masyarakat dan akhirnya dalam hubungan sejagat dan global.

 

  1. Berdasarkan asal-usul manusia yang sama, maka ajaran Islam menegah sama sekali segala bentuk diskriminasi terhadap bangsa dan agama. Oleh yang demikian, tidak sewajarnya berlaku permusuhan dan pertelingkahan dalam kalangan golongan yang beriman kerana mereka bukan sahaja bersatu dari segi kemanusiaan, malah berada dalam keyakinan yang sama iaitu kepercayaan kepada Allah SWT dan rukun iman yang lain. Dalam Islam, keamanan adalah ketetapan, manakala peperangan, pertelingkahan dan perbalahan adalah pengecualian. Keamanan inilah yang akan menjadi permulaan kepada wujudnya keharmonian alam sejagat.

 

  1. Namun demikian, kehendak Allah SWT mengatasi segala-galanya. Antara punca terbesar konflik yang berlaku sesama umat Islam adalah salah faham terhadap agama yang dianuti. Bukan agama itu yang salah, tetapi cara memahami agama itu yang salah. Tiada lagi kesederhanaan (tawassut), sebaliknya ummah terjurus kepada ifrat (terlalu rigid) dan tafrit (terlalu longgar), ghuluw (melampau) dan tasahul (mengambil mudah). Ini semua terzahir melalui cara mereka berfikir dan bertindak.

 

  1. Ketaksuban dan kefanatikan telah menjadi sebahagian sikap umat Islam. Istilah taksub atau ta’assub dalam bahasa Arab bermaksud sikap yang keterlaluan dan melampau dalam sesuatu pegangan atau pendirian dan biasanya berkaitan dengan keagamaan. Ia disamaertikan dengan perkataan fanatik. Lawan kepada taksub ialah tasamuh atau toleransi. Tasamuh diertikan dengan kelapangan dada, keluasan fikiran dan kesabaran.

 

  1. Tanpa syak lagi, sikap fanatik dan taksub dilarang oleh Allah s.w.t sejak zaman umat terdahulu lagi. Allah s.w.t berfirman:

قُلۡ يَٰٓأَهۡلَ ٱلۡكِتَٰبِ لَا تَغۡلُواْ فِي دِينِكُمۡ غَيۡرَ ٱلۡحَقِّ وَلَا تَتَّبِعُوٓاْ أَهۡوَآءَ قَوۡمٖ قَدۡ ضَلُّواْ مِن قَبۡلُ وَأَضَلُّواْ كَثِيرٗا وَضَلُّواْ عَن سَوَآءِ ٱلسَّبِيلِ ٧٧

Wahai Ahli Kitab, janganlah kamu berlebih-lebihan (melampaui batas) dengan cara tidak benar dalam agamamu. dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu orang-orang yang Telah sesat dahulunya (sebelum kedatangan Muhammad) dan mereka Telah menyesatkan kebanyakan (manusia), dan mereka tersesat dari jalan yang lurus”. (Al-Maidah: 77)

 

  1. Sikap melampau-lampau juga diistilahkan dengan ghuluww, tanattu’ dan tasydid. Sikap sebegini bertentangan dengan sikap adil dan sederhana seperti yang dituntut oleh Islam. Allah SWT berfirman:

 

وَكَذَٰلِكَ جَعَلۡنَٰكُمۡ أُمَّةٗ وَسَطٗا لِّتَكُونُواْ شُهَدَآءَ عَلَى ٱلنَّاسِ وَيَكُونَ ٱلرَّسُولُ عَلَيۡكُمۡ شَهِيدٗاۗ

Dan demikian (pula) kami Telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang adil dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kamu”. (Al-Baqarah: 143)

 

  1. Tabiat pemikiran sebegini amat berbahaya jika tidak dibendung. Ia menjadi punca utama berlakunya tindakan yang digelar al-irhab dalam bahasa Arab. Orang yang melakukannya disebut irhaby, manakala fahamannya disebut irhabiyyah atau terorisme dalam bahasa masyarakat dunia pada hari ini.

 

  1. Terorisme didefinisikan sebagai tindakan kejahatan terhadap kemanusiaan dan peradaban yang menimbulkan ancaman serius terhadap kedaulatan negara, bahaya terhadap keamanan, perdamaian dunia, serta merugikan kesejahteraan masyarakat. Terorisme adalah salah satu bentuk kejahatan yang diorganisasi dengan baik (well organized), bersifat transnasional dan digolongkan sebagai kejahatan luar biasa (extra-ordinary crime) yang tidak membeza-bezakan sasaran (indiskriminative).

 

  1. Justeru, syariat Islam amat tegas dalam memerangi terorisme dan keganasan. Dalam konteks syariah, perbuatan tersebut termasuk salah satu daripada jenayah hudud di bawah kategori hirabah. Ia perbuatan yang menimbulkan kekacauan dalam masyarakat sehingga menggugat ketenteraman dan keselamatan awam. Ia mencakup perbuatan merusuh, mengancam bunuh, mengebom diri sendiri di tengah-tengah masyarakat awam dan seumpamanya. Firman Allah SWT dalam surah al-Maidah: 33-34:

 

إِنَّمَا جَزَٰٓؤُاْ ٱلَّذِينَ يُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَيَسۡعَوۡنَ فِي ٱلۡأَرۡضِ فَسَادًا أَن يُقَتَّلُوٓاْ أَوۡ يُصَلَّبُوٓاْ أَوۡ تُقَطَّعَ أَيۡدِيهِمۡ وَأَرۡجُلُهُم مِّنۡ خِلَٰفٍ أَوۡ يُنفَوۡاْ مِنَ ٱلۡأَرۡضِۚ ذَٰلِكَ لَهُمۡ خِزۡيٞ فِي ٱلدُّنۡيَاۖ وَلَهُمۡ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ عَذَابٌ عَظِيمٌ ٣٣ إِلَّا ٱلَّذِينَ تَابُواْ مِن قَبۡلِ أَن تَقۡدِرُواْ عَلَيۡهِمۡۖ فَٱعۡلَمُوٓاْ أَنَّ ٱللَّهَ غَفُورٞ رَّحِيمٞ ٣٤

Sesungguhnya pembalasan terhadap orang-orang yang memerangi Allah dan Rasul-Nya dan membuat kerosakan di muka bumi, hanyalah mereka dibunuh atau disalib, atau dipotong tangan dan kaki mereka secara berselang atau dibuang dari negeri (tempat kediamannya). Yang demikian itu (sebagai) suatu penghinaan untuk mereka di dunia, dan akhirat mereka beroleh siksaan yang besar, kecuali orang-orang yang bertaubat (di antara mereka) sebelum kamu dapat menguasai (menangkap) mereka. Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”  

 

  1. Sesungguhnya, tiada yang dapat menghentikan tindakan terorisme, keganasan atau irhab sedemikian kecuali dengan mengembalikan umat Islam kepada konsep wasatiyyah Islam. Para ulama menyimpulkan definisi wasatiyyah itu adalah "al-I'tidal (kesederhanaan), al-khairiyyah (kebaikan), al-insaf (keadilan) dan al-rif'ah (ketinggian) dengan sebab sifat-sifat mahmudah (terpuji) yang tidak terlalu ketat (ifrath) dan tidak terlalu longgar (tafrith). Apabila istilah wasatiyyah disandarkan kepada umat Islam, maka ia membawa maksud: Umat Islam yang mencapai sifat-sifat mahmudah yang terbit daripada kedudukan syariat Allah dalam kesederhanaan, kebaikan, keinsafan dan ketinggian yang menjadikannya sebagai penghulu segala umat, ketua segala bangsa dan menjadi saksi ke atas mereka pada hari Qiyamat.

 

  1. Lantaran itu, konsep wasatiyyah itu amat kontradik dan bertentangan dengan sikap ghuluw, melampau dan ekstrem. Ia sebagaimana Nabi SAW bersabda:

إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ فِي الدِّينِ فَإِنَّهُ أَهْلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ الْغُلُوُّ فِي الدِّينِ

Ertinya : "Jauhilah melampau (ghuluw) dalam agama, kerana telah binasa mereka yang sebelummu disebabkan melampaunya mereka di dalam agama". (Riwayat Ibn Majah, no: 3029)

 

  1. Ini bermakna, sifat wasatiyyah yang perlu diyakini adalah kesepaduan yang positif dalam segenap aspek lapangan kehidupan, sama ada dari sudut aqidah, syariah dan akhlak, secara individu atau berkumpulan. Di samping itu, kita perlu meyakini bahawa ghuluw atau ekstrem dalam beragama bakal merosakkan aqidah, syariah dan akhlak sama ada secara individu atau berkumpulan.

 

  1. Renungkanlah kata-kata Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam karyanya, "Kalimaat fi al-Wasatiyyah al-Islamiyyah wa Ma'aalimihaa". (کلمات فی الوسطية الإسلامية ومعالمها) bahawa wasatiyyah itu ialah tunjang kesatuan. Wasatiyyah melambangkan kesatuan dan titik pertemuan. Apabila berlakunya kepelbagaian, pertengahan akan muncul sebagai penyatu. Besar kemungkinan, kepelbagaian itu tadi akan bertemu pada pertengahan yang menjadi pusat. Ini adalah jelas, sama ada dari segi kebendaan, pemikiran dan juga spiritual. Titik pusat satu bulatan membolehkan setiap garisan yang datang dari kelilingnya bertemu di pertengahannya.

 

  1. Pemikiran yang pertengahan membolehkan setiap arus pemikiran yang ekstrem bertemu dalam satu titik keseimbangan dan kesamarataan. Seperti juga kepelbagaian pemikiran jadi meruncing ketika mana adanya unsur melampau. Adapun pertengahan dan kesamarataan merupakan jalan penyatuan pemikiran. Oleh yang demikian, pada kebiasaannya mazhab-mazhab dan aliran pemikiran yang melampau akan menimbulkan perselisihan dan perpecahan, berbeza dengan pemikiran yang mengutamakan kesederhanaan yang pada kebiasaannya tidak akan menimbulkan perselisihan.

 

  1. Maka, dengan fadhilat, kepentingan dan keistimewaan yang wujud pada manhaj wasatiyyah yang dibentangkan, Islam menganjurkan agar ia menjadi salah satu ciri penting yang perlu ditonjolkan dalam segenap kehidupan umat Islam terutamanya dalam konteks bernegara. Ia boleh kami terjemahkan seperti berikut:

 

  • Pertengahan ANTARA penyeru kepada mazhab yang terlalu sempit (sehingga seolah-olah yang selainnya adalah sesat dan salah) DENGAN mereka yang menyeru agar tiada perlu bermazhab untuk berpegang terus kepada teks al-Qur'an dan al-Hadis dengan tafsiran sendiri tanpa panduan mazhab.
  • Pertengahan ANTARA golongan yang hanya menghukum menggunakan akal walaupun bercanggah dengan nas muktamad DENGAN kumpulan yang menolak sepenuhnya fungsi akal atau terlampau literal dalam memahami nas yang anjal bentuk pelaksanaannya.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang terlalu obses dengan teori idealistik sehingga kelihatan tidak mengambil kira praktikaliti dan suasana semasa DENGAN mereka yang terlalu mementingkan suasana semasa sehingga tidak mahu melihat langsung kepada yang ideal.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang menyeru kepada falsafah liberal hingga menyucikan hak individu melebihi hak komuniti DENGAN mereka yang menyeru kepada falsafah sosialisme yang terlalu menyucikan komuniti sehingga menzalimi hak individu.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang menyeru kepada kemestian menuruti apa sahaja yang dilakukan oleh Nabi walaupun dalam hal cabang dan urusan muamalat (literalis) DENGAN mereka yang menyeru kepada inovasi dan reformasi sehingga ingin merungkaikan prinsip-prinsip Islam yang telah muktamad (liberalis).
  • Pertengahan ANTARA mereka yang menyeru kepada tajdid dan ijtihad sehingga dalam urusan prinsip agama dan hal qat'iyyat DENGAN mereka yang menyeru sepenuhnya kepada taqlid dan memusuhi ijtihad, walaupun dalam isu-isu semasa yang belum pernah disentuh oleh ulama silam.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang mengabaikan nas-nas syarak yang sabit dengan dakwaan menjaga maqasid shariah DENGAN mereka yang mengabaikan pertimbangan maqasid shariah dengan dakwaan ingin menjaga nas-nas syarak secara total.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menyesat dan mengkafirkan sesama muslim DENGAN mereka yang terlalu bermudahan-mudahan dalam perkara yang jelas kekufuran dan kemurtadannya.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang melampau-lampau dalam menghukumkan haram atas segala perkara, hingga seolah-olah tiada yang halal DENGAN mereka yang melampau-lampau dalam mengharuskan segala perkara, hingga seolah-olah tiada yang haram di dalam agama.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang terlampau bermegah-megah dengan kegemilangan sejarah silam hingga terleka dengan situasi semasa umat Islam DENGAN mereka yang mengabaikan terus sejarah lampau hingga melupakan prinsip-prinsip yang telah dibina oleh generasi terdahulu.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang menjadikan politik sebagai matlamat untuk memperoleh kekuasaan walaupun terpaksa menggadaikan agama DENGAN mereka yang langsung mengabaikan politik sebagai alat untuk memartabatkan agama.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang menyempitkan makna jihad hanya perang semata-mata DENGAN mereka yang mengaitkan semua jihad adalah militan dan keganasan.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang meletakkan kebenaran hanya berpihak pada parti politik anutannya DENGAN mereka yang langsung tidak mempercayai kebenaran ada pada mana-mana parti politik.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang memaksumkan pemimpin sehingga langsung membiarkannya melakukan kesalahan tanpa ditegur DENGAN mereka yang berterusan memusuhi pemimpin sekalipun kebenaran jelas berpihak kepadanya.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang mengagungkan bangsa sendiri sehingga ke tahap merendah-rendahkan bangsa lain DENGAN mereka yang langsung tidak mempertahankan apa-apa kepentingan dan keistimewaan bangsanya sendiri.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang membangkang kerajaan sehingga menolak terus keabsahan sesebuah kerajaan (anarkisme) DENGAN mereka yang mendewa-dewakan kerajaan sehingga meletakkan apa sahaja yang diputuskan tidak boleh disanggah walaupun dalam hal yang menyentuh kedaulatan agama dan negara.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang meletakkan politik sebagai prinsip aqidah DENGAN mereka yang membuang langsung politik daripada ruang lingkup agama (sekularisme).
  • Pertengahan ANTARA mereka yang memperkudakan sistem demokrasi demi mendewakan hak asasi manusia secara liberal DENGAN mereka yang menolak sistem demokrasi secara total atas alasan ianya sistem kufur tajaan Barat.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang ingin menegakkan Negara Islam (Daulah Islamiyyah) secara semberono tanpa melihat kepada pendekatan fiqh kontemporari dan realiti semasa DENGAN mereka yang menolak konsep Negara Islam lalu menggantikannya dengan negara sekular.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang setia secara melulu kepada pemimpin negara asalkan mereka itu orang Melayu beragama Islam tanpa mengambil kira integriti dan moralnya DENGAN mereka yang membenci negara hanya kerana ia dipimpin oleh orang Melayu beragama Islam.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang menjadikan orang kafir sebagai sekutu sehingga sanggup menggugurkan prinsip demi mendapat keredaan mereka DENGAN mereka yang memusuhi semua orang kafir hanya kerana kekufuran mereka.
  • Pertengahan ANTARA mereka yang melampau dalam berpolitik kepartian demi memenangi pilihan raya bagi mendapatkan kuasa pemerintahan DENGAN mereka yang langsung tidak mempedulikan kepentingan berpolitik dan pilihan raya demi mempertahankan kepentingan agama, bangsa dan negara.

 

  1. Sebagai kesimpulannya, dapat dirumuskan bahawa wasatiyyah dalam semua aspek kehidupan ialah satu manhaj yang sewajibnya dipegang dan dipraktikkan oleh seluruh umat Islam bermula dari peringkat individu, keluarga, masyarakat dan Negara. Ia adalah satu tuntutan yang tidak boleh dikesampingkan kerana lawan kepada wasatiyyah iaitu melampau dan ekstremisme hanya akan membawa kepada kehancuran dan keruntuhan ummah serta negara.

 

  1. Akhirnya, kami menyeru kepada seluruh umat Islam, marilah kita sama-sama berganding bahu mempertahankan keamanan dan kesejahteraan negara yang kita kecapi selama ini. Suburkanlah prinsip wasatiyyah dalam segenap tindakan dan keputusan yang kita lakukan. Moga-moga cita-cita untuk mengujudkan sebuah negara yang bercirikan baldatun thoyyibah wa rabbun ghafur akan dapat direalisasikan bersama.

 

Akhukum fillah,

 

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan