Salah Faham
Terdapat sebahagian orang yang dilihat “beragama” sering menyandarkan tindakan dan keputusan yang mereka buat kepada Allah SWT. Adakalanya mereka mengatakan bahawa keputusan itu adalah pilihan Allah dan bukan pilihan mereka. Mereka hanya diibaratkan seperti pelakon sedangkan Allah adalah director sebenarnya. Adakah tanggapan sebegini tepat menurut agama?
Pencerahan
Tanggapan seumpama ini sering timbul disebabkan oleh ketidakfahaman dalam memahami maksud sebenar qada' dan qadar. Pada prinsipnya, setiap muslim wajib memahami apa erti kita beriman dengan qada' dan qadar. Lihat perbahasan lanjut dalam Irsyad al-Fatwa ke-2: Maksud Qada’ dan Qadar.
Erti Beriman dengan Qada’ dan Qadar
Menurut para ulama aqidah, beriman dengan qada' dan qadar atau taqdir adalah beriktikad bahawa Allah SWT Maha Mengetahui dengan terperinci berkenaan segala kejadian-Nya sejak azali dan apa yang berkaitan dengannya pada masa akan datang. Seperti Allah SWT Maha Mengetahui bahawa seseorang itu akan mengambil sebab-sebab dan ikhtiar tertentu, lalu dia akan dinilai oleh Allah atas apa yang diusahakannya tersebut. Beriman dengan qada' dan qadar juga bermaksud membenarkan bahawa segala sesuatu terjadi dan berlaku dengan kehendak (iradah) Allah SWT dan bertepatan dengan ilmu Allah SWT yang azali atau bersifat qadim. (Lihat al-Aqidah al-Islamiyyah wa Mazahibuha, 417) Ia sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah Yasiin ayat 12:
إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَىٰ وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآثَارَهُمْ ۚ وَكُلَّ شَيْءٍ أَحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُّبِينٍ
Maksudnya, "Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu Kami catitkan satu persatu dalam kitab (ibu suratan) yang jelas nyata".
Berdasarkan keterangan ini, dapat difahami bahawa keimanan terhadap qada' dan qadar tidak mempunyai unsur-unsur al-jabr iaitu seseorang dipaksa dalam melakukan sesuatu atau hilangnya kuasa memilih atau berikhtiar. Ini kerana ilmu Allah SWT hanya bersifat menyingkap apa yang akan berlaku dan bukan memaksa supaya sesuatu itu berlaku. Ia boleh diumpamankan seperti ilmu seorang guru yang amat mengenali setiap anak muridnya, siapa antara mereka yang akan berjaya dan siapa yang akan gagal berdasarkan pengalaman dan pemerhatiannya. Namun, ilmu si guru terhadap muridnya itu tidaklah menyebabkan mereka berjaya atau gagal, kerana berjaya atau gagalnya mereka adalah disebabkan usaha mereka sendiri. Apatah lagi ilmu bagi Allah SWT yang sememangnya Maha Mengetahui termasuk perkara yang akan datang.
Kesilapan Memahami Qada’ dan Qadar
Imam al-Nawawi menukilkan daripada Imam al-Khattabi bagaimana ramai dalam kalangan orang yang menyangka bahawa qada' dan qadar itu adalah paksaan dan tekanan Allah SWT ke atas hamba-Nya terhadap segala apa yang telah ditakdirkan sedangkan ia tidak seperti yang disangka oleh mereka. Ini kerana maksud (taqdir) itu ialah perkhabaran Allah SWT berkenaan ilmu-Nya yang mendahului tentang segala yang dilakukan oleh hamba-Nya dan ianya terbit dari taqdir-Nya sama ada yang baik atau yang buruk. Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 1/155.
Sayyiduna Abdullah bin Umar R.Anh pernah ditanya tentang orang yang melakukan perbuatan buruk, mereka menjawab ianya dalam ilmu Allah, lalu beliau menjadi marah sambil mengatakan, "Demikian itu dalam ilmu Allah tetapi bukan ilmu Allah yang menyebabkan mereka melakukan perbuatan buruk itu". Lihat Risalah fi al-Tawhid li al-Ta'i, 124.
Maka Allah SWT mengetahui berdasarkan ilmu-Nya yang azali bahawa hamba-Nya akan memilih jalan-jalan yang pelbagai lalu Dia mempermudahkan pilihan mereka. Sebagai contoh, apabila seseorang ingin mengangkat segelas air untuk disuakan ke mulutnya, perbuatan mengangkat gelas itu datang dari pilihan atau usahanya sendiri (al-kasb), manakala kuasa untuk mengangkat datang daripada sifat qudrat Allah SWT. Ini bermakna kuasa untuk memilih tetap berada pada tangan seseorang hamba sama ada mahu memilih perbuatan baik atau jahat, taat atau maksiat, dosa atau pahala dan syurga atau neraka. Rujuk perbahasan ini dalam Muqaddimah Manahij al-Adillah, 108; Usul al-Din, 133-134; Tawali’ al-Anwar, 200.
Berasaskan prinsip ini, pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah tidak membenarkan kita menyandarkan sesuatu yang buruk kepada Allah SWT sebagai adab kita kepada-Nya. Ini kerana, setiap perkara yang buruk dan tidak sempurna itu secara langsungnya datang daripada kelemahan perbuatan atau tindakan manusia itu sendiri sekalipun pada hakikatnya ia tetap terjadi dengan iradah dan qudrah Allah SWT. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 79.
مَّا أَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللَّـهِ ۖ وَمَا أَصَابَكَ مِن سَيِّئَةٍ فَمِن نَّفْسِكَ
Maksudnya: “Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri.”
Sikap Para Sahabat Sebagai Model
Sikap sedemikian juga ditunjukkan oleh para sahabat R.Anhum setiap kali mereka mengeluarkan sesuatu pendapat atau mengambil sesuatu tindakan dan keputusan. Mereka tidak akan sewenang-wenangnya mengatakan semua keputusan dan tindakan itu secara multaknya datang daripada Allah SWT. Malah mereka amat berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu pendapat atau tindakan itu kepada Allah SWT. Ia sebagaimana yang dinukilkan dalam beberapa riwayat berikut:
Kisah Sayyiduna Abu Bakar al-Siddiq R.Anh
عَنِ الشَّعْبِيِّ، قَالَ: سُئِلَ أَبُو بَكْرٍ عَنِ الْكَلَالَةِ؟ فَقَالَ: " إِنِّي سَأَقُولُ فِيهَا بِرَأْي فَإِنْ يَكُنْ صَوَابًا فَمِنَ اللَّهِ، وَإِنْ يَكُنْ خَطَأً فَمِنِّي وَمَنَ الشَّيْطَانِ: أُرَاهُ مَا خَلَا الْوَلَدِ وَالْوَالِدِ.
Maksudnya: “Daripada Sya’bi, beliau berkata: Abu Bakar ditanya tentang al-Kalalah, lalu beliau menjawab: Sesungguhnya aku akan berijtihad mengenainya, justeru sekiranya ia benar maka daripada Allah, dan sekiranya ia salah maka ia daripadaku dan daripada syaitan. (Jawapannya) aku berpendapat ia (al-Kalalah) adalah orang yang tidak memiliki anak dan bapa…”. Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Saghir (2291)
Kisah Sayyiduna Umar bin al-Khattab R.Anh
عَنْ مَسْرُوقٍ , أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ كَتَبَ بِقَضِيَّةٍ إِلَى عَامِلٍ لَهُ , فَكَتَبَ الْكَاتِبُ: هَذَا مَا أَرَى الله عُمَرَ , فَقَالَ: امْحُهُ وَاكْتُبْ: " هَذَا مَا رَأَى عُمَرُ , فَإِنْ يَكُنْ صَوَابًا فَمِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ , وَإِنْ يَكُنْ خَطَأً فَمِنْ عُمَرَ
Maksudnya: “Daripada Masruq, bahawa Umar bin al-Khattab R.Anh, telah menulis mengenai penyelesaian satu kes kepada seorang pekerja baginya, lalu penulisnya menulis: Ini adalah apa yang Allah telah perlihatkan kepada Umar. Lalu Umar berkata: Padamkan ia dan tulislah: Ini adalah pandangan Umar, sekiranya ia benar maka daripada Allah, sekiranya ialah salah maka daripada Umar.” Lihat Syarh Musykil al-Athar, 9/214.
Kisah Sayyiduna Abdullah bin Mas’ud R.Anh
عَنْ عَلْقَمَةَ أَنَّ قَوْمًا أَتَوْا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ مَسْعُودٍ، فَقَالُوا: جِئْنَاكَ لِنَسْأَلَكَ عَنْ رَجُلٍ تَزَوَّجَ مِنَّا، وَلَمْ يَفْرِضْ صَدَاقًا، وَلَمْ يَجْمَعْهُمَا اللَّهُ حَتَّى مَاتَ، فَقَالَ عَبْدُ اللَّهِ: مَا سُئِلْتُ عَنْ شَيْءٍ مُنْذُ فَارَقْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَشَدَّ عَلَيَّ مِنْ هَذِهِ، فَأْتُوا غَيْرِي، فَاخْتَلَفُوا إِلَيْهِ شَهْرًا، ثُمَّ قَالُوا لَهُ فِي آخِرِ ذَلِكَ: مَنْ نَسْأَلُ إِنْ لَمْ نَسْأَلْكَ وَأَنْتَ أُخَيَّةُ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذِهِ الْبَلْدَةِ، وَلَا نَجْدُ غَيْرَكَ، فَقَالَ بن مسعود: سأقول فيها بجهد رأي إِنْ كَانَ صَوَابًا فَمِنَ اللَّهِ، وَإِنْ كَانَ خَطَأً فَمِنِّي، وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ مِنْهُ بَرِيءٌ، أَرَى أَنْ يُفْرَضَ لَهَا كَصَدَاقِ نِسَائِهَا وَلَا وَكْسَ وَلَا شَطَطَ، وَلَهَا الْمِيرَاثُ، وَعَلَيْهَا الْعِدَّةُ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا...
Maksudnya: “Daripada ‘Alqamah, bahawa sekumpulan orang telah mendatangi Abdullah bin Mas’ud lalu mereka berkata: Kami mendatangi kamu untuk bertanya tentang seorang lelaki yang berkahwin dengan golongan kami, tetapi tidak membayar mahar dan Allah takdirkan kedua-duanya tidak pernah bersama (bersetubuh) sehingga lelaki itu meninggal dunia. Lalu Abdullah (Ibn Mas’ud) berkata: Aku tidak pernah ditanya mengenai suatu soalan pun yang lebih sukar semenjak kewafatan Rasulullah SAW berbanding soalan ini, maka kamu carilah orang lain selainku. (Setelah itu) mereka berulang kali menemui beliau sehingga sebulan lamanya, kemudian mereka berkata kepadanya pada akhirnya: Siapa lagi yang kami mahu bertanya jika kami tidak bertanya kepada kamu sedangkan kamu merupakan saki baki para sahabat Rasulullah SAW di negeri ini dan kami tidak ketemu (sahabat) selainmu. Lalu Ibn Mas’ud menjawab: Aku akan berikan jawapan mengenainya berdasarkan upaya ijtihadku. Sekiranya ia benar, maka ia daripada Allah. Sekiranya ia salah, maka ia daripadaku. Sedangkan Allah dan Rasul-Nya berlepas diri daripadanya (yakni kesalahan tersebut). Aku berpendapat bahawa dibayar ke atasnya (isteri tersebut) sebagaimana mahar wanita daripada kaumnya (seperti adik beradik dan kaum kerabatnya)… tanpa dikurangkan, tanpa dilebihkan, baginya juga harta pusaka (suaminya) dan ke atasnya iddah selama empat bulan sepuluh hari…” Riwayat Ibn Hibban (4101).
Berdasarkan beberapa contoh yang dikemukakan di atas, dapat difahami bagaimana sebaik-baik generasi seperti para sahabat amat berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu pandangan, tindakan atau keputusan kepada Allah SWT. Sehinggakan Sayyiduna Umar al-Khattab yang terkenal dengan muwafaqat (ketepatan pendapat) beliau dengan wahyu yang turun selepasnya, tetap tidak semberono menyandarkan ijtihad beliau secara mutlak kepada Allah SWT. Sedangkan beliau diberikan taraf muhaddathun (mereka yang dikurniakan ilham menepati kebenaran) sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
قَدْ كَانَ يَكُونُ فِي الْأُمَّةِ مُحَدِّثُونَ، فَإِنْ يَكُنْ فِي أُمَّتِي أَحَدٌ فَعُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ
Maksudnya: “Sesungguhnya pada setiap umat itu muhaddathun, jika ia ada pada seseorang dalam kalangan umatku, maka ia adalah Umar ibn al-Khattab.” Riwayat al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8065).
Demikianlah sikap para sahabat R.Anhm, mereka tetap tidak bermudah-mudahan untuk menyandarkan segala perbuatan, tindakan mahupun keputusan yang mereka buat kepada Allah SWT secara mutlak. Sekalipun ketinggian iman dan kesucian hati mereka dalam beribadat dan memperjuangkan agama itu telah dipersaksikan oleh Allah dan Rasul-Nya, mereka tidak pernah mengambil kesempatan menyandarkan apa yang mereka lakukan kepada Allah SWT. Malah mereka bimbang jika apa yang mereka lakukan atau putuskan itu tidak menepati dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. Hal ini sebaliknya berlaku kepada sebahagian ahli ibadat dan golongan zuhud yang tertipu dengan diri sendiri, sehingga mendakwa semua yang mereka lakukan datangnya daripada Allah SWT. Lihat Ighathah al-Lahfan min Masayid al-Syaitan, 1/212-213.
Justeru para pendakwah dan agamawan yang ada pada hari ini perlu lebih berhati-hati. Sementelah lagi mereka merupakan golongan yang menjadi contoh dan sandaran masyarakat dalam soal agama. Jangan kerana terpedaya dengan populariti, pengaruh dan pengikut yang ramai sehingga menjadi ego untuk mengakui kelemahan diri sendiri. Bahkan menjadikan diri mereka seolah-olah suci daripada dosa dan kesilapan. Lalu menyandarkan segala perbuatan, tindakan dan keputusan yang dibuat kepada Allah SWT secara mutlak, bagi menutupi kekurangan dan kelemahan diri sendiri.
Kesimpulan
Tuntasnya kami simpulkan perbahasan di atas dengan beberapa penegasan berikut:
- Beriman terhadap qada' dan qadar atau taqdir Allah SWT tidak menafikan kewajipan kita berusaha, berikhtiar dan memilih yang terbaik dalam kehidupan ini. Ia bukan bermakna paksaan seperti dalam pemikiran Jabariyyah, sehingga menggambarkan seseorang itu bagaikan pelakon yang melakonkan watak yang telah ditentukan Allah SWT tanpa sebarang kebebasan dan pilihan. Lihat perbahasan lebih lanjut mengenai Jabariyyah dalam al-Afkar#48: Aliran Jabariyyah;
- Tidak dinafikan bahawa tiada yang apa yang berlaku sama ada baik atau buruk kecuali dengan iradah dan qudrah Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Nisa ayat 78. Namun demikian, itu tidak menafikan bahawa baik dan buruk itu adalah atas usaha dan pilihan manusia sendiri. Maka dengan usaha dan pilihan itu manusia akan dihisab oleh Allah SWT di akhirat kelak. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 286: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan dari apa yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan dari apa yang diusahakannya.”;
- Sikap gemar menyandarkan pendapat, tindakan atau keputusan yang dibuat secara mutlak kepada Allah SWT dibimbangi akan terjebak ke dalam dosa berdusta atas nama Allah SWT. Inilah yang cuba dielakkan oleh para sahabat R.Anhm apabila hanya menyandarkan hal-hal yang baik kepada Allah, sebaliknya menyandarkan hal-hal yang buruk, silap dan salah kepada diri mereka sendiri. Selain sebagai beradab dengan Allah SWT dan Rasul-Nya.
Akhirnya, kami menasihati agar kita semua senantiasa dibimbing ke arah memahami aqidah Islam yang sahih. Moga-moga segala salah faham akan terungkai dan pencerahan ini dapat membantu memberikan kefahaman yang benar. Wallahu a’lam.