PUTRAJAYA, 22 OKTOBER 2024 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama strategik Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan melalui Unit Istinbat telah mengadakan sesi muzakarah bersama dengan pemegang tauliah di Wilayah Persekutuan. Sesi ini dimulakan dengan penerangan mengenai syarat-syarat tauliah oleh Ustaz Eizzul A’la bin Bajuri @ Mohamad, Penolong Mufti (Kanan), Unit Istinbat, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan. Setelah itu, ceramah berkenaan Perkahwinan Daripada Kaca Mata Perundangan Jenayah Syariah disampaikan oleh Tuan Ahmad Husaini bin Othman, Pendakwa Syarie, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan. Pada sesi ceramah ketiga, Perceraian Daripada Kaca Mata Perundangan Jenayah Syariah telah disampaikan oleh Tuan Mawardi bin Che Man Timbalan Pengarah I, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan.
Pada sebelah tengahari, ceramah berkenaan Isu-Isu Agama Yang Melibatkan Keselamatan Negara telah disampaikan oleh Supt. Bakari bin Bakar, Cawangan Khas E2, Bukit Aman. Ucapan perasmian dan penutupan sesi Muzakarah Pemegang Tauliah di Wilayah Persekutuan Sesi 4/2024 disempurnakan oleh Sahibus Samahah Tuan Haji Jamali bin Mohd Adnan. Pada kesempatan ini, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan peserta agar menunaikan amanah ilmu bagi menyampaikan pengajaran agama di masjid dan surau dengan niat yang ikhlas disamping mendidik dan membimbing masyarakat terutamanya pendedahan pelbagai cabaran dari aliran sesat dan menyeleweng.Hanya melalui kekuatan aqidah berteraskan Ahli Sunnah wal Jamaah pegangan Al Asyairah dan Al Maturidiah yang telah terbukti menjadi pegangan majoriti umat Islam berdasarkan prinsip wasatiyyah kesederhanaan dapat menjamin keharmonian dan perpaduan.
Sesi muzakarah yang diadakan ini diharapkan dapat memberi pendedahan dan persediaan kepada bakal penceramah berkenaan dengan isu semasa dan ajaran yang menyeleweng supaya fikrah batil dan tidak benar dapat dibendung.