Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

KUNJUNGAN HORMAT MUFTI WILAYAH KEPADA MUFTI MESIR

KAHERAH, 5 FEBRUARI 2025 – Delegasi agensi-agensi agama daripada Malaysia yang diketuai oleh Tuan Hj. Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan mengadakan kunjungan hormat kepada Professor Syeikh Dr. Nazhir ‘Iyad, Mufti Republik Arab Mesir. Turut bersama delegasi ini Ustaz Ahmad Fawwaz bin Fadhil, Ahli Jawatankuasa MAIWP, Dr. Nik Roskiman bin Abdul Samad, Pengarah Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang & Politik Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Ustaz Ameer Ikhwan bin Zaini, Pegawai Agama Atase Mesir, Encik Muhammad Zuwairi bin Abu Bakar dan bersama ahli-ahli delegasi yang lain.

Kesempatan daripada kunjungan hormat ini dimanfaatkan dengan perbincangan bersama dalam memperkukuhkan hubungan kerjasama kefatwaan serta membincangkan Kursus Kefatwaan Darul Ifta’ yang diadakan pada setiap tahun. Professor Syeikh Dr. Nazhir ‘Iyad menyatakan kesediaan beliau dalam memberi sokongan kepada Malaysia dalam melatih pegawai-pegawai institusi kefatwaan di seluruh negeri. Kursus tersebut bukan sahaja menumpukan kepada fiqh dan fatwa semata-mata, bahkan strategi menangani pemikiran ekstrem dengan memperkukuh konsep wasatiyyah (kesederhanaan).

Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah turut menzahirkan pujian terhadap Darul Ifta’, Mesir yang memainkan peranan penting dalam menyebarkan fatwa dan menangani salah faham berkaitan agama Islam. Delegasi Malaysia menjemput Mufti Mesir untuk mengunjungi institusi kefatwaan di Malaysia sebagai langkah memperkukuhkan hubungan dua hala dalam memperkukuhkan kefatwaan Malaysia di peringkat antarabangsa.