KUALA LUMPUR, 28 FEBRUARI 2025 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan telah menerima delegasi daripada Bangladesh yang diketuai oleh Mohammad Abdul Majid, Mufti Besar dan Guru Hadis Al-Jamiatul Islamia Miftahul Ulum Badda, Dhaka. Bersama delegasi beliau adalah Dr. Mufti Yousuf Sultan, CEO ADL Advisory dan bersama ahli delegasi yang lain. Selain itu, delegasi daripada Turkiye yang diketuai oleh Mr. Issa Alamleh, Pakar Pemasaran dan Komunikasi dari Ummet Vakfi turut hadir. Kedua-dua delegasi ini telah mengadakan pertemuan bersama Sahibus Samahah Datuk Prof. Madya Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan.
Kesempatan ini dimanfaatkan untuk membincangkan hal ehwal semasa umat Islam, perkembangan Islam di peringkat global, serta kerjasama strategik antara institusi keagamaan di Malaysia, Bangladesh, dan Turkiye. Pertemuan ini turut memberi ruang kepada pertukaran pandangan mengenai cabaran yang dihadapi umat Islam di kedua-dua negara serta langkah-langkah yang boleh diambil bagi memperkukuhkan ukhuwwah Islamiah dan memperkasakan syiar Islam.
Selain itu, perbincangan juga menyentuh aspek pendidikan Islam, fatwa, dan pengurusan institusi Islam bagi memastikan kesinambungan ajaran Islam yang sahih dan bermanfaat kepada masyarakat sejagat. Kedua-dua delegasi turut berkongsi pengalaman serta inisiatif yang telah dijalankan dalam usaha memperkasakan dakwah dan pemerkasaan ekonomi umat Islam.
Diharapkan pertemuan ini dapat membuka ruang kerjasama yang lebih erat dalam usaha memartabatkan Islam di peringkat antarabangsa serta menyumbang kepada kesejahteraan umat Islam secara menyeluruh.