PUTRAJAYA, 28 MEI 2025 - Majlis Cerapan Rasmi Hilal Zulhijjah 1446H bagi Wilayah Persekutuan telah diadakan di tiga buah lokasi iaitu di Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan menara Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL) secara serentak bersama 26 lokasi cerapan lain di seluruh Malaysia bagi menentukan permulaan masuknya Bulan Zulhijjah 1446H seterusnya tarikh Hari Raya EidulAdha pada 10 Zulhijjah.
Majlis cerapan di Menara Kuala Lumpur diketuai oleh Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu manakala di PICC Putrajaya dan UMSKAL Labuan diketuai oleh SF Ustaz Muhamad Sujak bin Muhamad Dasuki serta SS Dr. Nik Azlan bin Nik Man.
Cerapan ini turut disertai oleh tetamu jemputan serta petugas dari pelbagai agensi antaranya Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) dan urus setia daripada PMWP.
Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataannya melalui media massa telah mengisytiharkan 1 Zulhijjah 1446H bersamaan 29 Mei 2025. Tarikh Hari Raya Eidul Adha pula ditetapkan 10 Zulhijjah bersamaan 7 Jun 2025 (Hari Sabtu).