PUTRAJAYA, 30 MEI 2025 – Sahibus Samahah Ustaz Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah menyambut dengan mesra ketibaan satu delegasi dari California, Amerika Syarikat dalam satu kunjungan hormat yang berlangsung di Ibu Pejabat, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini. Delegasi tersebut diketuai oleh Al-Sheikh Dr. Bilal El-Hallak, Mufti Darul Fatwa California, bersama beberapa tokoh ulama dan ilmuwan Islam dari pelbagai institusi antarabangsa.
Turut hadir dalam delegasi ini ialah Sheikh Saaduddin daripada Jamiah Alamiyyah dan Sheikh Dr. Omar, Felo dari Malaysia Community Care Foundation (MCSS). Perbincangan tertumpu kepada isu-isu semasa umat Islam di peringkat global, termasuk cabaran dakwah di negara-negara bukan Islam serta potensi kerjasama dalam bidang penyelidikan, pendidikan Islam, dan pengembangan fiqh kontemporari. Dalam sesi tersebut, Dr. Bilal turut menyampaikan jemputan rasmi kepada Mufti Wilayah Persekutuan untuk membuat kunjungan balas ke California, khususnya bagi memperkukuh hubungan institusi dalam bidang fiqh dan fatwa yang menjadi keperluan mendesak masyarakat Islam minoriti di sana.
Mufti Wilayah Persekutuan menzahirkan penghargaan atas jemputan tersebut dan menekankan kepentingan kerjasama rentas sempadan dalam memelihara kefahaman Islam yang sahih, khususnya dalam bidang fiqh yang memerlukan pendekatan kontekstual dan berpandukan maqasid syariah. Beliau turut menyatakan harapan agar lawatan ini menjadi titik permulaan kepada jaringan keilmuan dan hubungan strategik yang lebih erat demi manfaat ummah sejagat.