PUTRAJAYA, 10 Ogos 2026 — Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan hari ini menganjurkan Sidang Meja Bulat “Kafir Harbi di Malaysia: Satu Perbincangan” yang berlangsung di Dorsett Putrajaya.
Sidang meja bulat ini menghimpunkan para mufti dan tokoh agama bagi membincangkan secara ilmiah konsep kafir harbi serta kedudukannya dalam konteks Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang agama dan bangsa.
Turut terlibat dalam sesi perbincangan ialah Sahibus Samahah Profesor Dato' Arif Perkasa Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis dan Sahibus Samahah Profesor Madya Dato' Dr. Mohd Sukki bin Othman, Mufti Negeri Pulau Pinang, bersama Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan serta YB Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Perbincangan ini menjadi platform untuk meneliti konsep kafir harbi berdasarkan sumber dan disiplin ilmu Islam, di samping melihat kesesuaiannya dalam memahami realiti semasa masyarakat Malaysia.
Sesi ini juga membuka ruang pertukaran pandangan antara para mufti dan tokoh agama dalam usaha memperjelas kefahaman masyarakat terhadap istilah-istilah berkaitan hubungan antara umat Islam dan bukan Islam serta mengelakkan kekeliruan dalam memahami isu tersebut.
Penganjuran sidang meja bulat ini diharapkan dapat menghasilkan kefahaman yang lebih tepat, berimbang dan berautoriti, selaras dengan prinsip Islam serta realiti kehidupan masyarakat majmuk di Malaysia.