KUALA LUMPUR, 9 Oktober 2026 - Sahibus Samahah Tuan Haji Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan telah dijemput untuk menyertai beberapa pengisian bersempena pembentangan Bajet 2027 oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Pengisian dimulakan dengan menghadiri kuliah yang disampaikan oleh Syeikh Haji Wazir bin Che Awang yang dikenali sebagai Syeikh Wazir Al-Makki. Seterusnya, satu detik bersejarah tercipta apabila solat Jumaat buat pertama kalinya dilaksanakan di Parlimen Malaysia,
Sahibus Samahah diundang untuk menyampaikan khutbah Jumaat serta mengimamkan solat Jumaat.
Selepas solat Jumaat, Sahibus Samahah turut diminta oleh Perdana Menteri untuk membacakan doa khas sebelum pembentangan Bajet 2027. Doa tersebut dipanjatkan bagi memohon keberkatan, kemudahan dalam urusan pentadbiran negara serta kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Sebagai pengisian terakhir, Sahibus Samahah turut serta untuk mengikuti secara langsung pembentangan Bajet 2027 oleh Perdana Menteri. Penglibatan ini memperlihatkan peranan institusi mufti dalam menyumbang kepada pembangunan negara yang berpaksikan nilai-nilai Islam, kesejahteraan ummah dan kemakmuran rakyat.