KAJANG, 27 Oktober 2026 – Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) meneruskan usaha menyantuni masyarakat menerusi Program Bicara Mufti: Santunan Kasih, Semai Harapan yang melibatkan seramai 150 orang prospek Penjara Kajang.
Suasana bertukar syahdu apabila para hadirin dihidangkan dengan lantunan merdu nasyid Di Pondok Kecil (Ae-Man bersama Bazli UNIC) dan lagu Bila Diri Disayangi (UKAYS) yang dipersembahkan oleh prospek, membawa mesej keinsafan, kasih sayang dan harapan.
Dalam tausiah yang disampaikan, Sahibus Samahah Tuan Hj Ahmad Fauwaz bin Fadzil, Mufti Wilayah Persekutuan, mengingatkan para prospek agar memanfaatkan peluang yang Allah SWT kurniakan untuk bermuhasabah dan mengenali hakikat diri.
Beliau turut mengingatkan bahawa ketika masyarakat di luar berdepan pelbagai godaan dan kelalaian dunia, suasana di sini boleh dimanfaatkan untuk mendirikan solat pada awal waktu, memperbanyak ibadah serta memperkukuh hubungan dengan Allah SWT.
Sebagai suntikan semangat, beliau membawakan kisah Sayyid Qutb yang menghasilkan karya tafsir Fi Zilal al-Quran ketika melalui ujian pemenjaraan, sehingga menjadi antara karya yang dirujuk oleh umat Islam. Kisah ini mengingatkan bahawa keterbatasan fizikal bukanlah penghalang untuk membina kekuatan jiwa dan menyumbang kepada ummah.
Program turut diisi dengan aktiviti berkumpulan yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai JMWP bagi memperkukuh kefahaman fardu ain, motivasi diri dan nilai kerohanian.
Turut hadir barisan pengurusan Penjara Kajang yang diketuai oleh PKP Supian bin Kamarudin, Ketua Bahagian Korektif dan Pemasyarakatan Penjara Kajang, bersama pegawai-pegawai kanan penjara.
Setiap insan mempunyai kisah silam, namun setiap insan juga berhak diberi ruang untuk berubah.
Semoga program ini menjadi medan tarbiah yang menyemai keinsafan, menyuburkan harapan dan membuka lembaran baharu ke arah kehidupan yang lebih baik.