Mukadimah
Mutakhir ini, telah sampai ke meja kami pelbagai pertanyaan melalui media baru isu-isu berkaitan politik. Ini termasuklah berkenaan beberapa kenyataan daripada tokoh-tokoh politik. Tidak perlu kami nyatakan siapa dan apa yang dinyatakan. Cukuplah ianya dapat difahami dan menjadi nasihat buat semua pemimpin politik dan anggota masyarakat.
Kehangatan Pilihanraya Umum ke-14 (PRU 14) yang makin terasa ini jelas bahangnya di media sosial apabila penyokong kem masing-masing tidak henti-henti berbalas idea dan hujah sehinggalah terbawa-bawa kepada fitnah dan buruk sangka. Bahang PRU 14 juga sedikit mencuit emosi beberapa pemimpin politik dari media sosial hingga ke Parlimen. Dari kedai kopi hingga ke pentas ceramah, pelbagai bentuk nada hujahan boleh kita amati. Sayangnya, dari kritikan membina kepada kem lawan, sudah ada yang sampai mengeluarkan kata-kata nista dan keras yang sedikit pun tidak melambangkan akhlak seorang Muslim.
Ada yang bertanya kepada kami, “Tidak adakah surat terbuka kepada pemimpin politik? Takkan hanya artis?” Kami beranggapan mungkin penyoal tidak tahu yang sekitar 4 tahun lepas, kami pernah mengeluarkan sebuah buku berjudul Pemimpin Yang Adil: Rahmat Kepada Rakyat. Boleh rujuk di Wikipedia kami [https://ms.wikipedia.org/wiki/Zulkifli_Mohamad_Al-Bakri]. Sebagai pelengkap kepada buku berkenaan, kami merasa amat perlu untuk mengemukakan surat terbuka kepada para pemimpin politik, pimpinan parti begitu juga kepada masyarakat umum. Tujuannya semata-mata untuk sama-sama kita muhasabah kembali sikap dan tindakan kita agar ia benar-benar selari dengan nilai agama dan insani sehingga apa yang kita hasratkan benar-benar bersih dan tepat dari sebarang bentuk tindakan yang menyeleweng.
Nasihat ini adalah tulus daripada hati kepada seluruh pemimpin politik dan masyarakat Malaysia yang berbilang agama dan bangsa.
Nasihat Kami
Wahai pemimpin politik dan masyarakat,
- Antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang Muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Sesuatu umat tidak akan terselamat daripada angkara perpecahan dan pertelagahan melainkan apabila mereka menyerahkan kepimpinan mereka kepada seorang ketua, iaitu ketua yang dapat menyatukan mereka dan semua pendapat tunduk kepada kebijaksanaannya. Betapa pentingnya persoalan kepemimpinan ini sehingga Nabi SAW bersabda:
إِذَا كَانَ ثَلاَثَةٌ فِي سَفَرٍ فَلْيُؤَمِّرُوا أَحَدَهُمْ
Maksudnya: “Jika ada tiga orang dalam permusafiran, hendaknya mereka mengangkat salah seorang di antara mereka menjadi pemimpin.”
(Riwayat Abu Daud, no. 2609)
- Dalam sistem demokrasi, hak bersuara adalah dibenarkan akan tetapi akhlak dan adab perlulah dijunjung. Mengakhlakkan diri dengan peribadi yang unggul lagi luhur adalah satu perjuangan yang amat tinggi nilainya. Apakan tidak, kerana kepimpinan menjadi contoh dan suri teladan terbaik kepada anak buah masing-masing sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Khaldun:
الناس على دين ملوكهم
Maksudnya: “Orang ramai mengikut agama pemimpin-pemimpin mereka.”
Mengikut bidalan ini, ia adalah menepati realiti kemasyarakatan dan inilah yang berlaku dalam kebanyakan kehidupan manusia. Justeru, dengan baiknya, pemimpin yang menjadi suri teladan, maka sudah barang tentu akan memberi kesan yang mendalam kepada masyarakat dan orang bawahannya.
Ketahuilah, kalian begitu juga diri ini akan dipersoalkan tanggungjawab ini di Akhirat kelak. Maka,
- Berkatalah yang baik-baik. Firman Allah SWT:
وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
Maksudnya: “…katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik..”
(Surah al-Baqarah: 83)
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim berkata: “Maksudnya ucapkanlah kepada mereka dengan ucapan yang baik dan sikap yang lembut. Termasuk dalam hal itu adalah amar makruf dan nahi munkar (menyuruh berbuat baik dan mencegah kemungkaran). Sebagaimana dikatakan oleh Imam al-Hasan al-Basri mengenai firman-Nya ini: “Termasuk ucapan yang baik adalah menyuruh berbuat baik dan mencegah perbuatan munkar, bersabar, suka memberi maaf, serta berkata kepada manusia dengan ucapan yang baik, sebagaimana yang difirmankan oleh Allah SWT tadi. Iaitu setiap akhlak baik yang diredai oleh Allah SWT.”
- Cakap hanya yang benar dan baik. Jika tidak, lebih baik diam. Nabi SAW bersabda:
مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاَللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
Maksudnya: "Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah dia berkata baik atau diam”
(Riwayat al-Bukhari, no. 6475 dan Muslim, no. 47)
Umar al-Khattab R.A berkata: “Siapa yang banyak kalamnya, maka banyak tergelincir dalam tutur katanya. Dan siapa yang banyak ketergelincirannya, maka banyaklah dosa. Dan siapa yang banyak dosanya neraka lebih utama baginya.”
Zaman kini, boleh jadi yang benar dan baik itu tidak “laris” di mata manusia dan dipandang remeh. Namun, ketahuilah bahawa Allah sentiasa bersama mereka yang baik dan membawa panji kebenaran.
Wahai pemimpin politik dan masyarakat Muslim,
- Jauhi daripada melabel-labelkan dan menggelar dengan gelaran yang tidak baik. Firman Allah SWT:
وَلَا تَنَابَزُوا بِالْأَلْقَابِ
Maksudnya: “…dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk...”
(Surah al-Hujurat: 11)
Syeikh al-Maraghi menyatakan: Qatadah dan juga Ikrimah meriwayatkan daripada Abu Jubairah Ibn al-Dahhak yang berkata: Ayat ini turun mengenai Bani Salamah.” Ibn Jarir pula telah meriwayatkan daripada Ibn Abbas dengan maksud: “Seorang lelaki telah melakukan amalan buruk kemudian dia bertaubat dan kembali kepada kebenaran. Maka Allah SWT telah melarang orang itu dicela dan perbuatannya yang telah lalu.”
Apa yang diucapkan oleh seseorang pemimpin, itulah yang menjadi ikutan kepada penyokong masing-masing. Jika baiklah ucapannya, maka baiklah yang dituturkan oleh penyokongnya. Jika sebaliknya, itulah yang menjadi ‘modal’ bagi penyokongnya untuk melemparkan kata-kata nista kepada lawan.
- Jauhi daripada menghina dan mencaci serta melaknat sesama sendiri. Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ الْمُؤْمِنُ بِالطَّعَّانِ وَلَا اللَّعَّانِ وَلَا الْفَاحِشِ وَلَا الْبَذِيءِ
Maksudnya: “Orang yang beriman itu bukanlah sifatnya memaki hamun, melaknat, berkata kotor dan juga bahasa yang keji.”
(Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no. 312; Al-Tirmizi, no. 1977)
Ingatlah, boleh jadi orang yang kita hina itu jauh lebih mulia dan baik daripada kita. Benarlah firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا يَسْخَرْ قَوْمٌ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰ أَن يَكُونُوا خَيْرًا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَاءٌ مِّن نِّسَاءٍ عَسَىٰ أَن يَكُنَّ خَيْرًا مِّنْهُنَّ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;”
(Surah al-Hujurat: 11)
Syeikh al-Maraghi berkata: “Ini kerana kadang-kadang orang yang dihina lebih baik di sisi Allah daripada orang yang menghina sebagaimana yang disebut di dalam hadis.”
Orang yang dicaci, dihina, difitnah dan dilaknat itu, belum tentu lebih hina daripada yang menyumpah seranah. Apatah lagi jika kedua-duanya masih berpayung di bawah kalimah syahadah yang sama.
Masyarakat telah meletakkan sepenuh kepercayaan kepada anda, maka:
- Jauhilah daripada berbohong. Sabda Rasulullah SAW:
يُطْبَعُ الْمُؤْمِنُ عَلَى كُلِّ شَىْءٍ إِلاَّ الْخِيَانَةَ وَالْكَذِبَ
Maksudnya: “Orang yang beriman boleh jadi melakukan pelbagai kesalahan kecuali sifat khianat dan dusta.”
Riwayat Imam Ahmad (22170), al-Baihaqi dalam
al-Sunan al-Kubra (21349) dan Syu’ab al-Iman (2809)
Ini kerana, kedua-dua sifat ini adalah amat hina di dalam Islam yang sewajarnya kita menjarakkan dan menjauhinya dalam kamus kehidupan kita. Jika yang disampaikan itu satu penipuan, ketahuilah bahawa Allah Maha Melihat dan Maha Mengetahui. Jika balasan-Nya ditangguhkan di dunia, ketahuilah bahawasanya tiada lagi penangguhan di alam sana. Mahkamah-Nya adalah yang seadil-adilnya dalam menjatuhkan hukuman.
- Elakkan percakapan atau ucapan yang boleh dipertikaikan atau membawa kesamaran. Ini kerana ia membuka ruang kepada ramai orang dan pihak sama ada mengiyakannya atau menentang. Ucapan seperti ini tidak akan menambah kebaikan bahkan boleh mengeruhkan suasana kehidupan. Ini berdasarkan satu kaedah
اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ
Maksudnya: Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.
Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,
مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ
Maksudnya: Barangsiapa yang menempuhi, laluan-laluan tohmahan, akan ditohmah.
Apa jua perkara yang berisiko menimbulkan fitnah dan salahfaham, hendaklah sedaya upaya dielakkan kerana ia akan memberi kesan yang buruk baik untuk jangka masa pendek mahupun panjang.
Duhai jiwa yang bakal kembali kepada-Nya,
- Memelihara lidah antara yang penting dalam kehidupan ini. Masakan tidak, Rasulullah SAW bersabda kepada Muaz bin Jabal R.A:
أَلَا أُخْبِرُك بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ فقُلْت: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ ! فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْك هَذَا. قُلْت: يَا نَبِيَّ اللَّهِ وَإِنَّا لَمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْك أُمُّك وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟!"
Maksudnya: “Mahukah kamu kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara tersebut?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah” Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: “Kamu mesti menjaga ini!” Aku bertanya: “Wahai Nabi Allah! Adakah kita akan dibalas (dipersoalkan) dengan apa yang kita pertuturkan?” Baginda menjawab: “Celakalah kamu! Tidak ada yang menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas muka meraka – dalam riwayat yang lain disebutkan di atas hidung mereka – melainkan hasil tuaian ini adalah ada lidah mereka?”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2619)
Antara mutiara kata Salafussoleh adalah: Ibnu Mas’ud pernah bersumpah dengan nama Allah, lalu mengatakan, “Di muka bumi ini, tidak ada sesuatu yang lebih sesuai menerima lamanya penjara daripada lidah!”. Begitu juga diriwayatkan, bahawa Ibnu Mas’ud berkata, “Jauhilah fudhulul kalam (pembicaraan yang melebihi keperluan). Cukup bagi seseorang berbicara, menyampaikan sesuai keperluannya.”
- Jika perlu berdebat, maka berdebatlah dengan sebaik-baiknya. Allah SWT berfirman:
وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ
Maksudnya: “dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya,”
(Surah al-Nahl: 125)
Dalam perdebatan, nilai intelektual dan ketepatan maklumat serta hujah yang benar lagi sahih dengan dalil naqli dan mantiq aqli perlu dijunjung.
Ketika mengupaskan tentang iklim kehidupan intelektual di Andalusia, Prof. Dr. Wan Mohd Nor menulis: “Ramai di antara kita sentiasa berbangga dengan pencapaian agung umat Islam terdahulu, sama ada di Andalusia atau di tempat-tempat lain, tetapi tidak begitu ramai yang mahu meninjau secara ilmiah akan iklim dan faktor-faktor yang memungkinkan terlahirnya hasil yang sedemikian agung. Jika kita ingin membangunkan sesebuah masyarakat, bangsa dan tamadun yang agung, kita harus jugalah cuba memahami iklim dan mengenal pasti faktor-faktor tersebut, dan berusaha mencipta sebaik mungkin iklim dan faktor-faktor yang serupa, setelah mengambil kira perbezaan tempat dan zaman.” Hal yang sama juga kami nukilkan dalam buku Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur: Negara Sejahtera Rahmat Untuk Semua.
Setiap detik seorang wakil rakyat di Parlimen dan DUN, adalah satu amanah daripada-Nya, begitu juga harapan daripada rakyat yang mengundinya. Berdebatlah untuk manfaat rakyat dengan fakta dan hujah yang lengkap, persediaan yang rapi dan tidak mensia-siakan setiap peluang yang ada. Ini kerana, itulah antara yang akan dipersembahkan dihadapan-Nya nanti.
Inilah Pesanan
Akhir kalam, kami katakan marilah sama-sama kita menginsafi diri dengan merapatkan saf dan membina negara dengan akhlak yang mulia dan keperibadian yang unggul. Jika ini kita dapat pertahankan, negara kita akan tetap harmoni dan dipandang tinggi oleh masyarakat antarabangsa. Bangsa apa pun kita dan agama apa pun kita, jika kita warga Malaysia dan tanah air kita adalah bumi bertuah ini, makanya menumpahkan kasih sayang dan taat setia kepada tanah watan adalah wajib untuk kita pertahankannya selama mana nyawa dikandung badan.
Kami nukilkan kata-kata Khalifah Umar bin Abdul Aziz Rahimahullah daripada buku Sirah wa Manaqib 'Umar ibn 'Abdul 'Aziz karya Ibn Al-Jauzi, antara lain katanya: “Fiqh yang terbesar ialah bersifat dengan cukup dengan apa yang ada (qana’ah) dan menahan daripada menyakiti manusia.”
Dengan mengamati dua sifat tersebut iaitu qana’ah dan menahan daripada menyakiti hati manusia, sudah pasti ianya membawa kelebihan kepada seseorang dalam melayari bahtera kehidupan kerana kedua-duanya akan terselamat daripada sifat mazmumah dan disakiti oleh manusia. Marilah sama-sama kita menginsafi diri sebagai umat Islam dan juga rakyat Malaysia yang menjunjung nilai dan budi yang luhur sebagai jati diri kita untuk kekal gah di persada antarabangsa. Benarlah kata pujangga terkemuka, almarhum Ahmad Syauqi,
وإنِّما الأُمَمُ الأخلاقُ ما بَقِيَتْ *** فَإنْ هُمُ ذَهَبَتْ أَخلاقُهُمْ ؛ ذَهَبُوا
“Dan sesungguhnya semua umat kekal selama adanya akhlak. Apabila mereka hilang akhlak, maka lenyaplah umat tersebut.”
Inilah pesanan yang ingin kami sampaikan daripada hati kami yang tulus kepada para pemimpin politk dan seluruh lapisan masyarakat. Pemimpin politik tanpa mengira warna dan logo tetap adalah sahabat-sahabat yang amat kami kasihi. Atas dasar kasih sayang inilah, nasihat dan ingatan disampaikan sempena PRU-14 ini. Kami menyusun sepuluh jari memohon maaf jika bahasa yang dikemukakan terkasar dan tidak sesuai. Semoga Malaysia akan terus aman, damai dan sejahtera di bawah lembayung rahmat-Nya atas kepimpinan negara yang diredhai-Nya.
Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan