Alhamdulillah, pada musim haji kali ini, sempat saya menziarahi Jemaah haji yang sakit di Hospital Tabung Haji di Syisya, Mekah. Saya mengikuti keadaan mereka dan memberi semangat serta menyantuni mereka. Saya juga bertemu dengan para petugas rawatan Tabung Haji (TH) yang diketuai oleh Dr Syafari. Pertemuan bersama mereka amat menyentuh perasaan ini.
Antara projek besar yang dilakukan oleh petugas perubatan dari Tabung Haji adalah memastikan jemaah haji yang sakit perlu diwukufkan di Arafah. Ini kerana salah satu rukun haji yang mesti dilakukan oleh jemaah haji adalah berwukuf di Arafah. Benarlah sabda Rasulullah SAW:
الحج عرفة
Maksudnya: Haji itu mestilah berwukuf di Arafah.
Dalam melaksanakan misi yang besar dan hebat ini, mereka telah:
- menyewa bas yang diubah suai untuk dua keadaan, iaitu pesakit yang biasa dan pesakit yang berbaring. Semuanya lengkap dengan peralatan yang cukup dan juga diiringi petugas-petugas daripada kalangan doktor-doktor, jururawat dan asatizah dari Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (PIHTAS) Tabung Haji.
- menyediakan ambulan untuk pesakit-pesakit kronik.
- mereka juga telah merancang dengan rapinya dalam memilih lokasi wukuf yang syaratnya mesti di Tanah Arafah dan waktunya sebelum Zohor hari pertama dan selepas Zohor hari berikutnya.
- lokasi yang dipilih pula berdekatan dengan khemah jemaah haji Turki.
Barisan deretan bas dan ambulan jemaah haji Malaysia ini yang dikenali sebagai ‘Safari Wukuf’ hasil inisiatif TH ini amat istimewa bagi saya.
Saya menyaksikan dua kesungguhan yang amat menyentuh hati saya:
i- Kesungguhan pesakit yang sanggup menggagahkan diri untuk turut sama berwukuf walaupun mereka bertarung dengan keuzuran, kepenatan, kelelahan dan kesakitan tetapi tetap bersemangat untuk wukuf di Arafah
ii- Kesungguhan dan usaha petugas haji TH untuk mewukufkan pesakit ini bermula dari:
- menyiapkan pakar mereka di hospital
- mengeluarkan mereka dari hospital dan menaikkan mereka ke dalam bas atau ambulan, bahkan ada yang diangkut bersekali dengan kerusi roda
- membawa peralatan perubatan mereka seperti tabung oksigen, air dan lain-lain
- sentiasa memastikan keadaan mereka sentiasa baik dari sudut kemampuan mereka bertahan untuk berwukuf kerana dalam situasi seperti ini, sebarang kemungkinan boleh berlaku
- tahap kewaspadaan dan kesiap-siagaan mereka sentiasa berada pada tahap tertinggi
Satu pemandangan yang menarik yang kami perhatikan juga ialah, sambil petugas-petugas ini membantu pesakit melaksanakan haji, mereka juga pada masa yang sama berhaji untuk diri mereka sendiri. Mulut mereka tidak lekang dari zikrullah, doa dan munajat. Tangan mereka pula sibuk bertugas memastikan pesakit sentiasa mendapat rawatan dan perhatian yang berterusan.
Sejujurnya, nampak terzahir dari riak wajah mereka sinar keikhlasan yang tinggi, di samping kepuasan kerana dapat membantu jemaah haji lain sewaktu mereka sendiri sedang sibuk beribadat, berdoa dan bermunajat kepada Allah SWT.
Sesungguhnya, sedetik pengalaman saya bersama mereka merupakan satu pengalaman yang menginsafkan dan sebuah kenangan yang amat syahdu. Mereka ialah pejuang yang tidak didendang, namun jasa mereka amat besar dalam memastikan pelaksanaan rukun Islam yang kelima ini dapat disempurnakan dengan jayanya.
Sepengetahuan saya, tiada sebuah negara Islam yang menghantar jemaah hajinya, melaksanakan safari wukuf berskala besar, kecekapan alatan lengkap dengan pakar-pakar perubatan. Setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada Tabung Haji dan petugas-petugas mereka. Syor saya agar ia didokumentasikan kerana usaha seperti ini amat murni dan memerlukan pengorbanan yang amat hebat.
Begitu juga disyorkan kepada petugas agar selepas selesai khutbah Arafah untuk menghampar sejadah dan melaksanakan solat di tepi bas dan ambulan. InshaAllah dua kesempurnaan akan terwujud, iaitu kesempurnaan untuk wukuf jemaah pesakit dan kesempurnaan solat oleh para petugas.
Pengislahan untuk safari wukuf pula dilakukan dari tahun ke tahun berikutnya. Ini sudah pasti memberi kemudahan kepada pesakit yang datang dengan niat melaksanakan ibadat haji tercapai walaupun dalam penunaiannya dengan cara ‘safari wukuf’.
Syabas dan tahniah kepada para petugas, Tabung Haji dan pesakit safari wukuf, semoga jasa dan penat lelah kalian diganjari dengan haji yang mabrur dan dikabulkan segala hajat kalian. Seesungguhnya, safari wukuf merupakan produk ihsani TH yang terbaik dan terunggul. Produk yang disusun-atur dan dilaksanakan melalui kerjasama yang terjalin hasil usaha yang bersepadu dan ikhlas.
Akhir kalam, sekali lagi saya katakan kepada petugas safari wukuf: Anda bukan sekadar melaksanakan haji untuk diri sendiri, tetapi dapat juga melaksanakan haji untuk orang lain dengan jayanya. Pengalaman anda akan dibawa hingga ke akhir hayat oleh penumpang safari wukuf. Mulut mereka pasti tidak lekang dengan doa yang baik untuk kalian. Itulah, sedikit coretan pengalaman saya sekada setengah jam besama penumpang dan petugas safari wukuf.
Akhukum fillah,
Dato’ Seri Dr. Zulkilfli bin Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan
*Saya mohon kepada mereka yang mempunyai gambar ketika saya bersama mereka di Arafah sewaktu Safari Wukuf agar memuat naik gambar itu disini. Ini bertujuan agar jelas dan nyata peranan petugas safari wukuf ini, jika tiada kesalahan dari segi etika perubatan.