Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #35: AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

qalam mufti ahlan.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan doa Rasulullah SAW. Daripada Talhah bin Ubaidillah R.A, apabila Nabi SAW melihat anak bulan, Baginda akan membaca doa:

اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ

Maksudnya: “Ya Allah keluarkanlah anak bulan ini dengan keberkatan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah SWT”.

Riwayat al-Tirmizi (3373)

Sinar Ramadhan 1440 Hijrah menjelma tiba, singgah sebulan dalam kehidupan kita. Perkataan Ramadhan terlalu mulia kerana diingatkan dengan ibadat seperti puasa, tarawikh, jamuan berbuka puasa, tadabbur al-Quran, zikir, istighfar dan juga memenuhi masjid dan surau dengan acara ibadat.

Kedatangan Ramadhan pada kali ini yang mewarnai kehidupan kita haruslah disyukuri kerana Allah SWT memilih kita untuk mendapatkan Ramadhan sedangkan ramai dalam kalangan kita yang tidak sempat dengan Ramadhan ini. Justeru, doa yang kita panjatkan “وَبَلِّغْنَا رَمَضَان” menjadi peluang untuk kita mengisi madrasah Ramadhan ini dengan ketaatan.

Ramadhan pada kali ini menuntut kita untuk sentiasa bersyukur kepada-Nya dan keamanan yang kita miliki di tanah watan Malaysia ini adalah hal yang memungkinkan kita beribadat dengan selesa. Maka, mengambil kesempatan untuk beribadat kepada Allah di mukhayyam tarbawi Ramadhan ini adalah amat penting. Benarlah doa para salafus soleh:

اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَان، وسَلِّمْ رَمَضَان لِي، وتسلمه مِنِّي مُتَقَبَّلاً

Saya melihat dalam lembaran sejarah yang panjang, catatan kemenangan Islam terwujud pada bulan Ramadhan seperti peperangan Badar, Khandaq dan termasuklah pembukaan kota Andalusia, peperangan Ain Jalut yang memenuhi kitab-kitab tarikh dalam lipatan sejarah umat. Makanya kami namakan bulan Ramadhan adalah bulan kemenangan.

Justeru, kalau mereka di zaman dahulu mencatat barisan dan rantaian kemenangan yang luar biasa, makanya mengambil inspirasi mereka dengan melakarkan kejayaan dalam hidup kita dengan mengubah situasi yang tidak baik kepada lebih baik, kelesuan kepada kesungguhan serta penuh dengan inovasi, mengislahkan diri dengan seterbaiknya.

Kami juga berpendapat Ramadhan adalah bulan kesatuan dan perpaduan. Kepada umat Islam dan masyarakat Islam Malaysia, marilah kita bersatu hati, berganding bahu membina negara dengan harapan dan cita-cita agar Malaysia sentiasa menjadi negara yang maju dan dihormati di mata dunia.

Akhir kalam, Ramadhan adalah bulan rahmat, maghfirah, bulan keampunan Tuhan dan marilah kita mengisinya dengan segala perkara ketaatan serta meninggalkan maksiat. Dengan itu, mudah-mudahan ia akan menatijahkan ketakwaan.

Saya berdoa kepada Allah semoga Allah menyatukan hati-hati kita dalam menatijahkan serta membuahkan kejayaan dalam hidup kita.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ رِضَاكَ وَالْجَنَّةَ وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ سَخَطِكَ وَالنَّارِ

Selamat berpuasa dan berqiamullail.

 

Akhukum fillah,

SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

5 Mei 2019 bersamaan 29 Sya’ban 1440 Hijrah.