Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #39: SEBUAH PENANTIAN BERAKHIR: LIVERPOOL JUARA

LIVERPOOL JUARA 222.JPG

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada pagi ini seusai kuliah Subuh di Masjid al-Taqwa, Paroi, kami telah diberitakan tentang kemenangan pasukan Liverpool FC ke atas pasukan Tottenham Hotspur (2 - 0) sekaligus menjadikan mereka dinobatkan sebagai Juara Liga Juara-Juara Eropah (UCL - UEFA Champions League) bagi musim 2018-2019. Kejohanan tahunan ini telah menjadi perhatian dunia sebagai kejohanan tahunan paling berprestij yang mendapat liputan hangat seluruh dunia.

Antara keterujaan dan pengajaran yang kami dapati daripada pasukan Liverpool FC ini ialah:

  • Liverpool berjaya menggilap bakat pemain Muslim seperti Mohamed Salah dan Sadio Mane hingga menjadi pemain handalan dunia dan contoh ikutan karakter yang baik untuk peminat dan penyokong.
  • Menariknya, kami membaca berita dari akhbar arab Uqaz beberapa hari sebelum perlawanan, dinukilkan bahawa jurulatih Liverpool Jürgen Klopp tidak menghalang Mohamed Salah dan Sadio Mane untuk melakukan ibadat puasa, sebaliknya memberi galakan kerana hak kebebasan beragama. Itulah profesionalnya mereka. Permainan tetap cemerlang.
  • Semangat tidak mudah mengalah dan segera memperbaiki pasukan walaupun baru tewas di tangan Real Madrid tahun sebelumnya menjadikan ianya satu bentuk sumber inspirasi kepada kita semua. Walaupun tidak berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris musim ini, mereka tidak terus mengalah dan kecewa, malah terus lebih kuat bersemangat.
  • Kesabaran dan ketabahan serta kekuatan mental bertahan pengurus pasukan Jürgen Klopp yang akhirnya berjaya mendapatkan trofi UCL pertama kali dalam karier bola sepaknya dan trofi pertama bersama Liverpool setelah 6 kali hanya bergelar Naib Juara di pentas akhir. Penantian panjang para penyokong Liverpool FC akhirnya terbalas jua selepas kali terakhir merangkul piala tersebut pada musim 2005.

Setinggi tahniah dan syabas dari kami kepada pasukan Liverpool serta penyokongnya. Kepada penyokong Tottenham Hotspur, kami katakan sabarlah kerana itu adat permainan. Mungkin satu masa nanti anda pula akan menjadi juara. Semoga terus maju jaya. Begitu juga majulah sukan untuk negara kita Malaysia.

Selamat berpuasa seterusnya selamat berhari raya. Maaf zahir dan batin.

28 Ramadhan 1440 H bersamaan 2 Jun 2019.