Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #47: KEPUTUSAN INKUES MOHD. ADIB: INILAH NASIHATKU

KEPUTUSAN ADIB - INKUES.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, kami rafakkan kesyukuran kepada-Nya, selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi SAW atas pelbagai kurniaannya yang tak terhitung banyaknya.

Pada hari Jumaat, 27 September 2019, keputusan Inkues Kematian Allahyarham Mohd. Adib Mohd. Kassim[1] telah diputuskan oleh Mahkamah koroner Shah Alam selepas melalui prosiding inkues selama 41 hari dengan penuh teliti dan cermat. Kita semua telah mengetahui keputusan yang diputuskan oleh Hakim pada hari tersebut.

Oleh kerana begitu banyak soalan dan pertanyaan berkenaan kes ini kepada saya, makanya dengan menginsafi akan hakikat yang berlaku serta keputusannya, saya menyatakannya dalam Bayan Linnas dengan tajuk Keputusan Inkues Mohd. Adib: Inilah Nasihatku.

Semoga ianya boleh membawa kepada sikap dan mauqif yang diambil oleh kita dengan penuh berhemah serta mengikut apa yang dinyatakan oleh Allah dan Rasul-Nya SAW.

 

Latar Belakang

Kami mengikuti dengan penuh keprihatinan dan perasaan hiba berita kes kematian Allahyarham semenjak dari awal berita mengenai kecederaannya dilaporkan melalui media massa sehinggalah saat arwah dijemput Ilahi. Kami sempat menziarahi arwah yang ketika itu sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur pada 30 November 2018 bagi menzahirkan kasih sayang dan kebersamaan kami dengan seluruh keluarga Allahyarham. Pemergiannya kami iringi dengan doa penuh pengharapan kepada Allah SWT semoga Allahyarham ditempatkan di syurga-Nya sepertimana kami nyatakan di dalam artikel kami pada 18 Disember 2019.[2]

 

Rentetan Insiden

Kami nyatakan di sini kronologi insiden:

27 November 2018: Muhammad Adib ditemui cedera dalam kejadian rusuhan di tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya sebelum dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya.

28 November 2018: Dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN).

28 November 2018: Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa Muhammad Adib cedera akibat kemalangan.

29 November 2018: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan dakwaan pihak kuil tidak betul.

4 Disember 2018: Muhammad Adib beri tindak balas kepada orang sekeliling, tetapi masih tidak dapat bertutur selepas seminggu dirawat di IJN.

17 Disember 2018: Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam.

27 Disember 2018: Kerajaan mengumumkan menubuhkan inkues untuk mengetahui punca sebenar kematian.

11 Februari 2019: Inkues Muhammad Adib bermula.

24 Mac 2019: Saksi inkues ke-24, Pakar Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi memberitahu Mahkamah Koroner kecederaan Muhammad Adib tidak padan dengan kecederaan dipukul.

9 April 2019: Saksi inkues ke-29, bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi, Prof Dr Shahrom Abd Wahid berkata Muhamad Adib kemungkinan ditarik keluar dari van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan terhimpit antara dua pintu sebelum dihentak hingga menyebabkan tujuh tulang rusuknya patah.

27 Mei 2019: Peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) umum tarik dari dari mewakili pihak berkepentingan.

5 Julai 2019: Pakar Fizik Universiti Teknologi MARA (UITM), Dr Amir Radzi Ab Ghani diputuskan sebagai saksi ke-30 oleh Koroner Rofiah.

27 September 2019: Keputusan inkues.

 

Kebersamaan Kami

Kebersamaan dan kasih sayang kami kepada arwah dan ahli keluarganya sampai bila-bila atas ikatan ukhuwwah Islamiyyah sepertimana yang diperintahkan Allah dan Rasul-Nya. Firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

Surah al-Hujurat (10)

Persaudaraan merupakan satu ikatan yang mana Allah SWT telah mengikatnya di antara orang-orang yang beriman. Sekiranya kita mendapati sesiapa sahaja sama ada dari timur atau barat yang beriman kepada Allah, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari Akhirat maka dia adalah saudara kepada orang yang beriman. Di samping itu juga, persaudaraan ini juga mewajibkan orang beriman untuk menyayanginya sepertimana mereka menyayangi diri mereka sendiri atau sebaliknya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman fi Tafsir Kalam al-Mannan, 1/440)

Daripada al-Nu’man bin Basyir R.A, katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ؛ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang beriman pada sifat berkasih sayang, saling merahmati, dan saling membantu adalah seperti suatu badan. Apabila ada anggota badan yang sakit, ia menyebabkan keseluruhan tubuh badan tidak dapat tidur dan juga menjadi demam.

Riwayat al-Bukhari (5665), Muslim (2586), al-Tirmizi (1847),
al-Nasa'ie (2525) dan Imam Ahmad (19188)

Imam Ibn Hajar Al-Asqalani menukilkan sebuah kata-kata menarik daripada Imam Ibn Abi Jamrah apabila mengulas hadis ini yang menyebut: ‘’Secara zahirnya sifat saling merahmati, saling berkasih sayang dan saling membantu ini meskipun mempunyai makna yang hampir sama, akan tetapi terdapat perbezaan tertentu padanya. Adapun saling merahmati, yang dimaksudkan dengannya adalah: Saling merahmati sesama mereka dengan ukhuwwah (persaudaraan) keimanan bukan dengan sebab selainnya. Adapun saling berkasih sayang pula membawa maksud: Saling berhubung yang boleh mendatangkan kasih sayang seperti saling menziarahi dan memberi hadiah. Adapun yang dimaksudkan dengan al-ta’athuf ia adalah mereka saling membantu antara satu sama lain.

Beliau berkata lagi: Nabi SAW memberikan perumpamaan iman dengan tubuh badan dan ahli iman diumpamakan dengan anggota tubuh. Ini kerana iman adalah asal dan cabangnya adalah taklif-taklif. Sekiranya seseorang itu mengabaikan taklif (tanggungjawab) maka yang demikian itu memberi kerosakan kepada asal (keimanan). Demikian jugalah jasad adalah asal seperti sebatang pokok dan anggota-anggota badan seperti dahan-dahan pokok. Apabila satu anggota terasa sakit maka sakitlah jua keseluruhan badan. (Rujuk Fath al-Bari, 10/439)

Kami yakin dan percaya seluruh masyarakat Islam dan pencinta nilai kemanusiaan mempunyai perasaan yang sama. Setiap dari kita merasa hiba dengan kematiannya apatah lagi bagi ibu bapa dan ahli keluarganya.

 

Keputusan Mahkamah

Pada hari Jumaat yang lepas adalah saat yang dinanti-nantikan oleh ahli keluarga Allahyarham, begitu juga ramai kalangan rakyat negara ini. Keputusan Mahkamah Koroner telah memberikan jawapan yang muktamad dan konkrit mengenai punca dan sebab sebenar kematian Allahyarham Mohd. Adib. Kami yakin dan percaya bahawa melalui pengamatan dan setakat pengetahuan yang kami perolehi, prosiding inkues ini dilaksanakan dengan penuh teliti, cermat, berhati-hati dan telus. Semua pihak yang berkepentingan dalam kes ini telah diberikan ruang dan masa yamg secukupnya.[3] Hal ini bertepatan dengan banyak hadis, antaranya:

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِى وَالْيَمِينُ عَلَى مَنْ أَنْكَرَ

Maksudnya: “Bukti diminta daripada pendakwa dan sumpah daripada tertuduh yang menafikannya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (21733)

Begitu juga dengan hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma:

...وَلَكِنَّ الْيَمِين عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “...walau bagaimanapun, sumpah diminta daripada tertuduh.”

Riwayat al-Bukhari (4277) dan Muslim (1711)

Daripada al-Asy'ath bin Qais RA, katanya:

هَلْ لَكَ بَيِّنَةٌ؟ فَقُلْتُ: لاَ. قَالَ : فَيَمِينُهُ

Maksudnya: “Engkau ada bukti? Saya menjawab: Tidak. Baginda bersabda: Terserah kepada sumpahnya.”

Riwayat Muslim (372 )

Dalam riwayat lain disebut:

شَاهِدَاكَ أَوْ يَمِينُهُ

Maksudnya: “Engkau hendaklah mengemukakan dua orang saksi ataupun dia bersumpah.”

Riwayat Muslim (138)

Daripada Abdullah bin Amru bin al-‘Ash RA:

الْبَيِّنَةُ عَلَى الْمُدَّعِي، وَالْيَمِينَ عَلَى الْمُدَّعَى عَلَيْهِ

Maksudnya: “Bukti diminta daripada pendakwa, dan sumpah diminta daripada tertuduh.”

Riwayat al-Tirmizi (1341)

Sikap Bapa Allahyarham Muhammad Adib

Kami amat tersentuh dengan kenyataan bapa Mohd. Adib sehari sebelum keputusan diumumkan. Katanya "Apapun keputusan, saya dan keluarga perlu reda namun harapan kami pastinya ingin melihat keadilan.” (Lihat Harian Metro, 26 September 2019)

Kenyataan ini membuktikan bahawa bapa Mohd Adib yang mewakili seluruh keluarganya memiliki pegangan agama yang kuat. Sebagai seorang mukmin kita diminta beriman kepada Qadha dan Qadar[4] yang telah pun ditetapkan Allah, bersabar menerimanya dan sentiasa berbaik sangka dengan ketentuan-Nya. Yakin dan percayalah, inilah sepatutnya menjadi pegangan dan sikap seorang Mukmin sejati. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Suhaib, Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلاَّ لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.” (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Justeru, saya menyeru seluruh umat Islam di negara ini agar mencontohi sikap positif yang ditunjukkan ahli keluarga Allahyarham.

Dengan keputusan yang telah dimaklumi, antara sikap kita yang sepatutnya adalah menghindari sebarang aksi dan tindakan yang menyalahi undang-undang, sebaliknya mematuhi keputusan dan peraturan yang ditetapkan. Elakkanlah daripada melakukan tindakan yang tidak wajar atau apa-apa kenyataan yang boleh membakar perasaan marah, tidak puas hati atau kebencian kepada mana-mana pihak sehingga boleh mencetuskan keadaan dan suasana yang tidak tenteram. Pihak berkuasa seperti PDRM dan mereka yang berautoriti diberi tanggungjawab sepenuhnya untuk melaksanakan tugasan dengan sebaiknya.

 

Bersikap Positif dan Teruskan Langkah

Ayuh kita pandang ke hadapan dengan positif dan bersama mempertahankan keharmonian dan keamanan hidup negara ini. Ketahuilah sesungguhnya keharmonian dan kesentosaan hidup adalah nikmat yang amat berharga. Jika ianya hilang, pasti banyak lagi perkara akan turut mengiringinya hilang bersama. Ketika itu penyesalan tiada berguna lagi.

 

Inilah Nasihatku

Saya mulakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Ruqayyah bin Aus al-Dariy R.A, Nabi SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ ، قُلْنَا لِمَنْ؟ قَالَ : لِلَّهِ وَلِكِتَابِهِ وَلِرَسُولِهِ وَلأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat.” Kami bertanya: “Kerana siapa?” Sabda Baginda: “Kerana Allah, Kitab-Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4994) dan Nasa’ie (7/ 156)

Agama itu adalah terletak pada nasihat. Ini kerana pada nasihat mengandungi taat kepada Allah dan kepada Rasul-Nya, beriman serta beramal dengan kitab-Nya dan sunnah Rasul-Nya. Nasihat bagi kaum muslimin pada umumnya, ialah menyampaikan nasihat kepada mereka dengan berdakwah menyeru kepada Allah, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkar, mengajarkan kebaikan kepada mereka, dan lain-lainnya. Al-Nasihah untuk kaum muslimin ialah dengan memberi tunjuk ajar kepada mereka demi kepentingan akhirat dan dunia. (Lihat al-Kafi Syarah Hadis 40, hlm. 75-80)

Dalam suasana yang penuh hiba ini, marilah sama-sama kita menginsafi diri yang amat dha’if ini untuk melakukan seperti berikut:

  • Beriman dengan Qadha’ dan Qadar serta menghayati dengan sepenuh jiwa.
  • Ujian kepada kita pasti berlaku. Makanya petunjuk Ilahi adalah sebaik-baik pedoman. Firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

Surah al-Baqarah (155)

Syeikh Abd al-Rahman al-Sa’di berkata: Allah SWT memberitahu bahawa Dia pasti akan menguji para hamba-Nya dengan pelbagai mehnah dan ujian. Agar menjadi jelas siapa di antara hamba itu yang benar dan pendusta, yang sabar dan berkeluh kesah. Ini adalah ketetapan Allah SWT ke atas para hamba-Nya. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/122)

  • Memahami konsep keadilan dalam neraca Syariah di dunia dan akhirat. Allah SWT berfirman:

وَوُضِعَ الْكِتَابُ فَتَرَى الْمُجْرِمِينَ مُشْفِقِينَ مِمَّا فِيهِ وَيَقُولُونَ يَا وَيْلَتَنَا مَالِ هَـٰذَا الْكِتَابِ لَا يُغَادِرُ صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً إِلَّا أَحْصَاهَا ۚ وَوَجَدُوا مَا عَمِلُوا حَاضِرًا ۗ وَلَا يَظْلِمُ رَبُّكَ أَحَدًا

Maksudnya: Dan "Kitab-kitab Amal" juga tetap akan dibentangkan, maka engkau akan melihat orang-orang yang berdosa itu, merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka akan berkata:" Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!" Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu sedia (tertulis di dalamnya); dan (ingatlah) Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorangpun.

Surah al-Kahfi (49)

Begitu juga firman-Nya:

فَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ خَيْرًا يَرَهُ ﴿٧﴾ وَمَن يَعْمَلْ مِثْقَالَ ذَرَّةٍ شَرًّا يَرَهُ

Maksudnya: Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Surah al-Zalzalah (7-8)

  • Menghiasi diri dengan kesabaran merupakan sikap yang terpuji yang menjadi sifat para Nabi dan Rasul dan juga orang-orang yang soleh. Allah SWT berfirman:

الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ

Maksudnya: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."

Surah al-Baqarah (156)

Firman Allah SWT “إِنَّا لِلَّـهِ” (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah) ini mengandungi nilai tauhid dan pengakuan penghambaan diri dan di bawah pemilikan Allah. Manakala firman-Nya “وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ” (kepada Allah jualah kami kembali) mengandungi keyakinan bahawa segala urusan kembali kepada Allah SWT. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/172)

  • Pertahankan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan masyarakat seperti membuat sebarang provokasi ataupun sikap yang tidak baik. Setakat yang kami lihat, masyarakat Malaysia cukup matang dalam menangani isu seperti ini dengan sebaik mungkin.
  • Teruskan kehidupan dengan langkah ke hadapan. Yang hidup ada tanggungjawab yang mesti dilaksanakan dalam mengimarahkan muka bumi ini dengan nilai-nilai yang murni serta kepatuhan kepada Yang Maha Esa. Pandanglah ke hadapan untuk terus maju dan berjaya. Inilah semangat yang sepatutnya kita lakukan.

 

Doa Kami

Akhir sekali, kami berdoa kepada Allah agar ibubapa dan seluruh ahli keluarga Allahyarham diberikan kekuatan dan ganjaran yang setimpal atas dugaan ini. Kami titipkan di sini beberapa doa untuk kita laziminya:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَاعْفُ عَنْهُ وَعَافِهِ وَأَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مُدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِمَاءٍ وَثَلْجٍ وَبَرَدٍ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ وَأَبْدِلْهُ دَارًا خَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَأَهْلاً خَيْرًا مِنْ أَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَأَدخِلْهُ الجَنَّةَ وَقِهِ فِتْنَةَ الْقَبْرِ وَعَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Ampunilah dan rahmatilah dia, lepaskanlah dia daripada apa-apa yang tidak disukainya dan maafkanlah dia, muliakanlah keadaannya dan luaskan kuburnya. Mandikanlah dia dengan air, salji dan air yang dingin. Bersihkanlah dia daripada segala kesalahan sebagaimana dibersihkan baju yang putih daripada segala kekotoran. Gantikanlah rumahnya yang lebih baiki daripada rumahnya, keluarga yang lebih baik daripada keluarganya dan pasangan yang lebih baik daripada pasangannya. Masukkanlah dia ke dalam syurga dan peliharalah dia daripada fitnah kubur dan azab neraka.”

Riwayat Muslim (963)

اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا

Maksudnya: “Ya Allah, kurniakanlah aku ganjaran atas musibahku dan gantikanlah yang lebih baik daripadanya.”

   Riwayat Muslim (918)

Akhukum fillah,
SS Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

29 September 2019 bersamaan 29 Muharram 1441 H.

 

______________________________________

Nota Hujung:

 

[1] Muhammad Adib bin Mohd Kassim (28 Mei 1994—17 Disember 2018) merupakan seorang ahli bomba Malaysia yang berkhidmat sebagai pegawai bomba di Balai Bomba Subang Jaya. Beliau berasal dari Kedah, dan disahkan meninggal dunia selepas 21 hari dimasukkan ke hospital di Institut Jantung Negara.

[2] Lihat Al-Kafi #965 : Adakah Kematian Muhammad Adib Dikira Syahid yang telah diterbitkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada 18 Disember 2018. [muftiwp.gov.my/ms/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2888-al-kafi-965-adakah-kematian-muhammad-adib-dikira-syahid]

[3] Mahkamah Koroner hari Jumaat (27 September 2019) memutuskan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, adalah akibat perbuatan jenayah oleh dua atau lebih individu yang tidak dikenali. (Lihat Kematian Muhammad Adib akibat perbuatan jenayah - Mahkamah Koroner dalam portal Berita Harian, 27 September 2019)

[4] Qadha’ ialah perkara yang diputuskan oleh Allah SWT terhadap segala makhluknya samada dari sudut menciptakannya, meniadakannya, atau mengubahnya. Qadar ialah perkara yang telah ditetapkan kadarnya oleh Allah SWT semenjak azali, supaya ia terjadi mengikut ilmu-Nya yang mendahulu setiap perkara. Qadar ialah menetapkan kadar sesuatu sebelum memutuskannya agar ia berlaku. Manakala Qadha’ pula ialah menjadikannya ia berlaku mengikut apa yang ditetapkan. Ini bermakna, Qadar berlaku lebih dahulu daripada Qadha’, dan kedua-duanya adalah saling lazim-melazimi dan tidak mungkin berpisah.

Ibn al-Athir mengumpamakan dengan mengatakan Qadar adalah asas atau tapak binaan, dan Qadha’ pula ialah binaan yang dibangunkan di atas asas tersebut. Sayyid Sabiq melalui kitabnya Aqidah Islam menyatakan, telah disebut berulang kali di dalam al-Quran al-Karim masalah qadar atau takdir. Antaranya:

  • Segala sesuatu terlaksana dengan takdir Tuhan. Firman Allah SWT:

وَكُلُّ شَيْءٍ عِندَهُ بِمِقْدَارٍ

Maksudnya: “Dan tiap-tiap sesuatu adalah ditetapkan di sisi-Nya dengan kadar yang tertentu. (Surah al-Ra’d: 8)

Al-Maraghi mengulas: Setiap sesuatu mempunyai batas waktu yang telah ditentukan iaitu tidak lebih dan tidak kurang. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 13/75)

  • Segala sesuatu diciptakan dengan takdir sebagaimana firman Allah SWT:

وَإِن مِّن شَيْءٍ إِلَّا عِندَنَا خَزَائِنُهُ وَمَا نُنَزِّلُهُ إِلَّا بِقَدَرٍ مَّعْلُومٍ

Maksudnya: Dan tidak ada sesuatupun melainkan pada sisi Kami sahaja perbendaharaannya dan Kami tidak menurunkannya melainkan dengan menurut kadar dan masa yang tertentu. (Surah al-Hijr: 21)

Sayyid Qutb berkata: Hanya kepada Allah SWT pulangnya segala sesuatu dan pulangnya setiap orang tepat pada waktu nya yang ditetapkan. (Lihat Tafsir fi Zilal al-Quran, 4/428)

  • Segala sesuatu diciptakan dengan takdir. Ini bersesuaian dengan firman Allah SWT:

إِنَّا كُلَّ شَيْءٍ خَلَقْنَاهُ بِقَدَرٍ

Maksudnya: Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan). (Surah al-Qamar: 49)

Al-Maraghi berkata: “Sesungguhnya segala sesuatu yang terjadi dalam kehidupan dunia ini, adalah ketentuan Allah SWT dan pembentukannya, menurut ketentuan hikmah-Nya Yang Maha Bijaksana dan aturan-Nya yang menyeluruh dan sesuai dengan sunnah-sunnah yang Dia letakkan pada makhluk-Nya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 27/101)

(Lihat Irsyad al-Fatwa Ke-2: Maksud Qada' & Qadar di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)