Language Options:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

QALAM MUFTI #54: DOA UNTUK PALESTIN

doa untuk palestin.JPG

Mukadimah

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami dikejutkan dengan berita yang amat tragis atas serangan ganas daripada rejim zionis Israel terhadap bumi Palestin, setepatnya di Gaza yang mengorbankan sekurang-kurangnya 34 penduduk Palestin termasuk lapan kanak-kanak dan tiga wanita.[1]

Saat umat Islam sedang menyambut Maulidur Rasul dan menzahirkan perpaduan serta cinta kepada Rasul SAW, tiba-tiba saudara seagama kita telah bermandikan darah atas serangan tanpa undang-undang yang begitu mudah dilancarkan. Ini jelas memberi petanda betapa angkuh dan biadabnya rejim Israel di mana telah hilang dari kamus kehidupan mereka perasaan sifat manusiawi, dan yang tinggal hanyalah sifat kebinatangan.

Justeru, seruan Syeikh al-Azhar, Dr Ahmad Tayyib begitu tegas menyatakan: “Al-Azhar menyeru kepada masyarakat antarabangsa untuk menghentikan serangan keganasan oleh penjajah Israel terhadap rakyat Palestin atas nama insani. Sesungguhnya jenayah keganasan menentang rakyat Palestin yang berlaku menunjukkan tiada titik noktahnya sehari demi sehari. Ini jelas menggambarkan belang sebenar sifat lapar darah Israel terhadap rakyat Palestin.”

Marilah sama-sama kita berdoa dan bermunajat kepada Tuhan serta diseru kepada khatib-khatib setiap Jumaat untuk mendoakan kesejahteraan rakyat Palestin dan buminya dari cengkaman kuku besi Israel.

Kami menutup dengan doa:

اللَّهُمَّ انْصُرْ إِخْوَانَنَا فِي فِلَسْطِين، اللّهُمّ ثَبِّتْ أَقْدَامَهُم، اللّهُمَّ قَوِّي عَزَائِمَهُمْ، اللَّهُمَّ صَبِّرْهُم عَلَى مُصِيْبَتِهِم، اللَّهُمَّ تَقَبَّلْ شُهَدَاءَهُمْ

 

______________________________

Nota Hujung:

 

[1] Jumlah yang dicatatkan sehingga 16 November 2019.