
TERTIPU VISA HAJI: JEMAAH TIDAK SAH HAJI WAJIB DAM, PENIPU WAJIB TAUBAT DAN DIKENAKAN TINDAKAN TEGAS!
Sejak kebelakangan ini tular satu kes penipuan haji oleh agensi pelancongan terhadap 49 orang jemaah dari Sabah yang mendakwa tidak dibenarkan masuk ke Mekah ketika sudah sampai di Tanah Suci berpunca daripada tidak memiliki visa haji sah. Mangsa dikatakan hanya dibenarkan masuk ke Mekah pada 14 Zulhijjah ketika umat Islam lain telah selesai menunaikan segala rukun haji. Agensi pelancongan tersebut mendakwa haji jemaah tersebut sah meskipun tidak melakukan wukuf di Arafah.
Berdasarkan situasi ini, seseorang yang meninggalkan rukun haji iaitu berwukuf di Arafah pada 9 Zulhijjah, ibadah hajinya adalah tidak sah dan wajib diganti bagi mereka yang melaksanakan haji fardu.
Di samping itu, seseorang yang telah berniat ihram haji atau umrah apabila ia tidak dapat menyempurnakan ibadah tersebut kerana dihalang oleh sesuatu (seperti dihalang oleh kerajaan Saudi kerana ketiadaan visa haji) daripada menyempurnakan rukun-rukun haji atau umrah dengan sebab-sebab yang berikut seperti adanya musuh atau sakit atau terpisah daripada rombongan atau lain-lain dinamakan sebagai al-muḥṣar (المحصر).Hal ini berdasarkan firman Allah SWT;
وَأَتِمُّوا الْحَجَّ وَالْعُمْرَةَ لِلَّهِ ۚ فَإِنْ أُحْصِرْتُمْ فَمَا اسْتَيْسَرَ مِنَ الْهَدْيِ ۖ وَلَا تَحْلِقُوا رُءُوسَكُمْ حَتَّىٰ يَبْلُغَ الْهَدْيُ مَحِلَّهُ ۚ
Maksudnya:Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah dam yang mudah didapati; dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya
(Surah Al-Baqarah:196)
Hal ini menurut Imam Ibn Katsir, ayat ini diturunkan pada tahun keenam Hijrah, iaitu tahun Perjanjian Hudaibiyah iaitu ketika kaum musyrikin menghalang Rasulullah SAW dan para sahabat Baginda daripada memasuki Mekah dan sampai ke Baitullah. Allah SWT memberi rukhsah kepada mereka agar menyembelih binatang dan bertahallul dengan bercukur. ”. Pada ketika itu, baginda pulang semula ke Madinah dan datang semula pada tahun berikutnya untuk Umrah Qada', dan haji ditunaikan baginda pada tahun ke-10 Hijrah, yang dikenali sebagai Haji Wada'.
Bagi jemaah yang terhalang daripada menunaikan ibadat haji selepas berniat ihram, mereka wajib bertahallul dengan menyembelih kambing (atau berkongsi 1/7 bahagian daripada unta atau lembu), kemudian bercukur (atau bergunting dengan sekurang-kurangnya 3 helai rambut), bersama niat tahallul dengan kedua-duanya.
Jika ketiadaan binatang untuk membayar dam, nilaikanlah harga seekor kambing, dan sedekahkanlah makanan yang sama dengan nilai tersebut. Jika tidak mampu bersedekah makanan, hendaklah berpuasa sehari bagi setiap cupak makanan berkenaan. Kemudian, boleh bertahallul pada ketika itu juga tanpa menunggu puasanya berakhir.
Dalam hal ini, seorang yang tertipu dengan pakej haji yang ditawarkan oleh agensi pelancongan ia tidak menjadi punca kepada pengguguran kewajipan membayar dam kerana ia sudah terikat dengan kontrak ihram. Meskipun begitu, mereka tetap mendapat pahala atas niat ibadah yang hendak dikerjakan disisi Allah Taala
Oleh itu, dinasihatkan kepada para bakal jemaah haji agar berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pakej tawaran menunaikan haji oleh mana-mana agensi pelancongan yang meragukan. Bakal jemaah hendaklah sentiasa mengambil pendekatan menyemak dan identiti dan status pelaksananya sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang berdaftar dibawah Lembaga Tabung Haji (TH) dan tidak terburu-buru membuat pembayaran tanpa usul periksa.
Perbuatan menipu jemaah haji ini adalah satu perbuatan dosa dan ia juga menyalahi dari sudut penjagaan agama dan harta kerana ia bukan sahaja menghalang individu daripada menunaikan rukun Islam kelima, tetapi juga menyebabkan kerugian kewangan yang besar serta tekanan emosi dan psikologi kepada jemaah yang terlibat. Malah perbuatan ini juga merosakkan kepercayaan terhadap institusi agama dan badan pelaksana yang terlibat dalam ibadah haji ini.
Agensi pelancongan yang sengaja mengambil kesempatan atas keinginan suci umat Islam untuk menunaikan ibadah haji telah melanggar prinsip amanah dan tanggungjawab sosial dalam Islam.Mereka hendaklah bertaubat dan mengembalikan semula hak para jemaah yang menjadi mangsa. Perbuatan ini sangat tercela di sisi syarak dan perlu diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa.
SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
20 ZULHIJAH 1446 / 17 JUN 2025