Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 10/2025: TEKNOLOGI AI BAKAL MENJADI MANUSIA?

TintaMufti.jpg

 

TEKNOLOGI AI BAKAL MENJADI MANUSIA?

Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) merupakan salah satu ciptaan moden yang melambangkan kehebatan minda manusia. Seiring dengan peredaran zaman, kemajuan teknologi semasa yang berpaksikan sistem yang mengintegrasi ruang siber dan fizikal (CPS) turut mempengaruhi penghasilan pelbagai mesin dan peranti pintar yang memiliki nilai kecerdasan seperti manusia. Jika dahulu dilihat amat mustahil untuk menghasilkan sesebuah mesin berupaya untuk bercakap, berfikir dan bertindak seperti manusia, namun kini ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan. Realiti ini bertepatan dengan pandangan oleh Sheikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam penutup kitab usul fiqh beliau:

“ Tidak ada yang mustahil setelah orang naik ke bulan.”

Lantaran itu, perubahan sosial yang berlaku merupakan salah satu daripada sunatullah dalam kehidupan. Di sebalik pelbagai perubahan yang berlaku, syariat Islam tetap kekal relevan untuk menjadi panduan bagi manusia tanpa mengira masa, tempat dan keadaan. Dalam konteks perkembangan teknologi semasa, syariat Islam secara asasnya meraikan pembangunan material yang bertujuan meraih maslahah kepada manusia. Antaranya termasuklah mengharuskan penciptaan yang baharu harus berdasarkan kaedah fiqh:

الأصل في الاشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: “Hukum asal bagi setiap perkara adalah harus sehingga terdapat dalil yang mengharamkan.”

Secara asasnya, manusia dituntut untuk melakukan inovasi dalam kehidupan bagi mencapai maqasid الابتلاء iaitu hikmah di sebalik ujian yang diturunkan oleh Allah SWT agar manusia kemudiannya berusaha untuk melakukan pekerjaan yang terbaik. Berdasarkan firman-Nya:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا ۚ

Maksudnya: Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.”

Surah al-Mulk (2)

Berdasarkan dalil di atas, antara pengertian bagi lafaz “lebih baik” termasuklah juga merealisasikan agenda inovasi iaitu sentiasa melakukan pembaharuan dan penambahbaikan terhadap sistem yang sedia ada dalam usaha mencapai taraf kehidupan yang lebih baik.

Dalam era Revolusi Industri 4.0, teknologi AI merupakan salah satu bentuk inovasi yang hebat kerana pada masa kini manusia telah berjaya mengubah suai tabiat mesin daripada sebuah alat yang memerlukan kawalan daripada manusia kepada sebuah sistem yang bertindak seolah-olah seperti manusia (fully autonomous). Bahkan, keupayaan mesin tersebut lebih laju berbanding dengan manusia terutamanya dalam tugasan yang bersifat pengulangan (repetition), kerja-kerja yang menuntut daya pemikiran kritis (critical thinking) dan analisis secara mendalam (deep analysis).

Namun Imam al-Syatibi telah menyebutkan satu kaedah syarak iaitu:

إذا كان الفعل ذا الوجهين فالنظر الى الجهة الراجحة

Maksudnya: Jika sesuatu perbuatan itu mempunyai dua sisi (baik dan buruk), maka yang dinilai adalah sisi yang lebih dominan (al-Syatibi, 1997).

Dalam konteks kecerdasan buatan (AI), ia dibenarkan sekiranya membawa maslahah atau kebaikan seperti penjimatan masa, bantuan dalam tugas berat, sokongan analitik dalam pendidikan dan kesihatan, serta peningkatan produktiviti. Namun, jika penggunaannya membawa kepada mafsadah atau keburukan yang lebih besar seperti risiko manipulasi data, isu privasi, kehilangan pekerjaan, penipuan suara/wajah, dan pencabulan kehormatan manusia, ia perlu diwaspadai.

Walau bagaimanapun, selagi sisi maslahah lebih mendominasi dan penggunaannya dikawal selia dengan panduan syarak, hukum penggunaannya kekal harus (dibenarkan).

Di Eropah terdapat seorang jurutera muslim yang soleh iaitu al-Jazari yang berasal daripada Turki, beliau dikenali sebagai tokoh inovasi yang berjaya menghasilkan jam automatik berasaskan prinsip teknologi pelbagai budaya (1001 Inventions - Muslim Heritage in Our World, 2006).

Penggunaan AI adalah suatu keperluan, namun ia terikat kepada etika dan peraturan syariah yang wajib dipatuhi. Ini penting agar teknologi ini tidak disalahgunakan sehingga merosakkan prinsip kemanusiaan dan agama. Justeru berikut merupakan beberapa etika yang mesti dipatuhi, iaitu:

1. Niat yang baik

Setiap pembangunan dan penggunaan AI hendaklah didasarkan pada niat untuk kebaikan, bukannya kezaliman atau penindasan. Ini kerana, setiap amalan dalam Islam yang didasari niat baik akan mendapat pahala. Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَاتِ، وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى الله وَرَسُوْلِهِ وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ اِمْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya setiap amalan berdasarkan niat dan sesungguhnya setiap orang mengikut yang dia niat. Maka sesiapa yang hijrahnya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya maka hijrahnya kepada Allah SWT dan Rasul-Nya, dan siapa yang hijrahnya kerana dunia untuk dia dapatinya atau perempuan untuk dikahwininya, maka hijrahnya mengikut apa yang dia hijrah kepadanya.”

Riwayat al-Bukhari

2. Menjaga karamah insan

Hal ini bermaksud AI tidak boleh digunakan untuk menghina, mengaibkan atau merendahkan martabat manusia, sama ada melalui suara palsu, wajah palsu atau data palsu. Dalam hal ini, Allah SWT berfirman:

وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam.”

Surah al-Isra’ (70)

 

3. Tidak wujud unsur penipuan

Meskipun penggunaan AI diharuskan dalam syarak tetapi dengan syarat ia mestilah tidak mengandungi unsur penipuan dalam pelaksanaan dan penggunaannya. Justeru, penggunaan AI untuk meniru suara tokoh agama, menulis teks ucapan palsu atau mencipta gambar/grafik yang mengelirukan adalah haram jika membawa kepada fitnah dan kerosakan. Hal ini selari dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَفْتَرِي الْكَذِبَ الَّذِينَ لَا يُؤْمِنُونَ بِآيَاتِ اللَّهِ ۖ وَأُولَٰئِكَ هُمُ الْكَاذِبُونَ

Maksudnya: “Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah dan mereka itu ialah orang yang bertabiat berdusta.”

Surah al-Nahl (105)

4. Tidak mendatang kemudaratan kepada agama , jiwa, akal, kehormatan, harta dan keselamatan

Ini selaras dengan prinsip maqasid al-syari’ah. Jika penggunaan AI membawa kepada keruntuhan akhlak, penyebaran ideologi sesat, kerosakan ekonomi atau ketegangan sosial, maka penggunaannya perlu dihalang atau dikawal.

Oleh itu, dalam menelusuri isu kecerdasan buatan (AI) yang semakin menyerupai ciri dan peranan manusia, wacana syarak mengenainya tidak boleh bersifat dangkal atau tergesa-gesa. Ia menuntut perbahasan yang mendalam, menyeluruh dan berterusan, selaras dengan perkembangan teknologi semasa serta tahap penggunaannya dalam kehidupan harian.

Wallahu a'lam.  

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
28 MUHARAM 1447H / 24 JULAI 2025