Language Options:

hubungi2maklumbalas2peta2

TINTA MUFTI BIL. 25/2025: TRANSFORMASI DAKWAH DI ERA DIGITAL: KEPERLUAN DAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

TintaMufti.jpg

 

TRANSFORMASI DAKWAH DI ERA DIGITAL: KEPERLUAN DAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA

 

Mukadimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, Tuhan sekalian alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang mengikuti baginda hingga ke hari kiamat.

Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menegaskan peri pentingnya para pendakwah untuk menguasai teknologi digital dan media baharu dalam menyampaikan dakwah. Kenyataan ini dibuat ketika merasmikan Konvensyen Dakwah Antarabangsa Melestari Insani (K-DAMAI) yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Universiti Multimedia, Cyberjaya.[1]

Teknologi Sebagai Wasilah Dakwah

Islam adalah agama yang sesuai sepanjang zaman. Seiring dengan perkembangan teknologi, wasilah dakwah juga perlu berubah agar mesej yang dibawa kekal relevan. Media sosial, laman sesawang, aplikasi mudah alih dan terkini kecerdasan buatan (AI) adalah ruang dakwah yang mesti dimanfaatkan dengan bijaksana.

Firman Allah SWT:

ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِالْمُهْتَدِينَ ‎﴿١٢٥﴾‏

Maksudnya: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.”

Surah al-Nahl (125)

Ayat ini menegaskan bahawa hikmah dan pendekatan yang sesuai amat penting. Justeru, penggunaan teknologi moden adalah sebahagian daripada hikmah itu bagi memastikan dakwah sampai kepada masyarakat dengan lebih berkesan mengikut kesesuaian zaman.

Antara cabaran besar dunia digital hari ini ialah penularan maklumat palsu, ajaran sesat serta ideologi songsang yang mengancam akidah umat Islam. Tanpa penguasaan teknologi, dakwah tidak mampu menandingi kelajuan penyebaran fitnah ini.

Oleh itu, pendakwah perlu berperanan aktif sebagai penapis maklumat serta penyampai hujah-hujah sahih yang berasaskan al-Quran, al-Sunnah dan pandangan para ulama muktabar.

Seperti ditegaskan oleh YB Menteri, dakwah mestilah bermula dengan ilmu pengetahuan. Kepakaran dalam bidang agama perlu digandingkan dengan kepakaran teknologi agar lahir pendakwah kontemporari yang mampu berinteraksi dengan masyarakat yang celik digital. Nabi SAW telah bersabda:

بَلِّغُوا عَنِّي ولو آيَةً

Maksudnya: “Sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat.”[2]

(Riwayat al-Bukhari)

Hadis ini menunjukkan bahawa penyampaian ilmu adalah tanggungjawab setiap Muslim, namun ia mestilah dilakukan secara berilmu, amanah dan penuh tanggungjawab. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan penggunaan digital, kerana jika tidak cermat akan menyebabkan tersebarnya perkara yang salah dan merosakkan imej agama. Kecekapan para pendakwah dalam memanfaatkan medium digital sebagai saluran dakwah di Malaysia secara tidak langsung selari dengan tuntutan maqasid al-tadayyun. Perkara ini juga dapat memastikan agama Islam terus terpelihara dan diamalkan dengan sempurna dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Maka dalam hal ini, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menyokong penuh saranan agar dakwah diperkasa melalui transformasi digital. Kami menyeru agar:

  1. Pendakwah menguasai media baharu dengan kemahiran teknikal yang relevan.
  2. Institusi Islam menyediakan latihan dan sokongan bagi membentuk tenaga pendakwah era digital.
  3. Masyarakat menjadi pengguna bijak dengan menapis maklumat serta menyebarkan hanya yang sahih.

Kesimpulan

Semoga usaha ini dapat menjadikan dakwah lebih segar, inklusif dan berkesan dalam membentuk masyarakat madani yang berpegang teguh kepada akidah sahih serta nilai Islam yang sebenar. Akhirnya, marilah kita berdoa agar Allah SWT memberi taufiq dan hidayah dalam setiap langkah dakwah kita.

اللهم أرنا الحق حقا وارزقنا اتباعه، وأرنا الباطل باطلا وارزقنا اجتنابه

Wallahuaʻlam.

 

SAHIBUS SAMAHAH USTAZ AHMAD FAUWAZ BIN FADZIL
4 RABIULAKHIR 1447H / 26 SEPTEMBER 2025

 

Rujukan: 

[1] Rujuk https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/pendakwah-perlu-kuasi-teknologi-digital,-kekang-fitnah,-ajaran-sesat

[2] Muhammad bin Ismail al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 3461, jld. 4: hlm. 170.