KEHARUSAN ZAKAT KEPADA PEJUANG GLOBAL SUMUD FLOTILLA
Inisiatif Global Sumud Flotilla telah bangkit sebagai tindak balas masyarakat antarabangsa terhadap krisis kemanusiaan yang sangat teruk di Gaza. Terdiri daripada lebih 50 kapal dan ribuan aktivis dari puluhan negara, Global Sumud Flotilla bukan sekadar misi bantuan, ia merupakan manifestasi keberanian kolektif yang bertekad untuk memecahkan sekatan maritim Israel sejak sekian lama dan membuka koridor kemanusiaan. Perjuangan berisiko tinggi ini mengangkat persoalan penting iaitu berkenaan keharusan pemberian zakat kepada mereka.
Zakat kepada peserta Global Sumud Flotilla dapat dibincangkan dalam konteks asnaf zakat fi sabililllah. Pada asasnya, ulama terdahulu seperti ulama mazhab Syafi’i dan mazhab Hanbali menetapkan makna fi sabilillah iaitu orang yang sukarela berperang tanpa diberikan gaji. Mereka ini layak menerima zakat walaupun terdiri daripada orang kaya kerana penerimaan zakat itu atas nama fi sabilillah, bukan atas nama fakir miskin.
Walau bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama kontemporari seperti Syeikh Mahmud Syaltut dan Syeikh Dr Yusuf al-Qaradawi yang meluaskan makna fi sabilillah dengan memasukkan sekali perkara maslahat umum orang Islam seperti untuk perkara-perkara yang memartabatkan kehormatan umat Islam, penyediaan kekuatan ketenteraan, pembinaan hospital dan jalan dan sebagainya.
Dalam konteks Global Sumud Flotilla, ia merupakan satu usaha untuk melawan kezaliman rejim zionis dan menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza. Global Sumud Flotilla bertekad untuk memecahkan sekatan haram yang mengakibatkan krisis kebuluran yang didorong oleh manusia. Misi ini adalah usaha kolektif yang berisiko tinggi untuk menegakkan keadilan antarabangsa dan memelihara nyawa umat yang merupakan salah satu maqasid syariah yang paling penting. Tambahan pula, peserta Global Sumud Flotilla juga berdepan dengan ancaman langsung daripada musuh seperti ada antara mereka yang diserang oleh dron.
Berdasarkan perluasan makna Fī Sabīlillāh oleh ulama kontemporari dan sifat misi Global Sumud Flotilla yang sangat berisiko, berkorban, dan bertujuan untuk maslahat tinggi umat Islam, Global Sumud Flotilla merupakan penerima yang sah dan wajar bagi dana zakat. Dengan menyalurkan zakat kepada perbelanjaan operasi Global Sumud Flotilla, umat Islam bukan sahaja memenuhi kewajipan agama tetapi turut serta secara langsung dalam perjuangan yang berani untuk mematahkan kezaliman dan menyalakan harapan di tengah kegelapan genosid.
Perjuangan Flotila ini sebenarnya merupakan satu seruan kepada setiap muslim untuk mengukuhkan jihad kemanusiaan ini dengan harta mereka, memastikan bahawa suara keadilan di lautan dapat menembusi sekatan dan sampai ke pantai Gaza.
WaAllahua’lam