Mukadimah
Kedatangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ke Malaysia bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang bakal berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober ini telah mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. Sebahagian pihak berpandangan bahawa kerajaan wajar menolak kedatangan beliau sebagai isyarat solidariti terhadap penderitaan umat Islam di Gaza dan kritikan terhadap dasar luar AS yang dilihat tidak tegas terhadap jenayah perang serta genosid. Manakala sebahagian pihak yang lain pula berpendapat bahawa kunjungan rasmi ini membawa potensi kerjasama antarabangsa, investasi dan pertumbuhan ekonomi. Kepelbagaian pandangan ini kemudiannya turut menimbulkan kekeliruan dialam kalangan masyarakat, terutamanya apabila emosi atau sentimen radikal mendominasi naratif yang boleh membawa mudarat terhadap negara dan umat Islam. Oleh itu, amat penting untuk mendekati isu ini secara seimbang berasaskan dalil syarak, pandangan ulama serta data empirikal terkini.
Secara asasnya, syariat Islam amat menekankan prinsip keadilan dalam setiap urusan termasuklah dalam mengurus hal ehwal hubungan antarabangsa. Allah SWT berfirman dalam al-Quran:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُونُوا قَوَّامِينَ لِلَّهِ شُهَدَاءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَىٰ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَىٰ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
Surah al-Ma’idah (8)
Ayat ini menegaskan bahawa walaupun terdapat konflik atau perbezaan pendirian, umat Islam tidak boleh dikuasai oleh prasangka atau emosi sedemikian hingga mengabaikan keadilan dan maslahat sejagat. Dalam tradisi siyasah syar‘iyyah, fuqaha dalam mazhab Syafi’i seperti Imam al-Māwardī dalam kitabnya, al-Ahkām al-Sulṭāniyyah menegaskan bahawa pemerintah dibenarkan mengadakan perjanjian damai (ṣulḥ) dengan pihak bukan Islam sekiranya terdapat maslahat yang nyata sama ada untuk melindungi keselamatan umat atau menjaga kepentingan negara[1]. Hal ini selari dengan praktik Rasulullah SAW dalam Perjanjian Hudaibiyah serta amalan Khulafā’ al-Rāshidīn yang turut mengadakan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan golongan bukan Islam demi kestabilan politik dan ekonomi.
Selain itu, Islam juga amat menitikberatkan adab terhadap tetamu. Jika seseorang pemimpin bukan Islam datang dalam kapasiti rasmi dan aman, maka tuan rumah wajib memberikan layanan yang wajar selagi ia tidak membawa pengiktirafan terhadap dasar yang menindas atau menjejaskan umat Islam.
Secara realitinya, hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan Amerika Syarikat memainkan peranan yang signifikan. Menurut laporan Investment Climate Statements oleh Jabatan Negara AS, stok Pelaburan Langsung Asing (FDI) dari AS ke Malaysia mencapai USD 85.8 bilion bagi tahun 2024, mencerminkan pertumbuhan 14.9 % berbanding tahun sebelumnya[2]. Selain itu, menurut U.S. Trade Representative, dagangan barangan dan perkhidmatan antara AS dan Malaysia bernilai sekitar USD 86.5 bilion pada 2024, meningkat 20.5 % daripada 2023[3]. Statistik ini menunjukkan betapa pentingnya pasaran dan pelaburan AS dalam ekonomi Malaysia. Di samping itu, Malaysia meminta pengecualian tarif sifar bagi produk seperti perabot, automotif dan komponen aeroangkasa dalam rundingan sempena kunjungan Presiden AS, sebagai strategi untuk mengurangkan beban tarif AS terhadap eksport negara[4].
Sementara itu, data rasmi dan antarabangsa menunjukkan bahawa migrasi antarabangsa terus menjadi fenomena global. Menurut laporan International Migrant Stock 2024 yang dikeluarkan oleh UN DESA (Jabatan Pembangunan Ekonomi dan Sosial PBB), data migran antarabangsa dikompilasi untuk tempoh 1990–2024[5]. Walaupun laporan itu tidak menyatakan angka khusus untuk diaspora Malaysia di Amerika Syarikat, namun ia menegaskan bahawa mobiliti manusia adalah aspek utama dalam era globalisasi. Selain itu, Migration Data Portal (UN DESA) mencatatkan statistik international migrant stock bagi Malaysia, yang membantu memahami bahawa rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara termasuk dalam agregat migran global[6].⁶ Data sedemikian membuktikan bahawa komuniti Malaysia di luar negara (termasuk di AS) adalah sebahagian daripada rangka besar mobiliti global dan berisiko terjejas disebabkan oleh dasar diplomatik antara negara.
Analisis
Berdasarkan dalil dan keterangan di atas, pendekatan menolak secara total terhadap kedatangan Presiden AS dilihat bertentangan dengan prinsip hifz al-amn (memelihara keamanan) dan maqasid al-‘umran (pembangunan tamadun) dalam maqasid syariah. Tindakan ekstrem atau boikot secara mutlak bukan sahaja boleh mencalar reputasi Malaysia di arena antarabangsa, tetapi juga membuka ruang terhadap sekatan ekonomi, tekanan diplomatik atau pembalasan dasar dari AS yang mungkin berdampak kepada rakyat Malaysia di sana termasuklah kebajikan serta keselamatan para pelajar, pekerja, rakyat Malaysia yang bermastautin dan komunit dakwah di AS. Sementara daripada perspektif fiqh al-mīzān, keputusan kerajaan menerima kunjungan tersebut haruslah berasaskan timbang tara antara maslahat dan mudarat, menegakkan amanah mentadbir negara demi kepentingan rakyat. Malaysia juga amat konsisten dalam menzahirkan solidariti terhadap Palestin melalui diplomasi antarabangsa, kenyataan kerajaan dan bantuan kemanusiaan. Oleh itu, menerima kunjungan Presiden AS bukan bermaksud merestui dasar luar AS, tetapi memanfaatkan platform diplomatik untuk menyampaikan pendirian Malaysia terhadap isu Palestin di hadapan pemimpin dunia.
Kesimpulan
Kedatangan Presiden Amerika Syarikat ke Malaysia harus dinilai secara holistik dan berasaskan prinsip syariah serta maslahat ummah. Penolakan mutlak atas dasar emosi tidak menjamin kebaikan, malah boleh menambah risiko kepada negara dan umat Islam. Sebaliknya, menerima kunjungan beliau dengan syarat, kawalan dan niat diplomatik yang wajar membuka peluang memperkukuh hubungan antarabangsa, menarik pelaburan dan memberi ruang kepada Malaysia menyatakan pendirian tegas terhadap Palestin. Ijtihad ini berkaitan timbangan maslahah dan mafsdah yang ditentukan oleh pemerintah dan ahli ilmu. Oleh itu, kerajaan perlu membentuk dasar diplomatik yang seimbang, matang dan berpandukan syariah sekaligus menzahirkan solidariti Malaysia terhadap umat Islam Palestin dan mendesak Amerika Syarikat untuk menghentikan sokongan terhadap kezaliman Israel.
[1] Abū al-Ḥasan al-Māwardī, al-Ahkām al-Sulṭāniyyah, ed. Aḥmad Mubārak al-Baghdādī (Beirut: Dār al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1989), 63–65.
نصه: «فَإِنْ عَقَدَ الْإِمَامُ الصُّلْحَ عَلَى شُرُوطٍ يَرَى فِيهَا الْمَصْلَحَةَ لِلْمُسْلِمِينَ جَازَ، وَإِنْ كَانَ فِيهَا تَرْكُ بَعْضِ الْحُقُوقِ، مَا لَمْ يَتَضَمَّنْ إِضْرَارًا بِالْمُسْلِمِينَ، أَوْ تَغْيِيرًا لِحُكْمٍ مِنْ أَحْكَامِ الدِّينِ».
[2] U.S. Department of State, 2025 Investment Climate Statements: Malaysia, laporan rasmi, “Malaysia — Investment Climate,” bahagian FDI, akses melalui state.gov
[3] U.S. Trade Representative, “Malaysia Trade Summary,” laman rasmi USTR, data perdagangan barangan dan perkhidmatan AS–Malaysia 2024, akses melalui ustr.gov
[4] “Malaysia Asks U.S. for Zero Tariff Rate on Furniture, Automotive, Aerospace Parts,” Reuters, 26 September 2025, dilaporkan melalui reuters.com
[5] United Nations, Department of Economic and Social Affairs, International Migrant Stock 2024: Key Facts and Figures, laporan rasmi statistik migran antarabangsa 1990–2024, boleh diakses melalui un.org
[6] Migration Data Portal (UN DESA), tema International Migrant Stocks Overview, data stok migran antarabangsa termasuk Malaysia sebagai komponen agregat mobiliti global, akses melalui migrationdataportal.org